DUNIA ISLAM

Tunjuk Perasaan Berlaku Hampir Di Seluruh Negara Umat Islam Hari Ini.

KAABAH

Kota Kelahiran Baginda Nabi Muhammad SAW.

TEKNOLOGI ILMU DAN NIKMAT DARI ALLAH

Teknologi Seumpama Pisau.Memberi Manfaat Jika Digunakan Untuk Kebaikan. Mudarat Jika Digunakan Untuk Jalan Kebatilan.

IQRA

Bacalah, Dengan Nama Tuhanmu Yang Menjadikan Kamu Dari Segumpal Darah...

TAURAT-INJIL-AL QURAN

Taurat dan Injil Disempurnakan Dengan Turunnya Al Quran.

Rabu, 9 September 2009

EMAS SEBAGAI MATAWANG DUNIA



Ketika membelek-belek tajuk-tajuk menarik yang terpapar di beberapa blog yang sering saya kunjungi, termasuklah blog chedet, saya tertarik dengan posting terbaru chedet, berkenaan satu laporan dari Blomberg yang melaporkan, bahawa UN kini sedang mencari satu matawang baru, bagi menggantikan US Dollar sebagai matawang perdagangan antarbangsa.

Apabila membaca laporan tersebut, saya teringat akan cadangan Tun Mahathir tentang penggunaan dinar emas pada tahun 2001, sebagai matawang dunia menggantikan US Dollar. Namun cadangan Tun pada ketika itu, disambut sepi oleh kebanyakkan negara, termasuklah negara-negara OIC.

Ternyata hari ini, negara yang dikatakan sebagai gergasi ekonomi dunia, sedang kelam kabut mencari alternatif bagi meningkatkan semula ekonomi mereka yang sedang teruk merudum , sehingga akhirnya tampil dengan satu idea untuk mewujudkan matawang baru, bagi menggantikan US Dollar.

Dalam hal ini, penggunaan dinar sebagai matawang, akan dapat memulih dan menstabilkan kembali urusan ekonomi dunia. Perkara ini diakui oleh ramai bijak pandai, baik di dalam negara, mahupun di luar negara.

Penggunaan US Dollar sebagai matawang dunia bermula apabila berlakunya perjanjian Bretton Wood pada tahun 1944. Jelas pada hari ini, matawang US Dollar diramalkan tidak akan bertahan dengan lebih lama. Selama 65 tahun sistem ini diguna pakai dan pada hari ini, semakin jelas petanda-petanda yang menunjukkan bahawa matawang US Dollar yang diasaskan ketika persidangan Bretton Wood, tidak lagi dapat menjamin kestabilan ekonomi di seluruh dunia.


Dunia juga tidak dapat menafikan, bahawa penggunaan dinar emas sebagai matawang perdagangan antarabangsa, sememangnya dapat menjamin kestabilan ekonomi di seluruh dunia. Ini memandangkan, bahawa nilai emas yang sentiasa stabil dan tidak boleh dimanupulasi atau di spekulasi oleh golongan tertentu, seperti yang berlaku pada tahun 1997-1999 akibat spekulasi terancang dari George Soros. (baca selanjutnya tentang Dinar Emas)

Di dalam Al Quran, Allah meletakkan tiga perkara yang paling berharga buat manusia di muka bumi ini. Pertama, makanan. Kedua emas dan yang ketiga ialah perak.

Justeru itu, Malaysia sebagai sebuah negara yang terawal menyatakan cadangan pengunaan dinar emas bagi menggantikan US Dollar, hari ini perlu mendesak dunia sekali lagi, agar penggunaan dinar emas sebagai matawang, diguna pakai bagi menggantikan sistem Bretton Wood yang kini dilihat sudah hampir ke penghujungnya.

Namun, seperti kata Tun, pastinya diperingkat awal penggunaan matawang ini, sedikit sebanyak akan dapat diatas, namun sekiranya golongan pakar ekonomi baik dari dunia Islam atau tidak, berusaha mencari sistem dan pendekatan perlaksanaan yang dinamik dan tersusun, InsyaAllah, ekonomi berdasarkan nilaian emas dinar ini akan menjamin masa depan ekonomi yang stabil, serta akan dapat bertahan lebih lama.

Di dalam hati, saya amat-amat berharap, agar kerajaan BN pimpinan UMNO, yang diketuai oleh Datuk Seri Najib Tun Razak, dapat mengulangi cadangan Malaysia dalam penggunaan dinar emas sebagai matawang dunia, serta mengajak rakan-rakan dunia terutama negara-negara OIC, agar turut sama bersetuju dengan perkara tersebut, bagi menggantikan US Dollar yang kini dilihat semakin lama, semakin tenat...

-Abu Muhammad Zubair-

Isnin, 10 Ogos 2009

ALLAH ADA DI MANA-MANA?

Baru-baru ini, saya bertemu dengan dua orang sahabat. Perbualan kami, banyak berkisar tentang sejarah Islam, kemunduran umat Islam hari ini, dan juga termasuklah bab-bab tasauf dan akidah. Salah satu perkara yang paling panjang dibincangkan, ialah mengenai di mana Allah.

Salah seorang rakan saya itu, dengan tegas mengatakan, bahawa Allah ada di mana-mana. Dia berhujah dengan ayat, bahawa segala yang diciptakan ini, mempunyai zat Allah. Ini bermaksud, setiap kejadian di muka bumi ini, mempunyai sifat dan zat Allah yang menyimpulkan bahawa, Allah itu ada di mana-mana.

