DUNIA ISLAM

Tunjuk Perasaan Berlaku Hampir Di Seluruh Negara Umat Islam Hari Ini.

KAABAH

Kota Kelahiran Baginda Nabi Muhammad SAW.

TEKNOLOGI ILMU DAN NIKMAT DARI ALLAH

Teknologi Seumpama Pisau.Memberi Manfaat Jika Digunakan Untuk Kebaikan. Mudarat Jika Digunakan Untuk Jalan Kebatilan.

IQRA

Bacalah, Dengan Nama Tuhanmu Yang Menjadikan Kamu Dari Segumpal Darah...

TAURAT-INJIL-AL QURAN

Taurat dan Injil Disempurnakan Dengan Turunnya Al Quran.

Selasa, 16 Jun 2009

JANGANLAH JADI SEPERTI ABDULLAH BIN SABA

Istilah ‘kerajaan-perpaduan’ menjadi panas. Saya sendiri tidak pasti apakah maksudnya. Mungkinkah ia seperti ‘Islam Hadhari’ yang muncul istilah dahulu, maksudnya dicari kemudian. Apapun bagi saya, sebagai seorang muslim saya amat gembira dan bahagia jika sesama muslim dapat berdamai dan mencari jalan ke arah kemaslahatan umat.

Orang yang enggan melihat sesama muslim cuba berdamai ialah manusia yang dirasuk syaitan samada disebabkan dendam kesumat yang tidak habis-habis atau fanatik yang bukan-bukan, atau buruk sangka yang tiada tepinya. Melainkan jika dia dapat buktikan bahawa perbalahan sesama muslim itu lebih besar kebaikan daripada perdamaian.

Allah menyebut: (maksudnya)

“Sebenarnya orang-orang yang beriman itu bersaudara, maka damaikanlah antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat” (Surah al-Hujurat: ayat 10).

Jika dahulu perkataan ‘asabiyyah’ itu diwakili oleh ketaksuban kepada kaum atau kabilah sehingga berlaku perbalahan dan peperangan, namun hari ini ‘asabiyyah’ itu menjelma dalam bentuk parti, kumpulan, jamaah dan berbagai lagi bentuk perkumpulan manusia. Lalu manusia berbalah kerananya.

Nabi s.a.w bersabda:

“…Sesiapa yang berperang di bawah rayah ‘immiyyah (bendera kebutaan) dan menyeru kepada ‘asabiyyah atau marah kerana ‘asabiyyah maka kematiannya adalah jahiliyyah”. (riwayat Muslim).

Dalam riwayat yang lemah sanadnya (tetapi dikuatkan dengan hadis tadi) dikatakan Nabi bersabda:
“Bukan di kalangan kami sesiapa yang menyeru kepada ‘asabiyyah, bukan sesiapa yang berperang atas ‘asabiyyah, dan bukan di kalangan kami sesiapa yang mati atas ‘asabiyyah” (Riwayat Abu Daud).

Penyakit ‘asabiyyah bukan sahaja dalam bentuk perkauman arab, atau parsi atau melayu tetapi juga dalam parti-parti yang dibentuk dibawah nama ‘demokrasi’ hari ini. Segala prinsip dan kewarasan hilang hanya disebabkan ketaksuban kepada parti atau kebencian kepada ‘pesaing parti’. Sehingga yang kononnya berjuang untuk arab atau melayu boleh berpakat dengan bukan orang lain untuk menindas kaumnya.

Demikian yang kononnya berjuang untuk Islam boleh berpakat dengan bukan Islam untuk bermusuhan dengan orang Islam. Bahkan ada yang kuat ‘kebangsaannya’ boleh menghina bangsanya hanya kerana berbeza parti.

Begitu yang kononnya kuat Islam bukan berkawan dengan sosialis, kapitalis, bahkan anti-negara Islam, tetapi berang jika diajak berdamai dengan orang Islam. Parti telah membentuk ‘asabiyyah yang menakutkan dan mencerai-beraikan orang Islam.

Saya amat berharap umat Islam dalam negara ini keluar dari kemaslahatan parti kepada kemaslahatan umat yang lebih besar daripada parti. Nabi s.a.w memuji al-Hasan bin ‘Ali disebabkan beliau telah melakukan tindakan yang menyebabkan perbalahan antara penyokong Mu’awiyah r.a. dan penyokong ‘Ali r.a dapat diredakan.

Abu Bakrah r.a menyebut: “Aku melihat Rasulullah s.a.w. di atas mimbar sementara al-Hasan bin `Ali berada di sebelahnya. Baginda menghadap ke arah orang ramai dan kemudian kepada al-Hasan, lalu bersabda: “Sesungguhnya anakku ini adalah seorang tuan, mudah-mudahan Allah mendamaikan dengannya dua puak yang besar daripada orang-orang Islam” (Riwayat al-Bukhari).

Hadis ini menjadi kenyataan apabila Saiyyidina Hasan telah mengundur diri dari kerusi pemerintahan dan menyerahkannya kepada Mu`awiyah selepas kewafatan ayahnya Saiyyidina `Ali. Mu`awiyah dengan itu menguasai pemerintahan sepenuhnya dan tahun tersebut dinamakan oleh orang Islam iaitu “tahun perpaduan” (Ibn Kathir, Al-Ba`ith al-Hathith, m.s. 177, Beirut: Dar al-Fikr).

Di samping itu, Mu`awiyah sendiri mempunyai hasrat perpaduan di mana beliau berkata:”Siapa yang akan menjamin orang Islam (sekiranya dibunuh ayah-ayah mereka)” (Riwayat al-Bukhari).

Ibn Taimiyyah dalam ulasannya menyebut: “Nabi s.a.w. memuji al-Hasan kerana perdamaian yang dilakukannya dan menamakannya sebagai sayyid iaitu `tuan’. Ini kerana, Allah dan RasulNya suka dan redha terhadap apa yang al-Hasan lakukan.

Andainya peperangan yang berlaku antara orang Islam itu diperintah oleh Allah dan RasulNya, tentu Rasulullah tidak akan memuji langkah perdamaian yang diambil oleh al-Hasan. Kalau peperangan itu suatu yang disuruh oleh Allah dan RasulNya, bererti al-Hasan telah meninggalkan suatu kewajipan atau perkara yang disukai Allah. Hadis ini adalah dalil yang jelas bahawa apa yang dibuat oleh al-Hasan adalah sesuatu yang terpuji.”(Ibn Taimiyyah, Al-Khilafah wa al-Mulk, m.s. 84).

Di Malaysia, kita tidak pun tidak mengharapkan parti-parti umat Islam ini menyerah kuasa antara satu sama lain. Ya, kita perlukan imbangan kuasa antara kerajaan dan pembangkang. Apa yang kita harapkan mereka dapat duduk semeja membincangkan tentang maslahat umat ini terutama yang membabit isu-isu khusus umat Islam.

Apakah langsung tidak persamaan pendirian atau sikap antara UMNO dan PAS dalam isu-isu khusus? Kita boleh berbeza atau berselisih sekalipun, tetapi kena ada titik-titik persamaan mengenai kemaslahatan umat dan rakyat.

Berfikirlah atas landasan nas dan ukhuwwah islamiyyah melebihi sikap ‘tegar’ yang hanya mengikat diri dengan belenggu kepartian semata-mata. Islam itu bukan sekadar politik, Islam juga akidah, akhlak, ekonomi, pendidikan dan berbagai lagi. Apakah dalam keadaan gentir ini tiada langsung nafas untuk memikirkan kemaslahatan umat dalam masalah-masalah khusus kita?

Jika UMNO dan PAS boleh duduk bermesra dan bermanis dengan mereka yang berbeza prinsip dan perjuangan, apakah langsung tiada ruang sesama mereka. Marilah kita bimbangi apa yang
Nabi s.a.w sebut:

“Manusia yang paling Allah benci ialah yang berkeras kepala dalam perbalahan” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Sebab itu ketika saya bersembang panjang dengan Tun Abdullah di London dua minggu lepas, saya mencadangkan agar duduklah UMNO dan PAS berbincang dalam perkara-perkara di luar isu politik. Belajar faham memahami antara satu sama lain. Niatkan kerana Allah, bukan kerana parti.

Jika pun mereka pernah ada rekod buruk perdamaian sebelum ini, namun zaman dan masa sudah berbeza. Semalam sudah tidak sama dengan hari ini. Hari ini manusia lebih matang dan keadaan lebih getir. Jangan lagi berbincang bermula dari titik tolak kuasa, tetapi berbincang dari titik kemaslahatan umat.

Jika benar ada keikhlasan, keberkatan akan datang. Jika niat ikhlas inginkan perdamaian, Allah akan membuka jalan kebaikan. Kalau kuffar musuh Islam ingin berdamai, kita disuruh sahut perdamaian. Inikan pula sesama muslim.

Firman Allah: (maksudnya)

“Dan jika mereka (pihak musuh) cenderung kepada perdamaian, maka engkau juga hendaklah cenderung kepadanya serta bertawakalah kepada Allah. Sesungguhnya Dia Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui” (Surah al-Anfal, ayat 61).

Ada pihak yang berkata perdamaian antara parti-parti orang Islam akan memangsakan orang ‘lain’. Saya hairan, apakah setiap kali jika dua golongan berunding maka pihak lain pasti menjadi mangsa?.

Saya fikir jika muslim yang berbicara demikian, dia seorang yang sama dengan pengikut Abdullah bin Saba yang mencetuskan peperangan antara ‘Ali dan ‘Aishah. Mereka itu apabila melihat ‘Ali berdamai dengan ‘Aishah r.ha, mereka mencetuskan serangan mengejut sehingga mengheret umat Islam bertempur sesama sendiri.

Menurut Ibn Kathir (meninggal 774H), apabila mendengar keputusan `Ali untuk berdamai, mereka yang terlibat dalam peristiwa pembunuhan `Uthman iaitu para pemberontak yang ada di dalam tentera `Ali menjadi takut.

