DUNIA ISLAM

Tunjuk Perasaan Berlaku Hampir Di Seluruh Negara Umat Islam Hari Ini.

KAABAH

Kota Kelahiran Baginda Nabi Muhammad SAW.

TEKNOLOGI ILMU DAN NIKMAT DARI ALLAH

Teknologi Seumpama Pisau.Memberi Manfaat Jika Digunakan Untuk Kebaikan. Mudarat Jika Digunakan Untuk Jalan Kebatilan.

IQRA

Bacalah, Dengan Nama Tuhanmu Yang Menjadikan Kamu Dari Segumpal Darah...

TAURAT-INJIL-AL QURAN

Taurat dan Injil Disempurnakan Dengan Turunnya Al Quran.

Selasa, 9 Disember 2008

APABILA ORANG JAHIL CUBA MENULIS TENTANG ISLAM


Inilah blog yang mempertikai dan membuat kenyataan yang menghina Islam dan umatnya. Kepada umat Islam, jangan kita beremosi dengan kenyataan pemilik blog ini yang sebenarnya terdiri dalam golongan mereka yang jahil.

Usah kita berbalah dengan orang jahil. Tetapi berilah orang-orang jahil ini, ilmu tentang Islam. Terangkan Islam dengan penuh tenang dan bukannya bertindak mengikut emosi dan kemarahan. Rujuklah balik pada kaedah dakwah yang digunakan oleh Rasulullah saw dan juga para sahabat apabila berdepan dengan masyarakat Musyrikin kaum penyembah berhala di Mekah.

Sekiranya seseorang yang menghina agama kita itu jahil dan tidak tahu tentang Islam, maka tidak layak kita menyerang dan memaki hamunnya, sebaliknya menerangkan hujah-hujah dan kebenaran tentang Islam.

Tetapi... sekiranya kita sudah menyampaikan kepada orang jahil ini apa yang Nabi saw sampaikan kepada kaum Musyrikin penyembah berhala di Mekah dulu, namun di atetap tidak mahu menerima kebenaran itu, dan terus mahu mengutuk dan menyinggung perasaan umat Islam, maka layanan dan bentuk dakwah kepada mereka akan menggunakan cara yang berlainan...

Satu persoalan, apakah yang kekal di dunia ini? Manusia, nyawa, harta benda, anak isteri, kereta, pangkat, tumbuh-tumbuhan, gunung ganang... apa saja yang ada di dunia ini akan musnah dan hancur..hakikat ini diakui oleh setiap individu yang berfikiran waras dan modern di dalam dunia.

Tetapi, ada tempat yang kekal tidak hancur dan musnah sama sekali...kat mana tempat tu? Kena baca Al Quran.

Isnin, 1 Disember 2008

SENYUMAN PENUH MAKNA...











p/s : Gambar ini diterima melalui email. Gambar jenazah dua orang syuhada ini, dipaparkan secara eksklusif oleh salah satu media di Indonesia, MuslimDaily.net

Selasa, 28 Oktober 2008

BERHATI-HATI DENGAN HADIS PALSU...

BERBOHONG adalah satu kesalahan. Berbohong menggunakan nama agama adalah kesalahan yang lebih besar. Saya hairan mendengar sesetengah penceramah agama yang menyatakan haram berbohong, tetapi semasa ceramahnya, dia juga melakukan dosa pembohongan yang paling besar.

Apa tidaknya, dia berbohong dengan menyatakan Rasulullah SAW bersabda sesuatu hadis sedang hadis tersebut adalah palsu pada nilaian ilmu hadis. Bohong jenis ini jauh lebih besar dosanya dari bohong saudagar atau ahli politik.

Bohong saudagar dan ahli politik merosakkan harta orang, tetapi bohong pembaca hadis palsu merosakkan agama. Sebab itu Rasulullah SAW bersabda dalam hadis yang mutawatir:

Sesungguhnya berdusta ke atasku (menggunakan namaku) bukanlah seperti berdusta ke atas orang lain (menggunakan nama orang lain). Sesiapa yang berdusta ke atasku dengan sengaja, maka siaplah tempat duduknya dalam neraka”.

Hadis palsu adalah hadis yang direka atau diadakan-adakan, sedangkan ia tidak berasal daripada Rasulullah SAW. Banyak hadis rekaan ini dibaca oleh para penceramah yang jahil. Sehingga saya selalu menegur seorang ‘ustazah tv’ yang sering membaca hadis-hadis jenis ini untuk hidangan penonton.

Mungkin ada pembaca hadis palsu merasakan mereka tidak bersalah, sebab mereka hanya memetik daripada buku-buku mereka baca yang memuatkan hadis-hadis palsu. Maka mereka merasakan mereka hanya menyebarkan, maka tidak patut dipersalahkan.

Mereka lupa penyebar hadis palsu sama ada menerusi ucapan atau tulisan, dia dalam masa yang sama sebenarnya menipu orang lain apabila menyandar sesuatu perkara kepada Nabi SAW tanpa bukti yang sah. Pendengar akan terpedaya lalu mengamalkan perkara yang dianggapnya daripada Nabi SAW, sedang ia bukan seperti yang disangkakan.

Al-Imam Ibn Hibban (w. 354H) dalam kitab sahihnya meletakkan satu pasal yang beliau namakan:

Pasal menyebut ketetapan memasuki neraka untuk sesiapa yang menyandarkan sesuatu kepada al-Mustafa (Nabi Muhammad) SAW, sedangkan dia tidak tahu mengenai kesahihannya (Ibn Hibban, Sahih Ibn Hibban, 1/210).

Kata al-Syeikh Muhammad bin Muhammad Abu Syahbah:

Tidak halal meriwayatkan hadis palsu dalam apa perkara sekali pun, melainkan bersama keterangan tentang kepalsuannya. Ini sama ada berkaitan halal dan haram, atau fadail (kelebihan-kelebihan amalan), atau al-tarhib (menakutkan orang ramai terhadap maksiat) dan al-targhib (menggalakkan ibadah), atau kisah, atau sejarah atau selainnya.

Sesiapa yang meriwayatkan tanpa keterangan bererti telah melakukan dosa yang besar dan termasuk dalam senarai pendusta. Ini berasaskan apa yang diriwayatkan oleh al-Imam Muslim dalam mukadimah sahihnya bahawa Rasulullah SAW bersabda:

Sesiapa yang menyebut hadis daripadaku sedangkan dia menyangka ia dusta, maka dia termasuk salah seorang pendusta”.

Ramai ulama hadis telah menghukum dengan ta‘zir (denda) dan takdib (hukuman membetulkan akhlak) ke atas sesiapa yang meriwayatkan hadis palsu tanpa diterangkan kepalsuannya. Kata Abu ‘Abbas al-Sarraj:

Aku melihat diberikan kepada Muhammad bin Isma‘il al-Bukhari surat Ibn Karram yang bertanyakan beberapa hadis, antaranya: hadis daripada al-Zuhri, daripada Salim, daripada ayahnya - disandarkan kepada Rasulullah (Iman itu tidak bertambah dan tidak berkurang).

Maka al-Imam al-Bukhari menulis di atas surat tersebut:

Sesiapa yang menyebut hadis ini maka wajib dipukul dengan keras dan dipenjara dalam tempoh yang lama. Bahkan di kalangan ulama ada yang menghalalkan darahnya. Maka, ketika disebutkan hadis (palsu) Suwaid al-Anbari:

Sesiapa yang jatuh cinta, lalu dia menahan diri dan menyembunyikannya, kemudian mati, maka dia mati syahid), lalu Yahya bin Ma‘in berkata: “Darah orang ini halal”.

Ketika ditanya Ibn Hajar al-Haithami mengenai seorang khatib yang menaiki mimbar setiap Jumaat dan meriwayatkan hadis-hadis tanpa diterangkan sumber dan kedudukannya, maka jawabnya:

“Hadis-hadis yang dia sebut tanpa menerangkan perawi dan siapa yang menyebutnya, harus dengan syarat dia seorang yang mempunyai ilmu dalam hadis, atau dia memetik daripada kitab yang penulisnya ahli hadis. Adapun jika dia hanya bergantung kepada kitab atau ucapan yang penulisnya bukan ahli hadis, maka tidak halal (berbuat demikian).

Sesiapa yang melakukannya dita‘zirkan dengan keras. Inilah keadaan kebanyakan khatib. Mereka semata-mata hanya melihat khutbah yang mengandungi hadis-hadis, lalu mereka hafal. Mereka berkhutbah menggunakan hadis-hadis tersebut tanpa mengetahui asal-usulnya. Maka wajib ke atas pemerintah di setiap negeri menghalang para khatib dari berbuat demikian”. (Abu Syahbah, al- Wasit fi ‘Ulum wa al-Mustalah al-Hadis, m.s. 321-322).

Mengapa bohong menggunakan nama Nabi SAW amat dilarang sekalipun dengan niat yang baik? Ada beberapa sebab yang dapat saya simpulkan. Antaranya, jika pendustaan menggunakan nama orang biasa diharamkan, apatah lagi menggunakan nama seorang rasul.

Pendusta hadis palsu menyamakan rekaannya dengan wahyu, atau nilai kerasulan yang ada pada diri Nabi Muhammad SAW. Pendustaan jenis ini juga menghilang kehebatan dan keaslian agama. Agama yang hilang keasliannya, tiada nilainya lagi. Ia menyebabkan Islam yang bersumberkan wahyu sama seperti agama rekaan yang bersumberkan pemikiran dan khayalan manusia.

Ditambah lagi, pendustaan ini bererti penipuan terhadap pencinta Islam yang mungkin tertipu lalu mempercayai pendustaan itu. Mereka akan mengamalkan pendustaan itu dengan keyakinan ia tuntutan agama, padahal ia kepalsuan. Sedangkan mereka inginkan keaslian. Bahkan, pendustaan itu bererti pengkhianatan terhadap syariat yang diturunkan.

Jika pendustaan itu mempunyai unsur-unsur jahat, maka ia jenayah yang menyebabkan manusia hilang keyakinan terhadap agama. Atau menyebabkan manusia mengamalkan agama dalam bentuk yang salah.
Jika pendustaan itu menokok tambah unsur-unsur yang dianggap baik, pendustaan seakan menganggap agama yang diturunkan Allah belum lengkap, justeru memerlukan nas-nas tambahan dan rekaan.

Dalam sejarah, bukan sedikit kesan buruk hadis palsu yang dipalitkan kepada Islam yang suci ini. Contohnya, hadis rekaan: “Ayam jantan putih adalah kawanku, ia juga kawan kepada kawan ku. Musuh ayam jantan putih adalah musuhku dan musuh kepada musuhku”.

Hadis palsu ini kelihatan sangat lekeh dan menghina Rasulullah. Tidak mungkin keluar dari mulut seorang nabi perkara yang sebegini. Mungkin ia direka oleh penggemar ayam jantan putih.

Sebenarnya, semua hadis yang berkaitan dengan kelebihan ayam jantan putih adalah tidak benar sama sekali. (lihat: al-Jarahi, Kasyf al-Khafa, 2/422). Malangnya, dalam masyarakat kita ada kesan hadis palsu ini. Sesetengah kepercayaan dan bomoh mempercayai kelebihan ayam jantan putih untuk dibuat ubat dan seumpamanya.

Demikian juga pemalsuan hadis telah menjadikan ajaran al-Quran dan al-Sunnah seakan bertentangan antara satu sama lain. Padahal yang bertentangan itu hadis yang palsu.

Contohnya, hadis palsu “anak zina tidak akan masuk syurga”. Dahulu, ramai yang menganggap keji dan tiada peluang untuk kebaikan. Akibat daripada hadis-hadis palsu seperti yang dibaca oleh sesetengah pihak. Sehingga ada yang menyebut hadis palsu lain: Anak zina tujuh keturunan tidak akan masuk syurga.

Sedangkan Allah menyebut dalam Surah al-Isra ayat 15 yang bermaksud:

Sesiapa yang beroleh hidayah petunjuk, maka sesungguhnya petunjuk yang didapatinya itu hanya untuk dirinya sendiri, dan sesiapa yang sesat maka sesungguhnya kesesatannya hanya ditanggung oleh dirinya juga, dan seseorang tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain dan tiadalah Kami mengazabkan sesiapapun sebelum Kami mengutuskan seorang rasul (untuk menerangkan yang benar dan yang salah).

Jelas, mana mungkin anak zina dihukum disebabkan perbuatan kedua ibu bapanya?! Ini mencemarkan penegasan al-Quran tentang keadilan Allah yang tidak menghukum seseorang atas kesalahan orang lain. Juga ia menyebabkan si anak zina kecewa dengan Nabi SAW.
Demikian saya amat dukacita apabila diberitahu ada penceramah kursus perkahwinan membaca hadis palsu kononnya Rasulullah SAW bersabda: Apabila seseorang kamu menyetubuhi isteri atau jariahnya, maka jangan dia melihat pada kemaluan mereka kerana yang demikian itu menyebabkan buta.

Maka ‘demam’ pasangan yang ingin berkahwin mendengar hadis palsu ini. Sementara yang dah lama melihat kemaluan isterinya kehairanan kerana dia masih belum buta. Lalu mungkin disangkakan Nabi SAW memberitahu sesuatu yang tidak benar.

Sebenarnya, pereka hadis palsu itu yang berbohong dan ustaz pembaca hadis palsu tersebut menyebar kebohongan.

Sedangkan Allah berfirman dalam Surah al- Mukminun ayat 1-6: (maksudnya)
Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman. Iaitu mereka yang khusyuk dalam solatnya. Dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia; Dan mereka yang berusaha membersihkan hartanya (dengan menunaikan zakat harta itu); Dan mereka yang menjaga kemaluan mereka, kecuali kepada isterinya atau hamba sahayanya maka sesungguhnya mereka tidak tercela.

