DUNIA ISLAM

Tunjuk Perasaan Berlaku Hampir Di Seluruh Negara Umat Islam Hari Ini.

KAABAH

Kota Kelahiran Baginda Nabi Muhammad SAW.

TEKNOLOGI ILMU DAN NIKMAT DARI ALLAH

Teknologi Seumpama Pisau.Memberi Manfaat Jika Digunakan Untuk Kebaikan. Mudarat Jika Digunakan Untuk Jalan Kebatilan.

IQRA

Bacalah, Dengan Nama Tuhanmu Yang Menjadikan Kamu Dari Segumpal Darah...

TAURAT-INJIL-AL QURAN

Taurat dan Injil Disempurnakan Dengan Turunnya Al Quran.

Ahad, 10 Januari 2010

PERBAHASAN ILMIAH ANTARA ISLAM DAN KRISTIAN UNTUK SELESAIKAN ISU PENGGUNAAN NAMA ALLAH

Isu penggunaan nama Allah kini terus hangat menjadi perbualan rakyat di negara di kedai-kedai kopi, restoran, masjid dan pastinya di gereja-gereja. Apatah lagi, apabila menyaksikan kejadian sebuah gereja di bakar, dua dilempar dengan molotov cocktail, manakala satu lagi menerima ancaman.


Jelas di negara ini, isu agama bukanlah sesuatu yang boleh dibuat main-main. Apatah lagi, dalam keadaan umat Islam yang jahil dan mudah dipengaruhi, serta terbukanya ruang-ruang pihak tertentu untuk mencetuskan provokasi yang boleh sahaja memungkinkan kejadian yang lebih teruk daripada hari ini terjadi.


Barangkali, kita semua pastinya tahu, bahawa nama Allah sememangnya disebut dan diakui wujudnya, oleh pelbagai lapisan bangsa dan agama, dan bukannya hanya golongan Muslim sahaja. Sememangnya benar, nama dikenali oleh mereka yang menyembah berhala, mereka yang tidak bertuhan, apatah lagi umat Islam yang kini berada di atas landasan agama yang di redhai Allah.


Sebagai contoh, ketika peristiwa Abrahah mahu menghancurkan Kaabah. Datuk Nabi Muhammad saw ketika itu yang bernama Abdul Mutalib, tidak mempertahankan Kaabah dan berkata kepada Abrahah, bahawa Kaabah itu ada tuan punyanya, dan dia menyerahkan Kaabah di bawah perlindungan tuan punya Kaabah itu yakni Allah.


Begitu juga dengan nama kepada bapa Rasulullah yang kita sayangi dan cintai. Bukankah nama bapa Rasulullah adalah Abdulllah. Bukankah Abdullah itu bermaksud hamba Allah? Jadi jelas, penggunaan nama Allah bukan sahaja di kalangan Muslim, tetapi juga di kalangan mereka yang bukan Islam.


Biarpun begitu ini tidak bermaksud mereka menyembah Allah semata-mata. Golongan pagan di Mekah sebelum kedatangan Islam, menyembah al Latta dan al Uzza dan berhala-berhala lain yang dianggap sebagai pengantara kepada Tuhan yang Maha Tinggi iaitu Allah. Mereka telah berlaku syirik kepada Allah.


Inilah juga situasi yang berlaku di dalam agama lain, termasuklah Kristian dan agama Taurat. Penganut Kristian telah diselewengkan oleh paderi-paderi mereka dengan mengatakan bahawa Nabi Isa a.s. itu juga Tuhan dan Jibril (Ruhul Qudus) juga adalah Tuhan, selain daripada Allah. Begitu juga orang-orang Yahudi yang mengatakan Uzair itu adalah anak Tuhan, sedang di dalam pegangan orang-orang Muslim sejak dari zaman Nabi Adam a.s., kepercayaannya berakidahnya hanya satu iaitu tidak ada Tuhan selain daripada Allah.


Perkara inilah yang perlu kita terangkan kepada penganut agama-agama Kristian di negara ini. Jika mereka mahu menggunakan nama Allah sebagai rujukan Tuhan mereka, silakan tetapi katakan bahawa mereka menolak kenyataan bahawa Nabi Isa a.s dan juga Ruhul Qudus itu juga Tuhan, sebaliknya Nabi Isa a.s dan Ruhul Qudus itu adalah makhluk Allah semata-mata. Ini adalah syarat utama untuk mengatakan bahawa mereka adalah penyembah Allah, kerana Allah itu satu, dan tidak ada lagi Tuhan, selain Dia.


Justeru itu, satu perbahasan ilmiah itu perlu diadakan di antara ulama Islam dan juga mubaligh Kristian. Bincang dan berbahaslah siapa sebenarnya yang lebih layak untuk menggunakan kalimah Allah sebagai rujukan kepada Tuhan berdasarkan dua kitab iaitu Al Quran dan Injil.


Perbahasan itu pula, hendaklah disiarkan secara langsung melalui media massa dan dapat disaksikan oleh rakyat di seluruh negara. Intipati kepada perbahasan itu hendaklah bermatlamatkan untuk mencari kebenaran dan bukan bertujuan untuk menimbulkan provokasi atau menghentam pihak lain secara semborono tanpa ada sebarang fakta dan bukti.


Perbahasan di antara orang Islam dan bukan Islam, dalam usaha mencari kebenaran dalam beragama sebenarnya merupakan satu sunnah Rasulullah saw dan para Nabi. Baginda dan para sahabat dahulu berdebat dan berbahas dengan bukan Islam dalam usaha dakwah mereka. Bahkan, di dalam Al Quran Allah memerintahkan kita agar berbahas dengan cara yang baik dan lemah lembut, agar hati mereka terbuka dengan kebenaran Islam.


Imam-imam empat mazhab dulu juga berdialog dengan golongan Pagan, Kristian atau pun Yahudi bagi menerangkan (dakwah) apa itu Islam. Dalam dunia moden hari ini, usaha dakwah ini diteruskan oleh seorang insan yang dikurniakan Allah keistimewaan iaitu Allahyarham Ahmad Deedat. Allahyarham merupakan seorang pendakwah muslim yang gigih berbahas dalam usahanya untuk menerangkan Islam kepada penganut agama samawi yang lain serta cuba memperbetulkan akidah mereka.


Ada sesetengah sesetengah umat Islam yang berpendapat bahawa apa yang berlaku di adalah satu bala bagi mereka namun jika dilihat daripada sudut lain, ia mungkin adalah satu rahmat dan sebagai satu mesej kepada umat Islam, bahawa dakwah kepada bukan Islam pada hari ini di bumi Melayu ini perlu diperhebatkan dan diperluaskan.


Jadi perbahasan terbuka seperti ini adalah satu kaedah dakwah bagi menerangkan apa itu Islam dan memberikan hujah-hujah untuk membuktikan bahawa Islam kini hanya satu-satunya agama yang diredhai Allah bagi umat manusia.


Inilah cara bantahan yang lebih baik dan boleh membuka ruang yang besar bagi memperjelaskan tentang Islam kepada mereka yang bukan Islam, serta menghapuskan fitnah terhadap Islam yang sedang disemarakkan apinya oleh golongan yang menentang Islam.


Dan perbuatan seperti membakar gereja, mengadakan demonstrasi dengan kata-kata yang penuh provokasi yang sebenarnya akan lebih memburukkan keadaan dan yang pastinya tiada manfaat yang boleh diperolehi dengan cara dan tindakan yang sedemikian.


Namun dalam hal ini, saya terasa amat pelik tentang kehilangan suara mufti atau orang-orang agama. Mengapa mereka tidak menerangkan hal yang sebenarnya, sedangkan dalam keadaan umat yang jahil dan mula haru biru ini.


Di manakah suara-suara ulama dalam hal ini? Atau sebenarnya, mungkinkah kita umat Islam di negara ini hanya mempunyai ulama yang ketinggian ilmunya, hanya tertera pada sekeping sijil. Itupun sekadar untuk melayakkan dia menjawat jawatan yang tinggi dalam kerajaan, dan bukannya ilmu original yang diikat dengan keimanan, ketakwaan, keberanian dan istiqamah yang diwarisi turun temurun daripada Nabi Muhammad saw dan para sahabat yang berdasarkan sumber wahyu di dalam kitabullah?