Mereka berbincang sesama sendiri dan berkata: “Mereka telah berdamai atas darah-darah kita”. Maksud mereka perdamaian ini bererti senjata akan dihalakan pula ke arah mereka.. mereka terus berbincang, akhirnya `Abd Allah bin Saba’ mencadangkan agar mereka memulakan api peperangan agar peperangan tetap tercetus.

Sebelum menjelangnya waktu subuh mereka telah melancarkan serangan terhadap tentera-tentera `Aisyah dan `Ali secara serentak menyebabkan kedua-dua pihak menyangka bahawa pihak yang satu lagi telah mungkir janji.

Tentera `Aisyah telah menyatakan: “Tentera `Ali telah menyerang kita”. Sementera tentera `Ali pula menyatakan: “Tentera `Aisyah telah menyerang kita”. Maka tercetuslah peperangan Jamal yang menyebabkan kematian yang begitu banyak…(al-Bidayah wa al-Nihayah 7/249, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah).

Kata Winston Churchill: “History repeats itself because no one was listening the first time”.

Dr. Asri Zainal Abidin -www.drmaza.com

sumber : http://taman-pemuda.blogspot.com

p/s : Bersatu Kerana Allah dan Rasul

Khamis, 2 April 2009

SELAGI MEREKA MENDIRIKAN SEMBAHYANG...

Ini adalah sekadar contoh, bukanlah untuk menyebelahi mana-mana pihak. Mana-mana individu yang digelar ulama, tetapi menyeru kepada perpecahan, kebencian dan permusuhan, mereka tidak layak digelar dengan gelaran tersebut, kerana mereka sendiri sebenarnya tidak faham, apa makna Islam dan mencemar golongan ulama itu sendiri.

Tengok dengan mata hati, fikirkan dengan dalil Illahi, contohilah sunnah Nabi...

Ahad, 8 Februari 2009

BERTENANGLAH...

Sedikit sebanyak, situasi politik umat Islam di Perak, telah mencuit hati saya. Apabila saya melihat kepada tingkah laku sesetengah penyokong kepada parti politik yang menjadikan Islam sebagai dasar perjuangannya, maka saya jadi tertanya-tanya.

Saya bukanlah mahu menyebelahi mana-mana parti atau kumpulan, tetapi apabila melihatkan situasi yang berlaku di Perak baru-baru ini, seakan-akan tidak lagi timbul soal akhlak di kalangan umat Islam apabila ia ada kaitan dengan politik dan kuasa.

Apakah tindakan mereka, menghina pemimpin, merusuh, memaki hamun dan bertindak seperti gambar di atas ini adalah ciri-ciri seorang pejuang Islam? Benarkah, demi untuk menegakkan sebuah negara Islam, cara-cara yang tidak bertepatan dan selari dengan akhlak seorang Muslim boleh diketepikan buat sementara waktu?

Lupakah kita, pada perjanjian Hudaibiyah yang terang-terang memihak pada kaum musyrikin, namun Rasulullah saw tetap menerimanya kerana baginda yakin, Allah Maha Mengetahui lagi Maha Merencana.

Selain itu, sekiranya Rasulullah s.a.w. masih hidup, adakah baginda akan merestui tindakan sebegini, atas nama perjuangan Islam? Apakah dengan memakai pakaian yang dianggap melambangkan Islam, seperti ketayap dan jubah, kemudiannya tiba-tiba bertindak ganas, kasar serta memaki hamun selepas mengadap Allah pada hari Jumaat, akan menaikkan lagi imej Islam di mata masyarakat, ataupun tindakanseperti itu hanya akan menyebabkan Islam yang sedang terfitnah hari ini, terus difitnah terutama di kalangan bukan Islam?

Di sini saya petik komen Dr Asri berkenaan isu politik yang sedang hangat membara di negeri tersebut.

Banyak sekali email isu pergelutan kuasa politik di Perak dihantar kepada saya. Maaf, saya tidak dapat memberikan jawapan yang mencukupi kerana barangkali maklumat yang meyakinkan saya belum mantap.

Saya pada prinsipnya tidak dapat menerima perangai ‘lompat parti’ kerana itu adalah sikap yang tidak telus dan jujur terhadap undi rakyat.

Sesiapa mahu tukar parti setelah dipilih, sepatutnya meletak jawatan dan bertanding semula. Serahkan semula amanah tersebut kepada rakyat. Rakyat ketika mengundi meluahkan hasrat mereka, dan itu tidak boleh diubah sewenang-wenangnya. Cuma ada beberapa perkara yang berlegar dalam fikiran saya tentang keadaan Perak;

1. Jika perbuatan melompat itu tidak dapat diterima oleh sesetengah pihak, sepatutnya ketika isu lompat parti pada 16 September 2008 diuar-uarkan sikap yang sama ditunjukkan. Pendirian yang istiqamah atas prinsip itu hendaklah ditunjukkan dalam semua keadaan. Apakah bantahan isu Perak ini memang benar-benar atas prinsip atau semangat kepartian semata?

2. Tokoh agama Perak yang terkenal, Datuk Seri Harussani Zakaria adalah seorang mufti terkenal, juga tokoh kepercayaan PAS sendiri. Beliau mengepalai upacara membaca doa perlantikan MB baru, YB Datuk Dr Zamry.

Adakah kemungkinan beliau telah melihat berbagai aspek isu tersebut, terutama dari segi agama. Maka saya kira mungkin orang PAS patut merujuk kepada Sahibus Samahah DS Harussani terlebih dahulu sebelum membantah keputusan Sultan Perak itu di sudut agama terutamanya. Mungkin ada perkara yang beliau lebih maklum, sebagai ‘orang lama’ Perak. Apatahlagi, beliau selama itu amat diyakini oleh orang PAS sendiri.

3. Beberapa pihak menyatakan YB DS Nizar sebenarnya hanyalah ‘boneka DAP’. Saya sendiri diberikan berbagai maklumbalas oleh pihak yang tiada kaitan politik. Kononnya, apa yang dilaksanakan di Perak adalah keputusan mesyuarat exco yang didominasi oleh DAP yang menumpukan kepentingan kepada kaum tertentu. Isu pemberian tanah kepada masyarakat cina umpamanya dibangkitkan.

Dakwaan ini bukan sebarangan, sebab pihak Istana Perak sendiri seakan memberi isyarat kerunsingan tentang kedudukan ‘orang Islam’ di Perak. Dakwaan ini perlu dikaji dengan cermat dan teliti tanpa emosi. Apakah benar atau sebaliknya?

4. Dari segi kepentingan umat, tanpa mengira parti, kita perlu menilai; manakah kepimpinan Kerajaan Perak yang lebih bermanfaat dan kurang mudarat kepada umat dan rakyat? Manakah pula yang akan membahayakan masa depan umat? Ini perlu dilihat dengan teliti.

Saya kira, sekiranya anda menggelarkan diri anda sebagai pejuang Islam, maka hayatilah sebenar-benarnnya akhlak pejuang Islam pada sebaik-baik kurun, kerana jika tidak, anda hanya menjadi salah seorang keluarga besar umat Muhammad s.a.w. yang terbabit dalam mengundang fitnah terhadap agama Allah yang Maha Tinggi ini. Beringat-ingatlah! Allah Maha Kuasa, Makhluk Tiada Kuasa. Setiap perkara yang berlaku, pasti ada sebabnya!

Jumaat, 6 Februari 2009

PESANAN KEPADA PEJUANG ISLAM

Dalam artikel Dr Asri Zainul Abidin beliau ada meletakkan nasihat al-Syeikh Abu al-Hasan ‘Ali al-Nadwi kepada al-Ikhwan al-Muslimin. 

 

Nasihat ini beliau rakamkan dalam risalahnya yang bertajuk: Uridu an atahaddatha ila al-Ikhwan (Aku Ingin Berbicara Dengan Al-Ikhwan al-Muslimin). Al-Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradawi juga memetik ungkapan-ungkapan indah risalah tersebut dalam bukunya: “Al-Syeikh Abu al-Hasan al-Nadwi kama ‘araftu”.

Kata al-Syeikh Abu al-Hasan ‘Ali al-Nadwi kepada al-Ikhwan al-Muslimin:

 

Wahai ikhwan Muslimin yang mulia!

 

Sasaran dakwah al-din dan tajdid Islami itu bukanlah mudah. Bukanlah tujuan dan tumpuannya untuk menukar kerajaan semata. Tidak jua untuk mengubah satu suasana politik kepada suasana politik yang lain.

 

Tidak untuk menyebarkan pengetahuan dan ilmu, atau menghadapi buta huruf dan kejahilan, atau memerangi pengangguran, atau mengubati kecacatan masyarakat dan akhlak atau seumpamanya seperti yang diperjuangkan oleh para pejuang perubahan di Barat dan Timur.

 

Sebaliknya, ia adalah seruan Islam yang merangkumi akidah dan akhlak, amalan dan siasah, ibadah juga keperibadian diri dan masyarakat. Ia meliputi akal dan jiwa, ruh dan jasad. Ia bergantung kepada perubahan mendalam dalam hati dan jiwa, akidah dan akal.

 

Ia terpancar dari hati sanubari sebelum terbit dari pena, atau helaian buku, atau mimbar syarahan. 

 

Ia terlaksana dalam tubuh pendakwah dan kehidupannya sebelum dia menuntut dilaksanakan dalam masyarakat keseluruhannya….istimewanya dakwah dan kesungguhan para nabi ialah ketulusan mereka dari memikiran kepentingan kebendaan, hasil yang segera.

Mereka tidak mencari dengan dakwah dan jihad mereka melainkan keredhaan ALLAH. Melaksanakan perintahNya dan menunaikan risalahNya. Akal dan pemikiran mereka tulus dari amalan untuk dunia, mendapat kedudukan, menghasilkan kekuatan untuk keluarga dan pengikut, memperolehi kerajaan.

 

Bahkan itu semua tidak pernah terlintas dalam fikiran mereka. 

