Ahad, 10 Januari 2010

PERBAHASAN ILMIAH ANTARA ISLAM DAN KRISTIAN UNTUK SELESAIKAN ISU PENGGUNAAN NAMA ALLAH

Isu penggunaan nama Allah kini terus hangat menjadi perbualan rakyat di negara di kedai-kedai kopi, restoran, masjid dan pastinya di gereja-gereja. Apatah lagi, apabila menyaksikan kejadian sebuah gereja di bakar, dua dilempar dengan molotov cocktail, manakala satu lagi menerima ancaman.


Jelas di negara ini, isu agama bukanlah sesuatu yang boleh dibuat main-main. Apatah lagi, dalam keadaan umat Islam yang jahil dan mudah dipengaruhi, serta terbukanya ruang-ruang pihak tertentu untuk mencetuskan provokasi yang boleh sahaja memungkinkan kejadian yang lebih teruk daripada hari ini terjadi.


Barangkali, kita semua pastinya tahu, bahawa nama Allah sememangnya disebut dan diakui wujudnya, oleh pelbagai lapisan bangsa dan agama, dan bukannya hanya golongan Muslim sahaja. Sememangnya benar, nama dikenali oleh mereka yang menyembah berhala, mereka yang tidak bertuhan, apatah lagi umat Islam yang kini berada di atas landasan agama yang di redhai Allah.


Sebagai contoh, ketika peristiwa Abrahah mahu menghancurkan Kaabah. Datuk Nabi Muhammad saw ketika itu yang bernama Abdul Mutalib, tidak mempertahankan Kaabah dan berkata kepada Abrahah, bahawa Kaabah itu ada tuan punyanya, dan dia menyerahkan Kaabah di bawah perlindungan tuan punya Kaabah itu yakni Allah.


Begitu juga dengan nama kepada bapa Rasulullah yang kita sayangi dan cintai. Bukankah nama bapa Rasulullah adalah Abdulllah. Bukankah Abdullah itu bermaksud hamba Allah? Jadi jelas, penggunaan nama Allah bukan sahaja di kalangan Muslim, tetapi juga di kalangan mereka yang bukan Islam.


Biarpun begitu ini tidak bermaksud mereka menyembah Allah semata-mata. Golongan pagan di Mekah sebelum kedatangan Islam, menyembah al Latta dan al Uzza dan berhala-berhala lain yang dianggap sebagai pengantara kepada Tuhan yang Maha Tinggi iaitu Allah. Mereka telah berlaku syirik kepada Allah.


Inilah juga situasi yang berlaku di dalam agama lain, termasuklah Kristian dan agama Taurat. Penganut Kristian telah diselewengkan oleh paderi-paderi mereka dengan mengatakan bahawa Nabi Isa a.s. itu juga Tuhan dan Jibril (Ruhul Qudus) juga adalah Tuhan, selain daripada Allah. Begitu juga orang-orang Yahudi yang mengatakan Uzair itu adalah anak Tuhan, sedang di dalam pegangan orang-orang Muslim sejak dari zaman Nabi Adam a.s., kepercayaannya berakidahnya hanya satu iaitu tidak ada Tuhan selain daripada Allah.


Perkara inilah yang perlu kita terangkan kepada penganut agama-agama Kristian di negara ini. Jika mereka mahu menggunakan nama Allah sebagai rujukan Tuhan mereka, silakan tetapi katakan bahawa mereka menolak kenyataan bahawa Nabi Isa a.s dan juga Ruhul Qudus itu juga Tuhan, sebaliknya Nabi Isa a.s dan Ruhul Qudus itu adalah makhluk Allah semata-mata. Ini adalah syarat utama untuk mengatakan bahawa mereka adalah penyembah Allah, kerana Allah itu satu, dan tidak ada lagi Tuhan, selain Dia.


Justeru itu, satu perbahasan ilmiah itu perlu diadakan di antara ulama Islam dan juga mubaligh Kristian. Bincang dan berbahaslah siapa sebenarnya yang lebih layak untuk menggunakan kalimah Allah sebagai rujukan kepada Tuhan berdasarkan dua kitab iaitu Al Quran dan Injil.


