Semenjak peristiwa 11 September 2001, setiap kali berlakunya sebarang letupan atau insiden-insiden yang berkaitan dengan aktiviti keganasan, golongan Muslim pasti akan menjadi suspek utama yang akan dituduh.
Amerika Syarikat (AS), Britain dan sekutu mereka, tanpa segan silu menyatakan rasa permusuhan mereka terhadap masyarakat Islam di beberapa negara. Mana-mana negara yang menentang mereka seperti Iraq, pasti akan menerima tekanan baik dari sudut ekonomi hinggalah kepada tindakan ketenteraan.
Dalam kerakusan kuasa Barat mutakhir ini, tidak dapat dihitung berapa ramai umat Islam di Afghanistan, Iraq dan Palestin, baik orang awam ataupun pejuang yang terbunuh dalam kempen barat memerangi pengganas.
Apa yang pasti, pada hari ini umat Islam menyaksikan satu penindasan dan pencabulan barat terhadap negara-negara Islam. Isu Palestin yang tidak ada penghujungnya, bedilan di Afghanistan yang tidak putus-putus, keamanan dan kestabilan Iraq dicabul sewenang-wenangnya, tidak pernah ditakrifkan sebagai keganasan. Sebaliknya, umat Islam yang cuba mempertahankan negara mereka seperti di Iraq dan Palestin pula dianggap pengganas.
Menurut Profesor Madya Kamil Abdul Majid, peristiwa letupan bom yang berlaku ini adalah hasil daripada reaksi umat Islam atas dasar luar negara barat yang berat sebelah.
“Secara dasarnya di dalam Islam, peperangan juga mempunyai tertib syarat-syaratnya. Tentera Islam tidak boleh sesuka hati untuk bertindak zalim dan menindas orang yang diperanginya.
Bahkan ketika peristiwa pembukaan kota Mekah, Rasulullah s.a.w memerintahkan kaum Muslimin agar hanya memerangi sesiapa yang memerangi mereka sahaja. Biarpun ketika itu kaum Muslimin datang kekuatan yang lebih besar daripada penduduk Mekah,” tegasnya.
Sikap yang ditonjolkan oleh baginda Rasulullah s.a.w dalam sejarah ‘Fathul Mekah’ itu selaras dengan firman Allah s.w.t yang memperingatkan kaum Muslimin agar tidak bertindak melampau-lampau dan tetap berlaku adil biarpun terhadap kaum yang dibenci oleh mereka.
Firman Allah s.w.t dalam surah al Maaidah ayat 8 bermaksud :
"Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan."
Biarpun kumpulan-kumpulan jihad Islam ini benci kepada kepimpinan barat seperti Amerika dan Britain, namun ini bukan alasan untuk mereka melancarkan serangan terhadap orang-orang ramai di tempat awam.
“Dalam serangan membabi buta seperti itu, mangsa bukan hanya terdiri daripada bukan Islam, malah orang Islam turut menjadi mangsa. Bukan sahaja menjadi mangsa serangan bom, tetapi turut menjadi mangsa penindasan dan psikologi serta tertekan dengan masyarakat sekeliling yang bukan Islam akibat daripada tindakan seperti ini,”
Secara tidak langsung menurutnya, tindakan seumpama itu telah mengakibatkan munculnya fitnah terhadap Islam. Maka hari ini Islam dan umatnya dipandang serong dan dianggap sebagai agama yang menganjurkan keganasan.
Umat Islam di negara-negara seperti Amerika Syariat, Perancis, German dan di beberapa buah negara lagi sering kali tertekan akibat fitnah dan propaganda barat ini.
“Seperti mana peristiwa pengeboman di London baru-baru ini. Belum pun dapat buktinya, tetapi telunjuk sudah diarahkan kepada dunia Islam. Ini menyebabkan umat jutaan umat Islam di Britain hidup dalam keadaan berjaga-jaga ekoran salah faham dan timbulnya kebencian orang luar terhadap Islam hasil daripada peristiwa seperti itu,” jelasnya.