Adapun kerajaan yang tertegak untuk mereka pada waktu mereka dan kekuatan yang diperolehi pada masa itu hanyalah hadiah daripada ALLAH. Ia sebagai jalan untuk sampai kepada matlamat agama, melaksanakan hukum-hakamnya, mengubah masyarakat dan mengarahkan kehidupan. 

 

Ini seperti firman ALLAH: (maksud) Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan. (Surah al-Hajj: 41).

 

Bukanlah sama sekali kerajaan yang diperolehi itu salah satu dari matlamat mereka. Bukan jua salah satu dari tujuan mereka. Tidak jua dari tajuk perbicaraan mereka, atau salah satu dari mimpi mereka. Hanya ia adalah hasil semulajadi untuk dakwah dan jihad. Sama seperti buah yang merupakan hasil semulajadi dari kesuburan pokok dan kesungguhan pembajaannya….”

 

Katanya juga: “Wahai tuan-tuan!

 

Besarnya perbezaan antara matlamat yang dituju, dan natijah yang muncul. Perbezaan ini akan zahir dalam jiwa yang bekerja untuk itu. Maka, yang bertujuan mendapatkan kerajaan, akan hilang kesungguhan dan diam apabila tidak memperolehinya, atau hilang harapan mendapatkannya. 

 

Dia akan berhenti dari dakwah. Dia juga akan melampau jika berjaya. Bahaya bagi setiap jamaah yang pemikiran mereka dibentuk atas cinta (mendapatkan) kerajaan (kuasa) dan berkerja untuk itu. Kerana ia akan menyebabkan mereka meninggalkan jihad di jalan dakwah atau boleh terpaling dan terseleweng tujuan mereka. 

 

Sebabnya, uslub (cara) untuk mendapatkan kerajaan berbeza dengan uslub dakwah. 

 

Wajib kepada kita membersihkan akal dan jiwa kita, semata-mata untuk dakwah. Hanya dakwah, khidmat, pengorbanan, mengutamakan saudara muslim, mengeluarkan manusia –dengan izin ALLAH- dari segala kegelapan kepada cahaya (Islam), dari jahiliyah kepada Islam, dari kesempitan dunia kepada keluasannya. 

 

Dari kekejaman agama-agama yang sesat, sistem-sistem yang zalim, mazhab-mazhab yang tidak menentu, kepada keadilan Islam dan lembayungnya. Faktor yang membawa kita kepada amal dan jihad hanyalah untuk menunaikan perintah ALLAH dan kemenangan pada Hari Akhirat. 

 

Juga kerana apa yang ALLAH sediakan untuk hamba-hambaNya dari ganjaran dan pahala. Kemudian, faktor lain ialah simpati kepada makhluk, kesian kasih kepada insan yang tersiksa, dan keinginan terhadap keselamatan manusia. 

Jika pada satu peringkat dakwah, atau pada satu masa –setelah prinsip-prinsip dakwah dan akidah kukuh dalam jiwa pendakwah- tujuan dakwah tidak dapat dicapai melainkan dengan mendapatkan kerajaan, kita akan berusaha untuk mendapatkannya. Demi kemaslahatan dakwah. 

 

Dengan jiwa yang luhur dan bersih, benar dan amanat, kusyuk dan tulus, seperti kita bersungguh dalam tanggungjawab dan rukun agama, juga ibadah-ibadah yang lain.

 

Tiada beza bagi seorang mukmin antara kerajaan dan ibadah yang lain, jika telah ikhlas dan betul niatnya. Kesemua itu dalam redha ALLAH, kesemuanya pada jalan ALLAH. Kesemuanya ibadah yang mendekatkan diri kepada ALLAH. (rujukan: al-Qaradawi, Al-Syeikh Abu al-Hasan al-Nadwi kama ‘araftu, m.s. 122-125, Damsyik: Dar al-Qalam).

Wallahua'lam

sumber http://fakhrumobile.blogspot.com

 

Selasa, 9 Disember 2008

APABILA ORANG JAHIL CUBA MENULIS TENTANG ISLAM


Inilah blog yang mempertikai dan membuat kenyataan yang menghina Islam dan umatnya. Kepada umat Islam, jangan kita beremosi dengan kenyataan pemilik blog ini yang sebenarnya terdiri dalam golongan mereka yang jahil.

Usah kita berbalah dengan orang jahil. Tetapi berilah orang-orang jahil ini, ilmu tentang Islam. Terangkan Islam dengan penuh tenang dan bukannya bertindak mengikut emosi dan kemarahan. Rujuklah balik pada kaedah dakwah yang digunakan oleh Rasulullah saw dan juga para sahabat apabila berdepan dengan masyarakat Musyrikin kaum penyembah berhala di Mekah.

Sekiranya seseorang yang menghina agama kita itu jahil dan tidak tahu tentang Islam, maka tidak layak kita menyerang dan memaki hamunnya, sebaliknya menerangkan hujah-hujah dan kebenaran tentang Islam.

Tetapi... sekiranya kita sudah menyampaikan kepada orang jahil ini apa yang Nabi saw sampaikan kepada kaum Musyrikin penyembah berhala di Mekah dulu, namun di atetap tidak mahu menerima kebenaran itu, dan terus mahu mengutuk dan menyinggung perasaan umat Islam, maka layanan dan bentuk dakwah kepada mereka akan menggunakan cara yang berlainan...

Satu persoalan, apakah yang kekal di dunia ini? Manusia, nyawa, harta benda, anak isteri, kereta, pangkat, tumbuh-tumbuhan, gunung ganang... apa saja yang ada di dunia ini akan musnah dan hancur..hakikat ini diakui oleh setiap individu yang berfikiran waras dan modern di dalam dunia.

Tetapi, ada tempat yang kekal tidak hancur dan musnah sama sekali...kat mana tempat tu? Kena baca Al Quran.

Isnin, 1 Disember 2008

SENYUMAN PENUH MAKNA...











p/s : Gambar ini diterima melalui email. Gambar jenazah dua orang syuhada ini, dipaparkan secara eksklusif oleh salah satu media di Indonesia, MuslimDaily.net

Selasa, 28 Oktober 2008

BERHATI-HATI DENGAN HADIS PALSU...

BERBOHONG adalah satu kesalahan. Berbohong menggunakan nama agama adalah kesalahan yang lebih besar. Saya hairan mendengar sesetengah penceramah agama yang menyatakan haram berbohong, tetapi semasa ceramahnya, dia juga melakukan dosa pembohongan yang paling besar.

Apa tidaknya, dia berbohong dengan menyatakan Rasulullah SAW bersabda sesuatu hadis sedang hadis tersebut adalah palsu pada nilaian ilmu hadis. Bohong jenis ini jauh lebih besar dosanya dari bohong saudagar atau ahli politik.

Bohong saudagar dan ahli politik merosakkan harta orang, tetapi bohong pembaca hadis palsu merosakkan agama. Sebab itu Rasulullah SAW bersabda dalam hadis yang mutawatir:

Sesungguhnya berdusta ke atasku (menggunakan namaku) bukanlah seperti berdusta ke atas orang lain (menggunakan nama orang lain). Sesiapa yang berdusta ke atasku dengan sengaja, maka siaplah tempat duduknya dalam neraka”.

Hadis palsu adalah hadis yang direka atau diadakan-adakan, sedangkan ia tidak berasal daripada Rasulullah SAW. Banyak hadis rekaan ini dibaca oleh para penceramah yang jahil. Sehingga saya selalu menegur seorang ‘ustazah tv’ yang sering membaca hadis-hadis jenis ini untuk hidangan penonton.

Mungkin ada pembaca hadis palsu merasakan mereka tidak bersalah, sebab mereka hanya memetik daripada buku-buku mereka baca yang memuatkan hadis-hadis palsu. Maka mereka merasakan mereka hanya menyebarkan, maka tidak patut dipersalahkan.

Mereka lupa penyebar hadis palsu sama ada menerusi ucapan atau tulisan, dia dalam masa yang sama sebenarnya menipu orang lain apabila menyandar sesuatu perkara kepada Nabi SAW tanpa bukti yang sah. Pendengar akan terpedaya lalu mengamalkan perkara yang dianggapnya daripada Nabi SAW, sedang ia bukan seperti yang disangkakan.

Al-Imam Ibn Hibban (w. 354H) dalam kitab sahihnya meletakkan satu pasal yang beliau namakan:

Pasal menyebut ketetapan memasuki neraka untuk sesiapa yang menyandarkan sesuatu kepada al-Mustafa (Nabi Muhammad) SAW, sedangkan dia tidak tahu mengenai kesahihannya (Ibn Hibban, Sahih Ibn Hibban, 1/210).

Kata al-Syeikh Muhammad bin Muhammad Abu Syahbah:

Tidak halal meriwayatkan hadis palsu dalam apa perkara sekali pun, melainkan bersama keterangan tentang kepalsuannya. Ini sama ada berkaitan halal dan haram, atau fadail (kelebihan-kelebihan amalan), atau al-tarhib (menakutkan orang ramai terhadap maksiat) dan al-targhib (menggalakkan ibadah), atau kisah, atau sejarah atau selainnya.

Sesiapa yang meriwayatkan tanpa keterangan bererti telah melakukan dosa yang besar dan termasuk dalam senarai pendusta. Ini berasaskan apa yang diriwayatkan oleh al-Imam Muslim dalam mukadimah sahihnya bahawa Rasulullah SAW bersabda:

Sesiapa yang menyebut hadis daripadaku sedangkan dia menyangka ia dusta, maka dia termasuk salah seorang pendusta”.

Ramai ulama hadis telah menghukum dengan ta‘zir (denda) dan takdib (hukuman membetulkan akhlak) ke atas sesiapa yang meriwayatkan hadis palsu tanpa diterangkan kepalsuannya. Kata Abu ‘Abbas al-Sarraj:

Aku melihat diberikan kepada Muhammad bin Isma‘il al-Bukhari surat Ibn Karram yang bertanyakan beberapa hadis, antaranya: hadis daripada al-Zuhri, daripada Salim, daripada ayahnya - disandarkan kepada Rasulullah (Iman itu tidak bertambah dan tidak berkurang).