Namun, saya sebenarnya tidak sependapat dengannya. Bagi saya, apa yang diberitahu oleh Al Quran, bahawa Allah, Pemerintah Yang Maha Tinggi bersemayan (istiwa) di atas Arasy-Nya. Nanti saya akan bentangkan firman Allah yang menegaskan, bahawa Dia dengan Ketinggian dan Keagunggannya, bersemayam di atas Arasy di langit yang tinggi.

Sehinggalah sampai satu ketika, di mana rakan saya ini sanggup mengatakan, Allah ada di mana-mana sehingga di dalam najis juga ada Allah, saya sudah tidak lagi dapat menahan rasa amarah. Bagi saya, pendapatnya itu melampau, kerana telah meletakkan Allah yang Maha Tinggi dan Maha Suci, di sesuatu tempat yang tidak sesuai dengan Keagungan-Nya.

Dalam surah Al Ikhlas, Allah telah menegaskan bahawa Dia itu tidak serupa dengan makhluk yang diciptakan-Nya. Baik dari sudut apa sekali pun. Sekali lagi saya ulangi, baik dari sudut apa sekalipun. Bahkan saya juga amat-amat menolak kata-kata seorang Tok Guru, apabila dia mengatakan bahawa Allah juga mencarut dan Allah juga samseng.

Mencarut itu perbuatan manusia. Mencarut itu pengertiannya secara umum bagi rakyat yang memahami bahasa Malaysia, ialah perbuatan yang tidak baik. Bercakap kotor. Contohnya p****m**k, p***n**t dan sebagainya. Itulah yang kita fahami dengan perkataan mencarut. Jadi, di dalam Al Quran, adakah Allah pernah bercakap kotor di dalam firman-firmanNya?

Ya, Allah ada memberi amaran, tetapi bahasa yang digunakan lebih sesuai ditakrifkan dalam bentuk kata-kata herdikan, sindiran, kutukan dan juga amaran. Herdikan, sindiran, kutukan dan juga ayat-ayat mengugut (amaran) secara umumnya difahami, tidaklah termasuk dalam kata-kata yang boleh dikategorikan dalam istilah mencarut.

Begitu juga dengan mengatakan bahawa Allah itu samseng. Jika Allah samseng, ulama juga samsenglah. Jika perbuatan Allah itu kita katakan sebagai samseng, maka baginda Rasulullah saw dan para sahabat juga bolehlah dianggap sebagai samseng? Bolehkah begitu?

Samseng dalam pengertian bahasa Malaysia di negara ini, ialah seseorang yang mempunyai perlakuan jahat. Orang yang dikenali sebagai samseng, selalunya suka menzalimi manusia lain, bercakap mengikut sedap lidah, mencuri, membunuh, panas baran, suka berkelahi dan bertumbuk, ego dan lain-lain.

Saya tidak pernah lagi mendengar orang-orang awam menisbatkan perbuatan ulama-ulama yang ada di Malaysia, termasuklah tok guru itu sendiri dengan perkataan samseng. Bagaimana agaknya kalau kita katakan, sebagai contoh, Imam Syafie atau Tok Guru Nik Aziz juga sebagai seorang samseng? Agak-agak boleh terima atau tidak jika kita mengatakan demikian kepada dua orang tokoh ilmu?


Apakah Allah bersifat yang sedemikian? Apakah kita boleh menyamakan sifat Allah swt dengan sifat dan perangai manusia yang diciptakan-Nya? Apakah baginda Rasulullah saw dan para sahabat bersifat sedemikian? Inilah akibatnya, apabila bercakap dengan nawaitu untuk menang dan mempengaruhi hati orang lain, semata-mata kerana politik.

Berbalik kepada cerita rakan saya itu, ternyata, dia bercakap mengikut sedap lidah tanpa sebarang dalil dan fakta. Bila bercakap tentang Islam, dalil Quran dan Sunnah terpenting untuk dijadikan hujah.

Inilah akibatnya, jika bercakap mengenai akidah hanya dengan membaca satu dua buku. Apabila bercerita tentang Allah, kita sebenarnya bercakap tentang akidah. Akidah merupakan pokok utama dalam Islam. Kenapa Yahudi itu termasuk di dalam golongan yang dimurkai? Kenapa golongan Nasrani termasuk di dalam golongan yang sesat? Semuanya kerana akidah sesat yang mereka anuti.

Jadi di sini, biar saya bentangkan beberapa hujah yang mengatakan, bahawa Allah itu berada di langit, bersemayam di atas Arasy-Nya sesuai dengan keagungan dan ketinggian-Nya melalui ayat-ayat Al Quran, hadis dan juga pendapat-pendapat imam-imam tersohor termasuklah empat Imam Mazhab.