Rabu, 9 September 2009

EMAS SEBAGAI MATAWANG DUNIA



Ketika membelek-belek tajuk-tajuk menarik yang terpapar di beberapa blog yang sering saya kunjungi, termasuklah blog chedet, saya tertarik dengan posting terbaru chedet, berkenaan satu laporan dari Blomberg yang melaporkan, bahawa UN kini sedang mencari satu matawang baru, bagi menggantikan US Dollar sebagai matawang perdagangan antarbangsa.

Apabila membaca laporan tersebut, saya teringat akan cadangan Tun Mahathir tentang penggunaan dinar emas pada tahun 2001, sebagai matawang dunia menggantikan US Dollar. Namun cadangan Tun pada ketika itu, disambut sepi oleh kebanyakkan negara, termasuklah negara-negara OIC.

Ternyata hari ini, negara yang dikatakan sebagai gergasi ekonomi dunia, sedang kelam kabut mencari alternatif bagi meningkatkan semula ekonomi mereka yang sedang teruk merudum , sehingga akhirnya tampil dengan satu idea untuk mewujudkan matawang baru, bagi menggantikan US Dollar.

Dalam hal ini, penggunaan dinar sebagai matawang, akan dapat memulih dan menstabilkan kembali urusan ekonomi dunia. Perkara ini diakui oleh ramai bijak pandai, baik di dalam negara, mahupun di luar negara.

Penggunaan US Dollar sebagai matawang dunia bermula apabila berlakunya perjanjian Bretton Wood pada tahun 1944. Jelas pada hari ini, matawang US Dollar diramalkan tidak akan bertahan dengan lebih lama. Selama 65 tahun sistem ini diguna pakai dan pada hari ini, semakin jelas petanda-petanda yang menunjukkan bahawa matawang US Dollar yang diasaskan ketika persidangan Bretton Wood, tidak lagi dapat menjamin kestabilan ekonomi di seluruh dunia.


Dunia juga tidak dapat menafikan, bahawa penggunaan dinar emas sebagai matawang perdagangan antarabangsa, sememangnya dapat menjamin kestabilan ekonomi di seluruh dunia. Ini memandangkan, bahawa nilai emas yang sentiasa stabil dan tidak boleh dimanupulasi atau di spekulasi oleh golongan tertentu, seperti yang berlaku pada tahun 1997-1999 akibat spekulasi terancang dari George Soros. (baca selanjutnya tentang Dinar Emas)

Di dalam Al Quran, Allah meletakkan tiga perkara yang paling berharga buat manusia di muka bumi ini. Pertama, makanan. Kedua emas dan yang ketiga ialah perak.

Justeru itu, Malaysia sebagai sebuah negara yang terawal menyatakan cadangan pengunaan dinar emas bagi menggantikan US Dollar, hari ini perlu mendesak dunia sekali lagi, agar penggunaan dinar emas sebagai matawang, diguna pakai bagi menggantikan sistem Bretton Wood yang kini dilihat sudah hampir ke penghujungnya.

Namun, seperti kata Tun, pastinya diperingkat awal penggunaan matawang ini, sedikit sebanyak akan dapat diatas, namun sekiranya golongan pakar ekonomi baik dari dunia Islam atau tidak, berusaha mencari sistem dan pendekatan perlaksanaan yang dinamik dan tersusun, InsyaAllah, ekonomi berdasarkan nilaian emas dinar ini akan menjamin masa depan ekonomi yang stabil, serta akan dapat bertahan lebih lama.

Di dalam hati, saya amat-amat berharap, agar kerajaan BN pimpinan UMNO, yang diketuai oleh Datuk Seri Najib Tun Razak, dapat mengulangi cadangan Malaysia dalam penggunaan dinar emas sebagai matawang dunia, serta mengajak rakan-rakan dunia terutama negara-negara OIC, agar turut sama bersetuju dengan perkara tersebut, bagi menggantikan US Dollar yang kini dilihat semakin lama, semakin tenat...

-Abu Muhammad Zubair-

Isnin, 10 Ogos 2009

ALLAH ADA DI MANA-MANA?

Baru-baru ini, saya bertemu dengan dua orang sahabat. Perbualan kami, banyak berkisar tentang sejarah Islam, kemunduran umat Islam hari ini, dan juga termasuklah bab-bab tasauf dan akidah. Salah satu perkara yang paling panjang dibincangkan, ialah mengenai di mana Allah.

Salah seorang rakan saya itu, dengan tegas mengatakan, bahawa Allah ada di mana-mana. Dia berhujah dengan ayat, bahawa segala yang diciptakan ini, mempunyai zat Allah. Ini bermaksud, setiap kejadian di muka bumi ini, mempunyai sifat dan zat Allah yang menyimpulkan bahawa, Allah itu ada di mana-mana.

Namun, saya sebenarnya tidak sependapat dengannya. Bagi saya, apa yang diberitahu oleh Al Quran, bahawa Allah, Pemerintah Yang Maha Tinggi bersemayan (istiwa) di atas Arasy-Nya. Nanti saya akan bentangkan firman Allah yang menegaskan, bahawa Dia dengan Ketinggian dan Keagunggannya, bersemayam di atas Arasy di langit yang tinggi.

Sehinggalah sampai satu ketika, di mana rakan saya ini sanggup mengatakan, Allah ada di mana-mana sehingga di dalam najis juga ada Allah, saya sudah tidak lagi dapat menahan rasa amarah. Bagi saya, pendapatnya itu melampau, kerana telah meletakkan Allah yang Maha Tinggi dan Maha Suci, di sesuatu tempat yang tidak sesuai dengan Keagungan-Nya.

Dalam surah Al Ikhlas, Allah telah menegaskan bahawa Dia itu tidak serupa dengan makhluk yang diciptakan-Nya. Baik dari sudut apa sekali pun. Sekali lagi saya ulangi, baik dari sudut apa sekalipun. Bahkan saya juga amat-amat menolak kata-kata seorang Tok Guru, apabila dia mengatakan bahawa Allah juga mencarut dan Allah juga samseng.

Mencarut itu perbuatan manusia. Mencarut itu pengertiannya secara umum bagi rakyat yang memahami bahasa Malaysia, ialah perbuatan yang tidak baik. Bercakap kotor. Contohnya p****m**k, p***n**t dan sebagainya. Itulah yang kita fahami dengan perkataan mencarut. Jadi, di dalam Al Quran, adakah Allah pernah bercakap kotor di dalam firman-firmanNya?

Ya, Allah ada memberi amaran, tetapi bahasa yang digunakan lebih sesuai ditakrifkan dalam bentuk kata-kata herdikan, sindiran, kutukan dan juga amaran. Herdikan, sindiran, kutukan dan juga ayat-ayat mengugut (amaran) secara umumnya difahami, tidaklah termasuk dalam kata-kata yang boleh dikategorikan dalam istilah mencarut.

Begitu juga dengan mengatakan bahawa Allah itu samseng. Jika Allah samseng, ulama juga samsenglah. Jika perbuatan Allah itu kita katakan sebagai samseng, maka baginda Rasulullah saw dan para sahabat juga bolehlah dianggap sebagai samseng? Bolehkah begitu?

Samseng dalam pengertian bahasa Malaysia di negara ini, ialah seseorang yang mempunyai perlakuan jahat. Orang yang dikenali sebagai samseng, selalunya suka menzalimi manusia lain, bercakap mengikut sedap lidah, mencuri, membunuh, panas baran, suka berkelahi dan bertumbuk, ego dan lain-lain.

Saya tidak pernah lagi mendengar orang-orang awam menisbatkan perbuatan ulama-ulama yang ada di Malaysia, termasuklah tok guru itu sendiri dengan perkataan samseng. Bagaimana agaknya kalau kita katakan, sebagai contoh, Imam Syafie atau Tok Guru Nik Aziz juga sebagai seorang samseng? Agak-agak boleh terima atau tidak jika kita mengatakan demikian kepada dua orang tokoh ilmu?


Apakah Allah bersifat yang sedemikian? Apakah kita boleh menyamakan sifat Allah swt dengan sifat dan perangai manusia yang diciptakan-Nya? Apakah baginda Rasulullah saw dan para sahabat bersifat sedemikian? Inilah akibatnya, apabila bercakap dengan nawaitu untuk menang dan mempengaruhi hati orang lain, semata-mata kerana politik.

Berbalik kepada cerita rakan saya itu, ternyata, dia bercakap mengikut sedap lidah tanpa sebarang dalil dan fakta. Bila bercakap tentang Islam, dalil Quran dan Sunnah terpenting untuk dijadikan hujah.