Maka al-Imam al-Bukhari menulis di atas surat tersebut:

Sesiapa yang menyebut hadis ini maka wajib dipukul dengan keras dan dipenjara dalam tempoh yang lama. Bahkan di kalangan ulama ada yang menghalalkan darahnya. Maka, ketika disebutkan hadis (palsu) Suwaid al-Anbari:

Sesiapa yang jatuh cinta, lalu dia menahan diri dan menyembunyikannya, kemudian mati, maka dia mati syahid), lalu Yahya bin Ma‘in berkata: “Darah orang ini halal”.

Ketika ditanya Ibn Hajar al-Haithami mengenai seorang khatib yang menaiki mimbar setiap Jumaat dan meriwayatkan hadis-hadis tanpa diterangkan sumber dan kedudukannya, maka jawabnya:

“Hadis-hadis yang dia sebut tanpa menerangkan perawi dan siapa yang menyebutnya, harus dengan syarat dia seorang yang mempunyai ilmu dalam hadis, atau dia memetik daripada kitab yang penulisnya ahli hadis. Adapun jika dia hanya bergantung kepada kitab atau ucapan yang penulisnya bukan ahli hadis, maka tidak halal (berbuat demikian).

Sesiapa yang melakukannya dita‘zirkan dengan keras. Inilah keadaan kebanyakan khatib. Mereka semata-mata hanya melihat khutbah yang mengandungi hadis-hadis, lalu mereka hafal. Mereka berkhutbah menggunakan hadis-hadis tersebut tanpa mengetahui asal-usulnya. Maka wajib ke atas pemerintah di setiap negeri menghalang para khatib dari berbuat demikian”. (Abu Syahbah, al- Wasit fi ‘Ulum wa al-Mustalah al-Hadis, m.s. 321-322).

Mengapa bohong menggunakan nama Nabi SAW amat dilarang sekalipun dengan niat yang baik? Ada beberapa sebab yang dapat saya simpulkan. Antaranya, jika pendustaan menggunakan nama orang biasa diharamkan, apatah lagi menggunakan nama seorang rasul.

Pendusta hadis palsu menyamakan rekaannya dengan wahyu, atau nilai kerasulan yang ada pada diri Nabi Muhammad SAW. Pendustaan jenis ini juga menghilang kehebatan dan keaslian agama. Agama yang hilang keasliannya, tiada nilainya lagi. Ia menyebabkan Islam yang bersumberkan wahyu sama seperti agama rekaan yang bersumberkan pemikiran dan khayalan manusia.

Ditambah lagi, pendustaan ini bererti penipuan terhadap pencinta Islam yang mungkin tertipu lalu mempercayai pendustaan itu. Mereka akan mengamalkan pendustaan itu dengan keyakinan ia tuntutan agama, padahal ia kepalsuan. Sedangkan mereka inginkan keaslian. Bahkan, pendustaan itu bererti pengkhianatan terhadap syariat yang diturunkan.

Jika pendustaan itu mempunyai unsur-unsur jahat, maka ia jenayah yang menyebabkan manusia hilang keyakinan terhadap agama. Atau menyebabkan manusia mengamalkan agama dalam bentuk yang salah.
Jika pendustaan itu menokok tambah unsur-unsur yang dianggap baik, pendustaan seakan menganggap agama yang diturunkan Allah belum lengkap, justeru memerlukan nas-nas tambahan dan rekaan.

Dalam sejarah, bukan sedikit kesan buruk hadis palsu yang dipalitkan kepada Islam yang suci ini. Contohnya, hadis rekaan: “Ayam jantan putih adalah kawanku, ia juga kawan kepada kawan ku. Musuh ayam jantan putih adalah musuhku dan musuh kepada musuhku”.

Hadis palsu ini kelihatan sangat lekeh dan menghina Rasulullah. Tidak mungkin keluar dari mulut seorang nabi perkara yang sebegini. Mungkin ia direka oleh penggemar ayam jantan putih.

Sebenarnya, semua hadis yang berkaitan dengan kelebihan ayam jantan putih adalah tidak benar sama sekali. (lihat: al-Jarahi, Kasyf al-Khafa, 2/422). Malangnya, dalam masyarakat kita ada kesan hadis palsu ini. Sesetengah kepercayaan dan bomoh mempercayai kelebihan ayam jantan putih untuk dibuat ubat dan seumpamanya.

Demikian juga pemalsuan hadis telah menjadikan ajaran al-Quran dan al-Sunnah seakan bertentangan antara satu sama lain. Padahal yang bertentangan itu hadis yang palsu.

Contohnya, hadis palsu “anak zina tidak akan masuk syurga”. Dahulu, ramai yang menganggap keji dan tiada peluang untuk kebaikan. Akibat daripada hadis-hadis palsu seperti yang dibaca oleh sesetengah pihak. Sehingga ada yang menyebut hadis palsu lain: Anak zina tujuh keturunan tidak akan masuk syurga.

Sedangkan Allah menyebut dalam Surah al-Isra ayat 15 yang bermaksud:

Sesiapa yang beroleh hidayah petunjuk, maka sesungguhnya petunjuk yang didapatinya itu hanya untuk dirinya sendiri, dan sesiapa yang sesat maka sesungguhnya kesesatannya hanya ditanggung oleh dirinya juga, dan seseorang tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain dan tiadalah Kami mengazabkan sesiapapun sebelum Kami mengutuskan seorang rasul (untuk menerangkan yang benar dan yang salah).

Jelas, mana mungkin anak zina dihukum disebabkan perbuatan kedua ibu bapanya?! Ini mencemarkan penegasan al-Quran tentang keadilan Allah yang tidak menghukum seseorang atas kesalahan orang lain. Juga ia menyebabkan si anak zina kecewa dengan Nabi SAW.
Demikian saya amat dukacita apabila diberitahu ada penceramah kursus perkahwinan membaca hadis palsu kononnya Rasulullah SAW bersabda: Apabila seseorang kamu menyetubuhi isteri atau jariahnya, maka jangan dia melihat pada kemaluan mereka kerana yang demikian itu menyebabkan buta.

Maka ‘demam’ pasangan yang ingin berkahwin mendengar hadis palsu ini. Sementara yang dah lama melihat kemaluan isterinya kehairanan kerana dia masih belum buta. Lalu mungkin disangkakan Nabi SAW memberitahu sesuatu yang tidak benar.

Sebenarnya, pereka hadis palsu itu yang berbohong dan ustaz pembaca hadis palsu tersebut menyebar kebohongan.

Sedangkan Allah berfirman dalam Surah al- Mukminun ayat 1-6: (maksudnya)
Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman. Iaitu mereka yang khusyuk dalam solatnya. Dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia; Dan mereka yang berusaha membersihkan hartanya (dengan menunaikan zakat harta itu); Dan mereka yang menjaga kemaluan mereka, kecuali kepada isterinya atau hamba sahayanya maka sesungguhnya mereka tidak tercela.

Mengulas hadis tadi, kata tokoh ilmuwan hadis, al-Syeikh Muhammad Nasir al-Din al-Albani r.h:Penilaian yang betul akan menunjukkan kebatilan hadis ini. Ini kerana dari segi persetubuhan, pengharaman melihat faraj isteri bererti pengharaman kepada wasail (faktor-faktor ke arah persetubuhan).

Jika Allah menghalalkan suami menyetubuhi isterinya, apakah logik untuk dia dilarang melihat kemaluan isterinya. Demi sesungguhnya tidak!
Ini dibuktikan dengan apa yang diriwayatkan daripada ‘Aisyah, katanya:

Aku dan Rasulullah pernah mandi bersama dari satu bekas air. Maka dia mendahuluiku sehingga aku kata: tinggalkan untukku! tinggalkan untukku!) Riwayat al-Bukhari, Muslim dan selain mereka.

Jelas daripada hadis ini harus melihat kemaluan isteri. Ini dikuatkan oleh riwayat Ibn Hibban melalui Sulaiman bin Musa yang apabila ditanya mengenai suami yang melihat kemaluan isterinya, dia menjawab:

“Aku pernah bertanya hal ini kepada ‘Ata. Kata ‘Ata: Aku pernah bertanya ‘Aisyah, lalu ‘Aisyah pun meriwayatkan hadis di atas” (Al-Albani, Silsilat al-Ahadis al- Da‘ifat wa al-Maudu‘at,, 1/353).

Contoh lain kepalsuan yang menyanggahi prinsip-prinsip Islam; hadis-hadis yang menyatakan orang yang bernama Muhammad atau Ahmad tidak akan masuk neraka. Ini bercanggah dengan prinsip Islam bahawa syurga dan neraka dinilai melalui amalan soleh. Ahli syurga adalah golongan yang beriman dan soleh. Sementara dimasukkan ke dalam neraka ahli maksiat walau apa nama dan panggilannya.

Kata Ibn Qayyim al-Jauziyyah:

“Ini bercanggahan dengan apa yang diketahui dari agama Nabi SAW iaitu; bahawa neraka tidak dapat dielakkan darinya dengan nama dan gelaran. Sebaliknya, yang menyelamatkan dari neraka ialah iman dan amalan soleh”. (Ibn Qayyim al-Jauziyyah, al-Manar al- Munif fi al-Sahih wa al-Da‘if, m.s. 57).

Namun, ada mempercayai bahawa nama yang baik sahaja boleh masuk syurga. Saya pernah mendengar penceramah agama yang menyatakan siapa nama ‘Ghazali’ mudah masuk syurga sebab sama dengan nama ulama. Inilah satu daripada salah faham terhadap agama.

Hari palsu juga mewujudkan khurafat yang pelbagai. Dulu ada orang Melayu yang menganggap Hari Rabu akhir bulan adalah hari mudah ditimpa nahas. Ini semua disebabkan hadis palsu yang menyebut hari Rabu terakhir bagi setiap bulan adalah hari nahas yang berterusan. Ini adalah hadis palsu. (Lihat: al-Albani, Silsilat al-Ahadis al- Da‘ifat wa al-Maudu‘at, 4/88.)

