Terang-terang, resolusi yang diputuskan di dalam mesyuarat Parti Gerakan Wilayah Persekutuan untuk memecat Mufti Perak, Datuk Harussani Zakaria, seperti yang dilaporkan oleh akhbar The Star baru-baru ini, merupakan satu tamparan yang hebat kepada umat Islam, khususnya bangsa Melayu.
Ini adalah kali kedua isu sensitif yang menyentuh tentang Islam, yang dibangkitkan oleh mereka yang bukan Islam. Dan apabila menyentuh tentang Islam, secara tidak langsung, ia turut menyentuh sensitviti kaum Melayu di bumi ini.
Marah? Pasti orang Islam dan kaum Melayu marah dengan usul tersebut. Kenapa? Jawapannya mudah dan seperti biasa. Setiap perkara yang berkaitan dengan urusan agama Islam, tidak boleh orang lain, selain Muslim yang boleh bersuara. Inilah satu tradisi dan ia tercatat di dalam perlembagaan negara perihal Islam dan hak-hak orang Melayu.
Dulu, apabila ada dikalangan menteri yang bukan beragama Islam, cuba membangkitkan isu berkenaan artikel 11, perlembagaan Syariah, umat Islam keluar dan berhimpun menunjukkan rasa tidak puas hati terhadap sikap tidak bersopan para menteri tersebut.
Kali ini, usul bagi memecat seorang mufti oleh golongan yang bukan Islam nampaknya lebih jauh ke menusuk ke dalam hati.Jika sebelum ini, hanya catitan di atas kertas sahaja yang cuba diubah, tetapi hari ini, mereka mendesak untuk memecat seorang ulama pula Dan pastinya, isu ini akan membuatkan umat Islam bertambah marah.
Tetapi, satu persoalan kepada umat Islam di negara ini, sampai bila harus marah-marah? Tidak guna jika umat Islam hanya bangkit menyuarakan kemarahan apabila ada orang mengusik tidur mereka, dan selepas itu, kita ‘tidur’ semula.
Sedarkah umat Islam, bahawa permasalahan di kalangan umat Islam, dari segi ilmu akhirat dan duniawi, ekonomi, perpaduan dan sikap ambil berat kini berada di tahap yang agak runcing? Setiap hari akhbar melaporkan berita-berita dan perbincangan mengenai masalah moral Melayu Islam, namun sehingga kini, apa perlaksanaannya dan apa penyelesaiannya?
Ramai dikalangan orang Melayu yang seringkali menyalahkan orang lain atau faktor-faktor lain yang menjadi penyebab masalah moral anak-anak Melayu makin merebak. Sebagai contoh, ramai yang menyalahkan kerajaan kerana memberi lesen untuk pusat hiburan, sebagai alasan sebab mengapa masalah moral Melayu semakin parah.
Namun, jika seseorang Muslim itu benar-benar menghayati ajaran Islam, mereka tidak akan berkunjung ke situ. Binalah seratus atau seribu pusat hiburan, tetapi jika umat Islam tidak mahu untuk ke situ, tidak ada sesiapa yang boleh memaksa!
Generasi Muslim, terutama golongan muda di negara ini usah lagi terus menerus bersikap menyalahkan orang atau faktor lain diatas masalah yang melanda umat Islam hari ini. Bersikap menyalahkan orang lain tidak akan mendatangkan apa-apa kebaikan.
Sudah sampai masanya, umat Islam, khususnya kaum Melayu bersatu dan berdikari menegakkan iman, ekonomi dan maruah Islam. Umat Islam di negara ini sebenarnya mampu untuk berdikari dan maju dari pelbagai sudut, tanpa mengharapkan bantuan dari mana-mana pihak, termasuk kerajaan atau parti politik.
Mungkin itulah maksud mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad apabila menggesa kaum Melayu agar membuang ‘tongkat’ dan berjalan di atas kaki sendiri.
Umat Islam, khususnya orang Melayu perlu sedar, Allah s.w.t. telah mengeratkan bangsa Melayu dengan dua perkara, keturunan dan agama. Jadi, apakah alasan lagi yang mahu kaum Melayu berikan menolak sebarang seruan perpaduan dan kerjasama dari segala sudut?