Tegas beliau, apa saja tindakan berbentuk keganasan oleh umat Islam, bukanlah mencerminkan ajaran Islam itu sendiri. Islam menentang segala bentuk penindasan, kezaliman dan keganasan. Malah di dalam Islam, aspek kasih sayang serta mengambil berat terhadap sesama Islam khususnya dan masyarakat lain secara amnya, adalah akhlak yang ditekankan di dalam Islam.
“Sekiranya tindakan tersebut dilakukan oleh Muslim, maka apa yang mereka lakukan ini adalah bertentangan dengan kehendak agama. Islam tidak membenarkan kita menyakiti orang lain apatah lagi membunuh orang lain tanpa hak. Biarpun golongan ini mungkin berniat baik, iaitu untuk membela Islam, tetapi pendekatan yang mereka gunakan adalah tidak kena pada tempatnya,” ujarnya.
Beliau juga menegaskan bahawa barat perlu mengkaji dan meneliti punca mengapa dan kenapa tindakan keganasan di kalangan umat Islam ini berlaku.
“Pada pendapat saya, tindakan seperti ini tidak lain dan tidak bukan tercetus kerana berpunca daripada diskriminasi barat terhadap negara dan umat Islam. Selepas tercetusnya peristiwa 11 September, peristiwa keganasan akan terus dikaitkan dengan umat Islam, biarpun masih belum ada buktinya.
Dan sehingga kini umat Islam terus diserang secara fizikal dan mental,” ujarnya.
Sejak 20 tahun kebelakangan ini, umat Islam di beberapa buah negara telah ditindas. Baik dari sudut ekonomi hinggalah kepada penindasan ketenteraan. Lihat saja umat Islam di Chechnya, Palestin, Kashmir dan banyak lagi. Umat Islam ini ditindas dan terus ditindas tanpa sebarang perundingan untuk mencapai persetujuan perdamaian,” jelas beliau lagi.
Tambahnya lagi, persepsi masyarakat dunia tentang Islam perlu diperbetulkan. Segala tindakan yang dianggap keganasan itu ada sesetengahnya memang hasil perbuatan penganut Islam, tetapi ini bukan ‘lesen’ untuk menuduh Islam sendiri yang mengajar penganutnya berbuat demikian.
“Tanggapan seperti ini adalah salah. Salah laku penganut Islam adalah disebabkan oleh diri mereka sendiri, dan Islam sendiri tidak membenarkan penganutnya berlaku zalim dan menindas orang lain, baik individu mahupun di dalam masyarakat,” ujarnya.
Masyarakat bukan Islam menurut beliau perlu lebih berhati-hati menerima sebarang pandangan terhadap Islam. Golongan bukan Islam perlu lebih adil dalam menilai cerita tentang Islam dan umatnya dan bukan hanya terikut-ikut kata-kata daripada sebelah pihak sahaja.
“Media massa barat terutamanya hari ini, sibuk menyiarkan berita-berita tentang keburukan Islam dan umatnya. Ia menjadi lebih rancak apabila peristiwa 11 September itu dikaitkan dengan rangkaian Islam. Ternyata propaganda mereka dalam ‘War Against Terorrism’ akhirnya telah membawa barat kepada peristiwa penaklukan Iraq.
Dan akhirnya terbukti nyata bahawa Iraq tidak memiliki senjata pemusnah seperti yang diwar-warkan oleh barat dan ini sebenarnya lebih bersifat satu provokasi dan penipuan barat terhadap masyarakat dunia untuk merestui tindakan golongan ini (barat) menyerang negara Islam,” ujarnya lagi.
Sedangkan tindakan barat campur tangan dalam beberapa isu negara Islam seperti Palestin, Afghanistan dan Iraq itu tidak dipandang sebagai satu tindakan keganasan.
“Hari ini masyarakat dunia memejamkan mata dengan tindakan AS menjajah Iraq atas alasan palsu. Begitu juga campur tangan mereka dalam politik di Afghanistan. Tindakan mereka mengebom rakyat awam di Afghan dan Iraq bukan satu keganasan.
Tindakan AS dan barat yang menyokong pembantaian umat Islam oleh rejim Zionis di Palestin bukankah boleh dikategorikan sebagai menyokong keganasan. Namun barat cuba menutup keganasan mereka dengan memfitnah dunia Islam.