Menjadikan sesiapa yang percayanya ketakutan tanpa sebab dan memandulkan urusan kehidupan. Bahkan isi kepalsuan ini menyanggahi realiti yang kita saksikan. Betapa banyak hari Rabu akhir bulan datang dan pergi sedangkan kedatangan musibah tidak pernah memilih hari. Ia adalah ketentuan Allah SWT semata.

Malang sekali apabila ada penceramah motivasi yang membaca hadis ini sebagai tips-tips penting dalam mengatur hidup, kononnya elakkan hari Rabu terakhir dalam bulan Islam bimbang nanti ditimpa nahas.

Hadis-hadis palsu telah merosakkan imej Islam. Namun ramai yang belajar agama tidak mempelajari ilmu hadis atau merujuk kepada ulama hadis telah tersasul dengan membaca hadis-hadis palsu ini. Sehingga dalam laman web pihak yang berlogokan kemajuan Islam pun dimasukkan hadis palsu. Agama menjadi keliru disebabkan hadis-hadis yang seperti ini.

Maka kita sepatutnya selalu mengingati amaran Nabi SAW kepada para sahabah baginda:

Pada akhir zaman akan ada para dajjal lagi pendusta. Mereka membawa kepada kamu hadis-hadis yang tidak pernah kamu dan bapa-bapa kamu mendengarnya. Kamu hendaklah berhati-hati dengan mereka agar mereka tidak menyesatkan kamu dan memfitnah kamu (menipu kamu sehingga yang batil disangkakan benar). (Riwayat Muslim).

Rabu, 3 September 2008

ROSAK ULAMA, ROSAKLAH UMMAH

oleh Abu Muhammad Zubair

Seruan Datuk Zahid Hamidi terhadap para ulama agar tidak menyebelahi parti politik dianggap amat kena sekali pada tempatnya. Sememangnya, para ulama tidak boleh bersikap condong ke mana-mana pihak, dan membuat keputusan di atas prinsip Islam berdasarkan al Quran dan Hadis.

Apatah lagi, dalam keadaan umat Islam, khususnya orang melayu, dalam keadaan keliru akibat situasi politik dalaman yang kini semakin mencabar kedudukan bangsa Melayu, terutamanya agama Islam.

Dalam keadaan hari ini, peranan ulama amatlah penting, kerana ulama boleh dikatakan sebagai rangking kedua terpenting yang menjadi rujukan pad umat Islam, dan boleh dikatakan sebagai satu tonggak perpaduan umat.

Tetapi malangnya hari ini, ramai di antara mereka yang bergelar ulama, condong ke arah parti politik. Tanpa mereka sedari, dengan berpihak ke satu golongan, maka mereka telah meletakkan tahap seorang ulama itu ke tempat yang tidak sepatutnya.

Ulama, ialah antara insan yang dikurniakan ilmu oleh Allah swt. Tugas ulama ialah untuk menyampaikan ilmu tersebut kepada sesiapa sahaja, biarpun jahat mana insan itu sekalipun, mereka perlu menyampaikan dakwah mereka.

Bukan sahaja terhadap muslim yang sudah terpesong, bahkan kepada bukan Islam sepatutnya mereka lebih utamakan untuk berdakwah. Apatah lagi dalam keadaan ajaran Islam yang sedang dipandang serong hari ini.

Namun, di manakah nampaknya gerakan dakwah yang dipelopori oleh ulama di negara ini? Apakah 14 mufti di setiap negeri, atau ulama-ulama yang ada di negara ini pernah duduk semeja pada setiap minggu, atau setiap bulan, bagi membincangkan permasalah ummah yang sebenarnya terbeban di bahu mereka?

Pernah seorang rakan penulis yang bertugas di Utusan Malaysia memberitahu, dia menghubungi seorang yang dianggap ulama, untuk mendapatkan komen beliau tentang kenyataan seorang menteri Islam yang mencadangkan agar pub di negara ini dibuka sehingga pukul lima pagi.

Sangka penulis, pastinya ulama tersebut akan memberi ulasan yang bernas, serta menentang sekeras-kerasnya cadangan tersebut. Namun, penulis berasa kecewa, kerana menurut rakan penulisn, jawapannya berbunyi lebih kurang begini, “Awak tanyalah orang lain dalam bidang tu. Saya ni orang kerajaan,” ujar menolak permintaan rakan penulis.

Dengan nada kecewa, rakan penulis menyindir ‘ulama’ tersebut dan mengatakan bahawa dia faham akan kedudukannnya. Bagaimanapun, seolah-olah terasa dengan sindiran rakan tersebut, maka ulama tersebut akhirnya turut memberikan komen. Dan akhirnya, perkara tersebut dibawa ke Parlimen dan diputuskan bahawa semua kelab malam di sekitar Kuala Lumpur tetap ditutup pada pukul satu pagi.

Persoalannya, apakah golongan yang menganggap ‘saya ini orang kerajaan’ boleh dianggap sebenar-benarnnya ulama atau digelar ulama?

Begitu juga dengan kisah seorang ulama tersohor. Dahulunya, beliau tidak berpihak pada mana-mana parti politik. Orang UMNO atau orang PAS, masing-masing tidak ragu-ragu untuk mendengar ceramah dan penjelasannya.

Namun, setelah mengisytiharkan dia menyertai satu parti politik, maka, golongan parti politik yang lain mula menganggap, ulama ini juga mempunyai kepentingan diri, walapun sebenarnya tidak.

Akhirnya perbuatan ini menjadi fitnah, dan membuatkan sebahagian golongan dari parti yang lain itu, mula menjauhi ceramah-ceramah ulama tersebut yang dianggap sebagai ceramah politik, dan tidak lagi membeli kaset-kasetnya. Kerana keputusannya itu untuk berpihak kepada satu puak, maka secara tidak langsung, beliau telah menafikan hak golongan yang lagi satu, untuk menerima dakwah dan peringatan.

Jadi, apakah ini sebenarnya tugas ulama di negara ini? Memihak ke satu puak, dan kemudiannya menghentam satu puak? Bukankah itu namanya mengundang perpecahan, yang membawa laknat dari Allah swt? Bukankah orang yang suka kepada perpecahan itu Allah samakan dengan kaum Nasrani dan Bani Israel? Tidakkah kita hari ini bersikap sama seperti mereka?

Malah, ada juga yang dianggap ulama, menghentam ulama lain dengan perkataan yang kasar dan kesat. Ulama ini mungkinmenganggap salah satu kakinya telah berada di dalam syurga, dan mengatakan ulama lain sebagai setan dan sebagainya. Apakah ini sikap seorang ulama Islam? Bermusuhan dengan ulama lain secara terang-terang dan memaki hamun dalam kata-katanya? Inikah akhlak ulama dalam Islam?

Sebab itulah, Islam difitnah. Bukanlah barat yang memfitnah Islam, tetapi akhlak penganut Islam sendiri yang menyebabkan Islam itu terfitnah. Sebab itulah, masyarakat Islam hari ini berkeceramuk pegangan agamanya.

Inilah juga sebabnya, mengapa ramai orang-orang bukan Islam yang sudah memeluk Islam, ingin keluar dari agama yang mulia dan suci ini. Inilah masalah yang akan timbul apabila sikap ulama di sesebuah negara yang mula mementingkan duniawi, daripada ukhrawi.

Inilah akibat memandang kuasa politik itu boleh merubah segalanya, memandang pangkat, harta sebagai jaminan keselamatan di dunia dan akhirat dan terlupa bahawa Allah itu sebenarnya yang lebih berkuasa.

Sebab itu jugalah, Rasulullah saw, telah berpesan kepada kita, dengan pesanannya yang bermaksud, “Jika rosaknya ulama dan umarak, maka hancur dan rosaklah masyarakat di sesebuah negara itu,”

Rabu, 27 Ogos 2008

PENJELASAN MUFTI PERLIS TENTANG KONSPIRASI JATUHKAN DSAI

Ada sesetengah pihak yang tersalah sangka dengan menganggap bahawa cadangan saya untuk DSAI dan Saiful bermubahalah itu satu perangkap untuk menjatuhkan DSAI. Demi sesungguhnya tidak!

Sebenarnya, sejak beberapa bulan yang akhir ini wujudnya persahabatan bukan politik antara saya dan DSAI. Sikapnya yang lebih lunak dan sering bertanya khabar agak menyenangkan.

Apabila timbul isu liwat yang dibangkitkan oleh Saiful, maka saya bertanya hal tersebut kepada DSAI sendiri. Daripada penjelasannya beliau memaklumkan bahawa wujudnya konspirasi. Katanya, mahkamah dan polis akan dipergunakan.
Saya yang bersimpati jika benar wujud konspirasi tersebut melihat imej beliau perlu dibersihkan dan perancangan buruk perlu dihentikan melalui satu proses yang menakutkan sesiapa yang khianat dan berdusta. Berdasarkan dakwaan DSAI, mahkamah dan polis tidak dipercayai. Maka saya mencadangkan proses yang terkandung dalam al-Quran dan al-Sunnah yang diluar dari hukuman manusia sebaliknya menanti balasan Allah di dunia lagi iaitu Mubahalah.

Harapan saya supaya mereka yang jahat akan takut seperti mana golongan Kristian Najran yang takut dengan laknat Allah s.w.t dan tidak berani bermubahalah dengan Nabi Muhammad s.a.w.. Saya maklumkan secara perbualan telefon kepada DSAI bahawa niat saya membersihkan imej beliau dan beliau ketika itu tidak pertikaikan tujuan saya walaupun kelihatan beliau keberatan.

Tiba-tiba selepas cadangan dibuat dan -seperti pandangan-pandangan saya yang lain- ia mendapat liputan yang meluas, Saiful pula yang tampil mencabar DSAI untuk bermubahalah dan telah melaknat dirinya jika dia bohong. Sementara DSAI enggan menyahutnya atas alasan-alasan beliau.