Mengulas hadis tadi, kata tokoh ilmuwan hadis, al-Syeikh Muhammad Nasir al-Din al-Albani r.h:Penilaian yang betul akan menunjukkan kebatilan hadis ini. Ini kerana dari segi persetubuhan, pengharaman melihat faraj isteri bererti pengharaman kepada wasail (faktor-faktor ke arah persetubuhan).

Jika Allah menghalalkan suami menyetubuhi isterinya, apakah logik untuk dia dilarang melihat kemaluan isterinya. Demi sesungguhnya tidak!
Ini dibuktikan dengan apa yang diriwayatkan daripada ‘Aisyah, katanya:

Aku dan Rasulullah pernah mandi bersama dari satu bekas air. Maka dia mendahuluiku sehingga aku kata: tinggalkan untukku! tinggalkan untukku!) Riwayat al-Bukhari, Muslim dan selain mereka.

Jelas daripada hadis ini harus melihat kemaluan isteri. Ini dikuatkan oleh riwayat Ibn Hibban melalui Sulaiman bin Musa yang apabila ditanya mengenai suami yang melihat kemaluan isterinya, dia menjawab:

“Aku pernah bertanya hal ini kepada ‘Ata. Kata ‘Ata: Aku pernah bertanya ‘Aisyah, lalu ‘Aisyah pun meriwayatkan hadis di atas” (Al-Albani, Silsilat al-Ahadis al- Da‘ifat wa al-Maudu‘at,, 1/353).

Contoh lain kepalsuan yang menyanggahi prinsip-prinsip Islam; hadis-hadis yang menyatakan orang yang bernama Muhammad atau Ahmad tidak akan masuk neraka. Ini bercanggah dengan prinsip Islam bahawa syurga dan neraka dinilai melalui amalan soleh. Ahli syurga adalah golongan yang beriman dan soleh. Sementara dimasukkan ke dalam neraka ahli maksiat walau apa nama dan panggilannya.

Kata Ibn Qayyim al-Jauziyyah:

“Ini bercanggahan dengan apa yang diketahui dari agama Nabi SAW iaitu; bahawa neraka tidak dapat dielakkan darinya dengan nama dan gelaran. Sebaliknya, yang menyelamatkan dari neraka ialah iman dan amalan soleh”. (Ibn Qayyim al-Jauziyyah, al-Manar al- Munif fi al-Sahih wa al-Da‘if, m.s. 57).

Namun, ada mempercayai bahawa nama yang baik sahaja boleh masuk syurga. Saya pernah mendengar penceramah agama yang menyatakan siapa nama ‘Ghazali’ mudah masuk syurga sebab sama dengan nama ulama. Inilah satu daripada salah faham terhadap agama.

Hari palsu juga mewujudkan khurafat yang pelbagai. Dulu ada orang Melayu yang menganggap Hari Rabu akhir bulan adalah hari mudah ditimpa nahas. Ini semua disebabkan hadis palsu yang menyebut hari Rabu terakhir bagi setiap bulan adalah hari nahas yang berterusan. Ini adalah hadis palsu. (Lihat: al-Albani, Silsilat al-Ahadis al- Da‘ifat wa al-Maudu‘at, 4/88.)

Menjadikan sesiapa yang percayanya ketakutan tanpa sebab dan memandulkan urusan kehidupan. Bahkan isi kepalsuan ini menyanggahi realiti yang kita saksikan. Betapa banyak hari Rabu akhir bulan datang dan pergi sedangkan kedatangan musibah tidak pernah memilih hari. Ia adalah ketentuan Allah SWT semata.

Malang sekali apabila ada penceramah motivasi yang membaca hadis ini sebagai tips-tips penting dalam mengatur hidup, kononnya elakkan hari Rabu terakhir dalam bulan Islam bimbang nanti ditimpa nahas.

Hadis-hadis palsu telah merosakkan imej Islam. Namun ramai yang belajar agama tidak mempelajari ilmu hadis atau merujuk kepada ulama hadis telah tersasul dengan membaca hadis-hadis palsu ini. Sehingga dalam laman web pihak yang berlogokan kemajuan Islam pun dimasukkan hadis palsu. Agama menjadi keliru disebabkan hadis-hadis yang seperti ini.

Maka kita sepatutnya selalu mengingati amaran Nabi SAW kepada para sahabah baginda:

Pada akhir zaman akan ada para dajjal lagi pendusta. Mereka membawa kepada kamu hadis-hadis yang tidak pernah kamu dan bapa-bapa kamu mendengarnya. Kamu hendaklah berhati-hati dengan mereka agar mereka tidak menyesatkan kamu dan memfitnah kamu (menipu kamu sehingga yang batil disangkakan benar). (Riwayat Muslim).

Rabu, 3 September 2008

ROSAK ULAMA, ROSAKLAH UMMAH

oleh Abu Muhammad Zubair

Seruan Datuk Zahid Hamidi terhadap para ulama agar tidak menyebelahi parti politik dianggap amat kena sekali pada tempatnya. Sememangnya, para ulama tidak boleh bersikap condong ke mana-mana pihak, dan membuat keputusan di atas prinsip Islam berdasarkan al Quran dan Hadis.

Apatah lagi, dalam keadaan umat Islam, khususnya orang melayu, dalam keadaan keliru akibat situasi politik dalaman yang kini semakin mencabar kedudukan bangsa Melayu, terutamanya agama Islam.

Dalam keadaan hari ini, peranan ulama amatlah penting, kerana ulama boleh dikatakan sebagai rangking kedua terpenting yang menjadi rujukan pad umat Islam, dan boleh dikatakan sebagai satu tonggak perpaduan umat.

Tetapi malangnya hari ini, ramai di antara mereka yang bergelar ulama, condong ke arah parti politik. Tanpa mereka sedari, dengan berpihak ke satu golongan, maka mereka telah meletakkan tahap seorang ulama itu ke tempat yang tidak sepatutnya.

Ulama, ialah antara insan yang dikurniakan ilmu oleh Allah swt. Tugas ulama ialah untuk menyampaikan ilmu tersebut kepada sesiapa sahaja, biarpun jahat mana insan itu sekalipun, mereka perlu menyampaikan dakwah mereka.

Bukan sahaja terhadap muslim yang sudah terpesong, bahkan kepada bukan Islam sepatutnya mereka lebih utamakan untuk berdakwah. Apatah lagi dalam keadaan ajaran Islam yang sedang dipandang serong hari ini.

Namun, di manakah nampaknya gerakan dakwah yang dipelopori oleh ulama di negara ini? Apakah 14 mufti di setiap negeri, atau ulama-ulama yang ada di negara ini pernah duduk semeja pada setiap minggu, atau setiap bulan, bagi membincangkan permasalah ummah yang sebenarnya terbeban di bahu mereka?

Pernah seorang rakan penulis yang bertugas di Utusan Malaysia memberitahu, dia menghubungi seorang yang dianggap ulama, untuk mendapatkan komen beliau tentang kenyataan seorang menteri Islam yang mencadangkan agar pub di negara ini dibuka sehingga pukul lima pagi.

Sangka penulis, pastinya ulama tersebut akan memberi ulasan yang bernas, serta menentang sekeras-kerasnya cadangan tersebut. Namun, penulis berasa kecewa, kerana menurut rakan penulisn, jawapannya berbunyi lebih kurang begini, “Awak tanyalah orang lain dalam bidang tu. Saya ni orang kerajaan,” ujar menolak permintaan rakan penulis.

Dengan nada kecewa, rakan penulis menyindir ‘ulama’ tersebut dan mengatakan bahawa dia faham akan kedudukannnya. Bagaimanapun, seolah-olah terasa dengan sindiran rakan tersebut, maka ulama tersebut akhirnya turut memberikan komen. Dan akhirnya, perkara tersebut dibawa ke Parlimen dan diputuskan bahawa semua kelab malam di sekitar Kuala Lumpur tetap ditutup pada pukul satu pagi.

Persoalannya, apakah golongan yang menganggap ‘saya ini orang kerajaan’ boleh dianggap sebenar-benarnnya ulama atau digelar ulama?

Begitu juga dengan kisah seorang ulama tersohor. Dahulunya, beliau tidak berpihak pada mana-mana parti politik. Orang UMNO atau orang PAS, masing-masing tidak ragu-ragu untuk mendengar ceramah dan penjelasannya.

Namun, setelah mengisytiharkan dia menyertai satu parti politik, maka, golongan parti politik yang lain mula menganggap, ulama ini juga mempunyai kepentingan diri, walapun sebenarnya tidak.

Akhirnya perbuatan ini menjadi fitnah, dan membuatkan sebahagian golongan dari parti yang lain itu, mula menjauhi ceramah-ceramah ulama tersebut yang dianggap sebagai ceramah politik, dan tidak lagi membeli kaset-kasetnya. Kerana keputusannya itu untuk berpihak kepada satu puak, maka secara tidak langsung, beliau telah menafikan hak golongan yang lagi satu, untuk menerima dakwah dan peringatan.

Jadi, apakah ini sebenarnya tugas ulama di negara ini? Memihak ke satu puak, dan kemudiannya menghentam satu puak? Bukankah itu namanya mengundang perpecahan, yang membawa laknat dari Allah swt? Bukankah orang yang suka kepada perpecahan itu Allah samakan dengan kaum Nasrani dan Bani Israel? Tidakkah kita hari ini bersikap sama seperti mereka?

Malah, ada juga yang dianggap ulama, menghentam ulama lain dengan perkataan yang kasar dan kesat. Ulama ini mungkinmenganggap salah satu kakinya telah berada di dalam syurga, dan mengatakan ulama lain sebagai setan dan sebagainya. Apakah ini sikap seorang ulama Islam? Bermusuhan dengan ulama lain secara terang-terang dan memaki hamun dalam kata-katanya? Inikah akhlak ulama dalam Islam?

Sebab itulah, Islam difitnah. Bukanlah barat yang memfitnah Islam, tetapi akhlak penganut Islam sendiri yang menyebabkan Islam itu terfitnah. Sebab itulah, masyarakat Islam hari ini berkeceramuk pegangan agamanya.

Inilah juga sebabnya, mengapa ramai orang-orang bukan Islam yang sudah memeluk Islam, ingin keluar dari agama yang mulia dan suci ini. Inilah masalah yang akan timbul apabila sikap ulama di sesebuah negara yang mula mementingkan duniawi, daripada ukhrawi.

Inilah akibat memandang kuasa politik itu boleh merubah segalanya, memandang pangkat, harta sebagai jaminan keselamatan di dunia dan akhirat dan terlupa bahawa Allah itu sebenarnya yang lebih berkuasa.

Sebab itu jugalah, Rasulullah saw, telah berpesan kepada kita, dengan pesanannya yang bermaksud, “Jika rosaknya ulama dan umarak, maka hancur dan rosaklah masyarakat di sesebuah negara itu,”

Rabu, 27 Ogos 2008

PENJELASAN MUFTI PERLIS TENTANG KONSPIRASI JATUHKAN DSAI

Ada sesetengah pihak yang tersalah sangka dengan menganggap bahawa cadangan saya untuk DSAI dan Saiful bermubahalah itu satu perangkap untuk menjatuhkan DSAI. Demi sesungguhnya tidak!

Sebenarnya, sejak beberapa bulan yang akhir ini wujudnya persahabatan bukan politik antara saya dan DSAI. Sikapnya yang lebih lunak dan sering bertanya khabar agak menyenangkan.

Apabila timbul isu liwat yang dibangkitkan oleh Saiful, maka saya bertanya hal tersebut kepada DSAI sendiri. Daripada penjelasannya beliau memaklumkan bahawa wujudnya konspirasi. Katanya, mahkamah dan polis akan dipergunakan.
Saya yang bersimpati jika benar wujud konspirasi tersebut melihat imej beliau perlu dibersihkan dan perancangan buruk perlu dihentikan melalui satu proses yang menakutkan sesiapa yang khianat dan berdusta. Berdasarkan dakwaan DSAI, mahkamah dan polis tidak dipercayai. Maka saya mencadangkan proses yang terkandung dalam al-Quran dan al-Sunnah yang diluar dari hukuman manusia sebaliknya menanti balasan Allah di dunia lagi iaitu Mubahalah.

Harapan saya supaya mereka yang jahat akan takut seperti mana golongan Kristian Najran yang takut dengan laknat Allah s.w.t dan tidak berani bermubahalah dengan Nabi Muhammad s.a.w.. Saya maklumkan secara perbualan telefon kepada DSAI bahawa niat saya membersihkan imej beliau dan beliau ketika itu tidak pertikaikan tujuan saya walaupun kelihatan beliau keberatan.

Tiba-tiba selepas cadangan dibuat dan -seperti pandangan-pandangan saya yang lain- ia mendapat liputan yang meluas, Saiful pula yang tampil mencabar DSAI untuk bermubahalah dan telah melaknat dirinya jika dia bohong. Sementara DSAI enggan menyahutnya atas alasan-alasan beliau.

Maka, tiada sebarang konspirasi dalam cadangan ini, sebaliknya tujuan asalnya adalah untuk kebaikan beliau. Jika beliau enggan, maka para pengikutnya yang tidak perlu mempertikaikan pencadangnya”.

sumber Al Ahkam

JANGAN BERPOLITIK SEPERTI ORANG TIDAK BERAGAMA

Oleh Abu Muhammad Zubair

Hari ini, senario politik di negara ini, terutama yang melibatkan parti yang tunggok bangsa Melayu iaitu UMNO dan PAS, kini semakin hangat dan membara. Ini adalah rentetan daripada episod jatuhnya beberapa buah negeri yang selama ini dikuasa oleh BN ke Parti Pakatan Rakyat dalam pilihanraya umum ke 12 baru-baru ini.
Jelas, senario ini adalah antara penyebab makin hangatnya suasana politik bagi bangsa Melayu. Masing-masing dari parti yang diwakili ingin berebut kuasa dan ingin jadi pemerintah.
Dalam usaha ke arah itu, nampaknya bangsa Melayu yang terlibat di dalam parti politik, atau menjadi penyokong mana-mana parti politik, akan sedaya upaya menyakinkan rakyat, atau orang sekelilingnya itu, bahawa perjuangan partinyalah yang paling relevan dan benar.
Namun, apa yang dikesalkan, cara dan pendekatan yang diambil oleh golongan penyokong, pemimpin parti politik Melayu benar-benar jauh daripada akhlak dan landasan yang digariskan oleh Islam. Sikap maki hamun sesama sendiri, menabur fitnah bertindak ganas, kata-kata lucah menjadi penyeri dalam kata-kata dan perbuatan mereka atas nama politik. Adakah di sebabkan politik, semua kelaku yang dilarang ini dibenarkan?