Inilah akibatnya, jika bercakap mengenai akidah hanya dengan membaca satu dua buku. Apabila bercerita tentang Allah, kita sebenarnya bercakap tentang akidah. Akidah merupakan pokok utama dalam Islam. Kenapa Yahudi itu termasuk di dalam golongan yang dimurkai? Kenapa golongan Nasrani termasuk di dalam golongan yang sesat? Semuanya kerana akidah sesat yang mereka anuti.

Jadi di sini, biar saya bentangkan beberapa hujah yang mengatakan, bahawa Allah itu berada di langit, bersemayam di atas Arasy-Nya sesuai dengan keagungan dan ketinggian-Nya melalui ayat-ayat Al Quran, hadis dan juga pendapat-pendapat imam-imam tersohor termasuklah empat Imam Mazhab.

Firman Allah swt di dalam Al Quran :

Surah Al-A'raaf ayat 7

Sesungguhnya Tuhan kamu ialah Allah Yang Menciptakan langit dan bumi dalam enam masa lalu Dia bersemayam di atas Arasy; Dia melindungi malam dengan siang yang mengiringinya dengan deras (silih berganti) dan (Dia pula Yang Menciptakan) matahari dan bulan serta bintang-bintang, (semuanya) tunduk kepada perintahNya. Ingatlah, kepada Allah jualah tertentu urusan menciptakan (sekalian makhluk) dan urusan pemerintahan. Maha Suci Allah Yang Mencipta dan Mentadbirkan sekalian alam-Surah Al-A'raaf ayat 7


Surah Yunus ayat 3

Sesungguhnya Tuhan kamu ialah Allah yang menjadikan langit dan bumi dalam enam masa kemudian Dia bersemayam di atas Arasy mentadbirkan segala urusan. Tidak ada sesiapa pun yang dapat memberi syafaat melainkan sesudah diizinkanNya. (Yang bersifat demikian) itulah Allah, Tuhan (yang memelihara dan mentadbirkan keadaan) kamu; maka tunduklah dan taatlah kamu kepada perintahNya; patutkah kamu setelah mengetahui kenyataan yang tersebut tidak mahu mengingatiNya?


Surah Ar-Rad ayat 2

Allah jualah yang menjadikan langit terangkat tinggi dengan tiada bertiang sebagaimana yang kamu melihatnya, kemudian Dia bersemayam di atas Arasy dan Dia memudahkan matahari dan bulan (untuk faedah makhluk-makhlukNya); tiap-tiap satu dari keduanya beredar untuk suatu masa yang telah ditetapkan. Allah jualah yang mentadbirkan segala urusan; Dia menerangkan tanda-tanda kekuasaanNya satu-persatu, supaya kamu yakin kepada pertemuan Tuhan kamu (untuk menerima balasan).


Surah Taha ayat 5

Iaitu (Allah) Ar-Rahman, yang bersemayam di atas Arasy.


Surah Al Furqan ayat 59

Tuhan yang menciptakan langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya, dalam enam masa, kemudian Dia bersemayam di atas Arasy, Ialah Ar-Rahman (Tuhan Yang Maha Pemurah); maka bertanyalah akan hal itu kepada Yang Mengetahuinya.


Surah As Sajadah ayat 4

Allah Tuhan yang menciptakan langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya dalam enam masa, kemudian Dia bersemayam di atas Arasy; kamu tidak akan beroleh sebarang penolong dan pemberi syafaat selain dari Allah; oleh itu tidakkah kamu mahu insaf dan mengambil iktibar (untuk mencapai keredaanNya)?


Surah Al Hadiid ayat 4

Dialah yang telah menciptakan langit dan bumi dalam enam masa, kemudian Dia bersemayam di atas Arasy; Dia Mengetahui apa yang masuk ke bumi serta apa yang keluar daripadanya dan apa yang diturunkan dari langit serta apa yang naik padanya dan Dia tetap bersama-sama kamu di mana sahaja kamu berada dan Allah Maha Melihat akan apa yang kamu kerjakan.


Apa pula pendapat Imam Syafie dan imam-imam lain berkenaan hal ini? Mari kita baca apa pendapat mereka tentang bab istiwa ini.


IMAM SYAFIE

1. Dan Allah swt di atas Arasy-Nya dan Arasy-Nya di langit.

2. Kita menetapkan sifat-sifat (mengithbatkan sifat-sifat Allah) sebagaimana yang didatangkan oleh Al Quran dan yang warid tentang-Nya dari sunnah, kami menafikan tasybih (penyerupaan) tentang-Nya kerana dinafikan oleh Diri-Nya sendiri sebagaimana firman-Nya iaitu Tiada yang semisal dengan-Nya.


IMAM ABUL HASSAN AL ASY'ARI

1. Allah mempunyai sifat, mempunyai tangan, bersemayam di atas arasy-Nya dan mempunyai muka (wajah). Al Quran itu, kalamullah dan bukan makhluk dan Al Quran diturunkan dari langit.

2. Di atas langit-langit itulah Arasy, maka tatkala Arasy berada di atas langit-langit Allah berfirman : Apakah kamu merasa aman terhadap zat yang berada di atas langit? Sesungguhnya, Dia istiwa (bersemayam) di atas Arasy yang berada di atas langit dan tiap-tiap yang tinggi itu dinamakan As-Sama (langit). Yang dimaksudkan di dalam firman Apakah kamu merasa aman terhadap zat yang berada di atas langit bukanlah bermaksud seluruh langit, tetapi Arasy-Nya yang berada di atas langit.


IMAM ABU HANIFAH RAHIMAHULLAH

1. Sesiapa yang mengingkari sesungguhnya Allah berada di atas langit, maka sesungguhnya dia telah kafir. Demikian juga terhadap orang yang tawaqquf (diam) dengan mengatakan : Aku tidak tahu, apakah Tuhanku berada di langit atau di bumi? Berkata Imam Abu Hanifah : Sesungguhnya dia telah kafir kerana Allah telah berfirman :Ar-Rahman di atas Arasy al Istiwa


IMAM AHMAD BIN HANBAL

1. Benar, Allah di atas Arasy-Nya dan tidak ada sesiapa yang tersembunyi dari pengetahuan-Nya


IMAM IBNU KHUZAIMAH

1. Barang siapa yang tidak menetapkan Allah swt di atas Arasy-Nya dan Allah istiwa di atas tujuh langit-Nya, maka dia telah kafir terhadap Tuhannya.

2. Kami beriman dengan khabar dari Allah Jalla wa-'Ala sesungguhnya Pencipta kami Ia beristiwa (bersemayam) di atas ‘ArasyNya. Kami Tidak mengganti/mengubah kalam (firman) Allah dan kami tidak akan mengucapkan perkataan yang tidak pernah dikatakan (Allah) kepada kami sebagaimana (perbuatan kaum) yang menghilangkan sifat-sifat Allah seperti golongan Jahmiyah yang pernah berkata: Sesungguhnya Dia istawla (menguasai) ‘ArasyNya bukan istiwa (bersemayam). Maka mereka telah mengganti perkataan yang tidak pernah dikatakan (Allah) kepada mereka, ini menyerupai perbuatan Yahudi tatkala diperintah mengucapkan: Hithtatun (Ampunkanlah dosa-dosa kami), tetapi mereka mengucapkan (mengubah): Hinthah (makanlah gandum)! Mereka (kaum Yahudi) telah menyalahi perintah Allah Yang Maha Agung dan Maha Tinggi maka seperti itulah (perbuatan kaum) Jahmiyah"


SYEIKH ABDUL QADIR AL JAILANI

1. Tidak boleh mensifatkan Allah bahawa Ia berada di tiap-tiap tempat. Bahkan (wajib) mengatakan: Sesungguhnya Allah di atas langit (yakni) di atas ‘Arasy sebagaimana Ia telah berfirman: Ar Rahman di atas Arasy, Ia beristiwa. Dan wajiblah memutlakkan sifat istiwa tanpa takwil, sesungguhnya Allah istiwa dengan ZatNya di atas ‘Arasy. KeadaanNya di atas ‘Arasy disebut pada tiap-tiap kitab yang Dia turunkan kepada tiap-tipa Nabi yang diutus tanpa bertanya (para nabi yang diutus tidak bertanya): Bagaimana caranya (Allah istiwa di atas ‘ArasyNya)?"


Jelas, di dalam Al Quran, Allah swt telah menegaskan sebanyak 7 kali bahawa Dia dengan Ketinggian dan Keagungan-Nya bersemayan di atas Arasy di langit yang tertinggi. Mengapa pula kita mengatakan Allah ada di mana-mana?