Maka, tiada sebarang konspirasi dalam cadangan ini, sebaliknya tujuan asalnya adalah untuk kebaikan beliau. Jika beliau enggan, maka para pengikutnya yang tidak perlu mempertikaikan pencadangnya”.

sumber Al Ahkam

JANGAN BERPOLITIK SEPERTI ORANG TIDAK BERAGAMA

Oleh Abu Muhammad Zubair

Hari ini, senario politik di negara ini, terutama yang melibatkan parti yang tunggok bangsa Melayu iaitu UMNO dan PAS, kini semakin hangat dan membara. Ini adalah rentetan daripada episod jatuhnya beberapa buah negeri yang selama ini dikuasa oleh BN ke Parti Pakatan Rakyat dalam pilihanraya umum ke 12 baru-baru ini.
Jelas, senario ini adalah antara penyebab makin hangatnya suasana politik bagi bangsa Melayu. Masing-masing dari parti yang diwakili ingin berebut kuasa dan ingin jadi pemerintah.
Dalam usaha ke arah itu, nampaknya bangsa Melayu yang terlibat di dalam parti politik, atau menjadi penyokong mana-mana parti politik, akan sedaya upaya menyakinkan rakyat, atau orang sekelilingnya itu, bahawa perjuangan partinyalah yang paling relevan dan benar.
Namun, apa yang dikesalkan, cara dan pendekatan yang diambil oleh golongan penyokong, pemimpin parti politik Melayu benar-benar jauh daripada akhlak dan landasan yang digariskan oleh Islam. Sikap maki hamun sesama sendiri, menabur fitnah bertindak ganas, kata-kata lucah menjadi penyeri dalam kata-kata dan perbuatan mereka atas nama politik. Adakah di sebabkan politik, semua kelaku yang dilarang ini dibenarkan?

Saya ingin petik sedikit daripada tulisan Mufti Asri dalam Mingguan Malaysia baru-baru ini. Beliau sebagai Mufti menjalankan tanggungjawabnya menegur penyokong dan pemimpin parti politik Melayu, agar cara dan akhlak ketika berpolitik dan berkempen semestinya tidak lari daripada akhlak yang digariskan oleh Islam.

Semua ini berlaku menurut beliau, adalah disebabkan dengan bersikap takliq buta dan terlalu taksub kepada parti atau pemimpin parti tersebut. Sikap ini tidak berbeza dengan sikap sesetengah penganut mazhab yang terlalu taksub serta bersikap takliq buta yang akhirnya menyebabkan perpecahan berlaku di kalangan umat Islam.

Antara tulisan beliau dalam ruangan Pena Mufti itu berbunyi : Sikap taklid buta menjadi-jadi. Tidak ditanya lain nas dan dalil, sebaliknya mereka akan bertanya apa pemimpin politik kita kata. Ini mengingatkan saya kepada apa yang pernah disebut oleh al-Hafiz Ibn Qayyim al-Jauziyyah (meninggal 751H) dalam mengkritik golongan ekstrimis mazhab, katanya: "Yang lebih pelik dari semua itu adalah sikap kamu wahai golongan taklid! Kamu ini jika mendapati ayat al-Quran yang bersesuai dengan mazhab kamu, maka kamu akan terima apa yang jelas dari ayat itu dan berpegang kepadanya. Teras kamu dalam perkara berkenaan adalah pendapat mazhab kamu, bukan ayat tersebut.

Jika kamu dapati ayat lain yang setanding dengannya menyanggahi pendapat mazhab kamu, kamu tidak akan menerimanya. Kamu akan cuba membuat berbagai-bagai takwilan dan mengeluarkannya dari maksudnya yang jelas, kerana tidak bersesuaian dengan mazhab kamu. Inilah juga yang kamu lakukan kepada nas-nas al-Sunnah. Jika kamu dapati satu hadis yang sahih bersesuaian dengan mazhab kamu, kamu menerimanya. Kamu kata: "Kami ada sabda Nabi SAW begini dan begitu". Jika kamu dapati seratus atau lebih hadis sahih yang berbeza dengan mazhab kamu, kamu tidak pandang kepadanya, walaupun sedikit..". (Ibn Qayyim al-Jauziyyah, I'lam al-Muwaqqi'in, 2/195, Beirut: Dar al-Fikr).

Beliau turut menyentuh tentang akhlak dan kelaku penyokong-penyokong parti politik yang lebih dari 90 peratus beragama Islam ketika berkempen di Permatang Pauh baru-baru ini. Kata beliau : Sesiapa yang datang melihat akhlak dan budi sesetengah mereka yang terlibat dalam pilihan raya kecil Permatang Pauh akan dapat menilai jika berfikiran matang.

Sebahagian tindak tanduk itu kadang-kala amatlah jauh dengan syiar akhlak dan budi yang diperjuangkan Islam buat masyarakat manusia. Maki-hamun boleh kedengaran di jalan-jalan apabila bertembung antara satu sama lain. Perbezaan politik itu menjadikan mereka lupa tentang apakah yang hendak diperjuangkan? Di mana ajaran Islam tentang hubungan seorang muslim dengan muslim yang lain?

Di manakah ajaran Islam tentang memberi salam, senyum buat saudara muslim apabila bertemu dan berbagai-bagai lagi? Inikah masa depan akhlak dan budi rakyat sebuah negara yang hendak dibentuk? Maka tidak hairan jika akhlak muda-mudi kita makin teruk, jika demikian pembentukan nilai-nilai yang ada di kalangan orang politik. Mereka semua tenggelam dalam kemabukan kuasa sehingga lupa terhadap masa depan negara.

Malu membawa anak-anak yang masih mentah untuk melihat orang-orang politik yang jerit-menjerit di jalan raya dengan bahasa yang jijik dan kotor. Lebih malu jika yang turut menjerit itu memakai gelaran agama. Mereka memang benar-benar tenggelam dalam kemabukan.

Tiada peruntukan dalam ceramah-ceramah politik untuk menjadikan hati insan yang hadir mendengarnya lunak dan syahdu mengingati Allah dan kebesaran syiar Islam yang mendidik umatnya berpekerti mulia. Sanggup pula sesetengah ibu bapa membiarkan anak-anak gadis datang dari jauh dan dekat berkempen, bergaul bebas. Gadis-gadis yang terdedah kepada berbagai-bagai bahaya, merayau siang dan malam atas nama meraih undi. Kesemuanya halal atas nama kempen pilihan raya.

Ada yang mengambil cuti, kononnya berkorban untuk perjuangan. Perjuangan apa yang hendak dikorbankan? Apakah suasana sedemikian rupa mengundang pahala dan reda Allah? Kalian bertembung sesama muslim dan melampaui batas. Sedangkan Allah mengajar mereka yang berperang dengan musuh Islam: (maksudnya): "Dan perangilah di jalan Allah orang-orang yang memerangi kamu, dan janganlah kamu melampaui batas, sesungguhnya Allah tidak menyukai mereka yang melampaui batas".(Surah al-Baqarah ayat 190).

Jelas hari ini, akhlak dan ajaran Islam dalam pendekatan politik yang digunakan oleh parti Melayu sudah tersimpang jauh dari yang sepatutnya. Lupakah kita, terutama pada pemimpin yang beria-ria mempertahankan kuasanya, bahawa kuasa itu merupakan satu tanggungjawab dan amanah yang besar, yang silap-silap langkah, akan menyebabkan individu yang bergelar pemimpin itu akan ditimpa murka Allah swt.

Dan apakah kita juga lupa, bagaimana para sahabat dulunya saling tolak menolak apabila mahu diberikan kuasa, waimah untuk menjadi imam solat jemaah sekalipun, mereka tetap berfikir masak-masak untuk menerimanya.

Bukankah sebagai umat Islam, kita sedar bahawa manusia singgah di dunia ini hanya sebagai musafir lalu dan tujuan utamanya ialah untuk mencari bekalan sebanyak mungkin menuju ke kampung akhirat? Bukankah kita sering mengungkapkan bahawa dunia ini sementara dan akhirat itu kekal abadi?

Tetapi pelik, kenapa orang yang mengaku, dunia ini sementara, akhirat itu kekal abadi pula bersungguh-sungguh untuk mencari perkara yang sementara seperti kekayaan dan kuasa, sehingga sanggup melanggar batas apa yang telah ditetapkan Allah untuk kebaikan kita di kampung akhirat kelak? Kalau demikian sikap kita, itu bermakna awal-awal lagi kita sudah membayangkan jalan mana yang kita pilih untuk menuju ke kampung akhirat kelak.

Isnin, 18 Ogos 2008

TIADA BIDAAH HASANAH MELAINKAN DHOLALAH- DR. YUSUF AL QARDAWI

Di sana sebahagian ulama membahagikan bid'ah kepada: Hasanah dan Saiyi'ah. Manakala sebahagian dari mereka membahagikannya kepada lima bahagian, menurut pembahagian hukum-hakam syarak: Bid'ah wajib, sunat, makruh, haram dan harus/mubah.

Al-Imam al-Syathibi telah membahaskan masalah ini secara terperinci, dan ditengah-tengah beliau membahaskannya itu beliau berpendirian: Bahawa pembahagian ini adalah perkara yang direka-reka yang tidak ditunjukkan oleh mana-mana dalil syari'i pun, malah pembahagian itu sendiri saling bertolak-tolakan.

Kerana hakikat bid'ah itu ialah sesuatu yang tidak ditunjuki oleh mana-mana dalil syarak, tidak juga oleh mana-mana nash syarak dan tidak dari qaedah-qaedahnya. Kerana jika di sana terdapat suatu dalil syarak yang menunjukkan atas wajibnya sesuatu, sunat atau harus, mengapa pula perkara berkenaan dikatakan bid'ah (hasanah).