Firman Allah swt di dalam Al Quran :

Surah Al-A'raaf ayat 7

Sesungguhnya Tuhan kamu ialah Allah Yang Menciptakan langit dan bumi dalam enam masa lalu Dia bersemayam di atas Arasy; Dia melindungi malam dengan siang yang mengiringinya dengan deras (silih berganti) dan (Dia pula Yang Menciptakan) matahari dan bulan serta bintang-bintang, (semuanya) tunduk kepada perintahNya. Ingatlah, kepada Allah jualah tertentu urusan menciptakan (sekalian makhluk) dan urusan pemerintahan. Maha Suci Allah Yang Mencipta dan Mentadbirkan sekalian alam-Surah Al-A'raaf ayat 7


Surah Yunus ayat 3

Sesungguhnya Tuhan kamu ialah Allah yang menjadikan langit dan bumi dalam enam masa kemudian Dia bersemayam di atas Arasy mentadbirkan segala urusan. Tidak ada sesiapa pun yang dapat memberi syafaat melainkan sesudah diizinkanNya. (Yang bersifat demikian) itulah Allah, Tuhan (yang memelihara dan mentadbirkan keadaan) kamu; maka tunduklah dan taatlah kamu kepada perintahNya; patutkah kamu setelah mengetahui kenyataan yang tersebut tidak mahu mengingatiNya?


Surah Ar-Rad ayat 2

Allah jualah yang menjadikan langit terangkat tinggi dengan tiada bertiang sebagaimana yang kamu melihatnya, kemudian Dia bersemayam di atas Arasy dan Dia memudahkan matahari dan bulan (untuk faedah makhluk-makhlukNya); tiap-tiap satu dari keduanya beredar untuk suatu masa yang telah ditetapkan. Allah jualah yang mentadbirkan segala urusan; Dia menerangkan tanda-tanda kekuasaanNya satu-persatu, supaya kamu yakin kepada pertemuan Tuhan kamu (untuk menerima balasan).


Surah Taha ayat 5

Iaitu (Allah) Ar-Rahman, yang bersemayam di atas Arasy.


Surah Al Furqan ayat 59

Tuhan yang menciptakan langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya, dalam enam masa, kemudian Dia bersemayam di atas Arasy, Ialah Ar-Rahman (Tuhan Yang Maha Pemurah); maka bertanyalah akan hal itu kepada Yang Mengetahuinya.


Surah As Sajadah ayat 4

Allah Tuhan yang menciptakan langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya dalam enam masa, kemudian Dia bersemayam di atas Arasy; kamu tidak akan beroleh sebarang penolong dan pemberi syafaat selain dari Allah; oleh itu tidakkah kamu mahu insaf dan mengambil iktibar (untuk mencapai keredaanNya)?


Surah Al Hadiid ayat 4

Dialah yang telah menciptakan langit dan bumi dalam enam masa, kemudian Dia bersemayam di atas Arasy; Dia Mengetahui apa yang masuk ke bumi serta apa yang keluar daripadanya dan apa yang diturunkan dari langit serta apa yang naik padanya dan Dia tetap bersama-sama kamu di mana sahaja kamu berada dan Allah Maha Melihat akan apa yang kamu kerjakan.


Apa pula pendapat Imam Syafie dan imam-imam lain berkenaan hal ini? Mari kita baca apa pendapat mereka tentang bab istiwa ini.


IMAM SYAFIE

1. Dan Allah swt di atas Arasy-Nya dan Arasy-Nya di langit.

2. Kita menetapkan sifat-sifat (mengithbatkan sifat-sifat Allah) sebagaimana yang didatangkan oleh Al Quran dan yang warid tentang-Nya dari sunnah, kami menafikan tasybih (penyerupaan) tentang-Nya kerana dinafikan oleh Diri-Nya sendiri sebagaimana firman-Nya iaitu Tiada yang semisal dengan-Nya.


IMAM ABUL HASSAN AL ASY'ARI

1. Allah mempunyai sifat, mempunyai tangan, bersemayam di atas arasy-Nya dan mempunyai muka (wajah). Al Quran itu, kalamullah dan bukan makhluk dan Al Quran diturunkan dari langit.

2. Di atas langit-langit itulah Arasy, maka tatkala Arasy berada di atas langit-langit Allah berfirman : Apakah kamu merasa aman terhadap zat yang berada di atas langit? Sesungguhnya, Dia istiwa (bersemayam) di atas Arasy yang berada di atas langit dan tiap-tiap yang tinggi itu dinamakan As-Sama (langit). Yang dimaksudkan di dalam firman Apakah kamu merasa aman terhadap zat yang berada di atas langit bukanlah bermaksud seluruh langit, tetapi Arasy-Nya yang berada di atas langit.


IMAM ABU HANIFAH RAHIMAHULLAH

1. Sesiapa yang mengingkari sesungguhnya Allah berada di atas langit, maka sesungguhnya dia telah kafir. Demikian juga terhadap orang yang tawaqquf (diam) dengan mengatakan : Aku tidak tahu, apakah Tuhanku berada di langit atau di bumi? Berkata Imam Abu Hanifah : Sesungguhnya dia telah kafir kerana Allah telah berfirman :Ar-Rahman di atas Arasy al Istiwa


IMAM AHMAD BIN HANBAL

1. Benar, Allah di atas Arasy-Nya dan tidak ada sesiapa yang tersembunyi dari pengetahuan-Nya


IMAM IBNU KHUZAIMAH

1. Barang siapa yang tidak menetapkan Allah swt di atas Arasy-Nya dan Allah istiwa di atas tujuh langit-Nya, maka dia telah kafir terhadap Tuhannya.