Ulama generasi muda yang berilmu juga perlu memainkan peranan penting bagi memulihkan kembali imej Islam yang dianggap sebagai kolot dan kuno, serta memperjelaskan tentang Islam terhadap umat Islam termasuk kepada golongan non muslim.
Para ulama dan cendekiawan Melayu juga tidak boleh terlalu gemar berbincang mengenai perkara-perkara ranting yang sudah disepakati. Juga tidak perlu kita bidaah membidaah sesama sendiri. Apa yang penting, ulama dan cendekiawan Islam perlu membangkitkan semula roh dan semangat Islamiyah terutama dikalangan anak-anak muda Melayu zaman ini.
Generasi muda Melayu Islam hari ini terutamanya, perlu berganding bahu, tidak kira mana jemaah atau pertubuhan sekali pun, dalam satu matlamat untuk mengembalikan hak dan kegemilangan Islam kepada umat manusia.
Isu-isu sensitif seperti kes-kes murtad yang dibangkitkan oleh Mufti Perak itu juga bukanlah satu alasan untuk umat Islam bertindak semberono dengan kekerasan terhadap bukan Islam. Ia juga bukanlah sebagai sebab untuk umat Islam marah-marah dan menyimpan syak wasangka terhadap non muslim.
Tetapi, ini adalah masanya, untuk umat Islam di negara ini untuk membuat post mortem, mengapa ajaran Islam itu dipandang serong oleh bukan Islam? Dan inilah masanya juga, umat Islam perlu membandingkan sikap dan amalan mereka, baik dari segi akhlak dan ibadah, serta prinsip dan pegangan iman mereka dengan berpandukan al Quran dan Sunnah.
Apakah cara hidup dan perilaku kita hari ini selari dengan perintah Allah dan Rasul? Tetapi permasalahnya, berapa ramai pula di kalangan kaum Melayu yang memahami dan membaca al Quran?
Akibat kejahilan serta leka dengan keseronokan dunia, umat Islam tidak menyedari, sebenarnya tingkah laku dan akhlak umat Islam sendiri yang menyebabkan Islam itu dipandang serong.
Di dalam sebuah laman web www.faithfreedom.org, jelas memperlihatkan bagaimana salah laku umat Islam di seluruh dunia, dijadikan senjata bagi memburuk-burukkan ajaran dan kebenaran Islam.
Ini termasuk upacara hari Asyura yang disambut oleh penganut Syiah, dengan melukakan diri mereka sendiri sebagai memperingati kematian Saidina Ali. Upacara ini dianggap sebagai ajaran Islam dan betapa kuatnya hujah mereka, untuk mengatakan Islam itu ganas,apabila laman web itu memaparkan gambar-gambar penganut syiah dengan sebilah parang di tangan, dan badan berlumurun darah!.
Sedangkan itu hanya satu budaya, dan tidak ada kena mengena dengan ajaran Islam biar sedikitpun!
Jadi, para ulama, cendekiawan Islam dan pemikir Islam, NGO, termasuk jabatan dan mahkamah syariah, perlu serius memikirkan dan berusaha untuk mengubah segala amalan birokrasi dan kelemahan institusi agama yang selama ini telahpun menjejaskan imej Islam di kaca mata bukan Islam.
Perlu diingat, Islam bukan hanya untuk kaum Arab dan orang Melayu, tetapi Islam adalah untuk semua umat manusia. Dan apakah dakwah umat Islam hari ini terhadap bukan Islam, seperti yang dilakukan Nabi s.a.w. satu ketika dulu sudah terhenti?
تهذيب وتأديب الصغار في المكتبة التراثية
-
تناول علماء الإسلام منذ العصور المبكرة موضوع الطفولة بعمق، مركزين على
الأحكام الشرعية والتربية الأخلاقية لتنشئة الأطفال كأفراد فاضلين. رغم اهتمام
العلماء...
7 jam yang lalu
1 comments:
Perbanyakkan artikel anda...
Catat Ulasan