Ia sebenarnya (bukanlah bid'ah hasanah) tetapi perkara berkenaan telahpun masuk di bawah keumuman amal yang diperintahkan atau perkara yang dibolehkan (membuat pilihan). Akhirnya natijahnya adalah satu, kerana mereka mengatakan bahawa penulisan al-Quran, menghimpunkannya dalam satu mushaf, menyusun ilmu Nahu, Usul Feqh dan ilmu-ilmu Islam lain adalah sebagai bid'ah wajib dan sebagai fardu kifayah.

Manakala sebahagian yang lain tidak bersetuju perkara-perkara di atas (penulisan al-Quran, menghimpunkannya dalam satu mushaf, menyusun ilmu Nahu...) itu dinamakan sebagai bid'ah hasanah.

Kata mereka: "Pembahagian ini adalah pembahagian untuk bid'ah dari sudut bahasa sahaja. Yang kami kehendaki dengan bid'ah adalah bid'ah dari sudut syarak. Tentang perkara-perkara di atas, kami mengeluarkannya dari senarai bid'ah. Adalah tidak baik jika ia disebut sebagai sesuatu yang bid'ah. Yang utama adalah kita berpegang kepada Hadis yang mulia; kerana hadis datang dengan lafaz berikut dengan terang dan nyata: "Maka sesungguhnya setiap bid'ah itu dholalah (menyesatkan)."

Dengan keumuman lafaz hadis di atas, maka apabila dikatakan: "Setiap bid'ah itu dholalah" maka tidak perlulah kita katakan lagi: "bid'ah itu ada yang baik, ada yang keji, ada yang wajib, ada yang sunat dan seterusnya...." Pembahagian sebegini adalah tidak perlu.

Apa yang benar ialah, bahawa kita katakan apa yang telah disabdakan oleh s.a.w. di dalam hadisnya: "Maka sesungguhnya setiap bid'ah adalah dholalah." Yang dimaksudkan adalah bid'ah sebagaimana yang telah ditahqiq oleh al-Imam al-Syathibi: "Bid'ah ialah jalan di dalam agama yang direka-reka/diada-adakan." Iaitu yang tidak ada asal-usulnya dari syarak, tidak juga dari al-Quran, al-Sunnah, ijmak, qiyas, mashlahah mursalah dan tiada di kalangan fuqaha' yang menyatakan dalil mengenainya.
sumber Islamonline/al Ahkam

Sabtu, 19 Julai 2008

WAHABI ATAU AHLUL SUNNAH?


Oleh Abu Muhammad Zubair


Saya dilahirkan dan dibesarkan di Kuala Lumpur. Ibu saya adalah anak jati kelahiran Kampung Melayu Balik Pulau, Pulau Pinang. Bapa saya pula, asalnya di Pulau Salim, Besut, Trengganu.
Saya bukanlah mahu bercerita tentang asal usul saya dan keluarga, tetapi sedikit sebanyak, asal keturunan keluarga mempunyai kaitan dengan apa yang ingin saya tulis nanti yang ada kaitannya dengan apa yang dikatakan sebagai fahaman wahabi.

Dan yang pasti, keluarga di sebelah ibu sayalah yang banyak mempengaruhi pengamalan agama dalam kehidupan kami sekeluarga.

Salah satu contohnya, ibu saya ada memberitahu saya, bahawa di dalam sembahyang, niat tidak semestinya semasa kita mengangkat takbir. Niat itu tidak berupa. Sepatutnya, kita hanya mengingati Allah sahaja ketika mengangkat takbir. Jika kita berniat (yang sebenarnya ialah lafaz di dalam hati) maka fikiran dan hati kita tertumpu pada niat itu, bukan lagi pada Allah semata-mata.

Lagi satu, apa yang saya perhatikan, setiap kali berlakunya kematian di kalangan anggota rapat keluarga kami, maka tidak ada sebarang kenduri arwah di adakan. Tidak ada kenduri 40 hari, 100 hari dan sebagainya.

Ketika berbual-bual dengan arwah Tok Wan saya bernama Siti Aisyah, (semoga Allah cucuri rahmat ke atas rohnya) dia menceritakan kepada saya berkenaan ayahnya, iaitu moyang saya yang bernama Haji Abas, atau lebih dikenali sebagai Tok Aji Abas.

Katanya, Tok Aji Abas adalah seorang penghulu di Jalan Bahru, Balik Pulau Pulau Pinang. Bukanlah cerita tentang moyang saya sebagai seorang penghulu yang menarik perhatian saya, tetapi cerita tentang pegangan agama yang diamalkan oleh moyang dan keluarga saya ketika itu.

Pada sekitar tahun 1930-an, menurut arwah Tok Wan saya, Tok Aji Abas adalah di antara orang kuat dalam gerakan jemaah Islah, di mana jemaah itu menentang mana-mana perbuatan bidaah dalam agama termasuklah amalan kenduri tahlil, yang dijadikan oleh individu tertentu ketika itu sebagai punca cari makan.

Perbuatan beliau dan sahabatnya yang lain menentang perbuatan-perbuatan bidaah serta adat yang didalilkan sebagai amalan agama telah di anggap sebagai golongan kaum muda. Manakala yang mempertahankan adat-adat itu pula digelar sebagai kaum tua.

Ternyata, perbuatan Haji Abas dan beberapa orang sahabatnya dalam menegur perbuatan bidaah dan khurafat yang dilakukan oleh orang-orang Islam di sekitar perkampungan itu mendapat tentangan yang hebat dari golongan kaum tua.

Bahkan, menurut arwah tok saya, telah terjadi beberapa pergaduhan di antara kaum tua dan kaum muda. Kemuncaknya, golongan kaum tua ini akhirnya telah mengunci pagar masjid di Jalan Bahru itu dan tidak membenarkan golongan kaum muda ini bersolat dan menjalankan sebarang aktiviti di masjid tersebut.

Akhirnya, arwah moyang saya mewakafkan sebahagian daripada tanahnya untuk dijadikan madrasah. Dan mengikut arwah Tok Wan saya, di madrasah itulah Tok Aji Abas selalu membawa mereka untuk belajar dan mengaji di situ.

Malah setiap kali bulan Ramadan, mereka juga bersolat terawih di situ. Tetapi, solat terawih yang dijalankan hanyalah setakat lapan rakaat sahaja, manakala jemaah kaum tua di masjid pula melaksanakan solat terawaih sebanyak 23 rakaat.

Namun, agak melucukan, apabila Tok Wan saya memberitahu, bahawa seringkali jemaah di masjid yang melakukan solat terawih 23 rakaat, habis awal daripada jemaah kaum muda yang bersolat hanya dengan lapan rakaat di madrasah kecil di atas tanah wakaf itu.

Itu sebahagian kecil dari sejarah keluarga kami. Namun, segala amalan agama yagng diamalkan oleh keluarga kami, itulah yang dianggap sebagai fahaman wahabi hari ini oleh kebanyakkan orang-orang Islam di negara ini, termasuklah golongan yang bergelar ‘ulama’.

Kisah kaum tua dan kaum muda ini memang menarik minat saya. Saya bertanyakan perkara ini kepada beberapa orang bijak pandai agama dalam IPTA. Malah, saya pernah bertanyakan kepada Dato Professor Khoo Khay Kim tentang kaum muda dan kaum tua ini.

Apa yang menariknya, beliau mengesyorkan pada saya untuk membaca buku-buku yang ditulis oleh kaum muda. Katanya, banyak idea-idea pembaharuan dan pemikiran yang ideal untuk dilaksanakan dalam sistem masyarakat yang dilontarkan oleh penulis-penulis buku tersebut.

Dari agakan saya, Dato Khoo Khay Kim pastinya ketika itu tidak tahu, tentang perjuangan golongan ahlul Sunnah (kaum muda) itu kini dikaitkan dengan fahaman wahabi yang dikatakan sebagai melampau dan dihentam oleh kebanyakkan cerdik pandai dan ulama di negara ini.

Sebenarnya, banyak lagi orang-orang yang saya temui, membawa fahaman yang disebut sebagai fahaman kaum muda atau kini lebih dikenali sebagai wahabi. Namun mereka menolak bahawa mereka bermazhab wahabi tetapi mereka menegaskan bahawa mereka adalah ahlul sunnah wal jamaah. Wahabi menurut mereka, bukanlah mazhab.

Bagi golongan Islam yang ortodoks dan tertutup pemikirannya, mereka menentang keras pemikiran ini dan menganggap ia adalah mazhab wahabi. Alasan mereka, kerana fahaman sebegini dianggap memecah belahkan masyarakat kerana perbuatan mereka melarang perkara-perkara adat yang bidaah, yang sudah dianggap sebagai amalan agama di negara ini.

Apakah memecah belahkan masyarakat jika kita ingin mengatakan sesuatu yang benar? Orang-orang kafir Quraisy satu ketika dulu menuduh Rasulullah s.a.w. sebagai pemecah belah masyarakat kerana membawa berita yang benar dari al Quran? Apakah kita harus berdiam diri dan membiarkan saja perkara bidaah yang dianggap sebagai amalan agama berterusan diamalkan oleh kaum muslimin di negara ini?

Sudah tentu sikap begini amat salah dari sudut Islam. Bahkan, Nabi s.a.w. sendiri bersabda, katakanlah tentang kebenaran, biarpun ianya pahit untuk diterima.

Salah satunya kenduri arwah. Apabila kita mengatakan bahawa kenduri arwah itu adalah perbuataan bidaah yang menyalahi hadis Rasulullah s.a.w. berkenaan kematian Jaafar Abi Talib kalau tidak silap saya, mereka mengatakan kita berfahaman wahabi dan ingin memecah belahkan masyarakat.

Tetapi mereka mungkin tidak tahu, bahawa Imam Syafie pun mengharamkan perbuatan kenduri arwah ini. Di dalam sebuah kitabnya, imam Syafie menfatwakan bahawa tidak dibenarkan sebarang perkumpulan di rumah waris setelah mayat dikebumikan, biarpun untuk bersedih-sedih! Apakah imam Syafie juga penganut mazhab Wahabi?

