DUNIA ISLAM

Tunjuk Perasaan Berlaku Hampir Di Seluruh Negara Umat Islam Hari Ini.

KAABAH

Kota Kelahiran Baginda Nabi Muhammad SAW.

TEKNOLOGI ILMU DAN NIKMAT DARI ALLAH

Teknologi Seumpama Pisau.Memberi Manfaat Jika Digunakan Untuk Kebaikan. Mudarat Jika Digunakan Untuk Jalan Kebatilan.

IQRA

Bacalah, Dengan Nama Tuhanmu Yang Menjadikan Kamu Dari Segumpal Darah...

TAURAT-INJIL-AL QURAN

Taurat dan Injil Disempurnakan Dengan Turunnya Al Quran.

Ahad, 8 Februari 2009

BERTENANGLAH...

Sedikit sebanyak, situasi politik umat Islam di Perak, telah mencuit hati saya. Apabila saya melihat kepada tingkah laku sesetengah penyokong kepada parti politik yang menjadikan Islam sebagai dasar perjuangannya, maka saya jadi tertanya-tanya.

Saya bukanlah mahu menyebelahi mana-mana parti atau kumpulan, tetapi apabila melihatkan situasi yang berlaku di Perak baru-baru ini, seakan-akan tidak lagi timbul soal akhlak di kalangan umat Islam apabila ia ada kaitan dengan politik dan kuasa.

Apakah tindakan mereka, menghina pemimpin, merusuh, memaki hamun dan bertindak seperti gambar di atas ini adalah ciri-ciri seorang pejuang Islam? Benarkah, demi untuk menegakkan sebuah negara Islam, cara-cara yang tidak bertepatan dan selari dengan akhlak seorang Muslim boleh diketepikan buat sementara waktu?

Lupakah kita, pada perjanjian Hudaibiyah yang terang-terang memihak pada kaum musyrikin, namun Rasulullah saw tetap menerimanya kerana baginda yakin, Allah Maha Mengetahui lagi Maha Merencana.

Selain itu, sekiranya Rasulullah s.a.w. masih hidup, adakah baginda akan merestui tindakan sebegini, atas nama perjuangan Islam? Apakah dengan memakai pakaian yang dianggap melambangkan Islam, seperti ketayap dan jubah, kemudiannya tiba-tiba bertindak ganas, kasar serta memaki hamun selepas mengadap Allah pada hari Jumaat, akan menaikkan lagi imej Islam di mata masyarakat, ataupun tindakanseperti itu hanya akan menyebabkan Islam yang sedang terfitnah hari ini, terus difitnah terutama di kalangan bukan Islam?

Di sini saya petik komen Dr Asri berkenaan isu politik yang sedang hangat membara di negeri tersebut.

Banyak sekali email isu pergelutan kuasa politik di Perak dihantar kepada saya. Maaf, saya tidak dapat memberikan jawapan yang mencukupi kerana barangkali maklumat yang meyakinkan saya belum mantap.

Saya pada prinsipnya tidak dapat menerima perangai ‘lompat parti’ kerana itu adalah sikap yang tidak telus dan jujur terhadap undi rakyat.

Sesiapa mahu tukar parti setelah dipilih, sepatutnya meletak jawatan dan bertanding semula. Serahkan semula amanah tersebut kepada rakyat. Rakyat ketika mengundi meluahkan hasrat mereka, dan itu tidak boleh diubah sewenang-wenangnya. Cuma ada beberapa perkara yang berlegar dalam fikiran saya tentang keadaan Perak;

1. Jika perbuatan melompat itu tidak dapat diterima oleh sesetengah pihak, sepatutnya ketika isu lompat parti pada 16 September 2008 diuar-uarkan sikap yang sama ditunjukkan. Pendirian yang istiqamah atas prinsip itu hendaklah ditunjukkan dalam semua keadaan. Apakah bantahan isu Perak ini memang benar-benar atas prinsip atau semangat kepartian semata?

2. Tokoh agama Perak yang terkenal, Datuk Seri Harussani Zakaria adalah seorang mufti terkenal, juga tokoh kepercayaan PAS sendiri. Beliau mengepalai upacara membaca doa perlantikan MB baru, YB Datuk Dr Zamry.