Saya ingin petik sedikit daripada tulisan Mufti Asri dalam Mingguan Malaysia baru-baru ini. Beliau sebagai Mufti menjalankan tanggungjawabnya menegur penyokong dan pemimpin parti politik Melayu, agar cara dan akhlak ketika berpolitik dan berkempen semestinya tidak lari daripada akhlak yang digariskan oleh Islam.

Semua ini berlaku menurut beliau, adalah disebabkan dengan bersikap takliq buta dan terlalu taksub kepada parti atau pemimpin parti tersebut. Sikap ini tidak berbeza dengan sikap sesetengah penganut mazhab yang terlalu taksub serta bersikap takliq buta yang akhirnya menyebabkan perpecahan berlaku di kalangan umat Islam.

Antara tulisan beliau dalam ruangan Pena Mufti itu berbunyi : Sikap taklid buta menjadi-jadi. Tidak ditanya lain nas dan dalil, sebaliknya mereka akan bertanya apa pemimpin politik kita kata. Ini mengingatkan saya kepada apa yang pernah disebut oleh al-Hafiz Ibn Qayyim al-Jauziyyah (meninggal 751H) dalam mengkritik golongan ekstrimis mazhab, katanya: "Yang lebih pelik dari semua itu adalah sikap kamu wahai golongan taklid! Kamu ini jika mendapati ayat al-Quran yang bersesuai dengan mazhab kamu, maka kamu akan terima apa yang jelas dari ayat itu dan berpegang kepadanya. Teras kamu dalam perkara berkenaan adalah pendapat mazhab kamu, bukan ayat tersebut.

Jika kamu dapati ayat lain yang setanding dengannya menyanggahi pendapat mazhab kamu, kamu tidak akan menerimanya. Kamu akan cuba membuat berbagai-bagai takwilan dan mengeluarkannya dari maksudnya yang jelas, kerana tidak bersesuaian dengan mazhab kamu. Inilah juga yang kamu lakukan kepada nas-nas al-Sunnah. Jika kamu dapati satu hadis yang sahih bersesuaian dengan mazhab kamu, kamu menerimanya. Kamu kata: "Kami ada sabda Nabi SAW begini dan begitu". Jika kamu dapati seratus atau lebih hadis sahih yang berbeza dengan mazhab kamu, kamu tidak pandang kepadanya, walaupun sedikit..". (Ibn Qayyim al-Jauziyyah, I'lam al-Muwaqqi'in, 2/195, Beirut: Dar al-Fikr).

Beliau turut menyentuh tentang akhlak dan kelaku penyokong-penyokong parti politik yang lebih dari 90 peratus beragama Islam ketika berkempen di Permatang Pauh baru-baru ini. Kata beliau : Sesiapa yang datang melihat akhlak dan budi sesetengah mereka yang terlibat dalam pilihan raya kecil Permatang Pauh akan dapat menilai jika berfikiran matang.

Sebahagian tindak tanduk itu kadang-kala amatlah jauh dengan syiar akhlak dan budi yang diperjuangkan Islam buat masyarakat manusia. Maki-hamun boleh kedengaran di jalan-jalan apabila bertembung antara satu sama lain. Perbezaan politik itu menjadikan mereka lupa tentang apakah yang hendak diperjuangkan? Di mana ajaran Islam tentang hubungan seorang muslim dengan muslim yang lain?

Di manakah ajaran Islam tentang memberi salam, senyum buat saudara muslim apabila bertemu dan berbagai-bagai lagi? Inikah masa depan akhlak dan budi rakyat sebuah negara yang hendak dibentuk? Maka tidak hairan jika akhlak muda-mudi kita makin teruk, jika demikian pembentukan nilai-nilai yang ada di kalangan orang politik. Mereka semua tenggelam dalam kemabukan kuasa sehingga lupa terhadap masa depan negara.

Malu membawa anak-anak yang masih mentah untuk melihat orang-orang politik yang jerit-menjerit di jalan raya dengan bahasa yang jijik dan kotor. Lebih malu jika yang turut menjerit itu memakai gelaran agama. Mereka memang benar-benar tenggelam dalam kemabukan.

Tiada peruntukan dalam ceramah-ceramah politik untuk menjadikan hati insan yang hadir mendengarnya lunak dan syahdu mengingati Allah dan kebesaran syiar Islam yang mendidik umatnya berpekerti mulia. Sanggup pula sesetengah ibu bapa membiarkan anak-anak gadis datang dari jauh dan dekat berkempen, bergaul bebas. Gadis-gadis yang terdedah kepada berbagai-bagai bahaya, merayau siang dan malam atas nama meraih undi. Kesemuanya halal atas nama kempen pilihan raya.

Ada yang mengambil cuti, kononnya berkorban untuk perjuangan. Perjuangan apa yang hendak dikorbankan? Apakah suasana sedemikian rupa mengundang pahala dan reda Allah? Kalian bertembung sesama muslim dan melampaui batas. Sedangkan Allah mengajar mereka yang berperang dengan musuh Islam: (maksudnya): "Dan perangilah di jalan Allah orang-orang yang memerangi kamu, dan janganlah kamu melampaui batas, sesungguhnya Allah tidak menyukai mereka yang melampaui batas".(Surah al-Baqarah ayat 190).

Jelas hari ini, akhlak dan ajaran Islam dalam pendekatan politik yang digunakan oleh parti Melayu sudah tersimpang jauh dari yang sepatutnya. Lupakah kita, terutama pada pemimpin yang beria-ria mempertahankan kuasanya, bahawa kuasa itu merupakan satu tanggungjawab dan amanah yang besar, yang silap-silap langkah, akan menyebabkan individu yang bergelar pemimpin itu akan ditimpa murka Allah swt.

Dan apakah kita juga lupa, bagaimana para sahabat dulunya saling tolak menolak apabila mahu diberikan kuasa, waimah untuk menjadi imam solat jemaah sekalipun, mereka tetap berfikir masak-masak untuk menerimanya.

Bukankah sebagai umat Islam, kita sedar bahawa manusia singgah di dunia ini hanya sebagai musafir lalu dan tujuan utamanya ialah untuk mencari bekalan sebanyak mungkin menuju ke kampung akhirat? Bukankah kita sering mengungkapkan bahawa dunia ini sementara dan akhirat itu kekal abadi?

Tetapi pelik, kenapa orang yang mengaku, dunia ini sementara, akhirat itu kekal abadi pula bersungguh-sungguh untuk mencari perkara yang sementara seperti kekayaan dan kuasa, sehingga sanggup melanggar batas apa yang telah ditetapkan Allah untuk kebaikan kita di kampung akhirat kelak? Kalau demikian sikap kita, itu bermakna awal-awal lagi kita sudah membayangkan jalan mana yang kita pilih untuk menuju ke kampung akhirat kelak.

Isnin, 18 Ogos 2008

TIADA BIDAAH HASANAH MELAINKAN DHOLALAH- DR. YUSUF AL QARDAWI

Di sana sebahagian ulama membahagikan bid'ah kepada: Hasanah dan Saiyi'ah. Manakala sebahagian dari mereka membahagikannya kepada lima bahagian, menurut pembahagian hukum-hakam syarak: Bid'ah wajib, sunat, makruh, haram dan harus/mubah.

Al-Imam al-Syathibi telah membahaskan masalah ini secara terperinci, dan ditengah-tengah beliau membahaskannya itu beliau berpendirian: Bahawa pembahagian ini adalah perkara yang direka-reka yang tidak ditunjukkan oleh mana-mana dalil syari'i pun, malah pembahagian itu sendiri saling bertolak-tolakan.

Kerana hakikat bid'ah itu ialah sesuatu yang tidak ditunjuki oleh mana-mana dalil syarak, tidak juga oleh mana-mana nash syarak dan tidak dari qaedah-qaedahnya. Kerana jika di sana terdapat suatu dalil syarak yang menunjukkan atas wajibnya sesuatu, sunat atau harus, mengapa pula perkara berkenaan dikatakan bid'ah (hasanah).

Ia sebenarnya (bukanlah bid'ah hasanah) tetapi perkara berkenaan telahpun masuk di bawah keumuman amal yang diperintahkan atau perkara yang dibolehkan (membuat pilihan). Akhirnya natijahnya adalah satu, kerana mereka mengatakan bahawa penulisan al-Quran, menghimpunkannya dalam satu mushaf, menyusun ilmu Nahu, Usul Feqh dan ilmu-ilmu Islam lain adalah sebagai bid'ah wajib dan sebagai fardu kifayah.

Manakala sebahagian yang lain tidak bersetuju perkara-perkara di atas (penulisan al-Quran, menghimpunkannya dalam satu mushaf, menyusun ilmu Nahu...) itu dinamakan sebagai bid'ah hasanah.

Kata mereka: "Pembahagian ini adalah pembahagian untuk bid'ah dari sudut bahasa sahaja. Yang kami kehendaki dengan bid'ah adalah bid'ah dari sudut syarak. Tentang perkara-perkara di atas, kami mengeluarkannya dari senarai bid'ah. Adalah tidak baik jika ia disebut sebagai sesuatu yang bid'ah. Yang utama adalah kita berpegang kepada Hadis yang mulia; kerana hadis datang dengan lafaz berikut dengan terang dan nyata: "Maka sesungguhnya setiap bid'ah itu dholalah (menyesatkan)."

Dengan keumuman lafaz hadis di atas, maka apabila dikatakan: "Setiap bid'ah itu dholalah" maka tidak perlulah kita katakan lagi: "bid'ah itu ada yang baik, ada yang keji, ada yang wajib, ada yang sunat dan seterusnya...." Pembahagian sebegini adalah tidak perlu.

Apa yang benar ialah, bahawa kita katakan apa yang telah disabdakan oleh s.a.w. di dalam hadisnya: "Maka sesungguhnya setiap bid'ah adalah dholalah." Yang dimaksudkan adalah bid'ah sebagaimana yang telah ditahqiq oleh al-Imam al-Syathibi: "Bid'ah ialah jalan di dalam agama yang direka-reka/diada-adakan." Iaitu yang tidak ada asal-usulnya dari syarak, tidak juga dari al-Quran, al-Sunnah, ijmak, qiyas, mashlahah mursalah dan tiada di kalangan fuqaha' yang menyatakan dalil mengenainya.
sumber Islamonline/al Ahkam

Sabtu, 19 Julai 2008

WAHABI ATAU AHLUL SUNNAH?


Oleh Abu Muhammad Zubair


Saya dilahirkan dan dibesarkan di Kuala Lumpur. Ibu saya adalah anak jati kelahiran Kampung Melayu Balik Pulau, Pulau Pinang. Bapa saya pula, asalnya di Pulau Salim, Besut, Trengganu.
Saya bukanlah mahu bercerita tentang asal usul saya dan keluarga, tetapi sedikit sebanyak, asal keturunan keluarga mempunyai kaitan dengan apa yang ingin saya tulis nanti yang ada kaitannya dengan apa yang dikatakan sebagai fahaman wahabi.

Dan yang pasti, keluarga di sebelah ibu sayalah yang banyak mempengaruhi pengamalan agama dalam kehidupan kami sekeluarga.

Salah satu contohnya, ibu saya ada memberitahu saya, bahawa di dalam sembahyang, niat tidak semestinya semasa kita mengangkat takbir. Niat itu tidak berupa. Sepatutnya, kita hanya mengingati Allah sahaja ketika mengangkat takbir. Jika kita berniat (yang sebenarnya ialah lafaz di dalam hati) maka fikiran dan hati kita tertumpu pada niat itu, bukan lagi pada Allah semata-mata.

Lagi satu, apa yang saya perhatikan, setiap kali berlakunya kematian di kalangan anggota rapat keluarga kami, maka tidak ada sebarang kenduri arwah di adakan. Tidak ada kenduri 40 hari, 100 hari dan sebagainya.

Ketika berbual-bual dengan arwah Tok Wan saya bernama Siti Aisyah, (semoga Allah cucuri rahmat ke atas rohnya) dia menceritakan kepada saya berkenaan ayahnya, iaitu moyang saya yang bernama Haji Abas, atau lebih dikenali sebagai Tok Aji Abas.

Katanya, Tok Aji Abas adalah seorang penghulu di Jalan Bahru, Balik Pulau Pulau Pinang. Bukanlah cerita tentang moyang saya sebagai seorang penghulu yang menarik perhatian saya, tetapi cerita tentang pegangan agama yang diamalkan oleh moyang dan keluarga saya ketika itu.

Pada sekitar tahun 1930-an, menurut arwah Tok Wan saya, Tok Aji Abas adalah di antara orang kuat dalam gerakan jemaah Islah, di mana jemaah itu menentang mana-mana perbuatan bidaah dalam agama termasuklah amalan kenduri tahlil, yang dijadikan oleh individu tertentu ketika itu sebagai punca cari makan.

Perbuatan beliau dan sahabatnya yang lain menentang perbuatan-perbuatan bidaah serta adat yang didalilkan sebagai amalan agama telah di anggap sebagai golongan kaum muda. Manakala yang mempertahankan adat-adat itu pula digelar sebagai kaum tua.