2. Kami beriman dengan khabar dari Allah Jalla wa-'Ala sesungguhnya Pencipta kami Ia beristiwa (bersemayam) di atas ‘ArasyNya. Kami Tidak mengganti/mengubah kalam (firman) Allah dan kami tidak akan mengucapkan perkataan yang tidak pernah dikatakan (Allah) kepada kami sebagaimana (perbuatan kaum) yang menghilangkan sifat-sifat Allah seperti golongan Jahmiyah yang pernah berkata: Sesungguhnya Dia istawla (menguasai) ‘ArasyNya bukan istiwa (bersemayam). Maka mereka telah mengganti perkataan yang tidak pernah dikatakan (Allah) kepada mereka, ini menyerupai perbuatan Yahudi tatkala diperintah mengucapkan: Hithtatun (Ampunkanlah dosa-dosa kami), tetapi mereka mengucapkan (mengubah): Hinthah (makanlah gandum)! Mereka (kaum Yahudi) telah menyalahi perintah Allah Yang Maha Agung dan Maha Tinggi maka seperti itulah (perbuatan kaum) Jahmiyah"


SYEIKH ABDUL QADIR AL JAILANI

1. Tidak boleh mensifatkan Allah bahawa Ia berada di tiap-tiap tempat. Bahkan (wajib) mengatakan: Sesungguhnya Allah di atas langit (yakni) di atas ‘Arasy sebagaimana Ia telah berfirman: Ar Rahman di atas Arasy, Ia beristiwa. Dan wajiblah memutlakkan sifat istiwa tanpa takwil, sesungguhnya Allah istiwa dengan ZatNya di atas ‘Arasy. KeadaanNya di atas ‘Arasy disebut pada tiap-tiap kitab yang Dia turunkan kepada tiap-tipa Nabi yang diutus tanpa bertanya (para nabi yang diutus tidak bertanya): Bagaimana caranya (Allah istiwa di atas ‘ArasyNya)?"


Jelas, di dalam Al Quran, Allah swt telah menegaskan sebanyak 7 kali bahawa Dia dengan Ketinggian dan Keagungan-Nya bersemayan di atas Arasy di langit yang tertinggi. Mengapa pula kita mengatakan Allah ada di mana-mana?


Sebenarnya, yang ada di mana-mana di sekeliling kita, termasuklah diri kita sendiri ini ialah ilmu-Nya, dan bukanlah Allah swt itu sendiri yang berada di mana-mana. Ini telah diterangkan oleh Imam Malik r.a. :


"Allah berada di atas langit sedangkan ilmu-Nya di tiap-tiap tempat (iaitu di mana-mana), tidak tersembunyi sesuatupun dari-Nya"


Mudah-mudahan, apa yang dibentangkan ini, dapat memberikan manfaat pada kita semua dalam memperbetulkan akidah. Jangan pula ada yang mengatakan bahawa saya bermazhab Wahabi kerana sejak akhir-akhir ini, ramai yang mengatakan bahawa golongan bermazhab wahabi yang mempunyai iktikad bahawa Allah swt bersemayam di atas Arasy.


Untuk makluman, saya tidak pernah menganggap bahawa apa yang dikatakan sebagai Wahabi itu adalah satu mazhab.


Saya tidak memandai-mandai mengatakan bahawa Allah itu bersemayam di atas Arasy tetapi Allah swt sendirilah yang memberitahu pada makhluknya bahawa Dia dengan ketinggian dan keagungan-Nya, bersemayam di atas Arasy di atas langit yang ke tujuh.

Selasa, 16 Jun 2009

JANGANLAH JADI SEPERTI ABDULLAH BIN SABA

Istilah ‘kerajaan-perpaduan’ menjadi panas. Saya sendiri tidak pasti apakah maksudnya. Mungkinkah ia seperti ‘Islam Hadhari’ yang muncul istilah dahulu, maksudnya dicari kemudian. Apapun bagi saya, sebagai seorang muslim saya amat gembira dan bahagia jika sesama muslim dapat berdamai dan mencari jalan ke arah kemaslahatan umat.

Orang yang enggan melihat sesama muslim cuba berdamai ialah manusia yang dirasuk syaitan samada disebabkan dendam kesumat yang tidak habis-habis atau fanatik yang bukan-bukan, atau buruk sangka yang tiada tepinya. Melainkan jika dia dapat buktikan bahawa perbalahan sesama muslim itu lebih besar kebaikan daripada perdamaian.

Allah menyebut: (maksudnya)

“Sebenarnya orang-orang yang beriman itu bersaudara, maka damaikanlah antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat” (Surah al-Hujurat: ayat 10).

Jika dahulu perkataan ‘asabiyyah’ itu diwakili oleh ketaksuban kepada kaum atau kabilah sehingga berlaku perbalahan dan peperangan, namun hari ini ‘asabiyyah’ itu menjelma dalam bentuk parti, kumpulan, jamaah dan berbagai lagi bentuk perkumpulan manusia. Lalu manusia berbalah kerananya.

Nabi s.a.w bersabda:

“…Sesiapa yang berperang di bawah rayah ‘immiyyah (bendera kebutaan) dan menyeru kepada ‘asabiyyah atau marah kerana ‘asabiyyah maka kematiannya adalah jahiliyyah”. (riwayat Muslim).