Apabila rakyat di Afghanistan, Iraq dan Palestin bangkit untuk menentang keganasan dan pencabulan hak asasi oleh barat, mereka serta merta menganggap golongan ini (pejuang Islam) sebagai pengganas.
“Islam melarang umatnya untuk melakukan sebarang pencerobohan tanpa hak dan juga mencetuskan peperangan tanpa hak. Islam melarang keras perbuatan sebegini. Namun sekiranya negara umat Islam di serang, Islam membenarkan umat Islam di sesebuah negara tersebut, untuk bangkit menentang pencerobohan itu,”
Katanya ini berdasarkan firman Allah s.w.t dalam surah al Baqarah ayat 190 yang bermaksud :
Dan perangilah kerana (menegakkan dan mempertahankan) agama Allah akan orang-orang yang memerangi kamu dan janganlah kamu menceroboh (dengan memulakan peperangan); kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang menceroboh.
Tambah beliau, perintah untuk menentang pencerobohan ini adalah satu kewajipan umat Islam sekiranya mereka diperangi dan hak-hak umat Islam ditindas dan dizalimi.
Dalam surah al Baqarah ayat 216 yang bermaksud :
“Kamu diwajibkan berperang (untuk menentang pencerobohan) sedang peperangan itu ialah perkara yang kamu benci dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya”
Melalui surah Muhammad ayat 4, Allah s.w.t turut menjelaskan mengapa perlaksanaan untuk berperang melawan pencerobohan itu diperintahkan.. Firman Allah s.w.t yang bermaksud :
“Demikianlah (diperintahkan kamu melakukannya) dan sekiranya Allah menghendaki, tentulah Dia membinasakan mereka (dengan tidak payah kamu memeranginya); tetapi Dia (perintahkan kamu berbuat demikian) kerana hendak menguji kesabaran kamu menentang golongan yang kufur ingkar (yang mencerobohi kamu) dan orang-orang yang telah berjuang serta gugur syahid pada jalan Allah (mempertahankan agamanya), maka Allah tidak sekali kali akan mensia-siakan amal-amal mereka.”
“Persepsi barat terhadap Islam perlu diperbetulkan. Islam bukan satu agama yang menganjurkan keganasan, bahkan Islam adalah satu agama yang membawa kebenaran. Tidak adil sekiranya masyarakat dunia terutama barat dan Eropah, melabelkan Islam sebagai agama keganasan secara semberono dengan hanya mengambil kira sikap dan pemahaman segelintir golongan umat Islam yang agak radikal dalam tindak tanduk mereka,” tegasnya.
Manakala menurut Ketua Jabatan Pengajian Arab dan Tamadun Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Idris Abdullah, istilah atau takrif keganasan itu perlu dikaji semula.
“Kini takrif keganasan itu tertumpu pada apa yang didakwa dilakukan oleh orang Islam seperti pengeboman dan pemberontakan. Ini perlu diperbetulkan. Jika barat, contohnya AS yang mencabul dan membunuh umat Islam, ini tidak pula ditakrifkan sebagai keganasan.
Tetapi sebaliknya apabila umat Islam di Iraq atau di mana bumi yang sedang dilanda krisis bangun menentang, dengan serta-merta mereka menghebahkan pada dunia bahawa itu adalah satu keganasan. Sedangkan berpuluh ribu umat Islam disembelih dan dibunuh di dalam konflik di Palestin, Kashmir, Chechnya dan banyak lagi tidak ditakrifkan sebagai satu keganasan?,” tegasnya.
Beliau juga berpendapat bahawa antara faktor yang menyebabkan tercetusnya insiden-insiden keganasan seperti itu adalah berpunca daripada ketidakadilan barat dan campur tangan mereka dalam urusan dunia Islam.
“Sikap barat yang seolah-olah ingin memantau semua negara di dunia menjadi satu masalah besar. Malah mereka juga bersikap berat sebelah seperti mana isu Palestin yang masih lagi tidak selesai sehingga kini.
Barat terutama AS bersikap pejam mata terhadap keganasan tentera Zionis, tetapi melabelkan pejuang-pejuang kemerdekaan Palestin sebagai pengganas. Ini penilaian yang berat sebelah dan itu adalah faktor utama muncul serangan-serangan sebegini, “tegas beliau.