Ternyata, perbuatan Haji Abas dan beberapa orang sahabatnya dalam menegur perbuatan bidaah dan khurafat yang dilakukan oleh orang-orang Islam di sekitar perkampungan itu mendapat tentangan yang hebat dari golongan kaum tua.

Bahkan, menurut arwah tok saya, telah terjadi beberapa pergaduhan di antara kaum tua dan kaum muda. Kemuncaknya, golongan kaum tua ini akhirnya telah mengunci pagar masjid di Jalan Bahru itu dan tidak membenarkan golongan kaum muda ini bersolat dan menjalankan sebarang aktiviti di masjid tersebut.

Akhirnya, arwah moyang saya mewakafkan sebahagian daripada tanahnya untuk dijadikan madrasah. Dan mengikut arwah Tok Wan saya, di madrasah itulah Tok Aji Abas selalu membawa mereka untuk belajar dan mengaji di situ.

Malah setiap kali bulan Ramadan, mereka juga bersolat terawih di situ. Tetapi, solat terawih yang dijalankan hanyalah setakat lapan rakaat sahaja, manakala jemaah kaum tua di masjid pula melaksanakan solat terawaih sebanyak 23 rakaat.

Namun, agak melucukan, apabila Tok Wan saya memberitahu, bahawa seringkali jemaah di masjid yang melakukan solat terawih 23 rakaat, habis awal daripada jemaah kaum muda yang bersolat hanya dengan lapan rakaat di madrasah kecil di atas tanah wakaf itu.

Itu sebahagian kecil dari sejarah keluarga kami. Namun, segala amalan agama yagng diamalkan oleh keluarga kami, itulah yang dianggap sebagai fahaman wahabi hari ini oleh kebanyakkan orang-orang Islam di negara ini, termasuklah golongan yang bergelar ‘ulama’.

Kisah kaum tua dan kaum muda ini memang menarik minat saya. Saya bertanyakan perkara ini kepada beberapa orang bijak pandai agama dalam IPTA. Malah, saya pernah bertanyakan kepada Dato Professor Khoo Khay Kim tentang kaum muda dan kaum tua ini.

Apa yang menariknya, beliau mengesyorkan pada saya untuk membaca buku-buku yang ditulis oleh kaum muda. Katanya, banyak idea-idea pembaharuan dan pemikiran yang ideal untuk dilaksanakan dalam sistem masyarakat yang dilontarkan oleh penulis-penulis buku tersebut.

Dari agakan saya, Dato Khoo Khay Kim pastinya ketika itu tidak tahu, tentang perjuangan golongan ahlul Sunnah (kaum muda) itu kini dikaitkan dengan fahaman wahabi yang dikatakan sebagai melampau dan dihentam oleh kebanyakkan cerdik pandai dan ulama di negara ini.

Sebenarnya, banyak lagi orang-orang yang saya temui, membawa fahaman yang disebut sebagai fahaman kaum muda atau kini lebih dikenali sebagai wahabi. Namun mereka menolak bahawa mereka bermazhab wahabi tetapi mereka menegaskan bahawa mereka adalah ahlul sunnah wal jamaah. Wahabi menurut mereka, bukanlah mazhab.

Bagi golongan Islam yang ortodoks dan tertutup pemikirannya, mereka menentang keras pemikiran ini dan menganggap ia adalah mazhab wahabi. Alasan mereka, kerana fahaman sebegini dianggap memecah belahkan masyarakat kerana perbuatan mereka melarang perkara-perkara adat yang bidaah, yang sudah dianggap sebagai amalan agama di negara ini.

Apakah memecah belahkan masyarakat jika kita ingin mengatakan sesuatu yang benar? Orang-orang kafir Quraisy satu ketika dulu menuduh Rasulullah s.a.w. sebagai pemecah belah masyarakat kerana membawa berita yang benar dari al Quran? Apakah kita harus berdiam diri dan membiarkan saja perkara bidaah yang dianggap sebagai amalan agama berterusan diamalkan oleh kaum muslimin di negara ini?

Sudah tentu sikap begini amat salah dari sudut Islam. Bahkan, Nabi s.a.w. sendiri bersabda, katakanlah tentang kebenaran, biarpun ianya pahit untuk diterima.

Salah satunya kenduri arwah. Apabila kita mengatakan bahawa kenduri arwah itu adalah perbuataan bidaah yang menyalahi hadis Rasulullah s.a.w. berkenaan kematian Jaafar Abi Talib kalau tidak silap saya, mereka mengatakan kita berfahaman wahabi dan ingin memecah belahkan masyarakat.

Tetapi mereka mungkin tidak tahu, bahawa Imam Syafie pun mengharamkan perbuatan kenduri arwah ini. Di dalam sebuah kitabnya, imam Syafie menfatwakan bahawa tidak dibenarkan sebarang perkumpulan di rumah waris setelah mayat dikebumikan, biarpun untuk bersedih-sedih! Apakah imam Syafie juga penganut mazhab Wahabi?

Kata mereka, ada ulama tertentu sudah mengatakan perkara seperti ini boleh dilakukan. Saya tertanya-tanya, apakah mereka ini pengikut ulama atau pengikut Nabi Muhammad s.a.w.? Apakah sesuatu perkara yang tidak pernah Nabi lakukan, tiba-tiba dianjurkan oleh seseorang ulama itu, biarpun jelas bidaahnya kita perlu ikut, semata-mata kerana yang mengajurkan itu bergelar ulama?

Jika begitu, ini bermakna kita lebih taksub untuk menjadi umat dan pengikut kepada ulama itu dan secara tidak langsung menolak perbuatan Nabi Muhammad s.a.w. , Bukankah ini adalah antara sebab menjadikan kita terkeluar dari kalangan umatnya?

Lupakan kita bahawa Nabi s.a.w. pernah bersabda bahawa bidaah itu adalah kesesatan? Mengadakan bidaah dalam amalan agama seolah-olah mencipta satu agama baru! Adakah itu satu dosa kecil atau dosa besar?

Ada juga setengah dari kalangan umat Islam yang saya temui, mengatakan bahawa mazhab selain mazhab Syafie, termasuklah Mazhab Hanbali, Maliki dan Hanafi itu adalah sesat dan tidak boleh diterima?

Sebenarnya apa yang penting pada hari ini, ialah keterbukaan untuk menerima kebenaran. Buang sikap taksub dan nafsu egois yang membuatkan pemikiran kita tertutup dan beku. Boleh dikatakan, hari ini orang Melayu Islam hanya menerima ajaran Islam, hanya dengan turut menurut tanpa ada pengetahuan dan juga penelitian ketika menerima ajaran tersebut.

Berbahaslah secara terbuka dan ilmiah dalam mencari kebenaran. Bukannya dengan cara mengeji dan maki hamun. Dalam berbahas juga ada adabnya. Sepatutnya, ulama dan cerdik pandai Islam lebih mengetahui hakikat ini, namun ada sesetengahnya yang bergelar ‘ulama’ atau cerdik pandai Islam, namun hakikatnya taraf mereka tidak lebih dari ustaz biasa.

Selasa, 17 Jun 2008

PETANDA DI ANUGERAHKAN ALLAH KEBAIKAN


Menurut Syaqiq Al Balkhi, sekiranya ada lima petanda ini, ia merupakan anugerah atau kebaikan yang diberikan Allah terhadap diri seseorang insan itu.

1. Sikap hati yang lembut
2. Menitis air mata sesalan kerana dosa yang telah dilakukan
3. Zuhud, iaitu tidak mementingkan keduniaan dengan segala kekayaan dan kemegahannya
4. Tidak banyak angan-angan kosong berkaitan keduniaan
5. Memiliki kesedaran terhadap Allah (Menyembah Allah dalam keadaan 'sedar')

Manakala, sekiranya ada lima tanda ini pada diri seseorang itu, maka situasinya kritikal dan bahaya iaitu :

1. Hati yang keras
2. Mata yang tidak pernah menitiskan air mata kerana tiada sesalan pada dosanya
3. Amat cinta kepada dunia dan keduniaan
4. Banyak angan-angan kosong tentang kehidupan keduniaan
5. Tidak ada kesedaran dan tidak ada malu


Manakala menurut Nabi Besar Muhammad s.a.w., ada empat sifat pada orang-orang yang baik iaitu :

1. Boleh diamanahkan
2. Menepati janji
3. Tidak berdusta
4. Bila berbincang, tidak bersikap kasar dan tidak menyakitkan hati

Manakala empat lagi menurut Nabi Muhammad s.a.w., adalah tanda-tanda sikap mereka yang tidak baik iaitu :

1. Tidak amanah
2. Mungkir janji
3. Suka berdusta
4. Bila berbincang, gembar bergaduh dan menyakiti hati orang lain

Sabtu, 14 Jun 2008

AL FURQAN -PEMBEZA ANTARA HAK DAN BATIL


Maha Suci Allah yang telah menurunkan Al-Furqaan (pembeza antara hak dan batil iaitu al-Qur'an) kepada hamba-Nya, agar ia menjadi pemberi peringatan kepada seluruh alam.

Kepunyaan-Nya-lah kerajaan langit dan bumi, dan Dia tidak mempunyai anak, dan tidak ada sekutu bagi-Nya dalam kekuasaan-Nya, dan Dia telah menciptakan segala sesuatu, dan Dia menetapkan ukuran-ukurannya dengan serapi-rapinya.

Kemudian mereka mengambil Ilah selain Dia untuk disembah, yang tidak menciptakan sesuatu apa pun, bahkan mereka sendiri pun diciptakan dan tidak kuasa untuk menolak sesuatu kemudaratan dari dirinya dan tidak pula untuk mengambil sesuatu kemanfaatan dan tidak kuasa mematikan, menghidupkan dan tidak pula membangkitkan

Dan orang-orang kafir berkata:"al-Quran ini tidak lain hanyalah kebohongan yang diada-adakan oleh Muhammad, dan dia dibantu oleh kaum yang lain; maka sesungguhnya mereka telah berbuat suatu kezaliman dan dusta yang besar.

Katakanlah:"al-Quran itu diturunkan Allah Yang mengetahui segala rahsia di langit dan bumi. Sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang
Dan apabila mereka melihat kamu Muhammad, mereka hanyalah menjadikan kamu sebagai ejekan dengan mengatakan :"Ini kah orangnya yang diutus Allah sebagai Rasul?"

Berkatalah orang-orang yang tidak menanti-nanti pertemuannya dengan Kami:"Mengapakah tidak diturunkan kepada kita malaikat atau mengapa kita tidak melihat Tuhan kita" Sesungguhnya mereka menganggap besar diri mereka dan mereka benar-benar sangat melampaui batas dalam melakukan kezaliman

Dan mereka berkata:"Mengapa Rasul ini memakan makanan dan berjalan di pasar-pasar Mengapa tidak diturunkan kepadanya seorang malaikat agar malaikat itu memberikan peringatan bersama-sama dengan dia.

Dan Kami tidak mengutus rasul-rasul sebelum ini, melainkan mereka memakan makanan dan berjalan di pasar-pasar. Dan Kami jadikan sebahagian kamu cubaan bagi yang lain. Sanggup kah kamu bersabar Dan Tuhanmu Maha Melihat.

Berkatalah orang-orang kafir:"Mengapa al-Quran itu tidak diturunkan kepadanya sekali turun saja?"; Demikianlah supaya Kami perkuatkan hati mu dengannya dan Kami membacakannya secara tartil (teratur dan benar).

Dan apabila dikatakan kepada mereka". Sujudlah kamu sekalian kepada Yang Maha Penyayang", mereka menjawab:"Siapakah Yang Maha Penyayang itu Apakah kami akan sujud kepada Tuhan Yang kamu perintahkan kami bersujud kepada-Nya, dan perintah sujud itu menambah mereka jauh dari iman.

Dan seperti itulah, telah Kami adakan bagi tiap-tiap nabi, musuh dari kalangan orang-orang yang berdosa. Dan cukuplah Tuhanmu menjadi Pemberi petunjuk dan Penolong. Maka janganlah kamu mengikuti orang-orang kafir, dan berjihadlah terhadap mereka dengan al-Quran dengan jihad yang besar.

Dan hamba-hamba yang baik dari Tuhan Yang Maha Penyayang itu ialah orang-orang yang berjalan di atas bumi dengan rendah hati dan apabila orang-orang jahil menyapa mereka, mereka mengucapkan kata-kata yang mengandungi keselamatan.

Dan orang yang melalui malam hari dengan bersujud dan berdiri untuk Tuhan mereka. Dan orang-orang yang berkata:"Ya Tuhan kami, jauhkan azab jahanam dari kami, sesungguhnya azabnya itu adalah kebinasaan yang kekal".

Dan orang-orang yang apabila membelanjakan harta, mereka tidak berlebih-lebihan, dan tidak pula kikir, dan adalah perbelanjaan itu di tengah-tengah antara yang demikian.

Dan orang-orang yang tidak menyembah Ilah yang lain berserta Allah dan tidak membunuh jiwa yang diharamkan Allah membunuhnya kecuali dengan alasan yang benar, dan tidak berzina, barang siapa yang melakukan demikian itu, nescaya dia mendapat pembalasan dosanya,

Dan orang-orang yang tidak memberikan persaksian palsu, dan apabila mereka bertemu dengan orang-orang yang mengerjakan perbuatan-perbuatan yang tidak berfaedah, mereka lalui saja dengan menjaga kehormatan dirinya

Dan orang-orang yang apabila diberi peringatan dengan ayat-ayat Tuhan mereka, mereka tidaklah menghadapinya sebagai orang-orang yang tuli dan buta. Dan orang-orang yang berkata:"Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami isteri-isteri kami dan keturunan kami sebagai penenang hati kami, dan jadikanlah kami imam bagi orang-orang yang bertakwa.
Dan orang yang bertaubat dan mengerjakan amal soleh, maka sesungguhnya dia bertaubat kepada Allah dengan taubat yang sebenar-benarnya. Mereka itulah orang yang dibalas dengan martabat yang tinggi dalam syurga karena kesabaran mereka dan mereka disambut dengan penghormatan dan ucapan selamat di dalamnya dan mereka kekal di dalamnya. Syurga itu sebaik-baik tempat menetap dan tempat kediaman.

