Rabu, 30 Mei 2007

KEMATIAN SEBENARNYA TIDAK MENYAKITKAN?

Bila disebut kematian, serta merta hati manusia akan dilanda kegerunan. Mengingatkan kematian adalah sesuatu yang menakutkan. Sebab itulah, Rasulullah s.a.w. mengingatkan orang-orang mukmin agar mengingati mati sekurang-kurangnya 20 kali sehari, agar dapat mengendurkan nafsu kenikmatan dunia.

Bagi masyarakat moden hari ini, media massa menyiarkan berita-berita kematian setiap hari. Kematian akibat bunuh diri dan kemalangan, sering kali terpampang di dada-dada akhbar, membuatkan pembaca menjadi risau dan ngeri.

Apabila membayangkan kematian yang bakal datang menjemput, jiwa yang segagah mana pun akan jadi kecut. Manusia sehebat mana sekalipun, tidak dapat menolak undangan maut sekiranya ajal sudah dapat menjemput.

Sering kali manusia menggambarkan bahawa kematian itu akan datang dengan kesakitan. Apatah lagi apabila melihat gambar-gambar mangsa kemalangan yang sering dipaparkan oleh media massa yang begitu mengerikan.

Tetapi benarkah mati itu sakit? Bagaimana sekiranya ada pendapat yang mengatakan bahawa mati itu tidak menyakitkan. Bagaimana sekiranya kematian itu yang sering digambarkan sebagai kesakitan, sebenarnya adalah satu kenikmatan?

Bekas pensyarah Pengajian Islam di Universiti Teknologi Malaysia, Profesor Madya Dr. Musa Fathullah melalui bukunya Perjalanan Rabbani, membawakan beberapa pendapat ulama yang diperkuatkan dengan dalil AL Quran yang menyatakan bahawa kematian itu tidak menyakitkan.

Beliau membawa dalil AL Quran, hadis serta pendapat beberapa orang ulama silam antaranya Hassan bin Ali AL Saqqaf AL Qurasyi, yang mengatakan bahawa kematian itu tidaklah menyakitkan seperti mana yang melekat di pemikiran umat Islam sehingga hari ini.
Bahkan beliau menyatakan bahawa ada sesetengah hadis popular yang meriwayatkan mengenai sakit mati itu adalah daif dan ada sesetengahnya pula adalah palsu.

Menurut beliau, hadis-hadis yang menggambarkan kesengsaraan atau azab yang luar biasa sakitnya yang dihadapi oleh orang yang beriman adalah daif, batil dan palsu serta bercanggah dengan firman Allah s.w.t. di dalam AL Quran.

Dalam surah AL Zumar ayat 42 yang bermaksud :
“Allah mengambil dan memisahkan satu-satu jiwa dari badannya-jiwa orang yang sampai ajalnya semasa matinya dan jiwa orang tidak mati dalam masa tidurnya ; kemudian Dia menahan jiwa orang yang Dia tetapkan matinya dan melepaskan balik jiwa yang lain (ke badannya) sehingga sampai ajalnya yang ditentukan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan Allah bagi kaum yang berfikir (untuk memahaminya)”

Menurut pendapat Hasan Bin Ali AL Saqqaf al Qurasyi, melalui kitabnya mengatakan bahawa ayat tersebut menjelaskan bahawa tidur juga adalah satu jenis kematian. Ini bermakna Allah s.w.t. memegang jiwa manusia yang belum mati ketika waktu tidurnya.

Ini bermakna sekiranya kematian itu kesakitan, maka manusia akan merasakan sakit ketika mahu terlelap kerana tidur itu juga adalah salah satu jenis kematian yang mengandungi kewafatan di dalamnya.

Menurutnya lagi, sakratul maut adalah sama seperti ketika datangnya mengantuk untuk tidur. Cuma perbezaan antara tidur dan mati ialah ketika orang yang mati, rohnya secara keseluruhan akan berpindah ke alam barzakh.

Manakala manusia yang tidur pula, rohnya tidak dapat mengingati apa yang dilihatnya ketika tidur kerana rohnya akan dikembalikan semula oleh Allah s.w.t. kepada jasadnya.