Dalam riwayat yang lemah sanadnya (tetapi dikuatkan dengan hadis tadi) dikatakan Nabi bersabda:
“Bukan di kalangan kami sesiapa yang menyeru kepada ‘asabiyyah, bukan sesiapa yang berperang atas ‘asabiyyah, dan bukan di kalangan kami sesiapa yang mati atas ‘asabiyyah” (Riwayat Abu Daud).

Penyakit ‘asabiyyah bukan sahaja dalam bentuk perkauman arab, atau parsi atau melayu tetapi juga dalam parti-parti yang dibentuk dibawah nama ‘demokrasi’ hari ini. Segala prinsip dan kewarasan hilang hanya disebabkan ketaksuban kepada parti atau kebencian kepada ‘pesaing parti’. Sehingga yang kononnya berjuang untuk arab atau melayu boleh berpakat dengan bukan orang lain untuk menindas kaumnya.

Demikian yang kononnya berjuang untuk Islam boleh berpakat dengan bukan Islam untuk bermusuhan dengan orang Islam. Bahkan ada yang kuat ‘kebangsaannya’ boleh menghina bangsanya hanya kerana berbeza parti.

Begitu yang kononnya kuat Islam bukan berkawan dengan sosialis, kapitalis, bahkan anti-negara Islam, tetapi berang jika diajak berdamai dengan orang Islam. Parti telah membentuk ‘asabiyyah yang menakutkan dan mencerai-beraikan orang Islam.

Saya amat berharap umat Islam dalam negara ini keluar dari kemaslahatan parti kepada kemaslahatan umat yang lebih besar daripada parti. Nabi s.a.w memuji al-Hasan bin ‘Ali disebabkan beliau telah melakukan tindakan yang menyebabkan perbalahan antara penyokong Mu’awiyah r.a. dan penyokong ‘Ali r.a dapat diredakan.

Abu Bakrah r.a menyebut: “Aku melihat Rasulullah s.a.w. di atas mimbar sementara al-Hasan bin `Ali berada di sebelahnya. Baginda menghadap ke arah orang ramai dan kemudian kepada al-Hasan, lalu bersabda: “Sesungguhnya anakku ini adalah seorang tuan, mudah-mudahan Allah mendamaikan dengannya dua puak yang besar daripada orang-orang Islam” (Riwayat al-Bukhari).

Hadis ini menjadi kenyataan apabila Saiyyidina Hasan telah mengundur diri dari kerusi pemerintahan dan menyerahkannya kepada Mu`awiyah selepas kewafatan ayahnya Saiyyidina `Ali. Mu`awiyah dengan itu menguasai pemerintahan sepenuhnya dan tahun tersebut dinamakan oleh orang Islam iaitu “tahun perpaduan” (Ibn Kathir, Al-Ba`ith al-Hathith, m.s. 177, Beirut: Dar al-Fikr).

Di samping itu, Mu`awiyah sendiri mempunyai hasrat perpaduan di mana beliau berkata:”Siapa yang akan menjamin orang Islam (sekiranya dibunuh ayah-ayah mereka)” (Riwayat al-Bukhari).

Ibn Taimiyyah dalam ulasannya menyebut: “Nabi s.a.w. memuji al-Hasan kerana perdamaian yang dilakukannya dan menamakannya sebagai sayyid iaitu `tuan’. Ini kerana, Allah dan RasulNya suka dan redha terhadap apa yang al-Hasan lakukan.

Andainya peperangan yang berlaku antara orang Islam itu diperintah oleh Allah dan RasulNya, tentu Rasulullah tidak akan memuji langkah perdamaian yang diambil oleh al-Hasan. Kalau peperangan itu suatu yang disuruh oleh Allah dan RasulNya, bererti al-Hasan telah meninggalkan suatu kewajipan atau perkara yang disukai Allah. Hadis ini adalah dalil yang jelas bahawa apa yang dibuat oleh al-Hasan adalah sesuatu yang terpuji.”(Ibn Taimiyyah, Al-Khilafah wa al-Mulk, m.s. 84).

Di Malaysia, kita tidak pun tidak mengharapkan parti-parti umat Islam ini menyerah kuasa antara satu sama lain. Ya, kita perlukan imbangan kuasa antara kerajaan dan pembangkang. Apa yang kita harapkan mereka dapat duduk semeja membincangkan tentang maslahat umat ini terutama yang membabit isu-isu khusus umat Islam.

Apakah langsung tidak persamaan pendirian atau sikap antara UMNO dan PAS dalam isu-isu khusus? Kita boleh berbeza atau berselisih sekalipun, tetapi kena ada titik-titik persamaan mengenai kemaslahatan umat dan rakyat.

Berfikirlah atas landasan nas dan ukhuwwah islamiyyah melebihi sikap ‘tegar’ yang hanya mengikat diri dengan belenggu kepartian semata-mata. Islam itu bukan sekadar politik, Islam juga akidah, akhlak, ekonomi, pendidikan dan berbagai lagi. Apakah dalam keadaan gentir ini tiada langsung nafas untuk memikirkan kemaslahatan umat dalam masalah-masalah khusus kita?

Jika UMNO dan PAS boleh duduk bermesra dan bermanis dengan mereka yang berbeza prinsip dan perjuangan, apakah langsung tiada ruang sesama mereka. Marilah kita bimbangi apa yang
Nabi s.a.w sebut:

“Manusia yang paling Allah benci ialah yang berkeras kepala dalam perbalahan” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Sebab itu ketika saya bersembang panjang dengan Tun Abdullah di London dua minggu lepas, saya mencadangkan agar duduklah UMNO dan PAS berbincang dalam perkara-perkara di luar isu politik. Belajar faham memahami antara satu sama lain. Niatkan kerana Allah, bukan kerana parti.

