Sedikit sebanyak, situasi politik umat Islam di Perak, telah mencuit hati saya. Apabila saya melihat kepada tingkah laku sesetengah penyokong kepada parti politik yang menjadikan Islam sebagai dasar perjuangannya, maka saya jadi tertanya-tanya.
Saya bukanlah mahu menyebelahi mana-mana parti atau kumpulan, tetapi apabila melihatkan situasi yang berlaku di Perak baru-baru ini, seakan-akan tidak lagi timbul soal akhlak di kalangan umat Islam apabila ia ada kaitan dengan politik dan kuasa.
Apakah tindakan mereka, menghina pemimpin, merusuh, memaki hamun dan bertindak seperti gambar di atas ini adalah ciri-ciri seorang pejuang Islam? Benarkah, demi untuk menegakkan sebuah negara Islam, cara-cara yang tidak bertepatan dan selari dengan akhlak seorang Muslim boleh diketepikan buat sementara waktu?
Lupakah kita, pada perjanjian Hudaibiyah yang terang-terang memihak pada kaum musyrikin, namun Rasulullah saw tetap menerimanya kerana baginda yakin, Allah Maha Mengetahui lagi Maha Merencana.
Selain itu, sekiranya Rasulullah s.a.w. masih hidup, adakah baginda akan merestui tindakan sebegini, atas nama perjuangan Islam? Apakah dengan memakai pakaian yang dianggap melambangkan Islam, seperti ketayap dan jubah, kemudiannya tiba-tiba bertindak ganas, kasar serta memaki hamun selepas mengadap Allah pada hari Jumaat, akan menaikkan lagi imej Islam di mata masyarakat, ataupun tindakanseperti itu hanya akan menyebabkan Islam yang sedang terfitnah hari ini, terus difitnah terutama di kalangan bukan Islam?
Di sini saya petik komen Dr Asri berkenaan isu politik yang sedang hangat membara di negeri tersebut.
Banyak sekali email isu pergelutan kuasa politik di Perak dihantar kepada saya. Maaf, saya tidak dapat memberikan jawapan yang mencukupi kerana barangkali maklumat yang meyakinkan saya belum mantap.
Saya pada prinsipnya tidak dapat menerima perangai ‘lompat parti’ kerana itu adalah sikap yang tidak telus dan jujur terhadap undi rakyat.
Sesiapa mahu tukar parti setelah dipilih, sepatutnya meletak jawatan dan bertanding semula. Serahkan semula amanah tersebut kepada rakyat. Rakyat ketika mengundi meluahkan hasrat mereka, dan itu tidak boleh diubah sewenang-wenangnya. Cuma ada beberapa perkara yang berlegar dalam fikiran saya tentang keadaan Perak;
1. Jika perbuatan melompat itu tidak dapat diterima oleh sesetengah pihak, sepatutnya ketika isu lompat parti pada 16 September 2008 diuar-uarkan sikap yang sama ditunjukkan. Pendirian yang istiqamah atas prinsip itu hendaklah ditunjukkan dalam semua keadaan. Apakah bantahan isu Perak ini memang benar-benar atas prinsip atau semangat kepartian semata?
2. Tokoh agama Perak yang terkenal, Datuk Seri Harussani Zakaria adalah seorang mufti terkenal, juga tokoh kepercayaan PAS sendiri. Beliau mengepalai upacara membaca doa perlantikan MB baru, YB Datuk Dr Zamry.
Adakah kemungkinan beliau telah melihat berbagai aspek isu tersebut, terutama dari segi agama. Maka saya kira mungkin orang PAS patut merujuk kepada Sahibus Samahah DS Harussani terlebih dahulu sebelum membantah keputusan Sultan Perak itu di sudut agama terutamanya. Mungkin ada perkara yang beliau lebih maklum, sebagai ‘orang lama’ Perak. Apatahlagi, beliau selama itu amat diyakini oleh orang PAS sendiri.
3. Beberapa pihak menyatakan YB DS Nizar sebenarnya hanyalah ‘boneka DAP’. Saya sendiri diberikan berbagai maklumbalas oleh pihak yang tiada kaitan politik. Kononnya, apa yang dilaksanakan di Perak adalah keputusan mesyuarat exco yang didominasi oleh DAP yang menumpukan kepentingan kepada kaum tertentu. Isu pemberian tanah kepada masyarakat cina umpamanya dibangkitkan.
Dakwaan ini bukan sebarangan, sebab pihak Istana Perak sendiri seakan memberi isyarat kerunsingan tentang kedudukan ‘orang Islam’ di Perak. Dakwaan ini perlu dikaji dengan cermat dan teliti tanpa emosi. Apakah benar atau sebaliknya?
4. Dari segi kepentingan umat, tanpa mengira parti, kita perlu menilai; manakah kepimpinan Kerajaan Perak yang lebih bermanfaat dan kurang mudarat kepada umat dan rakyat? Manakah pula yang akan membahayakan masa depan umat? Ini perlu dilihat dengan teliti.
Saya kira, sekiranya anda menggelarkan diri anda sebagai pejuang Islam, maka hayatilah sebenar-benarnnya akhlak pejuang Islam pada sebaik-baik kurun, kerana jika tidak, anda hanya menjadi salah seorang keluarga besar umat Muhammad s.a.w. yang terbabit dalam mengundang fitnah terhadap agama Allah yang Maha Tinggi ini. Beringat-ingatlah! Allah Maha Kuasa, Makhluk Tiada Kuasa. Setiap perkara yang berlaku, pasti ada sebabnya!
تهذيب وتأديب الصغار في المكتبة التراثية
-
تناول علماء الإسلام منذ العصور المبكرة موضوع الطفولة بعمق، مركزين على
الأحكام الشرعية والتربية الأخلاقية لتنشئة الأطفال كأفراد فاضلين. رغم اهتمام
العلماء...
4 jam yang lalu
0 comments:
Catat Ulasan