Bagaimanapun belia tidak bersetuju dengan insiden-insiden letupan yang melibatkan orang awam. Bagi beliau, sekiranya golongan ini benar-benar hendak mengkucar kacirkan negara barat, jangan menjadikan tempat awam sebagai sasaran.
“Kalau betul hendak letup, letupkan tempat yang strategik. Kem-kem askar misalnya. Namun jika menjadikan tempat awam sebagai sasaran, ini tidak betul. Di dalam Islam sendiri melarang untuk membunuh orang awam sekiranya tidak mempunyai alasan yang kukuh,” jelasnya.
Apatah lagi dengan tindakan sedemikian, ia telah mengundang salah faham yang serius di kalangan masyarakat bukan Islam. Malah bukan sekadar mewujudkan salah faham, tetapi juga ancaman daripada masyarakat bukan Islam kepada golongan Islam yang tinggal di negara bukan Islam.
Biarpun begitu, beliau tidak menolak sebarang kemungkinan berlakunya satu konspirasi besar di kalangan pihak tertentu untuk merosakkan imej Islam di mata masyarakat dunia.
“Apabila meneliti dan melihat senario siri pengeboman yang berlaku, memang terdapat kemungkinan bahawa ada pakatan yang mahu mengheret umat Islam dalam konflik sebegini. Secara tidak langsung Islam tidak lagi dipandang sebagai satu agama yang murni sebaliknya dipandang sebagai agama yang menganjurkan keganasan,” ujarnya.
Perkara ini berlaku menurutnya, berkemungkinan daripada ramai daripada masyarakat barat mula menerima dan menganut agama Islam. Seperti di AS, Britain dan Perancis, Islam sedang berkembang dengan pesat dan ini, mungkin menimbulkan sesuatu yang tidak disenangi oleh golongan tertentu,” tegasnya.
Beliau turut mengimbas kembali peristiwa 11 September 2001 yang telah meranapkan bangunan kemegahan AS, World Trade Center (WTC).
“Dalam peristiwa tersebut, masih lagi sangsi apakah benar-benar al Qaeda dan umat Islam yang terlibat merancang peristiwa berdarah itu. Sebaik sahaja kejadian tersebut berlaku, nama Al Qaeda turut melonjak naik sebagai ‘dalang utama’ kejadian tersebut.
Biarpun al Qaeda tidak pernah mengaku terlibat, namun AS terus menggunakan alasan itu untuk tindakan selanjutnya termasuk menyerang Iraq termasuk Iran dan Syria yang turut di senarai hitamkan oleh AS. Sehingga kini, peristiwa tersebut telah dijadikan modal oleh golongan tertentu untuk mewujudkan fenomena ‘islamophobia’ di kalangan masyarakat bukan Islam,” tegasnya.
Tambahnya lagi, siapa dalang di sebalik kehancuran WTC itu masih lagi menjadi tanda tanya. Al Qaeda tidak pernah membuat kenyataan bahawa mereka bertanggungjawab di atas kejadian tersebut.
“Sekiranya kejadian tersebut tidak didalangi oleh umat Islam dengan tujuan untuk merampas kuasa atau membalas dendam dan sebagainya terhadap AS, maka nyatalah ada segolongan yang cukup berkuasa untuk merencanakan satu yang boleh kita gelar sebagai ‘konspirasi’ yang amat besar untuk memburukkan imej Islam di mata dunia,” tegas beliau.
تهذيب وتأديب الصغار في المكتبة التراثية
-
تناول علماء الإسلام منذ العصور المبكرة موضوع الطفولة بعمق، مركزين على
الأحكام الشرعية والتربية الأخلاقية لتنشئة الأطفال كأفراد فاضلين. رغم اهتمام
العلماء...
20 jam yang lalu
1 comments:
Satu hal perlu difikrkan secara positif, kenapa sebahagian besar kumpulan pengganas adalah dari penganut agama islam? Dan kenapa ahli kumpulan pengganas ini mengistiharkan perjuangan keganasan mereka adalah mengikut lunas perjuangan islam? Ahli kumpulan pengganas ini memegang kitab al quran dan mengamalkan sembahyang mengikut rukun islam. Lalu siapakah mereka ini? (callybambang)
Catat Ulasan