Dan bertawakallah kepada Allah Yang Hidup Kekal Yang tidak mati, dan bertasbihlah dengan memuji-Nya. Dan cukuplah Dia Maha Mengetahui dosa-dosa hamba-hamba-Nya.
Dan ingatlah hari ketika langit pecah belah mengeluarkan kabut dan diturunkanlah malaikat bergelombang-gelombang dan Kerajaan yang hak pada hari itu adalah kepunyaan Tuhan Yang Maha Pemurah. Dan adalah hari itu, hari yang penuh kesukaran bagi orang-orang yang kafir.

Beringatlah!!


INSAN PENZAHIRAN SIFA-SIFAT ALLAH

Allah ciptakan manusia dengan kedua-dua tangan-Nya. Dua tangan di sini bermaksud dua sifat Allah. Dua sifat itu ialah sifat Jamal dan Jalal. Sifat Jamal ialah sifat indah, lemah lembut, cinta dan segala yang baik. Sifat Jalal ialah sifat penyiksa, pemusnah, penghukum dan segala yang buruk dan menggerunkan.


Manusia itu ibadat cermin yang ada dua sisi atau dua muka. Satu sisi berkilat, licin dan membayangkan. Yang satu lagi gelap, kasar dan tidak membayangkan apa-apa. Dengan kata lain, satu sisi iaitu muka cermin itu membayangkan dan satu sisi lagi iaitu belakang cermin itu gelap dan tidak membayangkan apa pun.


Semua nama-nama Allah (Asma" Allah) terzahir pada insan. Semua makhluk yang lain itu hanya satu muka cermin sahaja. Allah jadikan iblis dan keturunannya dari sifatNya bernama Jalal, dan Allah jadikan malaikat dari sifatNya yang bernama Jamal.



Ciri-ciri kesucian dan beribadat terus menerus diberi kepada Malaikat, tetapi ciri-ciri Iblis dijadikan dari sifat Jalal, maka jadilah ia menyesat dan merosakkan. Itulah sebabnya Iblis itu takabbur dan sombong. Apabila ia diperintah sujud kepada Adam, ia enggan. Maka kafirlah ia.


Oleh kerana manusia mengandungi ciri-ciri yang tinggi dan ciri-ciri yang rendah, sifat yang baik dan sifat yang buruk, dan Allah pilih Rasul, para Nabi, para Waliyullah dari kalangan manusia, maka para Rasul dan Nabi itu pun tidak bebas dari kesilapan dan kesalahan. Tetapi kesilapan mereka tidak menjejaskan dakwah mereka. Ini adalah kerana mereka itu juga manusia biasa.


Para Nabi apabila menerima tugas kenabian, dibebaskan dari dosa besar tetapi dosa yang kecil masih ada jua. Para Waliyullah pula tidaklah Ma'sum (tidak terpelihara). Adalah dikatakan bahawa Waliyullah itu yang hampir dengan Allah dan mencapai tingkat kesempurnaan, mereka dipelihara oleh Allah daripada melakukan dosa-dosa besar.


Dipetik dari kitab Sirrul Asrar fi ma yahtaju ilaihil abrar- The Secret of Secrets- Syekh Abdul Qadir Jailani

Pandangan Syekh Abdul Kadir Jailani tentang realiti kehidupan dunia


"Pada pandanganku, dunia ini adalah umpama fatamorgana, datang dan pergi, bersifat penipu dan palsu. Sebab itu saya tidak pernah meletakkan kepercayaan kepadanya, dan tidak sama sekali terpikat dengannya kerana dia datang dan pergi terlalu pantas.

Berkenaan dengan akhirat pula, saya singgah di situ hanya sebentar sahaja. Bila saya kaji dan perhatikan keadaannya, maka saya dapati masih ada juga kekurangannya. Ia diciptakan buat makhluk, yang mempunyai ciri-ciri yang mirip dunia ini.

Saya lihat Allah telah menyediakan peruntukkan di dalamnya bagi memuaskan kehendak-kehendak diri, yakni Nafs dan segala yang menyenangkan mata belaka. Lalu saya bertanya pula kepada diriku : Apa yang dikehendaki ‘Tuan’ yang memiliki semua makhluk-Nya, yakni ‘Maula’, Pembikin yakni Bari’, Pembuat, yakni Khaliq, dan Pencipta, yakni Muhdits. Apakah ada yang lain daripada ‘Tuan’ ini?!

Apabila sang hamba secara sedar mengabdikan dirinya kepada Allah, dan menunjukkan wajahnya hanya kepada Allah, maka Allah akan emmberinya ganjaran yang utama, iaitu menggantikan kejahilan dengan ilmu, menggantikan rasa jauh dengan Allah dengan rasa hampir, menggantikan sifat diam dengan berkata-kata, rasa kesendirian dan kesunyian dengan rasa keramaian dan persahabatan, menggantikan kegelapan dengan Nur, atau cahaya yang terang benderang dan seterusnya.

Mana yang boleh dicari ganjaran seperti ini, kalau tidak diberikan Tuhan?! Lantara itu perbetulkanlah dirimu supaya engakau termasuk golongan orang yang diberikan kekurniaan utama ini!

Wahai orang yang masih tidur, bangunlah! Kerana air banjir sudah mengelilingi anda. Siapa pemimpin kamu? Nanti di hari Pembicaraan kamu akan dipanggil untuk memberi keterangan. Apa kitab kamu? Siapa guru kamu? Siapa pendakwah (da’i) kamu? Siapa Nabi kamu?

Kamu tidak punya pertalian dengan Nabi kamu ketika itu, kerana orang yang mempunyai pertalian dengan Allah dan Rasulnya pada hari itu ialah orang yang bertakwa. Di mana taqwa kamu, agar kamu dapat mendakwa diri mu ada pertalian dengan Nabi kamu?

Bukalah mata kamu sekarang, cuba lihat apa yang ada di hadapan kamu? Pasukan penghukum sedang menuju kepada kamu. Kamu akan ditarik untuk disiksa!

Wahai orang bodoh! Kamu akan mati. Apa yang kamu usahakan hari ini akan hilang lenyap. Kamu akan meninggalkan isteri, anak, kerabat, rakan, handai taulan, rumah tangga, kebun halaman dan sebagainya. Kamu akan diletakkan di tanah, lalu dikambuskannya. Kamu akan tinggal di dalam kubur. Di sana sama ada yang menemani kamu Malaikat Zabaniyah, yakni Malaikat penyiksa, ataupun Malaikat Rahmah, yakni Malaikat pengasih dan penyayang!

Masing-masing Malaikat itu akan menjalankan tugasnya tanpa berlebih kurang. Malaikat Zabaniyah, yakni penyiksa akan melaksanakan tugasnya tanpa ada belas kasihan. Dan malaikat Rahmah, yakni rahmat akan mengasihani sesiapa pun tanpa keterlaluan. Semuanya sudah tahu tugas masing-masing dan tidak akan diberat atau diringankan melainkan sesuatu dengan apa yang sudah ditentukan.

Sedarkanlah diri kamu wahai manusia! Jangan sampai terlambat. Waktunya akan tiba!"

Dipetik dari kitab Sirrul Asrar fi ma yahtaju ilaihil abrar (Rahsia segala Rahsia yang diperlukan oleh orang-orang yang berbakti (kepada Allah s.w.t.).

Ditahkik dan ditulis semula oleh Syed Ahmad Semait.

Jumaat, 30 Mei 2008

'ORANG AGAMA' PERLU LEBIH ADVANCE DAN MODEN


Saya bertemu dengan salah seorang pensyarah Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya. Beliau ialah Profesor Madya Dr. Kamil Abd Majid, adik kepada Dato Mahmud Zuhdi, yang juga salah seorang pemikir Islam di dalam negara ini.

Dalam pertemuan itu, beliau menasihatkan agar orang-orang agama yang terlibat dalam kerja-kerja dakwah, dalam apa juga pendekatan sekali pun agar sentiasa peka kepada keadaan dunia sentiasa berubah. Manusia secara keseluruhannya, perlu peka kepada perubahan yang berlaku. Perubahan dunia tidak akan menunggu sesiapa. Ia akan terus berubah dan manusialah yang perlu mengejarnya.

“Ini termasuk dikalangan 'orang-orang agama'. Jika mereka tidak mengikuti perkembangan semasa, maka mereka akan ditinggalkan oleh arus perubahan. Orang agama ada dua pilihan. Kekal dengan cara tradisi dan ditinggalkan. Ataupun bersikap terbuka dan cuba menghidupkan agama melalui segala kecanggihan dan teknologi yang ada pada zaman ini,” jelasnya.

Katanya lagi, 'orang-orang agama' perlu menyusup masuk ke segenap lapangan dan bidang agar menyegarkan kembali roh-roh Islam serta dakwah yang lebih meluas dan terbuka.

“Sebagai contoh, industri perfileman. Sepatutnya lebih ramai 'orang-orang agama' yang menceburi dunia perfileman. Pelajari teknologi terkini dalam filem dan terbitkan satu filem dakwah yang berkesan dengan kesan khas yang hebat. Seperti mana Mustapha Akad melahirkan filem The Message dan kedengarannya yang terbaru, kisah mengenai Sultan Salahuddin al Ayubi,”

“Sepertimana orang-orang Yahudi dan Nasrani yang menggunakan media sebagai alat penyebaran ideologi dan doktrin kepercayaan agama mereka, umat Islam seharusnya berbuat perkara yang sama. Ini bukan meniru, tetapi memanfaatkan teknologi yang sedia ada ini untuk berdakwah mengembalikan semangat Islam pada diri orang-orang muslim yang sepatutnya telah dilakukan sejak dari dulu lagi ,”ujarnya.

Hari ini, jelas beliau, dengan bersenjatakan media, golongan Zionis dan Nasrani berjaya menumpulkan pemikiran masyarakat serta menerapkan budaya dan ideologi mereka kepada masyarakat dunia.

“Begitu juga dalam usaha golongan ini untuk memburuk-burukkan Islam di mata masyarakat. Apakah alat yang paling berkesan untuk mempengaruhi pemikiran manusia selain daripada media. Melalui media, manusia tidak dipaksa tetapi ia berlaku dengan rela.

Seperti rancangan TV yang banyak memberikan pengaruh dan kesan yang buruk kepada masyarakat, siapa yang paksa mereka untuk tengok tv. Tidak ada sesiapa yang memaksa. Biarpun tahu apa yang dipaparkan itu tidak elok, tetapi kebanyakan dari kita tidak ambil pusing dan anggap ia satu perkara yang biasa.

Maka apabila golongan musuh Islam melancarkan senjata saikologinya melalui media, ramai yang tidak sedar dan secara tidak langsung, akhirnya mereka turut terpengaruh dengan pendapat dan idelogi golongan ini,” tegasnya panjang lebar.

Tambahnya lagi, generasi Islam masa kini perlu berubah. Umat Islam perlu lebih moden dan advance dari segi ilmu. Apa yang difahami oleh masyarakat tentang moden dan advance ini adalah meniru apa saja yang datang dari barat. Berpakaian seksi dan beranting-anting, dianggap sebagai moden dan terkini.

“Islam sebenarnya agama yang moden. Islam menggalakkan kebersihan. Islam menggalakan kepada perkara yang cantik dan kemas. Banyak hadis dan ayat-ayat al Quran yang mengatakan tentang keindahan dan kecantikan. Bahkan dalam satu hadis, baginda Rasulullah saw memberi kiasan, bahawa Allah swt itu indah dan Dia menyukai keindahan.

Begitu juga dengan ilmu sains dan teknologi pada hari ini. Ilmu ini perlu dipelajari oleh umat Islam dengan nawaitu untuk menyebar dan menegakkan agama Allah swt serta mencari manfaat disebalik ilmu kurniaan Allah swt itu untuk kebaikan dan kemudahan hidup manuia.

"Bukanlah yang dimaksud advance itu dengan cara berpakaian dan berakhlak seperti ikon atau penghibur seperti apa yang ditonjolkan oleh media barat pada hari ini. Itu bukan advance atau moden, tetapi itu ada perangai dan aksi manusia jahiliah abad ini,” tegasnya lagi.

PERSEPSI JUMUD POLITIK KEPARTIAN UNDANG PERPECAHAN

Gambar : Utusan Melayu
Selain itu, dalam pertemuan itu juga Prof Kamil meluahkan rasa kesal ekoran terlalu banyak cerdik pandai agama yang terjun dalam dunia politik kepartian daripada yang tinggal berkecuali sebagai orang tengah.

“Di dalam Islam, politik itu memang wujud. Politik adalah fitrah manusia. Sebagai agama yang diturunkan sesuai dengan fitrah manusia, sememangnya Islam mempunyai cabang politik dalam usaha untuk menjalankan dakwah dan menegakkan agama.

Namun, pendekatan politik yang berlaku hari ini adalah lebih menjurus sikap untuk berpecah belah, tanpa ada sebarang usaha yang kuat demi menyatukan umat Islam, khususnya bangsa Melayu dalam menuju satu matlamat yang sama.

Semua ini berlaku, adalah kerana faktor pemikiran yang jumud dan sempit, telah mewarnai sebahagian besar golongan ahli politik menyebabkan politik kini menjadi medan perpecahan. Fitnah dan adu domba, rasuah dan salah laku, bersepah dan berlaku di sana sini.

“Satu ketika, saya pernah dijemput untuk berceramah di sebuah masjid oleh segolongan ahli UMNO. Apabila saya datang berceramah, golongan parti PAS tidak ada yang hadir. Tidak lama selepas itu, PAS pula menjemput saya untuk berceramah di tempat yang sama.