Adakah kemungkinan beliau telah melihat berbagai aspek isu tersebut, terutama dari segi agama. Maka saya kira mungkin orang PAS patut merujuk kepada Sahibus Samahah DS Harussani terlebih dahulu sebelum membantah keputusan Sultan Perak itu di sudut agama terutamanya. Mungkin ada perkara yang beliau lebih maklum, sebagai ‘orang lama’ Perak. Apatahlagi, beliau selama itu amat diyakini oleh orang PAS sendiri.

3. Beberapa pihak menyatakan YB DS Nizar sebenarnya hanyalah ‘boneka DAP’. Saya sendiri diberikan berbagai maklumbalas oleh pihak yang tiada kaitan politik. Kononnya, apa yang dilaksanakan di Perak adalah keputusan mesyuarat exco yang didominasi oleh DAP yang menumpukan kepentingan kepada kaum tertentu. Isu pemberian tanah kepada masyarakat cina umpamanya dibangkitkan.

Dakwaan ini bukan sebarangan, sebab pihak Istana Perak sendiri seakan memberi isyarat kerunsingan tentang kedudukan ‘orang Islam’ di Perak. Dakwaan ini perlu dikaji dengan cermat dan teliti tanpa emosi. Apakah benar atau sebaliknya?

4. Dari segi kepentingan umat, tanpa mengira parti, kita perlu menilai; manakah kepimpinan Kerajaan Perak yang lebih bermanfaat dan kurang mudarat kepada umat dan rakyat? Manakah pula yang akan membahayakan masa depan umat? Ini perlu dilihat dengan teliti.

Saya kira, sekiranya anda menggelarkan diri anda sebagai pejuang Islam, maka hayatilah sebenar-benarnnya akhlak pejuang Islam pada sebaik-baik kurun, kerana jika tidak, anda hanya menjadi salah seorang keluarga besar umat Muhammad s.a.w. yang terbabit dalam mengundang fitnah terhadap agama Allah yang Maha Tinggi ini. Beringat-ingatlah! Allah Maha Kuasa, Makhluk Tiada Kuasa. Setiap perkara yang berlaku, pasti ada sebabnya!

Jumaat, 6 Februari 2009

PESANAN KEPADA PEJUANG ISLAM

Dalam artikel Dr Asri Zainul Abidin beliau ada meletakkan nasihat al-Syeikh Abu al-Hasan ‘Ali al-Nadwi kepada al-Ikhwan al-Muslimin. 

 

Nasihat ini beliau rakamkan dalam risalahnya yang bertajuk: Uridu an atahaddatha ila al-Ikhwan (Aku Ingin Berbicara Dengan Al-Ikhwan al-Muslimin). Al-Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradawi juga memetik ungkapan-ungkapan indah risalah tersebut dalam bukunya: “Al-Syeikh Abu al-Hasan al-Nadwi kama ‘araftu”.

Kata al-Syeikh Abu al-Hasan ‘Ali al-Nadwi kepada al-Ikhwan al-Muslimin:

 

Wahai ikhwan Muslimin yang mulia!

 

Sasaran dakwah al-din dan tajdid Islami itu bukanlah mudah. Bukanlah tujuan dan tumpuannya untuk menukar kerajaan semata. Tidak jua untuk mengubah satu suasana politik kepada suasana politik yang lain.

 

Tidak untuk menyebarkan pengetahuan dan ilmu, atau menghadapi buta huruf dan kejahilan, atau memerangi pengangguran, atau mengubati kecacatan masyarakat dan akhlak atau seumpamanya seperti yang diperjuangkan oleh para pejuang perubahan di Barat dan Timur.

 

Sebaliknya, ia adalah seruan Islam yang merangkumi akidah dan akhlak, amalan dan siasah, ibadah juga keperibadian diri dan masyarakat. Ia meliputi akal dan jiwa, ruh dan jasad. Ia bergantung kepada perubahan mendalam dalam hati dan jiwa, akidah dan akal.

 

Ia terpancar dari hati sanubari sebelum terbit dari pena, atau helaian buku, atau mimbar syarahan. 

 

Ia terlaksana dalam tubuh pendakwah dan kehidupannya sebelum dia menuntut dilaksanakan dalam masyarakat keseluruhannya….istimewanya dakwah dan kesungguhan para nabi ialah ketulusan mereka dari memikiran kepentingan kebendaan, hasil yang segera.