Perbahasan itu pula, hendaklah disiarkan secara langsung melalui media massa dan dapat disaksikan oleh rakyat di seluruh negara. Intipati kepada perbahasan itu hendaklah bermatlamatkan untuk mencari kebenaran dan bukan bertujuan untuk menimbulkan provokasi atau menghentam pihak lain secara semborono tanpa ada sebarang fakta dan bukti.


Perbahasan di antara orang Islam dan bukan Islam, dalam usaha mencari kebenaran dalam beragama sebenarnya merupakan satu sunnah Rasulullah saw dan para Nabi. Baginda dan para sahabat dahulu berdebat dan berbahas dengan bukan Islam dalam usaha dakwah mereka. Bahkan, di dalam Al Quran Allah memerintahkan kita agar berbahas dengan cara yang baik dan lemah lembut, agar hati mereka terbuka dengan kebenaran Islam.


Imam-imam empat mazhab dulu juga berdialog dengan golongan Pagan, Kristian atau pun Yahudi bagi menerangkan (dakwah) apa itu Islam. Dalam dunia moden hari ini, usaha dakwah ini diteruskan oleh seorang insan yang dikurniakan Allah keistimewaan iaitu Allahyarham Ahmad Deedat. Allahyarham merupakan seorang pendakwah muslim yang gigih berbahas dalam usahanya untuk menerangkan Islam kepada penganut agama samawi yang lain serta cuba memperbetulkan akidah mereka.


Ada sesetengah sesetengah umat Islam yang berpendapat bahawa apa yang berlaku di adalah satu bala bagi mereka namun jika dilihat daripada sudut lain, ia mungkin adalah satu rahmat dan sebagai satu mesej kepada umat Islam, bahawa dakwah kepada bukan Islam pada hari ini di bumi Melayu ini perlu diperhebatkan dan diperluaskan.


Jadi perbahasan terbuka seperti ini adalah satu kaedah dakwah bagi menerangkan apa itu Islam dan memberikan hujah-hujah untuk membuktikan bahawa Islam kini hanya satu-satunya agama yang diredhai Allah bagi umat manusia.


Inilah cara bantahan yang lebih baik dan boleh membuka ruang yang besar bagi memperjelaskan tentang Islam kepada mereka yang bukan Islam, serta menghapuskan fitnah terhadap Islam yang sedang disemarakkan apinya oleh golongan yang menentang Islam.


Dan perbuatan seperti membakar gereja, mengadakan demonstrasi dengan kata-kata yang penuh provokasi yang sebenarnya akan lebih memburukkan keadaan dan yang pastinya tiada manfaat yang boleh diperolehi dengan cara dan tindakan yang sedemikian.


Namun dalam hal ini, saya terasa amat pelik tentang kehilangan suara mufti atau orang-orang agama. Mengapa mereka tidak menerangkan hal yang sebenarnya, sedangkan dalam keadaan umat yang jahil dan mula haru biru ini.


Di manakah suara-suara ulama dalam hal ini? Atau sebenarnya, mungkinkah kita umat Islam di negara ini hanya mempunyai ulama yang ketinggian ilmunya, hanya tertera pada sekeping sijil. Itupun sekadar untuk melayakkan dia menjawat jawatan yang tinggi dalam kerajaan, dan bukannya ilmu original yang diikat dengan keimanan, ketakwaan, keberanian dan istiqamah yang diwarisi turun temurun daripada Nabi Muhammad saw dan para sahabat yang berdasarkan sumber wahyu di dalam kitabullah?

1 comments:

Myhomesoil berkata...

Saya ingin menegur tulisan saudara perenggan 5 berhubung nama bapa Kepada Nabi Muhammad S.A.W . Bentuk tulisan saudara seperti menyatakan bahawa Abdullah bapa Nabi Muhammad itu bukan Islam yang bukan menyembah Allah. Abdullah bapa Nabi Muhammad meskipun belum mengikuti syiar Islam yang dibawa Nabi, tetapi beliau mengikuti syiar Nabi Ibrahim , agama yang tidak menyekutukan Allah. Wallahualam