Sebenarnya, yang ada di mana-mana di sekeliling kita, termasuklah diri kita sendiri ini ialah ilmu-Nya, dan bukanlah Allah swt itu sendiri yang berada di mana-mana. Ini telah diterangkan oleh Imam Malik r.a. :


"Allah berada di atas langit sedangkan ilmu-Nya di tiap-tiap tempat (iaitu di mana-mana), tidak tersembunyi sesuatupun dari-Nya"


Mudah-mudahan, apa yang dibentangkan ini, dapat memberikan manfaat pada kita semua dalam memperbetulkan akidah. Jangan pula ada yang mengatakan bahawa saya bermazhab Wahabi kerana sejak akhir-akhir ini, ramai yang mengatakan bahawa golongan bermazhab wahabi yang mempunyai iktikad bahawa Allah swt bersemayam di atas Arasy.


Untuk makluman, saya tidak pernah menganggap bahawa apa yang dikatakan sebagai Wahabi itu adalah satu mazhab.


Saya tidak memandai-mandai mengatakan bahawa Allah itu bersemayam di atas Arasy tetapi Allah swt sendirilah yang memberitahu pada makhluknya bahawa Dia dengan ketinggian dan keagungan-Nya, bersemayam di atas Arasy di atas langit yang ke tujuh.

Selasa, 16 Jun 2009

JANGANLAH JADI SEPERTI ABDULLAH BIN SABA

Istilah ‘kerajaan-perpaduan’ menjadi panas. Saya sendiri tidak pasti apakah maksudnya. Mungkinkah ia seperti ‘Islam Hadhari’ yang muncul istilah dahulu, maksudnya dicari kemudian. Apapun bagi saya, sebagai seorang muslim saya amat gembira dan bahagia jika sesama muslim dapat berdamai dan mencari jalan ke arah kemaslahatan umat.

Orang yang enggan melihat sesama muslim cuba berdamai ialah manusia yang dirasuk syaitan samada disebabkan dendam kesumat yang tidak habis-habis atau fanatik yang bukan-bukan, atau buruk sangka yang tiada tepinya. Melainkan jika dia dapat buktikan bahawa perbalahan sesama muslim itu lebih besar kebaikan daripada perdamaian.

Allah menyebut: (maksudnya)

“Sebenarnya orang-orang yang beriman itu bersaudara, maka damaikanlah antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat” (Surah al-Hujurat: ayat 10).

Jika dahulu perkataan ‘asabiyyah’ itu diwakili oleh ketaksuban kepada kaum atau kabilah sehingga berlaku perbalahan dan peperangan, namun hari ini ‘asabiyyah’ itu menjelma dalam bentuk parti, kumpulan, jamaah dan berbagai lagi bentuk perkumpulan manusia. Lalu manusia berbalah kerananya.

Nabi s.a.w bersabda:

“…Sesiapa yang berperang di bawah rayah ‘immiyyah (bendera kebutaan) dan menyeru kepada ‘asabiyyah atau marah kerana ‘asabiyyah maka kematiannya adalah jahiliyyah”. (riwayat Muslim).

Dalam riwayat yang lemah sanadnya (tetapi dikuatkan dengan hadis tadi) dikatakan Nabi bersabda:
“Bukan di kalangan kami sesiapa yang menyeru kepada ‘asabiyyah, bukan sesiapa yang berperang atas ‘asabiyyah, dan bukan di kalangan kami sesiapa yang mati atas ‘asabiyyah” (Riwayat Abu Daud).

Penyakit ‘asabiyyah bukan sahaja dalam bentuk perkauman arab, atau parsi atau melayu tetapi juga dalam parti-parti yang dibentuk dibawah nama ‘demokrasi’ hari ini. Segala prinsip dan kewarasan hilang hanya disebabkan ketaksuban kepada parti atau kebencian kepada ‘pesaing parti’. Sehingga yang kononnya berjuang untuk arab atau melayu boleh berpakat dengan bukan orang lain untuk menindas kaumnya.

Demikian yang kononnya berjuang untuk Islam boleh berpakat dengan bukan Islam untuk bermusuhan dengan orang Islam. Bahkan ada yang kuat ‘kebangsaannya’ boleh menghina bangsanya hanya kerana berbeza parti.

Begitu yang kononnya kuat Islam bukan berkawan dengan sosialis, kapitalis, bahkan anti-negara Islam, tetapi berang jika diajak berdamai dengan orang Islam. Parti telah membentuk ‘asabiyyah yang menakutkan dan mencerai-beraikan orang Islam.

Saya amat berharap umat Islam dalam negara ini keluar dari kemaslahatan parti kepada kemaslahatan umat yang lebih besar daripada parti. Nabi s.a.w memuji al-Hasan bin ‘Ali disebabkan beliau telah melakukan tindakan yang menyebabkan perbalahan antara penyokong Mu’awiyah r.a. dan penyokong ‘Ali r.a dapat diredakan.

Abu Bakrah r.a menyebut: “Aku melihat Rasulullah s.a.w. di atas mimbar sementara al-Hasan bin `Ali berada di sebelahnya. Baginda menghadap ke arah orang ramai dan kemudian kepada al-Hasan, lalu bersabda: “Sesungguhnya anakku ini adalah seorang tuan, mudah-mudahan Allah mendamaikan dengannya dua puak yang besar daripada orang-orang Islam” (Riwayat al-Bukhari).

Hadis ini menjadi kenyataan apabila Saiyyidina Hasan telah mengundur diri dari kerusi pemerintahan dan menyerahkannya kepada Mu`awiyah selepas kewafatan ayahnya Saiyyidina `Ali. Mu`awiyah dengan itu menguasai pemerintahan sepenuhnya dan tahun tersebut dinamakan oleh orang Islam iaitu “tahun perpaduan” (Ibn Kathir, Al-Ba`ith al-Hathith, m.s. 177, Beirut: Dar al-Fikr).

Di samping itu, Mu`awiyah sendiri mempunyai hasrat perpaduan di mana beliau berkata:”Siapa yang akan menjamin orang Islam (sekiranya dibunuh ayah-ayah mereka)” (Riwayat al-Bukhari).

Ibn Taimiyyah dalam ulasannya menyebut: “Nabi s.a.w. memuji al-Hasan kerana perdamaian yang dilakukannya dan menamakannya sebagai sayyid iaitu `tuan’. Ini kerana, Allah dan RasulNya suka dan redha terhadap apa yang al-Hasan lakukan.

Andainya peperangan yang berlaku antara orang Islam itu diperintah oleh Allah dan RasulNya, tentu Rasulullah tidak akan memuji langkah perdamaian yang diambil oleh al-Hasan. Kalau peperangan itu suatu yang disuruh oleh Allah dan RasulNya, bererti al-Hasan telah meninggalkan suatu kewajipan atau perkara yang disukai Allah. Hadis ini adalah dalil yang jelas bahawa apa yang dibuat oleh al-Hasan adalah sesuatu yang terpuji.”(Ibn Taimiyyah, Al-Khilafah wa al-Mulk, m.s. 84).

Di Malaysia, kita tidak pun tidak mengharapkan parti-parti umat Islam ini menyerah kuasa antara satu sama lain. Ya, kita perlukan imbangan kuasa antara kerajaan dan pembangkang. Apa yang kita harapkan mereka dapat duduk semeja membincangkan tentang maslahat umat ini terutama yang membabit isu-isu khusus umat Islam.

Apakah langsung tidak persamaan pendirian atau sikap antara UMNO dan PAS dalam isu-isu khusus? Kita boleh berbeza atau berselisih sekalipun, tetapi kena ada titik-titik persamaan mengenai kemaslahatan umat dan rakyat.

Berfikirlah atas landasan nas dan ukhuwwah islamiyyah melebihi sikap ‘tegar’ yang hanya mengikat diri dengan belenggu kepartian semata-mata. Islam itu bukan sekadar politik, Islam juga akidah, akhlak, ekonomi, pendidikan dan berbagai lagi. Apakah dalam keadaan gentir ini tiada langsung nafas untuk memikirkan kemaslahatan umat dalam masalah-masalah khusus kita?

