Saya tidak pernah lagi mendengar orang-orang awam menisbatkan perbuatan ulama-ulama yang ada di Malaysia, termasuklah tok guru itu sendiri dengan perkataan samseng. Bagaimana agaknya kalau kita katakan, sebagai contoh, Imam Syafie atau Tok Guru Nik Aziz juga sebagai seorang samseng? Agak-agak boleh terima atau tidak jika kita mengatakan demikian kepada dua orang tokoh ilmu?
Sesungguhnya Tuhan kamu ialah Allah yang menjadikan langit dan bumi dalam enam masa kemudian Dia bersemayam di atas Arasy mentadbirkan segala urusan. Tidak ada sesiapa pun yang dapat memberi syafaat melainkan sesudah diizinkanNya. (Yang bersifat demikian) itulah Allah, Tuhan (yang memelihara dan mentadbirkan keadaan) kamu; maka tunduklah dan taatlah kamu kepada perintahNya; patutkah kamu setelah mengetahui kenyataan yang tersebut tidak mahu mengingatiNya?
Surah Ar-Rad ayat 2
Allah jualah yang menjadikan langit terangkat tinggi dengan tiada bertiang sebagaimana yang kamu melihatnya, kemudian Dia bersemayam di atas Arasy dan Dia memudahkan matahari dan bulan (untuk faedah makhluk-makhlukNya); tiap-tiap satu dari keduanya beredar untuk suatu masa yang telah ditetapkan. Allah jualah yang mentadbirkan segala urusan; Dia menerangkan tanda-tanda kekuasaanNya satu-persatu, supaya kamu yakin kepada pertemuan Tuhan kamu (untuk menerima balasan).
Surah Taha ayat 5
Iaitu (Allah) Ar-Rahman, yang bersemayam di atas Arasy.
Surah Al Furqan ayat 59
Tuhan yang menciptakan langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya, dalam enam masa, kemudian Dia bersemayam di atas Arasy, Ialah Ar-Rahman (Tuhan Yang Maha Pemurah); maka bertanyalah akan hal itu kepada Yang Mengetahuinya.
Surah As Sajadah ayat 4
Allah Tuhan yang menciptakan langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya dalam enam masa, kemudian Dia bersemayam di atas Arasy; kamu tidak akan beroleh sebarang penolong dan pemberi syafaat selain dari Allah; oleh itu tidakkah kamu mahu insaf dan mengambil iktibar (untuk mencapai keredaanNya)?
Surah Al Hadiid ayat 4
Dialah yang telah menciptakan langit dan bumi dalam enam masa, kemudian Dia bersemayam di atas Arasy; Dia Mengetahui apa yang masuk ke bumi serta apa yang keluar daripadanya dan apa yang diturunkan dari langit serta apa yang naik padanya dan Dia tetap bersama-sama kamu di mana sahaja kamu berada dan Allah Maha Melihat akan apa yang kamu kerjakan.
Apa pula pendapat Imam Syafie dan imam-imam lain berkenaan hal ini? Mari kita baca apa pendapat mereka tentang bab istiwa ini.
IMAM SYAFIE
1. Dan Allah swt di atas Arasy-Nya dan Arasy-Nya di langit.
2. Kita menetapkan sifat-sifat (mengithbatkan sifat-sifat Allah) sebagaimana yang didatangkan oleh Al Quran dan yang warid tentang-Nya dari sunnah, kami menafikan tasybih (penyerupaan) tentang-Nya kerana dinafikan oleh Diri-Nya sendiri sebagaimana firman-Nya iaitu Tiada yang semisal dengan-Nya.
IMAM ABUL HASSAN AL ASY'ARI
1. Allah mempunyai sifat, mempunyai tangan, bersemayam di atas arasy-Nya dan mempunyai muka (wajah). Al Quran itu, kalamullah dan bukan makhluk dan Al Quran diturunkan dari langit.
2. Di atas langit-langit itulah Arasy, maka tatkala Arasy berada di atas langit-langit Allah berfirman : Apakah kamu merasa aman terhadap zat yang berada di atas langit? Sesungguhnya, Dia istiwa (bersemayam) di atas Arasy yang berada di atas langit dan tiap-tiap yang tinggi itu dinamakan As-Sama (langit). Yang dimaksudkan di dalam firman Apakah kamu merasa aman terhadap zat yang berada di atas langit bukanlah bermaksud seluruh langit, tetapi Arasy-Nya yang berada di atas langit.