Kata mereka, ada ulama tertentu sudah mengatakan perkara seperti ini boleh dilakukan. Saya tertanya-tanya, apakah mereka ini pengikut ulama atau pengikut Nabi Muhammad s.a.w.? Apakah sesuatu perkara yang tidak pernah Nabi lakukan, tiba-tiba dianjurkan oleh seseorang ulama itu, biarpun jelas bidaahnya kita perlu ikut, semata-mata kerana yang mengajurkan itu bergelar ulama?

Jika begitu, ini bermakna kita lebih taksub untuk menjadi umat dan pengikut kepada ulama itu dan secara tidak langsung menolak perbuatan Nabi Muhammad s.a.w. , Bukankah ini adalah antara sebab menjadikan kita terkeluar dari kalangan umatnya?

Lupakan kita bahawa Nabi s.a.w. pernah bersabda bahawa bidaah itu adalah kesesatan? Mengadakan bidaah dalam amalan agama seolah-olah mencipta satu agama baru! Adakah itu satu dosa kecil atau dosa besar?

Ada juga setengah dari kalangan umat Islam yang saya temui, mengatakan bahawa mazhab selain mazhab Syafie, termasuklah Mazhab Hanbali, Maliki dan Hanafi itu adalah sesat dan tidak boleh diterima?

Sebenarnya apa yang penting pada hari ini, ialah keterbukaan untuk menerima kebenaran. Buang sikap taksub dan nafsu egois yang membuatkan pemikiran kita tertutup dan beku. Boleh dikatakan, hari ini orang Melayu Islam hanya menerima ajaran Islam, hanya dengan turut menurut tanpa ada pengetahuan dan juga penelitian ketika menerima ajaran tersebut.

Berbahaslah secara terbuka dan ilmiah dalam mencari kebenaran. Bukannya dengan cara mengeji dan maki hamun. Dalam berbahas juga ada adabnya. Sepatutnya, ulama dan cerdik pandai Islam lebih mengetahui hakikat ini, namun ada sesetengahnya yang bergelar ‘ulama’ atau cerdik pandai Islam, namun hakikatnya taraf mereka tidak lebih dari ustaz biasa.

Selasa, 17 Jun 2008

PETANDA DI ANUGERAHKAN ALLAH KEBAIKAN


Menurut Syaqiq Al Balkhi, sekiranya ada lima petanda ini, ia merupakan anugerah atau kebaikan yang diberikan Allah terhadap diri seseorang insan itu.

1. Sikap hati yang lembut
2. Menitis air mata sesalan kerana dosa yang telah dilakukan
3. Zuhud, iaitu tidak mementingkan keduniaan dengan segala kekayaan dan kemegahannya
4. Tidak banyak angan-angan kosong berkaitan keduniaan
5. Memiliki kesedaran terhadap Allah (Menyembah Allah dalam keadaan 'sedar')

Manakala, sekiranya ada lima tanda ini pada diri seseorang itu, maka situasinya kritikal dan bahaya iaitu :

1. Hati yang keras
2. Mata yang tidak pernah menitiskan air mata kerana tiada sesalan pada dosanya
3. Amat cinta kepada dunia dan keduniaan
4. Banyak angan-angan kosong tentang kehidupan keduniaan
5. Tidak ada kesedaran dan tidak ada malu


Manakala menurut Nabi Besar Muhammad s.a.w., ada empat sifat pada orang-orang yang baik iaitu :

1. Boleh diamanahkan
2. Menepati janji
3. Tidak berdusta
4. Bila berbincang, tidak bersikap kasar dan tidak menyakitkan hati

Manakala empat lagi menurut Nabi Muhammad s.a.w., adalah tanda-tanda sikap mereka yang tidak baik iaitu :

1. Tidak amanah
2. Mungkir janji
3. Suka berdusta
4. Bila berbincang, gembar bergaduh dan menyakiti hati orang lain

Sabtu, 14 Jun 2008

AL FURQAN -PEMBEZA ANTARA HAK DAN BATIL


Maha Suci Allah yang telah menurunkan Al-Furqaan (pembeza antara hak dan batil iaitu al-Qur'an) kepada hamba-Nya, agar ia menjadi pemberi peringatan kepada seluruh alam.

Kepunyaan-Nya-lah kerajaan langit dan bumi, dan Dia tidak mempunyai anak, dan tidak ada sekutu bagi-Nya dalam kekuasaan-Nya, dan Dia telah menciptakan segala sesuatu, dan Dia menetapkan ukuran-ukurannya dengan serapi-rapinya.

Kemudian mereka mengambil Ilah selain Dia untuk disembah, yang tidak menciptakan sesuatu apa pun, bahkan mereka sendiri pun diciptakan dan tidak kuasa untuk menolak sesuatu kemudaratan dari dirinya dan tidak pula untuk mengambil sesuatu kemanfaatan dan tidak kuasa mematikan, menghidupkan dan tidak pula membangkitkan

Dan orang-orang kafir berkata:"al-Quran ini tidak lain hanyalah kebohongan yang diada-adakan oleh Muhammad, dan dia dibantu oleh kaum yang lain; maka sesungguhnya mereka telah berbuat suatu kezaliman dan dusta yang besar.

Katakanlah:"al-Quran itu diturunkan Allah Yang mengetahui segala rahsia di langit dan bumi. Sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang
Dan apabila mereka melihat kamu Muhammad, mereka hanyalah menjadikan kamu sebagai ejekan dengan mengatakan :"Ini kah orangnya yang diutus Allah sebagai Rasul?"

Berkatalah orang-orang yang tidak menanti-nanti pertemuannya dengan Kami:"Mengapakah tidak diturunkan kepada kita malaikat atau mengapa kita tidak melihat Tuhan kita" Sesungguhnya mereka menganggap besar diri mereka dan mereka benar-benar sangat melampaui batas dalam melakukan kezaliman

Dan mereka berkata:"Mengapa Rasul ini memakan makanan dan berjalan di pasar-pasar Mengapa tidak diturunkan kepadanya seorang malaikat agar malaikat itu memberikan peringatan bersama-sama dengan dia.

Dan Kami tidak mengutus rasul-rasul sebelum ini, melainkan mereka memakan makanan dan berjalan di pasar-pasar. Dan Kami jadikan sebahagian kamu cubaan bagi yang lain. Sanggup kah kamu bersabar Dan Tuhanmu Maha Melihat.

Berkatalah orang-orang kafir:"Mengapa al-Quran itu tidak diturunkan kepadanya sekali turun saja?"; Demikianlah supaya Kami perkuatkan hati mu dengannya dan Kami membacakannya secara tartil (teratur dan benar).

Dan apabila dikatakan kepada mereka". Sujudlah kamu sekalian kepada Yang Maha Penyayang", mereka menjawab:"Siapakah Yang Maha Penyayang itu Apakah kami akan sujud kepada Tuhan Yang kamu perintahkan kami bersujud kepada-Nya, dan perintah sujud itu menambah mereka jauh dari iman.

Dan seperti itulah, telah Kami adakan bagi tiap-tiap nabi, musuh dari kalangan orang-orang yang berdosa. Dan cukuplah Tuhanmu menjadi Pemberi petunjuk dan Penolong. Maka janganlah kamu mengikuti orang-orang kafir, dan berjihadlah terhadap mereka dengan al-Quran dengan jihad yang besar.

Dan hamba-hamba yang baik dari Tuhan Yang Maha Penyayang itu ialah orang-orang yang berjalan di atas bumi dengan rendah hati dan apabila orang-orang jahil menyapa mereka, mereka mengucapkan kata-kata yang mengandungi keselamatan.

Dan orang yang melalui malam hari dengan bersujud dan berdiri untuk Tuhan mereka. Dan orang-orang yang berkata:"Ya Tuhan kami, jauhkan azab jahanam dari kami, sesungguhnya azabnya itu adalah kebinasaan yang kekal".

Dan orang-orang yang apabila membelanjakan harta, mereka tidak berlebih-lebihan, dan tidak pula kikir, dan adalah perbelanjaan itu di tengah-tengah antara yang demikian.

Dan orang-orang yang tidak menyembah Ilah yang lain berserta Allah dan tidak membunuh jiwa yang diharamkan Allah membunuhnya kecuali dengan alasan yang benar, dan tidak berzina, barang siapa yang melakukan demikian itu, nescaya dia mendapat pembalasan dosanya,

Dan orang-orang yang tidak memberikan persaksian palsu, dan apabila mereka bertemu dengan orang-orang yang mengerjakan perbuatan-perbuatan yang tidak berfaedah, mereka lalui saja dengan menjaga kehormatan dirinya

Dan orang-orang yang apabila diberi peringatan dengan ayat-ayat Tuhan mereka, mereka tidaklah menghadapinya sebagai orang-orang yang tuli dan buta. Dan orang-orang yang berkata:"Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami isteri-isteri kami dan keturunan kami sebagai penenang hati kami, dan jadikanlah kami imam bagi orang-orang yang bertakwa.
Dan orang yang bertaubat dan mengerjakan amal soleh, maka sesungguhnya dia bertaubat kepada Allah dengan taubat yang sebenar-benarnya. Mereka itulah orang yang dibalas dengan martabat yang tinggi dalam syurga karena kesabaran mereka dan mereka disambut dengan penghormatan dan ucapan selamat di dalamnya dan mereka kekal di dalamnya. Syurga itu sebaik-baik tempat menetap dan tempat kediaman.

Dan bertawakallah kepada Allah Yang Hidup Kekal Yang tidak mati, dan bertasbihlah dengan memuji-Nya. Dan cukuplah Dia Maha Mengetahui dosa-dosa hamba-hamba-Nya.
Dan ingatlah hari ketika langit pecah belah mengeluarkan kabut dan diturunkanlah malaikat bergelombang-gelombang dan Kerajaan yang hak pada hari itu adalah kepunyaan Tuhan Yang Maha Pemurah. Dan adalah hari itu, hari yang penuh kesukaran bagi orang-orang yang kafir.

Beringatlah!!