Jika UMNO dan PAS boleh duduk bermesra dan bermanis dengan mereka yang berbeza prinsip dan perjuangan, apakah langsung tiada ruang sesama mereka. Marilah kita bimbangi apa yang
Nabi s.a.w sebut:

“Manusia yang paling Allah benci ialah yang berkeras kepala dalam perbalahan” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Sebab itu ketika saya bersembang panjang dengan Tun Abdullah di London dua minggu lepas, saya mencadangkan agar duduklah UMNO dan PAS berbincang dalam perkara-perkara di luar isu politik. Belajar faham memahami antara satu sama lain. Niatkan kerana Allah, bukan kerana parti.

Jika pun mereka pernah ada rekod buruk perdamaian sebelum ini, namun zaman dan masa sudah berbeza. Semalam sudah tidak sama dengan hari ini. Hari ini manusia lebih matang dan keadaan lebih getir. Jangan lagi berbincang bermula dari titik tolak kuasa, tetapi berbincang dari titik kemaslahatan umat.

Jika benar ada keikhlasan, keberkatan akan datang. Jika niat ikhlas inginkan perdamaian, Allah akan membuka jalan kebaikan. Kalau kuffar musuh Islam ingin berdamai, kita disuruh sahut perdamaian. Inikan pula sesama muslim.

Firman Allah: (maksudnya)

“Dan jika mereka (pihak musuh) cenderung kepada perdamaian, maka engkau juga hendaklah cenderung kepadanya serta bertawakalah kepada Allah. Sesungguhnya Dia Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui” (Surah al-Anfal, ayat 61).

Ada pihak yang berkata perdamaian antara parti-parti orang Islam akan memangsakan orang ‘lain’. Saya hairan, apakah setiap kali jika dua golongan berunding maka pihak lain pasti menjadi mangsa?.

Saya fikir jika muslim yang berbicara demikian, dia seorang yang sama dengan pengikut Abdullah bin Saba yang mencetuskan peperangan antara ‘Ali dan ‘Aishah. Mereka itu apabila melihat ‘Ali berdamai dengan ‘Aishah r.ha, mereka mencetuskan serangan mengejut sehingga mengheret umat Islam bertempur sesama sendiri.

Menurut Ibn Kathir (meninggal 774H), apabila mendengar keputusan `Ali untuk berdamai, mereka yang terlibat dalam peristiwa pembunuhan `Uthman iaitu para pemberontak yang ada di dalam tentera `Ali menjadi takut.

Mereka berbincang sesama sendiri dan berkata: “Mereka telah berdamai atas darah-darah kita”. Maksud mereka perdamaian ini bererti senjata akan dihalakan pula ke arah mereka.. mereka terus berbincang, akhirnya `Abd Allah bin Saba’ mencadangkan agar mereka memulakan api peperangan agar peperangan tetap tercetus.

Sebelum menjelangnya waktu subuh mereka telah melancarkan serangan terhadap tentera-tentera `Aisyah dan `Ali secara serentak menyebabkan kedua-dua pihak menyangka bahawa pihak yang satu lagi telah mungkir janji.

Tentera `Aisyah telah menyatakan: “Tentera `Ali telah menyerang kita”. Sementera tentera `Ali pula menyatakan: “Tentera `Aisyah telah menyerang kita”. Maka tercetuslah peperangan Jamal yang menyebabkan kematian yang begitu banyak…(al-Bidayah wa al-Nihayah 7/249, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah).

Kata Winston Churchill: “History repeats itself because no one was listening the first time”.

Dr. Asri Zainal Abidin -www.drmaza.com

sumber : http://taman-pemuda.blogspot.com

p/s : Bersatu Kerana Allah dan Rasul

Khamis, 2 April 2009

SELAGI MEREKA MENDIRIKAN SEMBAHYANG...

Ini adalah sekadar contoh, bukanlah untuk menyebelahi mana-mana pihak. Mana-mana individu yang digelar ulama, tetapi menyeru kepada perpecahan, kebencian dan permusuhan, mereka tidak layak digelar dengan gelaran tersebut, kerana mereka sendiri sebenarnya tidak faham, apa makna Islam dan mencemar golongan ulama itu sendiri.

Tengok dengan mata hati, fikirkan dengan dalil Illahi, contohilah sunnah Nabi...

Ahad, 8 Februari 2009

BERTENANGLAH...

Sedikit sebanyak, situasi politik umat Islam di Perak, telah mencuit hati saya. Apabila saya melihat kepada tingkah laku sesetengah penyokong kepada parti politik yang menjadikan Islam sebagai dasar perjuangannya, maka saya jadi tertanya-tanya.

Saya bukanlah mahu menyebelahi mana-mana parti atau kumpulan, tetapi apabila melihatkan situasi yang berlaku di Perak baru-baru ini, seakan-akan tidak lagi timbul soal akhlak di kalangan umat Islam apabila ia ada kaitan dengan politik dan kuasa.

Apakah tindakan mereka, menghina pemimpin, merusuh, memaki hamun dan bertindak seperti gambar di atas ini adalah ciri-ciri seorang pejuang Islam? Benarkah, demi untuk menegakkan sebuah negara Islam, cara-cara yang tidak bertepatan dan selari dengan akhlak seorang Muslim boleh diketepikan buat sementara waktu?

Lupakah kita, pada perjanjian Hudaibiyah yang terang-terang memihak pada kaum musyrikin, namun Rasulullah saw tetap menerimanya kerana baginda yakin, Allah Maha Mengetahui lagi Maha Merencana.

Selain itu, sekiranya Rasulullah s.a.w. masih hidup, adakah baginda akan merestui tindakan sebegini, atas nama perjuangan Islam? Apakah dengan memakai pakaian yang dianggap melambangkan Islam, seperti ketayap dan jubah, kemudiannya tiba-tiba bertindak ganas, kasar serta memaki hamun selepas mengadap Allah pada hari Jumaat, akan menaikkan lagi imej Islam di mata masyarakat, ataupun tindakanseperti itu hanya akan menyebabkan Islam yang sedang terfitnah hari ini, terus difitnah terutama di kalangan bukan Islam?

Di sini saya petik komen Dr Asri berkenaan isu politik yang sedang hangat membara di negeri tersebut.

Banyak sekali email isu pergelutan kuasa politik di Perak dihantar kepada saya. Maaf, saya tidak dapat memberikan jawapan yang mencukupi kerana barangkali maklumat yang meyakinkan saya belum mantap.

Saya pada prinsipnya tidak dapat menerima perangai ‘lompat parti’ kerana itu adalah sikap yang tidak telus dan jujur terhadap undi rakyat.

Sesiapa mahu tukar parti setelah dipilih, sepatutnya meletak jawatan dan bertanding semula. Serahkan semula amanah tersebut kepada rakyat. Rakyat ketika mengundi meluahkan hasrat mereka, dan itu tidak boleh diubah sewenang-wenangnya. Cuma ada beberapa perkara yang berlegar dalam fikiran saya tentang keadaan Perak;

1. Jika perbuatan melompat itu tidak dapat diterima oleh sesetengah pihak, sepatutnya ketika isu lompat parti pada 16 September 2008 diuar-uarkan sikap yang sama ditunjukkan. Pendirian yang istiqamah atas prinsip itu hendaklah ditunjukkan dalam semua keadaan. Apakah bantahan isu Perak ini memang benar-benar atas prinsip atau semangat kepartian semata?

2. Tokoh agama Perak yang terkenal, Datuk Seri Harussani Zakaria adalah seorang mufti terkenal, juga tokoh kepercayaan PAS sendiri. Beliau mengepalai upacara membaca doa perlantikan MB baru, YB Datuk Dr Zamry.

Adakah kemungkinan beliau telah melihat berbagai aspek isu tersebut, terutama dari segi agama. Maka saya kira mungkin orang PAS patut merujuk kepada Sahibus Samahah DS Harussani terlebih dahulu sebelum membantah keputusan Sultan Perak itu di sudut agama terutamanya. Mungkin ada perkara yang beliau lebih maklum, sebagai ‘orang lama’ Perak. Apatahlagi, beliau selama itu amat diyakini oleh orang PAS sendiri.

3. Beberapa pihak menyatakan YB DS Nizar sebenarnya hanyalah ‘boneka DAP’. Saya sendiri diberikan berbagai maklumbalas oleh pihak yang tiada kaitan politik. Kononnya, apa yang dilaksanakan di Perak adalah keputusan mesyuarat exco yang didominasi oleh DAP yang menumpukan kepentingan kepada kaum tertentu. Isu pemberian tanah kepada masyarakat cina umpamanya dibangkitkan.