IMAM ABU HANIFAH RAHIMAHULLAH
1. Sesiapa yang mengingkari sesungguhnya Allah berada di atas langit, maka sesungguhnya dia telah kafir. Demikian juga terhadap orang yang tawaqquf (diam) dengan mengatakan : Aku tidak tahu, apakah Tuhanku berada di langit atau di bumi? Berkata Imam Abu Hanifah : Sesungguhnya dia telah kafir kerana Allah telah berfirman :Ar-Rahman di atas Arasy al Istiwa
IMAM AHMAD BIN HANBAL
1. Benar, Allah di atas Arasy-Nya dan tidak ada sesiapa yang tersembunyi dari pengetahuan-Nya
IMAM IBNU KHUZAIMAH
1. Barang siapa yang tidak menetapkan Allah swt di atas Arasy-Nya dan Allah istiwa di atas tujuh langit-Nya, maka dia telah kafir terhadap Tuhannya.
2. Kami beriman dengan khabar dari Allah Jalla wa-'Ala sesungguhnya Pencipta kami Ia beristiwa (bersemayam) di atas ‘ArasyNya. Kami Tidak mengganti/mengubah kalam (firman) Allah dan kami tidak akan mengucapkan perkataan yang tidak pernah dikatakan (Allah) kepada kami sebagaimana (perbuatan kaum) yang menghilangkan sifat-sifat Allah seperti golongan Jahmiyah yang pernah berkata: Sesungguhnya Dia istawla (menguasai) ‘ArasyNya bukan istiwa (bersemayam). Maka mereka telah mengganti perkataan yang tidak pernah dikatakan (Allah) kepada mereka, ini menyerupai perbuatan Yahudi tatkala diperintah mengucapkan: Hithtatun (Ampunkanlah dosa-dosa kami), tetapi mereka mengucapkan (mengubah): Hinthah (makanlah gandum)! Mereka (kaum Yahudi) telah menyalahi perintah Allah Yang Maha Agung dan Maha Tinggi maka seperti itulah (perbuatan kaum) Jahmiyah"
SYEIKH ABDUL QADIR AL JAILANI
1. Tidak boleh mensifatkan Allah bahawa Ia berada di tiap-tiap tempat. Bahkan (wajib) mengatakan: Sesungguhnya Allah di atas langit (yakni) di atas ‘Arasy sebagaimana Ia telah berfirman: Ar Rahman di atas Arasy, Ia beristiwa. Dan wajiblah memutlakkan sifat istiwa tanpa takwil, sesungguhnya Allah istiwa dengan ZatNya di atas ‘Arasy. KeadaanNya di atas ‘Arasy disebut pada tiap-tiap kitab yang Dia turunkan kepada tiap-tipa Nabi yang diutus tanpa bertanya (para nabi yang diutus tidak bertanya): Bagaimana caranya (Allah istiwa di atas ‘ArasyNya)?"
Jelas, di dalam Al Quran, Allah swt telah menegaskan sebanyak 7 kali bahawa Dia dengan Ketinggian dan Keagungan-Nya bersemayan di atas Arasy di langit yang tertinggi. Mengapa pula kita mengatakan Allah ada di mana-mana?
Sebenarnya, yang ada di mana-mana di sekeliling kita, termasuklah diri kita sendiri ini ialah ilmu-Nya, dan bukanlah Allah swt itu sendiri yang berada di mana-mana. Ini telah diterangkan oleh Imam Malik r.a. :
"Allah berada di atas langit sedangkan ilmu-Nya di tiap-tiap tempat (iaitu di mana-mana), tidak tersembunyi sesuatupun dari-Nya"
Mudah-mudahan, apa yang dibentangkan ini, dapat memberikan manfaat pada kita semua dalam memperbetulkan akidah. Jangan pula ada yang mengatakan bahawa saya bermazhab Wahabi kerana sejak akhir-akhir ini, ramai yang mengatakan bahawa golongan bermazhab wahabi yang mempunyai iktikad bahawa Allah swt bersemayam di atas Arasy.
Untuk makluman, saya tidak pernah menganggap bahawa apa yang dikatakan sebagai Wahabi itu adalah satu mazhab.
Saya tidak memandai-mandai mengatakan bahawa Allah itu bersemayam di atas Arasy tetapi Allah swt sendirilah yang memberitahu pada makhluknya bahawa Dia dengan ketinggian dan keagungan-Nya, bersemayam di atas Arasy di atas langit yang ke tujuh.