Mereka tidak mencari dengan dakwah dan jihad mereka melainkan keredhaan ALLAH. Melaksanakan perintahNya dan menunaikan risalahNya. Akal dan pemikiran mereka tulus dari amalan untuk dunia, mendapat kedudukan, menghasilkan kekuatan untuk keluarga dan pengikut, memperolehi kerajaan.

 

Bahkan itu semua tidak pernah terlintas dalam fikiran mereka. 

Adapun kerajaan yang tertegak untuk mereka pada waktu mereka dan kekuatan yang diperolehi pada masa itu hanyalah hadiah daripada ALLAH. Ia sebagai jalan untuk sampai kepada matlamat agama, melaksanakan hukum-hakamnya, mengubah masyarakat dan mengarahkan kehidupan. 

 

Ini seperti firman ALLAH: (maksud) Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan. (Surah al-Hajj: 41).

 

Bukanlah sama sekali kerajaan yang diperolehi itu salah satu dari matlamat mereka. Bukan jua salah satu dari tujuan mereka. Tidak jua dari tajuk perbicaraan mereka, atau salah satu dari mimpi mereka. Hanya ia adalah hasil semulajadi untuk dakwah dan jihad. Sama seperti buah yang merupakan hasil semulajadi dari kesuburan pokok dan kesungguhan pembajaannya….”

 

Katanya juga: “Wahai tuan-tuan!

 

Besarnya perbezaan antara matlamat yang dituju, dan natijah yang muncul. Perbezaan ini akan zahir dalam jiwa yang bekerja untuk itu. Maka, yang bertujuan mendapatkan kerajaan, akan hilang kesungguhan dan diam apabila tidak memperolehinya, atau hilang harapan mendapatkannya. 

 

Dia akan berhenti dari dakwah. Dia juga akan melampau jika berjaya. Bahaya bagi setiap jamaah yang pemikiran mereka dibentuk atas cinta (mendapatkan) kerajaan (kuasa) dan berkerja untuk itu. Kerana ia akan menyebabkan mereka meninggalkan jihad di jalan dakwah atau boleh terpaling dan terseleweng tujuan mereka. 

 

Sebabnya, uslub (cara) untuk mendapatkan kerajaan berbeza dengan uslub dakwah. 

 

Wajib kepada kita membersihkan akal dan jiwa kita, semata-mata untuk dakwah. Hanya dakwah, khidmat, pengorbanan, mengutamakan saudara muslim, mengeluarkan manusia –dengan izin ALLAH- dari segala kegelapan kepada cahaya (Islam), dari jahiliyah kepada Islam, dari kesempitan dunia kepada keluasannya. 

 

Dari kekejaman agama-agama yang sesat, sistem-sistem yang zalim, mazhab-mazhab yang tidak menentu, kepada keadilan Islam dan lembayungnya. Faktor yang membawa kita kepada amal dan jihad hanyalah untuk menunaikan perintah ALLAH dan kemenangan pada Hari Akhirat. 

 

Juga kerana apa yang ALLAH sediakan untuk hamba-hambaNya dari ganjaran dan pahala. Kemudian, faktor lain ialah simpati kepada makhluk, kesian kasih kepada insan yang tersiksa, dan keinginan terhadap keselamatan manusia. 

Jika pada satu peringkat dakwah, atau pada satu masa –setelah prinsip-prinsip dakwah dan akidah kukuh dalam jiwa pendakwah- tujuan dakwah tidak dapat dicapai melainkan dengan mendapatkan kerajaan, kita akan berusaha untuk mendapatkannya. Demi kemaslahatan dakwah. 

 

Dengan jiwa yang luhur dan bersih, benar dan amanat, kusyuk dan tulus, seperti kita bersungguh dalam tanggungjawab dan rukun agama, juga ibadah-ibadah yang lain.

 

Tiada beza bagi seorang mukmin antara kerajaan dan ibadah yang lain, jika telah ikhlas dan betul niatnya. Kesemua itu dalam redha ALLAH, kesemuanya pada jalan ALLAH. Kesemuanya ibadah yang mendekatkan diri kepada ALLAH. (rujukan: al-Qaradawi, Al-Syeikh Abu al-Hasan al-Nadwi kama ‘araftu, m.s. 122-125, Damsyik: Dar al-Qalam).

Wallahua'lam

sumber http://fakhrumobile.blogspot.com