Dakwaan ini bukan sebarangan, sebab pihak Istana Perak sendiri seakan memberi isyarat kerunsingan tentang kedudukan ‘orang Islam’ di Perak. Dakwaan ini perlu dikaji dengan cermat dan teliti tanpa emosi. Apakah benar atau sebaliknya?

4. Dari segi kepentingan umat, tanpa mengira parti, kita perlu menilai; manakah kepimpinan Kerajaan Perak yang lebih bermanfaat dan kurang mudarat kepada umat dan rakyat? Manakah pula yang akan membahayakan masa depan umat? Ini perlu dilihat dengan teliti.

Saya kira, sekiranya anda menggelarkan diri anda sebagai pejuang Islam, maka hayatilah sebenar-benarnnya akhlak pejuang Islam pada sebaik-baik kurun, kerana jika tidak, anda hanya menjadi salah seorang keluarga besar umat Muhammad s.a.w. yang terbabit dalam mengundang fitnah terhadap agama Allah yang Maha Tinggi ini. Beringat-ingatlah! Allah Maha Kuasa, Makhluk Tiada Kuasa. Setiap perkara yang berlaku, pasti ada sebabnya!

Jumaat, 6 Februari 2009

PESANAN KEPADA PEJUANG ISLAM

Dalam artikel Dr Asri Zainul Abidin beliau ada meletakkan nasihat al-Syeikh Abu al-Hasan ‘Ali al-Nadwi kepada al-Ikhwan al-Muslimin. 

 

Nasihat ini beliau rakamkan dalam risalahnya yang bertajuk: Uridu an atahaddatha ila al-Ikhwan (Aku Ingin Berbicara Dengan Al-Ikhwan al-Muslimin). Al-Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradawi juga memetik ungkapan-ungkapan indah risalah tersebut dalam bukunya: “Al-Syeikh Abu al-Hasan al-Nadwi kama ‘araftu”.

Kata al-Syeikh Abu al-Hasan ‘Ali al-Nadwi kepada al-Ikhwan al-Muslimin:

 

Wahai ikhwan Muslimin yang mulia!

 

Sasaran dakwah al-din dan tajdid Islami itu bukanlah mudah. Bukanlah tujuan dan tumpuannya untuk menukar kerajaan semata. Tidak jua untuk mengubah satu suasana politik kepada suasana politik yang lain.

 

Tidak untuk menyebarkan pengetahuan dan ilmu, atau menghadapi buta huruf dan kejahilan, atau memerangi pengangguran, atau mengubati kecacatan masyarakat dan akhlak atau seumpamanya seperti yang diperjuangkan oleh para pejuang perubahan di Barat dan Timur.

 

Sebaliknya, ia adalah seruan Islam yang merangkumi akidah dan akhlak, amalan dan siasah, ibadah juga keperibadian diri dan masyarakat. Ia meliputi akal dan jiwa, ruh dan jasad. Ia bergantung kepada perubahan mendalam dalam hati dan jiwa, akidah dan akal.

 

Ia terpancar dari hati sanubari sebelum terbit dari pena, atau helaian buku, atau mimbar syarahan. 

 

Ia terlaksana dalam tubuh pendakwah dan kehidupannya sebelum dia menuntut dilaksanakan dalam masyarakat keseluruhannya….istimewanya dakwah dan kesungguhan para nabi ialah ketulusan mereka dari memikiran kepentingan kebendaan, hasil yang segera.

Mereka tidak mencari dengan dakwah dan jihad mereka melainkan keredhaan ALLAH. Melaksanakan perintahNya dan menunaikan risalahNya. Akal dan pemikiran mereka tulus dari amalan untuk dunia, mendapat kedudukan, menghasilkan kekuatan untuk keluarga dan pengikut, memperolehi kerajaan.

 

Bahkan itu semua tidak pernah terlintas dalam fikiran mereka. 

Adapun kerajaan yang tertegak untuk mereka pada waktu mereka dan kekuatan yang diperolehi pada masa itu hanyalah hadiah daripada ALLAH. Ia sebagai jalan untuk sampai kepada matlamat agama, melaksanakan hukum-hakamnya, mengubah masyarakat dan mengarahkan kehidupan. 

 

Ini seperti firman ALLAH: (maksud) Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan. (Surah al-Hajj: 41).

 

Bukanlah sama sekali kerajaan yang diperolehi itu salah satu dari matlamat mereka. Bukan jua salah satu dari tujuan mereka. Tidak jua dari tajuk perbicaraan mereka, atau salah satu dari mimpi mereka. Hanya ia adalah hasil semulajadi untuk dakwah dan jihad. Sama seperti buah yang merupakan hasil semulajadi dari kesuburan pokok dan kesungguhan pembajaannya….”

 

Katanya juga: “Wahai tuan-tuan!

 

Besarnya perbezaan antara matlamat yang dituju, dan natijah yang muncul. Perbezaan ini akan zahir dalam jiwa yang bekerja untuk itu. Maka, yang bertujuan mendapatkan kerajaan, akan hilang kesungguhan dan diam apabila tidak memperolehinya, atau hilang harapan mendapatkannya. 

 

Dia akan berhenti dari dakwah. Dia juga akan melampau jika berjaya. Bahaya bagi setiap jamaah yang pemikiran mereka dibentuk atas cinta (mendapatkan) kerajaan (kuasa) dan berkerja untuk itu. Kerana ia akan menyebabkan mereka meninggalkan jihad di jalan dakwah atau boleh terpaling dan terseleweng tujuan mereka. 

 

Sebabnya, uslub (cara) untuk mendapatkan kerajaan berbeza dengan uslub dakwah. 

 

Wajib kepada kita membersihkan akal dan jiwa kita, semata-mata untuk dakwah. Hanya dakwah, khidmat, pengorbanan, mengutamakan saudara muslim, mengeluarkan manusia –dengan izin ALLAH- dari segala kegelapan kepada cahaya (Islam), dari jahiliyah kepada Islam, dari kesempitan dunia kepada keluasannya. 

 

Dari kekejaman agama-agama yang sesat, sistem-sistem yang zalim, mazhab-mazhab yang tidak menentu, kepada keadilan Islam dan lembayungnya. Faktor yang membawa kita kepada amal dan jihad hanyalah untuk menunaikan perintah ALLAH dan kemenangan pada Hari Akhirat. 

 

Juga kerana apa yang ALLAH sediakan untuk hamba-hambaNya dari ganjaran dan pahala. Kemudian, faktor lain ialah simpati kepada makhluk, kesian kasih kepada insan yang tersiksa, dan keinginan terhadap keselamatan manusia. 

Jika pada satu peringkat dakwah, atau pada satu masa –setelah prinsip-prinsip dakwah dan akidah kukuh dalam jiwa pendakwah- tujuan dakwah tidak dapat dicapai melainkan dengan mendapatkan kerajaan, kita akan berusaha untuk mendapatkannya. Demi kemaslahatan dakwah. 

 

Dengan jiwa yang luhur dan bersih, benar dan amanat, kusyuk dan tulus, seperti kita bersungguh dalam tanggungjawab dan rukun agama, juga ibadah-ibadah yang lain.

 

Tiada beza bagi seorang mukmin antara kerajaan dan ibadah yang lain, jika telah ikhlas dan betul niatnya. Kesemua itu dalam redha ALLAH, kesemuanya pada jalan ALLAH. Kesemuanya ibadah yang mendekatkan diri kepada ALLAH. (rujukan: al-Qaradawi, Al-Syeikh Abu al-Hasan al-Nadwi kama ‘araftu, m.s. 122-125, Damsyik: Dar al-Qalam).

Wallahua'lam

sumber http://fakhrumobile.blogspot.com

 

Selasa, 9 Disember 2008

APABILA ORANG JAHIL CUBA MENULIS TENTANG ISLAM


Inilah blog yang mempertikai dan membuat kenyataan yang menghina Islam dan umatnya. Kepada umat Islam, jangan kita beremosi dengan kenyataan pemilik blog ini yang sebenarnya terdiri dalam golongan mereka yang jahil.

Usah kita berbalah dengan orang jahil. Tetapi berilah orang-orang jahil ini, ilmu tentang Islam. Terangkan Islam dengan penuh tenang dan bukannya bertindak mengikut emosi dan kemarahan. Rujuklah balik pada kaedah dakwah yang digunakan oleh Rasulullah saw dan juga para sahabat apabila berdepan dengan masyarakat Musyrikin kaum penyembah berhala di Mekah.

Sekiranya seseorang yang menghina agama kita itu jahil dan tidak tahu tentang Islam, maka tidak layak kita menyerang dan memaki hamunnya, sebaliknya menerangkan hujah-hujah dan kebenaran tentang Islam.