Dalam surah AL Nahl ayat 32, Allah s.w.t. menjelaskan bahawa roh-roh orang yang beriman akan sambut oleh para malaikat dengan ucapan selamat sejahtera. Maksudnya :-

“Mereka yang diambil nyawanya oleh para malaikat dalam keadaan mereka bersih suci (dari kufur, syirik dan maksiat) sambil para malaikat itu berkata kepada mereka, Selamat sejahtera kepadamu ; masuklah ke dalam Syurga disebabkan amal baik yang telah kamu kerjakan,”

Kebanyakan daripada cerita serta nasihat yang disampaikan selama ini mendakwa bahawa kematian itu mengundangkan sakit yang amat sangat dan menurut beberapa hadis, umpama sakitnya mati itu seperti dipenggal leher dengan pedang sebanyak seribu kali.

Bagaimanapun kesemua hadis-hadis tersebut adalah daif, batil dan tidak boleh digunakan sebagai hujah. Ini memandangkan riwayat daripada hadis-hadis tersebut bercanggah dengan AL Quran bahkan turut bercanggah dengan hadis Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh Muslim daripada Abu Hurairah yang bermaksud :

“Dan jadikanlah mati itu sebagai kerehatan bagiku daripada segala keburukan”

Hassan Bin Ali Al Saqqaf di dalam kitabnya membawa sebanyak 14 hadis yang di kategori sebagai hadis yang tidak sahih. Sebahagiannya adalah hadis-hadis daif, batil dan ada yang palsu yang dikutip daripada kitab-kitab lama dan cerita-cerita yang mempunyai unsur Israeliyat.
Antara hadis-hadis tersebut ialah :-

“Kematian yang paling ringan seperti tumbuh-tumbuhan berduri yang ada di dalam bulu (wool). Apakah tumbuh-tumbuhan itu boleh dibawa keluar dari bulu (wool) tersebut tanpa membawa bersamanya sebarang bulu (wool)?”

Menurut Al Hafiz Al Iraqi dalam takhrij Ihya Ulum al Din mengatakan bahawa hadis tersebut adalah hadis mursal (daif) dan di dalam kitab Zidayat al Jami’ al Saghir mengatakan bahawa ia sangat daif. Manakala Al Subky pula dalam kitab Tabaqat al Sayfi’yah mengatakan bahawa beliau tidak menjumpai sanad bagi hadis tersebut.

Antara lain hadis yang dianggap palsu bermaksud :

“Sekurang-kurangnya tarikan maut adalah seperti seratus kali dipenggal dengan pedang”
Hadis yang popular di kalangan umat Islam ini juga menurut Al Iraqi dalam takhrij al Ihya adalah hadis yang daif serta tidak dapat digunakan sebagai hujah.

Manakala sebuah lagi hadis yang membawa maksud :
“Maut (yakni sakitnya) sebagai penebus dosa bagi setiap Muslim”

Hadis ini termasuk salah satu hadis palsu yang dimuatkan dalam kitab AL Mawdu’at(hadis-hadis palsu) yang dikarang oleh Ibn Jawzi dan turut di senaraikan di dalam kita Al La’aali al Masnu’ah fi Al Ahadist al Mawdu’ah.

Hadis-hadis tersebut adalah di antara beberapa hadis yang dikategorikan sebagai hadis daif dan palsu. Hassan al Saqqaf menjelaskan bahawa sakratulmaut tidak bermaksud azab atau kesakitan. Sakratulmaut menurutnya ialah tersingkapnya alam barzakh bagi roh sebelum ia berpisah daripada jasadnya.

Ini berdasarkan firman Allah s.w.t. dalam surah Qaaf ayat 22 yang bermaksud :-

“Maka Kami singkapkan daripadamu tutup yang menutupimu sehingga penglihatanmu pada hari itu menjadi tajam,”

Al Sakrat berasal daripada perkataan al sukr, yang membawa makna keadaan yang mendatang kepada manusia berkenaan dengan akalnya, sama ada hilang atau lemah akalnya. Al sukr bukanlah sama maksudnya dengan al alam (perasaan sakit) dan ini dipersetujui oleh semua pihak.

Maksud al sakran pula ialah keadaan seseorang yang telah hilang perasaannya.
Al Sakrat menurutnya adalah keadaan yang tidak sedarkan diri yang disaksikan oleh sebahagian orang yang menghadapi mati. Tetapi ia tidak berlaku terhadap semua orang. Ini disebabkan cara kematian itu yang berbeza seperti mati dalam tidur, mati mengejut, mati akibat letupan dan sebagainya.