Jika pun mereka pernah ada rekod buruk perdamaian sebelum ini, namun zaman dan masa sudah berbeza. Semalam sudah tidak sama dengan hari ini. Hari ini manusia lebih matang dan keadaan lebih getir. Jangan lagi berbincang bermula dari titik tolak kuasa, tetapi berbincang dari titik kemaslahatan umat.

Jika benar ada keikhlasan, keberkatan akan datang. Jika niat ikhlas inginkan perdamaian, Allah akan membuka jalan kebaikan. Kalau kuffar musuh Islam ingin berdamai, kita disuruh sahut perdamaian. Inikan pula sesama muslim.

Firman Allah: (maksudnya)

“Dan jika mereka (pihak musuh) cenderung kepada perdamaian, maka engkau juga hendaklah cenderung kepadanya serta bertawakalah kepada Allah. Sesungguhnya Dia Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui” (Surah al-Anfal, ayat 61).

Ada pihak yang berkata perdamaian antara parti-parti orang Islam akan memangsakan orang ‘lain’. Saya hairan, apakah setiap kali jika dua golongan berunding maka pihak lain pasti menjadi mangsa?.

Saya fikir jika muslim yang berbicara demikian, dia seorang yang sama dengan pengikut Abdullah bin Saba yang mencetuskan peperangan antara ‘Ali dan ‘Aishah. Mereka itu apabila melihat ‘Ali berdamai dengan ‘Aishah r.ha, mereka mencetuskan serangan mengejut sehingga mengheret umat Islam bertempur sesama sendiri.

Menurut Ibn Kathir (meninggal 774H), apabila mendengar keputusan `Ali untuk berdamai, mereka yang terlibat dalam peristiwa pembunuhan `Uthman iaitu para pemberontak yang ada di dalam tentera `Ali menjadi takut.

Mereka berbincang sesama sendiri dan berkata: “Mereka telah berdamai atas darah-darah kita”. Maksud mereka perdamaian ini bererti senjata akan dihalakan pula ke arah mereka.. mereka terus berbincang, akhirnya `Abd Allah bin Saba’ mencadangkan agar mereka memulakan api peperangan agar peperangan tetap tercetus.

Sebelum menjelangnya waktu subuh mereka telah melancarkan serangan terhadap tentera-tentera `Aisyah dan `Ali secara serentak menyebabkan kedua-dua pihak menyangka bahawa pihak yang satu lagi telah mungkir janji.

Tentera `Aisyah telah menyatakan: “Tentera `Ali telah menyerang kita”. Sementera tentera `Ali pula menyatakan: “Tentera `Aisyah telah menyerang kita”. Maka tercetuslah peperangan Jamal yang menyebabkan kematian yang begitu banyak…(al-Bidayah wa al-Nihayah 7/249, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah).

Kata Winston Churchill: “History repeats itself because no one was listening the first time”.

Dr. Asri Zainal Abidin -www.drmaza.com

sumber : http://taman-pemuda.blogspot.com

p/s : Bersatu Kerana Allah dan Rasul

Khamis, 2 April 2009

SELAGI MEREKA MENDIRIKAN SEMBAHYANG...

Ini adalah sekadar contoh, bukanlah untuk menyebelahi mana-mana pihak. Mana-mana individu yang digelar ulama, tetapi menyeru kepada perpecahan, kebencian dan permusuhan, mereka tidak layak digelar dengan gelaran tersebut, kerana mereka sendiri sebenarnya tidak faham, apa makna Islam dan mencemar golongan ulama itu sendiri.

Tengok dengan mata hati, fikirkan dengan dalil Illahi, contohilah sunnah Nabi...

Ahad, 8 Februari 2009

BERTENANGLAH...

Sedikit sebanyak, situasi politik umat Islam di Perak, telah mencuit hati saya. Apabila saya melihat kepada tingkah laku sesetengah penyokong kepada parti politik yang menjadikan Islam sebagai dasar perjuangannya, maka saya jadi tertanya-tanya.

Saya bukanlah mahu menyebelahi mana-mana parti atau kumpulan, tetapi apabila melihatkan situasi yang berlaku di Perak baru-baru ini, seakan-akan tidak lagi timbul soal akhlak di kalangan umat Islam apabila ia ada kaitan dengan politik dan kuasa.

Apakah tindakan mereka, menghina pemimpin, merusuh, memaki hamun dan bertindak seperti gambar di atas ini adalah ciri-ciri seorang pejuang Islam? Benarkah, demi untuk menegakkan sebuah negara Islam, cara-cara yang tidak bertepatan dan selari dengan akhlak seorang Muslim boleh diketepikan buat sementara waktu?

Lupakah kita, pada perjanjian Hudaibiyah yang terang-terang memihak pada kaum musyrikin, namun Rasulullah saw tetap menerimanya kerana baginda yakin, Allah Maha Mengetahui lagi Maha Merencana.