Tetapi... sekiranya kita sudah menyampaikan kepada orang jahil ini apa yang Nabi saw sampaikan kepada kaum Musyrikin penyembah berhala di Mekah dulu, namun di atetap tidak mahu menerima kebenaran itu, dan terus mahu mengutuk dan menyinggung perasaan umat Islam, maka layanan dan bentuk dakwah kepada mereka akan menggunakan cara yang berlainan...

Satu persoalan, apakah yang kekal di dunia ini? Manusia, nyawa, harta benda, anak isteri, kereta, pangkat, tumbuh-tumbuhan, gunung ganang... apa saja yang ada di dunia ini akan musnah dan hancur..hakikat ini diakui oleh setiap individu yang berfikiran waras dan modern di dalam dunia.

Tetapi, ada tempat yang kekal tidak hancur dan musnah sama sekali...kat mana tempat tu? Kena baca Al Quran.

Isnin, 1 Disember 2008

SENYUMAN PENUH MAKNA...











p/s : Gambar ini diterima melalui email. Gambar jenazah dua orang syuhada ini, dipaparkan secara eksklusif oleh salah satu media di Indonesia, MuslimDaily.net

Selasa, 28 Oktober 2008

BERHATI-HATI DENGAN HADIS PALSU...

BERBOHONG adalah satu kesalahan. Berbohong menggunakan nama agama adalah kesalahan yang lebih besar. Saya hairan mendengar sesetengah penceramah agama yang menyatakan haram berbohong, tetapi semasa ceramahnya, dia juga melakukan dosa pembohongan yang paling besar.

Apa tidaknya, dia berbohong dengan menyatakan Rasulullah SAW bersabda sesuatu hadis sedang hadis tersebut adalah palsu pada nilaian ilmu hadis. Bohong jenis ini jauh lebih besar dosanya dari bohong saudagar atau ahli politik.

Bohong saudagar dan ahli politik merosakkan harta orang, tetapi bohong pembaca hadis palsu merosakkan agama. Sebab itu Rasulullah SAW bersabda dalam hadis yang mutawatir:

Sesungguhnya berdusta ke atasku (menggunakan namaku) bukanlah seperti berdusta ke atas orang lain (menggunakan nama orang lain). Sesiapa yang berdusta ke atasku dengan sengaja, maka siaplah tempat duduknya dalam neraka”.

Hadis palsu adalah hadis yang direka atau diadakan-adakan, sedangkan ia tidak berasal daripada Rasulullah SAW. Banyak hadis rekaan ini dibaca oleh para penceramah yang jahil. Sehingga saya selalu menegur seorang ‘ustazah tv’ yang sering membaca hadis-hadis jenis ini untuk hidangan penonton.

Mungkin ada pembaca hadis palsu merasakan mereka tidak bersalah, sebab mereka hanya memetik daripada buku-buku mereka baca yang memuatkan hadis-hadis palsu. Maka mereka merasakan mereka hanya menyebarkan, maka tidak patut dipersalahkan.

Mereka lupa penyebar hadis palsu sama ada menerusi ucapan atau tulisan, dia dalam masa yang sama sebenarnya menipu orang lain apabila menyandar sesuatu perkara kepada Nabi SAW tanpa bukti yang sah. Pendengar akan terpedaya lalu mengamalkan perkara yang dianggapnya daripada Nabi SAW, sedang ia bukan seperti yang disangkakan.

Al-Imam Ibn Hibban (w. 354H) dalam kitab sahihnya meletakkan satu pasal yang beliau namakan:

Pasal menyebut ketetapan memasuki neraka untuk sesiapa yang menyandarkan sesuatu kepada al-Mustafa (Nabi Muhammad) SAW, sedangkan dia tidak tahu mengenai kesahihannya (Ibn Hibban, Sahih Ibn Hibban, 1/210).

Kata al-Syeikh Muhammad bin Muhammad Abu Syahbah:

Tidak halal meriwayatkan hadis palsu dalam apa perkara sekali pun, melainkan bersama keterangan tentang kepalsuannya. Ini sama ada berkaitan halal dan haram, atau fadail (kelebihan-kelebihan amalan), atau al-tarhib (menakutkan orang ramai terhadap maksiat) dan al-targhib (menggalakkan ibadah), atau kisah, atau sejarah atau selainnya.

Sesiapa yang meriwayatkan tanpa keterangan bererti telah melakukan dosa yang besar dan termasuk dalam senarai pendusta. Ini berasaskan apa yang diriwayatkan oleh al-Imam Muslim dalam mukadimah sahihnya bahawa Rasulullah SAW bersabda:

Sesiapa yang menyebut hadis daripadaku sedangkan dia menyangka ia dusta, maka dia termasuk salah seorang pendusta”.

Ramai ulama hadis telah menghukum dengan ta‘zir (denda) dan takdib (hukuman membetulkan akhlak) ke atas sesiapa yang meriwayatkan hadis palsu tanpa diterangkan kepalsuannya. Kata Abu ‘Abbas al-Sarraj:

Aku melihat diberikan kepada Muhammad bin Isma‘il al-Bukhari surat Ibn Karram yang bertanyakan beberapa hadis, antaranya: hadis daripada al-Zuhri, daripada Salim, daripada ayahnya - disandarkan kepada Rasulullah (Iman itu tidak bertambah dan tidak berkurang).

Maka al-Imam al-Bukhari menulis di atas surat tersebut:

Sesiapa yang menyebut hadis ini maka wajib dipukul dengan keras dan dipenjara dalam tempoh yang lama. Bahkan di kalangan ulama ada yang menghalalkan darahnya. Maka, ketika disebutkan hadis (palsu) Suwaid al-Anbari:

Sesiapa yang jatuh cinta, lalu dia menahan diri dan menyembunyikannya, kemudian mati, maka dia mati syahid), lalu Yahya bin Ma‘in berkata: “Darah orang ini halal”.

Ketika ditanya Ibn Hajar al-Haithami mengenai seorang khatib yang menaiki mimbar setiap Jumaat dan meriwayatkan hadis-hadis tanpa diterangkan sumber dan kedudukannya, maka jawabnya:

“Hadis-hadis yang dia sebut tanpa menerangkan perawi dan siapa yang menyebutnya, harus dengan syarat dia seorang yang mempunyai ilmu dalam hadis, atau dia memetik daripada kitab yang penulisnya ahli hadis. Adapun jika dia hanya bergantung kepada kitab atau ucapan yang penulisnya bukan ahli hadis, maka tidak halal (berbuat demikian).

Sesiapa yang melakukannya dita‘zirkan dengan keras. Inilah keadaan kebanyakan khatib. Mereka semata-mata hanya melihat khutbah yang mengandungi hadis-hadis, lalu mereka hafal. Mereka berkhutbah menggunakan hadis-hadis tersebut tanpa mengetahui asal-usulnya. Maka wajib ke atas pemerintah di setiap negeri menghalang para khatib dari berbuat demikian”. (Abu Syahbah, al- Wasit fi ‘Ulum wa al-Mustalah al-Hadis, m.s. 321-322).

Mengapa bohong menggunakan nama Nabi SAW amat dilarang sekalipun dengan niat yang baik? Ada beberapa sebab yang dapat saya simpulkan. Antaranya, jika pendustaan menggunakan nama orang biasa diharamkan, apatah lagi menggunakan nama seorang rasul.

Pendusta hadis palsu menyamakan rekaannya dengan wahyu, atau nilai kerasulan yang ada pada diri Nabi Muhammad SAW. Pendustaan jenis ini juga menghilang kehebatan dan keaslian agama. Agama yang hilang keasliannya, tiada nilainya lagi. Ia menyebabkan Islam yang bersumberkan wahyu sama seperti agama rekaan yang bersumberkan pemikiran dan khayalan manusia.

Ditambah lagi, pendustaan ini bererti penipuan terhadap pencinta Islam yang mungkin tertipu lalu mempercayai pendustaan itu. Mereka akan mengamalkan pendustaan itu dengan keyakinan ia tuntutan agama, padahal ia kepalsuan. Sedangkan mereka inginkan keaslian. Bahkan, pendustaan itu bererti pengkhianatan terhadap syariat yang diturunkan.