“Saya penuhi undangan mereka dan saya lihat, segolongan UMNO pula yang tidak hadir. Orang-orang PAS yang tidak hadir ketika ceramah saya atas jemputan UMNO tempoh hari, hadir pula pada malam itu. Sedangkan yang berceramah adalah orang yang sama. Cuma pengajurnya sahaja yang berbeza.

“Adakala, bila saya memikirkan tentang sikap orang Melayu yang berkecimpung dalam politik, hati saya dicuit-cuit. Lucu pun ada, sedih pun ada. Sampai begitu sekali pemikiran mereka, sedangkan mereka satu agama, dan menyembah Tuhan yang sama,” beritahu beliau.

Inilah realiti pemikiran masyarakat marhain yang terlalu taksub berpolitik. Persepsi sebegini perlu diubah. Pemikiran sebegini tidak boleh diwarisi kerana ia akan merobek kesatuan orang Melayu dan akan mewujudkan generasi yang berpecah belah.

Apabila bercerita tentang agama, ketepikan dulu politik. Kerana bercerita tentang agama sudah merangkumi segala hal termasuk politik. Tetapi apabila kita bercerita tentang politik, jangan sesekali meninggalkan bicara agama, kerana itulah pedoman kita dalam berpolitik, pesan beliau kepada saya sebelum kami berpisah.

Rabu, 21 Mei 2008

PENJELASAN TUN MAHATHIR TENTANG SURAT KEPADA EHUD BARAK-Letter to Prime Minister of Israel


1. There is a letter being circulated purporting to be from me when I was Prime Minister, to Ehud Barak, Prime Minister of Israel congratulating him on his appointment and requesting for the “Clinton Fund”, for “the purpose of withstanding the onslaught of Islamic Fundamentalist in Malaysia”.

2. This letter is not from me or from my office. Firstly, the font used is not the same as the type in all my letters from the Prime Minister’s office.

3. The Malaysian Coat of Arms at the top is not similar to the one on all my letters from the Prime Minister’s office.

4. The address at the side of the Coat of Arms is not the same as on my official paper. Often no address is printed, only “Prime Minister Malaysia” on the top right-hand corner.


5. The contents of the letter is totally different from the one I sent to Ehud Barak. Unfortunately, the Government of Abdullah Ahmad Badawi refuses permission to reproduce my letters to Israeli Prime Ministers condemning them for their oppression of the Palestinians. This action by the Abdullah Government will lend credence to the letter that is being circulated.

6. I deny categorically that the letter which is being circulated with annotation “Sumbangan kakitangan JPM untuk Rakyat Malaysia” originated from me. This is the kind of dirty tricks that my detractors have to resort to because they have found nothing to blacken my name with.


Selasa, 20 Mei 2008

DUA SITUASI YANG BERBEZA, TETAPI SEBABNYA TETAP SAMA!


Hari ini perkara yang paling popular menjadi tajuk perbualan di kalangan masyarakat marhain di Malaysia, ialah tentang topik Tun Mahathir keluar dari UMNO. Bukan sahaja Tun Mahathir, tetapi isterinya, Tun Dr. Siti Hasmah juga turut berbuat perkara yang sama.

Ini adalah satu kejutan. Mungkin peristiwa ini juga akan tersimpan dalam lipatan sejarah negara, seperti mana sejarah pilihanraya umum ke 12 baru-baru ini. Selain itu, jelas ini menunjukkan betapa seriusnya Tun Mahathir, tentang isu merudumnya prestasi BN di bawah pimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, khususnya tentang dakwaan Tun yang mengatakan bahawa UMNO yang ada hari ini, tidak lagi seperti UMNO yang diwujudkan 62 tahun dulu.

Mengimbau sejarah, ini adalah kali kedua Tun keluar dari UMNO. Kali pertama Tun keluar dari UMNO, kerana dipecat. Dan kali ini pula, Tun sendiri yang mahu keluar dari UMNO. Namun, kedua-dua tindakannya ini adalah di atas satu sebab yang sama, tidak puas hati dengan kepimpinan yang ada.

Dulu, Tun menulis surat kepada Tuanku Abdul Rahman, mengkritik kepimpinan Tuanku sebagai Perdana Menteri dan Presiden UMNO, berikutan peristiwa 13 Mei 1969. Dan kali ini, tindakan Tun keluar UMNO adalah sebagai satu desakan dan juga tanda protes terhadap kepimpinan yang sedia ada.

Tindakan Tun kali ini dijangka akan memberikan kesan, terutama terhadap ahli UMNO dan ia bukan sekadar di peringkat akar umbi. Apatah lagi, dalam satu laporan Reuters India versi internet mengatakan bahawa bekas timbalan Perdana Menteri, Musa Hitam dipetik sebagai berkata, “terlalu banyak cakap-cakap di kalangan mereka yang tidak gemar kepada pemerintahan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, namun tiada sebarang tindakan yang diambil. Jadi, Tun Mahathir telah membuka langkah keluar dari UMNO, tak lama lagi ramai yang bakal melakukan perkara yang sama,”

Dalam hal ini, sebagai generasi muda terutama bangsa Melayu pada zaman ini, perlu menilai dan meniliti dengan matang dan bijaksana, tentang kejutan dan sejarah-sejarah yang mungkin akan mewarnai senario politik Tanah Melayu sedikit masa selepas ini.

Generasi pemuda yang berjuang di dalam mana-mana parti politik Melayu zaman ini perlu lebih matang, serta tidak taksub dengan parti, dan perlu menetapkan matlamat perjuangan hanyalah semata-mata untuk agama, bangsa dan negara. Perjuangan yang berlandaskan asyobiyah, dan juga nawaitu untuk perut sendiri atau nafsu sendiri, tidak akan kekal dan akan menuju ke kehancuran.

Apa saja yang berlaku di kalangan pemimpin yang boleh kita anggap sebagai bapa atau atuk-atuk kita ini, perlu dijadikan pengajaran. Mereka juga manusia yang melakukan kesilapan. Namun kita sebagai generasi muda, perlu belajar dari kesilapan mereka dan memastikan agar kita tidak mengulanginya.


Bersikap tuduh menuduh, dan salah menyalahi antara satu sama lain tidak akan membawa apa-apa kebaikan. Apa yang penting, tolaklah mana-mana pemimpin yang kita tahu, dia tidak ikhlas, dan mempunyai agenda kepentingan peribadi, melebihi kepentingan rakyat jelata.

UMNO itu tidaklah salah, kerana ia hanyalah nama pada satu kertas untuk didaftarkan sebagai pertubuhan. Tetapi, insan-insan yang bergerak di dalam UMNO itulah yang perlu diperbetulkan. UMNO bukan milik Tun Mahathir, bukan juga milik Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, dan bukan juga milik pejuang-pejuang terdahulu seperti Dato Onn atau Tuanku Abdul Rahman.

UMNO juga bukanlah kuda tunggangan insan-insan picisan yang mempunyai nafsu sehebat Dinasour Yang Tamak, yang mahu menelan sebanyak mana harta kekayaan, selagi boleh ditelan.

Tetapi, UMNO adalah kepunyaan semua orang-orang Melayu. Para pemimpin UMNO perlu berkhidmat untuk semua orang Melayu. Baik seseorang itu pemandu teksi, jaga, tukang sapu sampah atau kerani, kerana UMNO adalah milik mereka! Mereka berhak untuk bersuara kerana atas suara dan sokongan mereka, pemimpin itu bergelar pemimpin.

UMNO adalah pertubuhan yang memperjuangkan Agama, Bangsa dan Negara. UMNO wujud dan kuat kerana sokongan orang-orang Melayu, dan bertambah mantap, apabila ada pemimpin-pemimpin Melayu yang ikhlas serta mempunyai sifat-sifat siddiq, amanah, tabligh dan fatanah.

Sekiranya benar ahli-ahli UMNO sudah terpesong dari landasan perjuangan yang sebenar, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk menegur dan memperbetulkannya, mengikut cara dan pendekatan tersendiri kerana itu juga adalah satu dakwah. Dan sebenarnya tanggungjawab ini lebih hampir pada ahli-ahli UMNO sendiri…





Khamis, 15 Mei 2008

SEJENAK BERSAMA PAK SAID ZAHARI

Oleh Abu Muhammad Zubair

Baru-baru ini saya berkesempatan bertemu dengan seorang tokoh wartawan@pejuang kiri yang terkenal, Pak Said Zahari. Biarpun pertemuan kami tidak lama, namun kami sempat berbual terutamanya berkisar dalam bab-bab politik tanahair sebelum dan selepas merdeka.

Ini termasuklah isu kebebasan media yang menjadi perjuangan Pak Said semenjak dia menjadi wartawan Utusan Melayu, kemudiannya menjadi Ketua Pengarang Utusan Melayu dan seterusnya, sehinggalah ke hari ini.

Selain itu, Pak Said juga turut memperjelaskan beberapa isu termasuk kaitan komunis dengan pejuang-pejuang kiri Melayu. Kata Pak Said, para pejuang kiri dulu bukanlah berfahaman komunis, ataupun terpengaruh dengan ideologi komunis, namun pergerakan komunis ketika itu dijadikan sebagai teman dalam satu matlamat, iaitu menghalau penjajah British.

Bahkan katanya, Utusan Melayu dulu juga menyiarkan cerita-cerita tentang pergerakan komunis, bukannya disebabkan terpengaruh ataupun menyokong ideologi komunis, tetapi lantaran peranan mereka bersama dengan pejuang-pejuang Melayu yang lain untuk menghalau penjajah tersebut.

Kata Pak Said, Utusan Melayu ketika itu menyokong siapa sahaja, atau apa pergerakan sekalipun dalam usaha untuk menghalau penjajah British dari tanahair untuk menuntut kemerdekaan bagi Tanah Melayu.

Kisah dan pengalaman hidupnya daripada seorang anak muda biasa, kemudiannya menjadi seorang wartawan di Utusan Melayu, dan seterusnya terlibat dengan gerakan perjuangan kiri dalam kancah politik tanah air, telah diabadikannya dalam sebuah buku yang berjudul Meniti Lautan Gelora: Sebuah Memoir Politik

Dalam pada itu, Pak Said juga menjelaskan, bahawa media, terutama Utusan Melayu hari ini perlu kembali berfungsi selaras dengan matlamat asas penubuhan akhbar keramat tersebut, iaitu menjadi suara bagi semua orang Melayu.

Dalam usianya yang sudah mencecah 80 tahun, daya ingatan Pak Said masih lagi tajam. Dia menceritakan tentang perjuangannya sehingga mencetuskan mogok Utusan Melayu yang menjadi peristiwa bersejarah tanahair, kisahnya yang terpaksa merengkok dalam penjara selama 17 tahun tanpa sebarang bicara, secara jelas seolah-olah segala peristiwa tersebut baru berlaku semalam.

Selain itu, Pak Said juga meminta agar anak-anak muda Melayu, khususnya para wartawan muda yang terlibat dalam dunia media massa, agar memupuk semangat cintakan agama, bangsa dan negara, serta prihatin terhadap politik semasa kerana wartawan mempunyai peranan yang besar bagi menyebarkan ilmu serta maklumat kepada rakyat.

Katanya lagi, wartawan Melayu hari ini, tidak boleh bersikap ‘janji ada kerja’ dan ‘janji ada gaji’ tetapi sebaliknya bersikap sebagai seorang pejuang patriotik yang menulis demi untuk kepentingan agama, bangsa dan negara. Ini adalah kerana, perjuangan pejuang Melayu terdahulu dalam usaha merubah pemikiran serta memerdekakan umat Melayu sebenarnya masih lagi belum selesai sehingga ke hari ini.

Setelah menghasilkan dua buah buku, Meniti Lautan Gelora dan Dalam Ribuan Mimpi Gelisah,kini Pak Said sedang menulis untuk menghasilkan sebuah lagi buku yang juga berkisar tentang pengalamannya dalam dunia kewartawan dan politik. Dua buah buku Pak Said telah diterbitkan dalam tiga bahasa, iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan juga Bahasa Cina.

Semoga Allah s.w.t. sentiasa merahmati Pak Said…

Terusik perasaan bila membaca bait-bait rangkap ini...

Anak kecil main api,
Terbakar hatinya yang sepi,
Air mata darah bercampur keringat,
Bumi di pijak milik orang.
Nenek moyang kaya raya,Tergadai seluruh harta benda,
Akibat sengketa sesama kita,Cinta lenyap di arus zaman.
Indah nya bumi kita ini,Warisan berkurun lamanya,
Hasil mengalir ke tangan yang lain,Pribumi merintih sendiri.
Masa depan sungguh kelam
Kan lenyap peristiwa semalam
Tertutup lah hati terkunci mati
Maruah peribadi dah hilang
Kini kita cuma tinggal kuasa Yang akan menentukan bangsa
Bersatulah hati bersama berbakti
Pulihkan kembali harga diri
Kita sudah tiada masa...
Majulah dengan maha perkasa
Janganlah terlalai teruskan usaha
MELAYUKAN GAGAH DINUSANTARA

Selasa, 18 Mac 2008

AHLI PEKEMBAR PERLU ADA PRINSIP!


Oleh Mujahidden Melayu

Tanggal 8 Mac 2008, berlaku satu sejarah hitam kepada PEKEMBAR atau UMNO dan Barisan Nasional, namun ia adalah satu kemenangan dan kenangan yang amat manis kepada Pakatan pembangkang. Sejak dari tahun 1969, tahun tercetusnya peristiwa berdarah 13 Mei, dan semenjak itulah BN terus menerajui negara dengan tanpa dapat diganggu gugat pembangkang.

Hakikatnya, dalam PRU12 baru-baru ini, BN secara rasminya hilang kuasa di empat buah negeri iaitu Selangor, Perak, Kedah, Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Jadi, termasuk Kelantan yang pada mulanya nampak seperti sudah hampir-hampir dapat ditawan oleh BN, secara keseluruhannya, BN telah kehilangan kuasa di lima buah negeri dan satu WP, hampir-hampir separuh dari negeri di Semenanjung tanahair!
Kemenangan yang berpihak kepada pembangkang ini bukanlah seratus peratus di sebabkan oleh kekuatan pembangkang, tetapi ia sebenarnya berpunca daripada kelemahan parti pemerintah yang dilihat gagal dalam menjelaskan beberapa isu.