Selain itu, sekiranya Rasulullah s.a.w. masih hidup, adakah baginda akan merestui tindakan sebegini, atas nama perjuangan Islam? Apakah dengan memakai pakaian yang dianggap melambangkan Islam, seperti ketayap dan jubah, kemudiannya tiba-tiba bertindak ganas, kasar serta memaki hamun selepas mengadap Allah pada hari Jumaat, akan menaikkan lagi imej Islam di mata masyarakat, ataupun tindakanseperti itu hanya akan menyebabkan Islam yang sedang terfitnah hari ini, terus difitnah terutama di kalangan bukan Islam?

Di sini saya petik komen Dr Asri berkenaan isu politik yang sedang hangat membara di negeri tersebut.

Banyak sekali email isu pergelutan kuasa politik di Perak dihantar kepada saya. Maaf, saya tidak dapat memberikan jawapan yang mencukupi kerana barangkali maklumat yang meyakinkan saya belum mantap.

Saya pada prinsipnya tidak dapat menerima perangai ‘lompat parti’ kerana itu adalah sikap yang tidak telus dan jujur terhadap undi rakyat.

Sesiapa mahu tukar parti setelah dipilih, sepatutnya meletak jawatan dan bertanding semula. Serahkan semula amanah tersebut kepada rakyat. Rakyat ketika mengundi meluahkan hasrat mereka, dan itu tidak boleh diubah sewenang-wenangnya. Cuma ada beberapa perkara yang berlegar dalam fikiran saya tentang keadaan Perak;

1. Jika perbuatan melompat itu tidak dapat diterima oleh sesetengah pihak, sepatutnya ketika isu lompat parti pada 16 September 2008 diuar-uarkan sikap yang sama ditunjukkan. Pendirian yang istiqamah atas prinsip itu hendaklah ditunjukkan dalam semua keadaan. Apakah bantahan isu Perak ini memang benar-benar atas prinsip atau semangat kepartian semata?

2. Tokoh agama Perak yang terkenal, Datuk Seri Harussani Zakaria adalah seorang mufti terkenal, juga tokoh kepercayaan PAS sendiri. Beliau mengepalai upacara membaca doa perlantikan MB baru, YB Datuk Dr Zamry.

Adakah kemungkinan beliau telah melihat berbagai aspek isu tersebut, terutama dari segi agama. Maka saya kira mungkin orang PAS patut merujuk kepada Sahibus Samahah DS Harussani terlebih dahulu sebelum membantah keputusan Sultan Perak itu di sudut agama terutamanya. Mungkin ada perkara yang beliau lebih maklum, sebagai ‘orang lama’ Perak. Apatahlagi, beliau selama itu amat diyakini oleh orang PAS sendiri.

3. Beberapa pihak menyatakan YB DS Nizar sebenarnya hanyalah ‘boneka DAP’. Saya sendiri diberikan berbagai maklumbalas oleh pihak yang tiada kaitan politik. Kononnya, apa yang dilaksanakan di Perak adalah keputusan mesyuarat exco yang didominasi oleh DAP yang menumpukan kepentingan kepada kaum tertentu. Isu pemberian tanah kepada masyarakat cina umpamanya dibangkitkan.

Dakwaan ini bukan sebarangan, sebab pihak Istana Perak sendiri seakan memberi isyarat kerunsingan tentang kedudukan ‘orang Islam’ di Perak. Dakwaan ini perlu dikaji dengan cermat dan teliti tanpa emosi. Apakah benar atau sebaliknya?

4. Dari segi kepentingan umat, tanpa mengira parti, kita perlu menilai; manakah kepimpinan Kerajaan Perak yang lebih bermanfaat dan kurang mudarat kepada umat dan rakyat? Manakah pula yang akan membahayakan masa depan umat? Ini perlu dilihat dengan teliti.

Saya kira, sekiranya anda menggelarkan diri anda sebagai pejuang Islam, maka hayatilah sebenar-benarnnya akhlak pejuang Islam pada sebaik-baik kurun, kerana jika tidak, anda hanya menjadi salah seorang keluarga besar umat Muhammad s.a.w. yang terbabit dalam mengundang fitnah terhadap agama Allah yang Maha Tinggi ini. Beringat-ingatlah! Allah Maha Kuasa, Makhluk Tiada Kuasa. Setiap perkara yang berlaku, pasti ada sebabnya!

Jumaat, 6 Februari 2009

PESANAN KEPADA PEJUANG ISLAM

Dalam artikel Dr Asri Zainul Abidin beliau ada meletakkan nasihat al-Syeikh Abu al-Hasan ‘Ali al-Nadwi kepada al-Ikhwan al-Muslimin. 

 

Nasihat ini beliau rakamkan dalam risalahnya yang bertajuk: Uridu an atahaddatha ila al-Ikhwan (Aku Ingin Berbicara Dengan Al-Ikhwan al-Muslimin). Al-Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradawi juga memetik ungkapan-ungkapan indah risalah tersebut dalam bukunya: “Al-Syeikh Abu al-Hasan al-Nadwi kama ‘araftu”.

Kata al-Syeikh Abu al-Hasan ‘Ali al-Nadwi kepada al-Ikhwan al-Muslimin:

 

Wahai ikhwan Muslimin yang mulia!

 

Sasaran dakwah al-din dan tajdid Islami itu bukanlah mudah. Bukanlah tujuan dan tumpuannya untuk menukar kerajaan semata. Tidak jua untuk mengubah satu suasana politik kepada suasana politik yang lain.