Dalam surah Qaaf ayat 19 yang bermaksud :

“Dan datanglah sakrat al maut dengan sebenar-benarnya. Itulah yang kamu sentiasa lari daripadanya,”

Dijelaskannya maksud ayat tersebut ialah apakah seseorang itu termasuk dalam golongan yang bahagia atau termasuk dalam golongan yang celaka. Khabar gembira atau duka ini akan disampaikan oleh para malaikat kepada setiap hamba Allah s.w.t. yang sedang menghadapi kematian.

Sekiranya insan itu seorang mukmin yang beriman dan beramal soleh, maka malaikat akan memberitakan rahmat serta ampunan daripada Allah s.w.t. untuk mereka. Dalam surah al Fajr ayat 27 hingga 30, Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud :

“Wahai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas lagi diredai, maka masuklah ke dalam jemaah hamba-hamba-Ku dan masuklah ke dalam Syurga-Ku”

Manakala bagi orang-orang kafir serta golongan yang mendustakan ayat Allah s.w.t., maka para malaikat akan memukul serta menyeksa mereka. Ini berdasarkan firman Allah s.w.t. dalam surah al Anfal ayat 50-51 yang bermaksud :

“Kalaulah engkau melihat ketika para malaikat mencabut nyawa orang-orang yang kafir sambil memukul muka dan belakang mereka dan berkata : Rasakan olehmu seksa neraka yang membakar. Yang demikian itu disebabkan oleh perbuatan tanganmu sendiri. Sesungguhnya Allah sekali-kali tidak menzalimi hamba-Nya”

Begitu juga dengan firman Allah s.w.t. dalam surah Muhammad ayat 27 yang bermaksud :-

“Maka bagaimanakah (keadaan mereka) apabila para malaikat mencabut nyawa mereka sambil memukul muka dan belakang mereka. Yang demikian itu adalah dengan sebab mereka mengikuti apa yang menimbulkan kemurkaan Allah dan (dengan sebab) mereka membenci (apa yang menimbulkan) keredaan-Nya. Oleh sebab itu Allah menghapuskan (pahala) segala amalan mereka.”

Menurutnya lagi, terdapat sebahagian hadis mengenai sakratul maut yang diriwayatkan dalam kitab seperti Imam Tarmizi, Imam Bukhari, Muslim dan Ahmad yang dikategorikan dalam golongan hadis-hadis daif.

Hassan al Saqqaf juga mengingatkan umat Islam agar berpegang kepada penjelasan al Quran mengenai keadaan orang-orang mukmin dan kafir dalam permasalahan ini. Dan jangan sekali-kali berpegang kepada hadis-hadis daif, batil apatah lagi yang palsu.

Berdasarkan dalil yang tersebut, gambaran yang mengerikan mengenai maut dan kesakitan yang dikatakan sangat luar biasa ketika menghadapi maut oleh orang-orang beriman, baik ketika menghadapinya dan selepasnya, ternyata membunuh roh atau semangat jihad.

Bahkan keyakinan bahawa maut itu menyakitkan telah berjaya menyuburkan perasaan takut mati sekali gus menumbuhkan benih-benih cinta kepada dunia di dalam hati-hati orang yang beriman.

Sedangkan para sahabat dahulu terkenal sebagai manusia yang mencintai mati lebih daripada kehidupan di dunia. Ini disebabkan mati itu adalah sebagai pintu atau jambatan untuk mereka merasakan kenikmatan berehat daripada segala kesengsaraan dan dosa ketika di dunia.

Apa yang lebih penting lagi ialah orang-orang yang beriman dapat merealisasikan impian terbesar mereka, iaitu bertemu dengan Allah Azzawajalla serta berhimpun dengan orang-orang yang beriman, soleh serta para sahabat dan Rasulullah s.a.w. yang telah mendahului mereka.

Dan ternyata, golongan yang mencintai mati lebih daripada kehidupan dunia seperti mana teladan yang ditunjukkan oleh para Rasul serta sahabat dulu, akhirnya membuatkan mereka mendapat kurniaan Allah dengan memberikan sepertiga kekuasaan dunia dalam genggaman orang-orang mukmin satu ketika dulu.

Sumber Al Islam
Penulis : Wan Mohd Hafiz Wan Hamzah

1 comments:

Nazri berkata...

bagaimana peristiwa nabi idris yg dicabut nyawa oleh malaikat maut dan selepas dihidupkan kembali nabi idris memberitahu malaikat maut rasa sakit mati seperti kulit haiwan yg disiat hidup hidup dan seribu kali lg sakitnya