Isu-isu yang tidak terjawab, yang mengelilingi benak dan perbincangan rakyat sejak empat tahun kebelakangan ini, ditambah lagi dengan isu-isu hangat seperti pergeseran terbuka antara mantan perdana menteri dan Perdana Menteri menyebabkan rakyat bertambah yakin, bahawa sememangnya pemerintahan BN kali ini ada masalah.

Sekarang ini, perkara yang paling kerap ditanya, adalah apa mesej rakyat kepada BN? Sebenarnya, soalan itu tidak perlu ditanya, kerana BN sendiri tahu kerana apa rakyat memberikan mesej itu.

Kita tidak mahu membincangkan soal atau masalah dalaman parti lain. Apa yang perlu dibincangkan dan ditekankan ialah, ahli-ahli PEKEMBAR mesti ada prinsip terutama dalam hal-hal memilih seseorang individu itu untuk dijadikan pemimpin.

Hal ini mesti difahami, dan ditelusi kerana proses pemilihan ketualah menjadi penentu utama kepimpinan sesebuah pertubuhan. Kemajuan dan kemunduran sesebuah organisasi atau pertubuhan, terletak di tangan pemimpin yang dilantik.

Apa yang perlu disedari, kekalahan BN yang diketuai oleh PEKEMBAR bukan sekadar akibat undi yang datang bukan dari kaum Melayu. Tetapi kekalahan BN di beberapa buah negeri seperti Penang, Perak, Kedah, Kelantan dan juga Selangor adalah disebabkan undi-undi dari bangsa Melayu sendiri sebagai satu mesej yang terang dan jelas.

Jadi, apa sebenarnya mesej bangsa Melayu kepada para pemimpin Melayu yang memegang amanah untuk menjaga Agama, Bangsa dan Negara? Bangsa Melayu generasi ini bukanlah lagi bangsa Melayu Pak Pandir yang hanya menang sorak, tetapi Islam dan negeri tergadai. Tetapi bangsa Melayu bijak ialah menjadikan sejarah Pak Pandir itu sebagai satu pedoman.

Para pemimpinPEKEMBAR, juga mereka yang berkedudukan di dalam PEKEMBAR termasuk ahli-ahli PEKEMBAR perlu muhasabah diri dan kembali ke landasan Islam seperti yang digariskan oleh Al Quran dan Sunnah.

Para pemimpin terutamanya, perlu sedar bahawa kedudukan yang ada pada mereka hari ini bukanlah dengan kehendak mereka sendiri. Mereka dijadikan sebagai pemimpin kerana dilantik oleh rakyat. Mereka tidak mampu untuk melantik diri sendiri sebagai pemimpin tanpa sokongan dari rakyat atau ahli sesebuah pertubuhan tersebut.

Jika hendak dibedah siasat, perkara utama yang perlu ditekankan ialah budaya berpolitik di dalam PEKEMBAR. Kebanyakan ahli-ahli dan pemimpin samada kecil atau besar, menjadi PEKEMBAR ini sebagai tempat kerja mereka untuk mencari duit, dan bukannya sebagai tempat perjuangan untuk rakyat seperti yang asalnya.

Politik itu ditentukan atas dasar perjuangan. Jika dasar perjuangannya salah, maka cara dan pendekatan politik yang diambil oleh golongan atau individu juga akan menggunakan cara yang salah.

Meraih kuasa dengan wang, fitnah memfitnah, adu domba, munafik dan bermacam-macam lagi sikap dan perkara-perkara buruk yang boleh terjadi di dalam politik, sekiranya politik itu digunakan untuk kepentingan peribadi.

Ahli-ahli PEKEMBAR dan orang-orang yang mengakui dirinya bukan sahaja sebagai ahli, tetapi ‘orang-orang’ UMNO perlu sedar, budaya dalamPEKEMBAR yang menyokong secara membuta tuli dan tidak berprinsip akan membuatkan PEKEMBAR akan hancur dengan sendiri.

Ahli PEKEMBAR tidak boleh menolak kenyataan, bahawa mereka kini berhadapan dengan para pemimpin yang sebenarnya langsung tidak bersikap terbuka, taksub, berlagak selepas diberikan jawatan, taksub kepada parti dan pemimpin, membodek untuk kepentingan diri sendiri dan rasuah.

Apakah pemimpin yang korup, suka berpoya-poya, kaki betina, atau minum arak yang dimahukan oleh orang-orang PEKEMBAR? Jika ada ahli-ahli PEKEMBAR suka kepada pemimpin sebegini, maka ahli-ahli PEKEMBAR yang menyokong pemimpin sebeginilah adalah orang -orang yang lebih teruk dari pemimpin itu sendiri.

Kepada ahli-ahli PEKEMBAR yang suka mengangkat pemimpin yang bersikap penyamun dan penyangak, tidak dialu-alukan untuk berjuang di dalam PEKEMBAR. Mereka lebih layak untuk duduk di dalam kumpulan penyamun atau penyangak, munafik atau musyrikin, kerana sikap mereka yang lebih suka kepada kebatilan, daripada kebenaran.

Tetapi golongan itu sebenarnya tidaklah sebanyak mana pun. Namun, golongan yang benar-benar ikhlas lebih ramai dari golongan berkepentingan diri, tetapi mereka ini tidak bersuara. Sekiranya mereka-mereka ini terus mendiamkan diri, apakah ahli-ahli PEKEMBAR generasi hari ini yang ikhlas berjuang mahu bersama-sama mereka yang munafik dalam perjuangan, menciptakan sejarah negara, apabila berjaya menghancurkan PEKEMBAR di abad milenium akibat kebodahan dan kseombongan diri sendiri tanpa ilmu.

Perkara ini perlu difikirkan dengan lebih mendalam. Apakah hanya seseorang individu, atau dua tiga kerat individu pemimpin kini yang bersikap beraja di mata bersultan di hati, kita mahu seluruh jemaah PEKEMBAR dan sejarah kewujudan PEKEMBAR yang membela agama bangsa dan negara terhapus dan tinggal hanya sebagai satu lipatan sejarah bagi Bangsa Melayu.

Ingatlah, mereka itu hanyalah salah seorang daripada beberapa orang pemimpin yang dilantik sebulat suara oleh lebih dari tiga juta ahli PEKEMBAR sejak 50 tahun dulu. Dalam hal ini siapakah yang lebih kuat dan berkuasa? Apakah Seorang dua pemimpin yang dilantik itu lebih berkuasa daripada jutaan ahli PEKEMBARyang sebelum ini melantiknya ke jawatan itu?

Secara logiknya, apakah beberapa kerat individu, berjaya mengalahkan lebih tiga juta ahli PEKEMBAR semata-mata dia bergelar seorang pemimpin? Jadi, siapakah yang lebih berkuasa sebenarnya?

Oleh itu, bersatulah kita menggunakan kuasa yang yang selama ini tidak kita gunakan itu untuk kebaikan sejagat demi agama, bangsa dan negar. Tolaklah pemimpin yang korup, menggunakan wang ringgit untuk kekuasaan politik, menggunakan politik untuk kuasa dan kemewahan peribadi, dan menjadikanPEKEMBAR sebagai tempat cari makan mereka, supaya PEKEMBAR kembali gah untuk menyambung tanggungjawab warisan bangsa Melayu pada masa yang akan datang.
Fikir-fikirkanlah...

Rabu, 5 Mac 2008

YAKINKAH KITA AL QURAN ITU DARI TUHAN?


Al Quran adalah kitab suci yang menjadi pegangan akidah bagi umat Islam. Akidah atau kepercayaan terhadap al Quran tidak perlu dipertikaikan lagi dan ia termasuk dalam salah satu daripada enam rukun iman.

Semua umat Islam di seluruh dunia percaya bahawa al Quran adalah kalam yang dituliskan firman yang datangnya daripada Allah s.w.t., dan disampaikan melalui kekasih dan utusan-Nya, Nabi Muhammad s.a.w.

Biarpun hari ini, setelah hampir 1500 tahun al Quran diturunkan, akidah umat Islam tetap mempercayai bahawa kitab suci itu adalah mukjizat dan mempunyai berkah yang diturunkan bersama-sama dengannya.

Bagaimanapun persoalannya sekarang, jika kita yakin bahawa Al Quran itu dari Allah, apakah kita sudah berusaha untuk membaca Al Quran dan memahaminya? Jika sudah, maka kita boleh nilaikan setakat mana keimanan kita atau keyakinan umat Islam hari ini, tetapi jika belum, bagaimana kita mahu berkata bahawa Al Quran itulah panduan hidup kita, sedang kita sendiri tidak pernah membaca dan memahaminya!?

Menelusuri pada sejarah perkembangan Islam pada zaman Rasulullah s.a.w., kesemua golongan mereka yang beriman ketika itu, terutama para sahabat Nabi s.a.w dididik secara langsung oleh baginda s.a.w. dengan ayat-ayat Al Quran.

Al Quran juga dijadikan sebagai , nasihat dan motivasi oleh Rasulullah s.a.w. untuk mempertingkatkan iman para sahabat dan juga hujah untuk menangkis kebatilan kaum kafir Quraisy yang cuba untuk mempertikaikan kesahihan dan kebenaran risalah Al Quran yang dibawa oleh Baginda s.a.w.

Hasil didikan Baginda Rasulullah s.a.w. dengan ayat-ayat al Quran ternyata telah berjaya membentuk jati diri Muslim yang kental, penyabar, berani, berakal dan bijak serta berkemampuan untuk menjadi seorang pemimpin, terhadap para sahabat.

Sebagai contoh, lihat sahaja bagaimana Rasulullah s.a.w. membentuk sayidina Umar al Khattab dengan ayat-ayat Al Quran. Bukankah Saidina Umar itu sebelum memeluk Islam adalah seorang yang bengis dan panas baran. Bahkan, dia mendapat hidayah, ketika dalam perjalanan mahu membunuh Nabi Muhammad s.a.w.!

Memang benar Rasulullah s.a.w. telah mendoakan agar Umar al Khattab menjadi pembantu bagi kaum mukminin, namun peribadi Umar setelah masuk Islam berubah secara total daripada sebelumnya, akibat didikan daripada Rasulullah dengan petunjuk kitabullah.
Firman Allah dalam surah al Baqarah ayat 2-5 yang bermaksud :-

“Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertakwa; Iaitu orang-orang yang beriman kepada perkara-perkara yang ghaib dan mendirikan (mengerjakan) sembahyang serta membelanjakan (mendermakan) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka.
Dan juga orang-orang yang beriman kepada Kitab "Al-Quran" yang diturunkan kepadamu (Wahai Muhammad) dan Kitab-kitab yang diturunkan dahulu daripadamu, serta mereka yakin akan (adanya) hari akhirat (dengan sepenuhnya).
Mereka itulah yang tetap mendapat petunjuk dari Tuhan mereka dan merekalah orang-orang yang berjaya”

Jelas di dalam firman Allah s.w.t. itu menegaskan bahawa kitab al Quran ini adalah sesuatu hujah bukti yang kukuh untuk diperhatikan dan difikirkan oleh mereka yang mahu bertakwa
Tetapi bagaimana petunjuk tersebut hendak sampai kepada seseorang insan, sekiranya kitab yang dapat memberikan petunjuk itu tidak pernah dibaca dan difahami. Bagaimana seseorang yang mahu mencari harta karun boleh menjumpai harta karun tersebut, sekiranya dia tidak mahu atau malas untuk mengkaji dan memahami peta petunjuk untuk mencapai harta karun tersebut?

Inilah yang terjadi kepada masyarakat Islam hari ini terutama di Malaysia. Apabila ditanya tentang al Quran, mereka akan mengatakan bahawa Quran bagus untuk dibaca, satu huruf akan diberi pahala, kitab yang mengandungi mukjizat dan berkah dan bermacam-macam lagi.
Namun itu hanya satu jawapan bagi satu pertanyaan.

Di mana, agak malang kerana mereka yang menjawab itu tidak sendiri pernah tahu dan tidak pernah merasai akan nikmat mukjizat serta kebenaran yang ada di dalam al Quran. Al Quran tidak pernah mereka fahami secara keseluruhannya, daripada satu ayat ke satu ayat hingga ke penghabisan.

Apa yang ada kini, kebanyakan dari umat Islam hanya mengambil dan menghafal beberapa ayat yang selalu digunakan untuk berceramah, berdakwah, berpolitik dan lain-lain. Dengan erti kata lain, tujuan mengambil tahu ayat Quran itu bukanlah untuk mengambil pelajaran, tetapi hanya untuk memperlihatkan kepada masyarakat umum akan kebolehan dan ketinggian ilmu seseorang itu, terutama yang terlibat dalam aktiviti kemasyarakatan.

Al Quran perlu dibaca oleh setiap insan yang ingin menuju ke makam golongan yang bertakwa. Al Quran itu diturunkan oleh Allah swt kepada setiap manusia yang juga makhluk ciptaan-Nya.
Ini bermakna kebanyakan ayat-ayat di dalam al Quran itu merupakan ayat yang mudah untuk difahami melalui terjemahannya, dan ia sesuai untuk dibaca dan diteliti oleh semua golongan tidak kira kaya, miskin, cerdik, bodoh dan sebagainya.

Allah sendiri yang menyatakan dalam Firman-Nya bahawa Al Quran itu diturunkan sebagai pentunjuk bagi umat manusia. Jadi, apakah Allah s.w.t. tidak tahu tentang keadaan hamba-hamba-Nya, sedang Dialah yang menciptakan hamba-Nya itu dan bukankah Dialah yang Maha Mengetahui?