 

Tidak untuk menyebarkan pengetahuan dan ilmu, atau menghadapi buta huruf dan kejahilan, atau memerangi pengangguran, atau mengubati kecacatan masyarakat dan akhlak atau seumpamanya seperti yang diperjuangkan oleh para pejuang perubahan di Barat dan Timur.

 

Sebaliknya, ia adalah seruan Islam yang merangkumi akidah dan akhlak, amalan dan siasah, ibadah juga keperibadian diri dan masyarakat. Ia meliputi akal dan jiwa, ruh dan jasad. Ia bergantung kepada perubahan mendalam dalam hati dan jiwa, akidah dan akal.

 

Ia terpancar dari hati sanubari sebelum terbit dari pena, atau helaian buku, atau mimbar syarahan. 

 

Ia terlaksana dalam tubuh pendakwah dan kehidupannya sebelum dia menuntut dilaksanakan dalam masyarakat keseluruhannya….istimewanya dakwah dan kesungguhan para nabi ialah ketulusan mereka dari memikiran kepentingan kebendaan, hasil yang segera.

Mereka tidak mencari dengan dakwah dan jihad mereka melainkan keredhaan ALLAH. Melaksanakan perintahNya dan menunaikan risalahNya. Akal dan pemikiran mereka tulus dari amalan untuk dunia, mendapat kedudukan, menghasilkan kekuatan untuk keluarga dan pengikut, memperolehi kerajaan.

 

Bahkan itu semua tidak pernah terlintas dalam fikiran mereka. 

Adapun kerajaan yang tertegak untuk mereka pada waktu mereka dan kekuatan yang diperolehi pada masa itu hanyalah hadiah daripada ALLAH. Ia sebagai jalan untuk sampai kepada matlamat agama, melaksanakan hukum-hakamnya, mengubah masyarakat dan mengarahkan kehidupan. 

 

Ini seperti firman ALLAH: (maksud) Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan. (Surah al-Hajj: 41).

 

Bukanlah sama sekali kerajaan yang diperolehi itu salah satu dari matlamat mereka. Bukan jua salah satu dari tujuan mereka. Tidak jua dari tajuk perbicaraan mereka, atau salah satu dari mimpi mereka. Hanya ia adalah hasil semulajadi untuk dakwah dan jihad. Sama seperti buah yang merupakan hasil semulajadi dari kesuburan pokok dan kesungguhan pembajaannya….”

 

Katanya juga: “Wahai tuan-tuan!

 

Besarnya perbezaan antara matlamat yang dituju, dan natijah yang muncul. Perbezaan ini akan zahir dalam jiwa yang bekerja untuk itu. Maka, yang bertujuan mendapatkan kerajaan, akan hilang kesungguhan dan diam apabila tidak memperolehinya, atau hilang harapan mendapatkannya. 

 

Dia akan berhenti dari dakwah. Dia juga akan melampau jika berjaya. Bahaya bagi setiap jamaah yang pemikiran mereka dibentuk atas cinta (mendapatkan) kerajaan (kuasa) dan berkerja untuk itu. Kerana ia akan menyebabkan mereka meninggalkan jihad di jalan dakwah atau boleh terpaling dan terseleweng tujuan mereka. 

 

Sebabnya, uslub (cara) untuk mendapatkan kerajaan berbeza dengan uslub dakwah. 

 

Wajib kepada kita membersihkan akal dan jiwa kita, semata-mata untuk dakwah. Hanya dakwah, khidmat, pengorbanan, mengutamakan saudara muslim, mengeluarkan manusia –dengan izin ALLAH- dari segala kegelapan kepada cahaya (Islam), dari jahiliyah kepada Islam, dari kesempitan dunia kepada keluasannya. 

 

Dari kekejaman agama-agama yang sesat, sistem-sistem yang zalim, mazhab-mazhab yang tidak menentu, kepada keadilan Islam dan lembayungnya. Faktor yang membawa kita kepada amal dan jihad hanyalah untuk menunaikan perintah ALLAH dan kemenangan pada Hari Akhirat. 

 

Juga kerana apa yang ALLAH sediakan untuk hamba-hambaNya dari ganjaran dan pahala. Kemudian, faktor lain ialah simpati kepada makhluk, kesian kasih kepada insan yang tersiksa, dan keinginan terhadap keselamatan manusia. 

Jika pada satu peringkat dakwah, atau pada satu masa –setelah prinsip-prinsip dakwah dan akidah kukuh dalam jiwa pendakwah- tujuan dakwah tidak dapat dicapai melainkan dengan mendapatkan kerajaan, kita akan berusaha untuk mendapatkannya. Demi kemaslahatan dakwah. 

 

Dengan jiwa yang luhur dan bersih, benar dan amanat, kusyuk dan tulus, seperti kita bersungguh dalam tanggungjawab dan rukun agama, juga ibadah-ibadah yang lain.

 

Tiada beza bagi seorang mukmin antara kerajaan dan ibadah yang lain, jika telah ikhlas dan betul niatnya. Kesemua itu dalam redha ALLAH, kesemuanya pada jalan ALLAH. Kesemuanya ibadah yang mendekatkan diri kepada ALLAH. (rujukan: al-Qaradawi, Al-Syeikh Abu al-Hasan al-Nadwi kama ‘araftu, m.s. 122-125, Damsyik: Dar al-Qalam).

Wallahua'lam

sumber http://fakhrumobile.blogspot.com