Jika pendustaan itu mempunyai unsur-unsur jahat, maka ia jenayah yang menyebabkan manusia hilang keyakinan terhadap agama. Atau menyebabkan manusia mengamalkan agama dalam bentuk yang salah.
Jika pendustaan itu menokok tambah unsur-unsur yang dianggap baik, pendustaan seakan menganggap agama yang diturunkan Allah belum lengkap, justeru memerlukan nas-nas tambahan dan rekaan.

Dalam sejarah, bukan sedikit kesan buruk hadis palsu yang dipalitkan kepada Islam yang suci ini. Contohnya, hadis rekaan: “Ayam jantan putih adalah kawanku, ia juga kawan kepada kawan ku. Musuh ayam jantan putih adalah musuhku dan musuh kepada musuhku”.

Hadis palsu ini kelihatan sangat lekeh dan menghina Rasulullah. Tidak mungkin keluar dari mulut seorang nabi perkara yang sebegini. Mungkin ia direka oleh penggemar ayam jantan putih.

Sebenarnya, semua hadis yang berkaitan dengan kelebihan ayam jantan putih adalah tidak benar sama sekali. (lihat: al-Jarahi, Kasyf al-Khafa, 2/422). Malangnya, dalam masyarakat kita ada kesan hadis palsu ini. Sesetengah kepercayaan dan bomoh mempercayai kelebihan ayam jantan putih untuk dibuat ubat dan seumpamanya.

Demikian juga pemalsuan hadis telah menjadikan ajaran al-Quran dan al-Sunnah seakan bertentangan antara satu sama lain. Padahal yang bertentangan itu hadis yang palsu.

Contohnya, hadis palsu “anak zina tidak akan masuk syurga”. Dahulu, ramai yang menganggap keji dan tiada peluang untuk kebaikan. Akibat daripada hadis-hadis palsu seperti yang dibaca oleh sesetengah pihak. Sehingga ada yang menyebut hadis palsu lain: Anak zina tujuh keturunan tidak akan masuk syurga.

Sedangkan Allah menyebut dalam Surah al-Isra ayat 15 yang bermaksud:

Sesiapa yang beroleh hidayah petunjuk, maka sesungguhnya petunjuk yang didapatinya itu hanya untuk dirinya sendiri, dan sesiapa yang sesat maka sesungguhnya kesesatannya hanya ditanggung oleh dirinya juga, dan seseorang tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain dan tiadalah Kami mengazabkan sesiapapun sebelum Kami mengutuskan seorang rasul (untuk menerangkan yang benar dan yang salah).

Jelas, mana mungkin anak zina dihukum disebabkan perbuatan kedua ibu bapanya?! Ini mencemarkan penegasan al-Quran tentang keadilan Allah yang tidak menghukum seseorang atas kesalahan orang lain. Juga ia menyebabkan si anak zina kecewa dengan Nabi SAW.
Demikian saya amat dukacita apabila diberitahu ada penceramah kursus perkahwinan membaca hadis palsu kononnya Rasulullah SAW bersabda: Apabila seseorang kamu menyetubuhi isteri atau jariahnya, maka jangan dia melihat pada kemaluan mereka kerana yang demikian itu menyebabkan buta.

Maka ‘demam’ pasangan yang ingin berkahwin mendengar hadis palsu ini. Sementara yang dah lama melihat kemaluan isterinya kehairanan kerana dia masih belum buta. Lalu mungkin disangkakan Nabi SAW memberitahu sesuatu yang tidak benar.

Sebenarnya, pereka hadis palsu itu yang berbohong dan ustaz pembaca hadis palsu tersebut menyebar kebohongan.

Sedangkan Allah berfirman dalam Surah al- Mukminun ayat 1-6: (maksudnya)
Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman. Iaitu mereka yang khusyuk dalam solatnya. Dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia; Dan mereka yang berusaha membersihkan hartanya (dengan menunaikan zakat harta itu); Dan mereka yang menjaga kemaluan mereka, kecuali kepada isterinya atau hamba sahayanya maka sesungguhnya mereka tidak tercela.

Mengulas hadis tadi, kata tokoh ilmuwan hadis, al-Syeikh Muhammad Nasir al-Din al-Albani r.h:Penilaian yang betul akan menunjukkan kebatilan hadis ini. Ini kerana dari segi persetubuhan, pengharaman melihat faraj isteri bererti pengharaman kepada wasail (faktor-faktor ke arah persetubuhan).

Jika Allah menghalalkan suami menyetubuhi isterinya, apakah logik untuk dia dilarang melihat kemaluan isterinya. Demi sesungguhnya tidak!
Ini dibuktikan dengan apa yang diriwayatkan daripada ‘Aisyah, katanya:

Aku dan Rasulullah pernah mandi bersama dari satu bekas air. Maka dia mendahuluiku sehingga aku kata: tinggalkan untukku! tinggalkan untukku!) Riwayat al-Bukhari, Muslim dan selain mereka.

Jelas daripada hadis ini harus melihat kemaluan isteri. Ini dikuatkan oleh riwayat Ibn Hibban melalui Sulaiman bin Musa yang apabila ditanya mengenai suami yang melihat kemaluan isterinya, dia menjawab:

“Aku pernah bertanya hal ini kepada ‘Ata. Kata ‘Ata: Aku pernah bertanya ‘Aisyah, lalu ‘Aisyah pun meriwayatkan hadis di atas” (Al-Albani, Silsilat al-Ahadis al- Da‘ifat wa al-Maudu‘at,, 1/353).

Contoh lain kepalsuan yang menyanggahi prinsip-prinsip Islam; hadis-hadis yang menyatakan orang yang bernama Muhammad atau Ahmad tidak akan masuk neraka. Ini bercanggah dengan prinsip Islam bahawa syurga dan neraka dinilai melalui amalan soleh. Ahli syurga adalah golongan yang beriman dan soleh. Sementara dimasukkan ke dalam neraka ahli maksiat walau apa nama dan panggilannya.

Kata Ibn Qayyim al-Jauziyyah:

“Ini bercanggahan dengan apa yang diketahui dari agama Nabi SAW iaitu; bahawa neraka tidak dapat dielakkan darinya dengan nama dan gelaran. Sebaliknya, yang menyelamatkan dari neraka ialah iman dan amalan soleh”. (Ibn Qayyim al-Jauziyyah, al-Manar al- Munif fi al-Sahih wa al-Da‘if, m.s. 57).

Namun, ada mempercayai bahawa nama yang baik sahaja boleh masuk syurga. Saya pernah mendengar penceramah agama yang menyatakan siapa nama ‘Ghazali’ mudah masuk syurga sebab sama dengan nama ulama. Inilah satu daripada salah faham terhadap agama.

Hari palsu juga mewujudkan khurafat yang pelbagai. Dulu ada orang Melayu yang menganggap Hari Rabu akhir bulan adalah hari mudah ditimpa nahas. Ini semua disebabkan hadis palsu yang menyebut hari Rabu terakhir bagi setiap bulan adalah hari nahas yang berterusan. Ini adalah hadis palsu. (Lihat: al-Albani, Silsilat al-Ahadis al- Da‘ifat wa al-Maudu‘at, 4/88.)

Menjadikan sesiapa yang percayanya ketakutan tanpa sebab dan memandulkan urusan kehidupan. Bahkan isi kepalsuan ini menyanggahi realiti yang kita saksikan. Betapa banyak hari Rabu akhir bulan datang dan pergi sedangkan kedatangan musibah tidak pernah memilih hari. Ia adalah ketentuan Allah SWT semata.

Malang sekali apabila ada penceramah motivasi yang membaca hadis ini sebagai tips-tips penting dalam mengatur hidup, kononnya elakkan hari Rabu terakhir dalam bulan Islam bimbang nanti ditimpa nahas.

Hadis-hadis palsu telah merosakkan imej Islam. Namun ramai yang belajar agama tidak mempelajari ilmu hadis atau merujuk kepada ulama hadis telah tersasul dengan membaca hadis-hadis palsu ini. Sehingga dalam laman web pihak yang berlogokan kemajuan Islam pun dimasukkan hadis palsu. Agama menjadi keliru disebabkan hadis-hadis yang seperti ini.

Maka kita sepatutnya selalu mengingati amaran Nabi SAW kepada para sahabah baginda:

Pada akhir zaman akan ada para dajjal lagi pendusta. Mereka membawa kepada kamu hadis-hadis yang tidak pernah kamu dan bapa-bapa kamu mendengarnya. Kamu hendaklah berhati-hati dengan mereka agar mereka tidak menyesatkan kamu dan memfitnah kamu (menipu kamu sehingga yang batil disangkakan benar). (Riwayat Muslim).