Firman Allah s.w.t. dalam surah Ali Imran ayat 5 yang bermaksud :
“Dialah yang menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab Suci Al-Quran. Sebahagian besar dari Al-Quran itu ialah ayat-ayat "Muhkamaat" (yang tetap, tegas dan nyata maknanya serta jelas maksudnya); ayat-ayat Muhkamaat itu ialah ibu (atau pokok) isi Al-Quran dan yang lain lagi ialah ayat-ayat "Mutasyaabihaat" (yang samar-samar, tidak terang maksudnya).
Oleh sebab itu (timbullah faham yang berlainan menurut kandungan hati masing-masing) adapun orang-orang yang ada dalam hatinya kecenderungan ke arah kesesatan, maka mereka selalu menurut apa yang samar-samar dari Al-Quran untuk mencari fitnah dan mencari-cari Takwilnya (memutarkan maksudnya menurut yang disukainya). Padahal tidak ada yang mengetahui Takwilnya (tafsir maksudnya yang sebenar) melainkan Allah dan orang-orang yang tetap teguh serta mendalam pengetahuannya dalam ilmu-ilmu agama, berkata: Kami beriman kepadanya, semuanya itu datangnya dari sisi Tuhan kami dan tiadalah yang mengambil pelajaran dan peringatan melainkan orang-orang yang berfikiran."

Dalam dunia moden hari ini, Allah s.w.t telah memilih dua orang yang terkenal sebagai contoh mukjizat Al Quran, iaitu penyanyi pop Britain yang bernama Cat Steven, dan juga seorang wartawan wanita yang diculik oleh anggota Taliban ketika bertugas di Afghanistan bernama Vyone Ridley.

Kedua-dua insan ini dipilih Allah s.w.t untuk diberikan hidayah melalui Al Quran dan dunia melalui media massa, dapat menyaksikan perubahan kedua insan ini secara totalnya, setelah mereka menerima hidayah Islam.

Cat Steven, atau nama Islamnya Yusuf Islam, menerima hidayah dengan membaca al Quran secara terjemahannya sahaja. Kitab itu diberikan oleh abangnya. Dia tidak tahu bahasa Arab, jadi, i dia membaca Al Quran itu dalam terjemahan Inggeris.

Nah! Hasilnya, dia lebih kuat berpegang teguh dengan Islam dalam dari segi akhlak dan prinsip, bahkan ketakwaannya lebih dari manusia yang mewarisi islam secara keturunan.
Begitu juga dengan Vyone Ridley. Dia hanyalah seorang wartawan yang menyangka, nyawanya akan berakhir di tangan sekumpulan manusia yang dianggapnya sebagai terrorist dan insan yang tidak kenal belas kasihan, ketika dalam peristiwa penahanannya itu.

Namun, Allah s.w.t. mempunyai perancangan lain terhadapnya. Malah, dia juga sedikitkan tidak dicederakan. Bahkan, dia dilayan oleh anggota Taliban dengan cara yang baik dan bersopan santun. Dia tidak dikasari, biarpun dalam pengakuan terbukanya selepas itu, adakalanya dia membentak secara kasar terhadap anggota-anggota Taliban tersebut.

Malah ketika di bebaskan, dia diberikan sebuah kitab Al Quran, dan anggota Taliban itu meminta Vyone Ridley berjanji untuk membacanya. Dan dua minggu selepas dia dibebaskan, Vyone menunaikan janjinya.

Apakah hasilnya? Hasilnya, dia memeluk Islam dan kini, tanpa ada rasa ragu-ragu dan takut, dia secara terang-terangan membela nasib manusia yang dianggapnya sebagai terorrist itu, secara lantang di seluruh dunia.

Apakah kedua-dua insan itu belajar dengan mana-mana ulama terkenal dunia? Adakah Cat Steven atau Vyone Ridley menuntut dengan Syeikh Dr. Yusuf AL Qardawi atau ulama seangkatan dengannya? Atau dengan mana-mana ulama Mesir ketika hidayah sampai dalam hatinya?

Jawapannya tidak. Mereka memeluk Islam semata-mata kerana sudah faham, apa yang diterangkan Allah s.w.t. kepada hamba-hamba-Nya yang terkandung di dalam kitab suci tersebut. Mereka hanya membaca Al Quran, dan hari ini, kita semua jadi saksi, bahawa imannya mereka lebih tinggi dari iman-iman manusia yang mewarisi Islam secara keturunana!
Tidakkah kita pelik, bagaimana Al Quran, yang diturunkan lebih kurang 1500 tahun lepas, dapat mengubah hati, pemikiran dan akhlak seseorang itu? Kenapa Yusuf Islam meninggalkan segala kemewahan dan popularitinya, sedangkan dia boleh memilih untuk terus hidup dengan cara sebegitu?

Begitu juga dengan Vyone Ridley. Mengapakah bekas wartawan itu kini begitu beria-ria membela nasib umat Islam, sedangkan dia tahu dengan tindakannya itu akan menyebabkan kerjaya dan masa depannya sebagai wartawan musnah?

Dia juga tahu, tindakannya itu juga akan membuatkan dia jadi tersisih, malah terpisah dari keluarganya? Apatah lagi dia tinggal di kalangan masyarakat Eropah yang sememangnya jahil dan menganggap Islam itu sebagai agama yang menganjurkan keganasan?

Sebenarnya, hal yang berlaku kepada dua orang insan terkenal ini adalah contoh bagi manusia di dunia, bagaimana Al Quran itu dapat mengubah gaya hidup dan keyakinan seseorang manusia itu. Jadi, apakah kita, yang tahu tentang cerita itu tidak merasas kagum, lalu mencapai Al Quran dan ingin mengetahui isinya? Kebanyakkan kita sudah khatam mengaji, tetapi amat sedikit sekali antara kita yang memahami isi kandungan al Quran itu.

Jadi, amat bohong sekalilah, kalau kita menyatakan bahawa Al Quran itu panduan hidup kita, sedangkan kita sendiripun tidak faham apa isi kandungannya dan dua kali malang, apabila kita sendiri pun tidak pernah berusaha untuk memahami isi kandungannya...

Selasa, 22 Januari 2008

MATLAMAT YANG HAMPIR TERCAPAI-ORANG MELAYU PERLU BANGGA

Secara realitinya, mahu tidak mahu, orang Melayu terpaksa menerima hakikat, bahawa kedudukan orang Melayu kini berada di tangga tercorot berbanding dengan kaum-kaum lain.
Perkara ini boleh dilihat daripada sudut penguasaan ilmu, perpaduan dan ekonomi. Tiga perkara penting dan menjadi tunjang bagi membentuk sahsiah dan kekuatan sesebuah bangsa, kini semakin luntur di kalangan bangsa Melayu.

Bangsa Melayu kini terutama generasi muda tanpa disedari beransur-ansur mula meninggalkan tiga faktor ini. Sikap melalaikan ilmu, meninggalkan perpaduan dan ketidaksungguhan dalam ekonomi akan menyebabkan institusi bangsa Melayu akan hancur dan lenyap ditelan zaman.
Apatah lagi, keadaan sosial bangsa Melayu yang kini tanpa mengira faktor umur, semakin meloyakan. Bahkan ada segelintir dari kita yang melakukan perbuatan yang melayakkan kita jatuh ke martabat serendah haiwan yang tidak mempunyai akal fikiran.

Mahu tidak mahu, bangsa Melayu perlu akui, realitinya hari ini, keadaan sosial dikalangan bangsa Melayu menjadi semakin kritikal. Ini boleh dilihat di sekeliling persekitaran sosial bangsa Melayu hari ini.

Si tua dengan dangdutnya, yang muda dengan pub-pub dan kelab malamnya, yang betina dengan jantanya, dan yang jantan pula, selalu sibuk dengan arak, judi dan betina. Ini bukanlah dogengan dari kayangan, tetapi inilah hakikat yang terpaksa diterima oleh bangsa Melayu. Biarpun ia sepahit menelan seratus hempedu.

Lebih membimbangkan, keadaan generasi muda bangsa Melayu yang kian parah dan mengalami penyakit mental yang menyebakan penyjakit jumud, bodoh dan sindrom kelalaian melampau, seolah-olah sebagai satu petanda, bahawa bangsa Melayu kini sedang menuju kehancuran.
Disambut pula dengan sikap para alim ulama (termasuk cendekiawan Islam) yang pasif,lemah dan berpuas hati dengan ilmu yang mana yang ada, menyebabkan keadaan huru hara bangsa Melayu semakin parah dan terluka.

Mengapakah perkara seperti ini terjadi terhadap bangsa Melayu? Bukankah satu saat dulu, bangsa Melayu gah dengan keluasan empayar kekuasaannya di nusantara? Bukankah satu fakta, orang Melayu di zaman kegemilangan empayar Melaka dahulunya menguasai pelbagai ilmu dan boleh bertutur lebih 20 bahasa?

Dan sejarah juga telah membuktikan, bahawa orang Melayu dahulunya adalah ahli ekonomi dan antara bangsa-bangsa yang terhandal sebagai pelaut, pedagang dan pendakwah yang merentasi antara lautan dan benua sehingga ke Afrika, belayar mengebarkan kemegahan kesungguhan bangsa Melayu.

Pastinya, kemegahan dan kesungguhan itu ada rahsianya. Rahsianya ialah warisan ajaran Islam yang dipusakai dari Nabi dan Rasul akhir zaman, Saydina Muhammad s.a.w. Islam adalah kunci bagi segala kunci di dunia dan akhirat.

Kunci pada kemegahan, kunci segala kesenangan, kunci bagi ketenangan, kunci kesungguhan dalam perjuangan dan kunci kepada segala kejayaan.

Tetapi hari ini, malangnya sebahagian besar bangsa Melayu moden, sudah terlupa untuk memelihara kunci bagi pintu untuk segala kejayaan. Sebaliknya, sebahagian besar bangsa Melayu telah memilih kunci untuk membuka pintu segala kehinaan. Mereka melontarkan Islam jauh dari pandangan dan membenamkan akal sehingga maut kelemasan dan memilih fantas untuk dijadikan sembahan.

Hasilnya, hari ini pencapaian generasi moden bangsa Melayu sangat cemerlang akibat meninggalkan Islam. Kini mengamalkan cara hidup Islam dianggap kuno. Lantaran meninggalkan Islam dan sunnah Rasul, hari ini kita hampir-hampir mencipta sejarah moden dalam ketamadunan bangsa Melayu dan Islam.

Hari ini, secara rasminya, bangsa Melayu adalah bangsa yang paling cemerlang dan terbanyak bilangannya ke pusat serenti dan pemulihan akhlak, berbanding bangsa-bangsa lain yang lebih suka ke universiti.

Dan tahukah kita, bahawa hari ini, generasi muda bangsa Melayu telah dinobatkan sebagai penerima anugerah dalam acara membuang bayi terbanyak dan melayakkan bangsa Melayu menerima pingat emas dalam acara ini, kerana berjaya mengatasi bangsa-bangsa lain.

Selain itu, tidakkah hari ini orang Melayu merasa bangga, apabila melihat anak-anak muda remaja Melayu, terlonjak-lonjak di atas pentas dan berpeluk-peluk lelaki tanpa segan silu, antara lelaki dan perempuan biarpun opah dan atuknya berada di barisan hadapan penonton.

Malah, kita sepatutnya merasa lebih bangga, kerana hari ini, lebih ramai bangsa Melayu yang beramai-ramai untuk bersuka ria dan sungguh-sungguh mahukan keturunannya menjadi penyanyi atau pelakon atau apa saja janji glamour, supaya dapat bermegah-megah bila keluar tv atau suratkhabar!

Kita juga patut merasa lega, apabila sebahagian daripada bangsa Melayu yang sanggup berkorban harta, tenaga, semata-mata untuk melihat anak-anak menjadi penyanyi yang menyanyikan lagu-lagu fantasia untuk orang yang mati akalnya, daripada mendidik mereka menjadi warisan bangsa yang lebih berilmu, beriman, kaya dan mantap ekonominya dan mempunyai semangat perjuangan membantu agama dan bangsa.

Bukankah kita patut merasa bangga dengan pencapaian bangsa Melayu hari ini?
Sebab itu, kita boleh lihat, tidak ada ulama yang resah gelisah di kerusi empuk di dalam bilik yang berhawa dingin, apabila memikirkan situasi sosial orang Melayu hari ini. Bagi mereka, orang Melayu telah membuktikan kecemerlangan. Apa yang nak dirisaukan!

Sekurang-kurangnya, nama bangsanya akan terpahat dalam ingatan sejarah ketamadunan manusia sebagai pemenang nombor satu acara membunuh bayi-bayi menggunakan tong sampah!

Dan sebab itu juga, pemimpin-pemimpin politik semakin ghairah mengadakan pesta-pestaan dan nyayian kerana mereka berbangga bahawa orang Melayu telah mencipta pelbagai kegemilangan dalam usaha menjahanamkan diri mereka sendiri.

Kerana kejayaan demi kejayaan yang dicipta, maka sebahagian besar orang Melayu terus begitu, sebab mereka tidak sanggup untuk mengaku kalah dan sebagai juara bertahan, mereka akan terus berjuang bagi memastikan, bangsa Melayu tetap terunggul sebagai extrimist hiburan, paling cekap membuang anak tanpa diketahui orang lain serta kebanggaan yang melampau-lampau kerana berjaya menjadi golongan yang jahil.

Berbanggakah kita dengan pencapaian ini? Apa jawapannya? Ya atau tidak? Jika hati kita merasa tenang dan tidak gundah gulana dengan kejayaan demi kejayaan yang dicipta orang anak bangsa Melayu di negara ini dalam arus kemodenanseperti yang tersebut di atas, yakinlah bahawa matlamat perjuangan bangsa Melayu hari ini sebenarnya sudah hampir tercapai, iaitu menghancurkan ketamadunan sesebuah bangsa!!