Sabtu, 14 Jun 2008

Pandangan Syekh Abdul Kadir Jailani tentang realiti kehidupan dunia


"Pada pandanganku, dunia ini adalah umpama fatamorgana, datang dan pergi, bersifat penipu dan palsu. Sebab itu saya tidak pernah meletakkan kepercayaan kepadanya, dan tidak sama sekali terpikat dengannya kerana dia datang dan pergi terlalu pantas.

Berkenaan dengan akhirat pula, saya singgah di situ hanya sebentar sahaja. Bila saya kaji dan perhatikan keadaannya, maka saya dapati masih ada juga kekurangannya. Ia diciptakan buat makhluk, yang mempunyai ciri-ciri yang mirip dunia ini.

Saya lihat Allah telah menyediakan peruntukkan di dalamnya bagi memuaskan kehendak-kehendak diri, yakni Nafs dan segala yang menyenangkan mata belaka. Lalu saya bertanya pula kepada diriku : Apa yang dikehendaki ‘Tuan’ yang memiliki semua makhluk-Nya, yakni ‘Maula’, Pembikin yakni Bari’, Pembuat, yakni Khaliq, dan Pencipta, yakni Muhdits. Apakah ada yang lain daripada ‘Tuan’ ini?!

Apabila sang hamba secara sedar mengabdikan dirinya kepada Allah, dan menunjukkan wajahnya hanya kepada Allah, maka Allah akan emmberinya ganjaran yang utama, iaitu menggantikan kejahilan dengan ilmu, menggantikan rasa jauh dengan Allah dengan rasa hampir, menggantikan sifat diam dengan berkata-kata, rasa kesendirian dan kesunyian dengan rasa keramaian dan persahabatan, menggantikan kegelapan dengan Nur, atau cahaya yang terang benderang dan seterusnya.

Mana yang boleh dicari ganjaran seperti ini, kalau tidak diberikan Tuhan?! Lantara itu perbetulkanlah dirimu supaya engakau termasuk golongan orang yang diberikan kekurniaan utama ini!

Wahai orang yang masih tidur, bangunlah! Kerana air banjir sudah mengelilingi anda. Siapa pemimpin kamu? Nanti di hari Pembicaraan kamu akan dipanggil untuk memberi keterangan. Apa kitab kamu? Siapa guru kamu? Siapa pendakwah (da’i) kamu? Siapa Nabi kamu?

Kamu tidak punya pertalian dengan Nabi kamu ketika itu, kerana orang yang mempunyai pertalian dengan Allah dan Rasulnya pada hari itu ialah orang yang bertakwa. Di mana taqwa kamu, agar kamu dapat mendakwa diri mu ada pertalian dengan Nabi kamu?

Bukalah mata kamu sekarang, cuba lihat apa yang ada di hadapan kamu? Pasukan penghukum sedang menuju kepada kamu. Kamu akan ditarik untuk disiksa!

Wahai orang bodoh! Kamu akan mati. Apa yang kamu usahakan hari ini akan hilang lenyap. Kamu akan meninggalkan isteri, anak, kerabat, rakan, handai taulan, rumah tangga, kebun halaman dan sebagainya. Kamu akan diletakkan di tanah, lalu dikambuskannya. Kamu akan tinggal di dalam kubur. Di sana sama ada yang menemani kamu Malaikat Zabaniyah, yakni Malaikat penyiksa, ataupun Malaikat Rahmah, yakni Malaikat pengasih dan penyayang!

Masing-masing Malaikat itu akan menjalankan tugasnya tanpa berlebih kurang. Malaikat Zabaniyah, yakni penyiksa akan melaksanakan tugasnya tanpa ada belas kasihan. Dan malaikat Rahmah, yakni rahmat akan mengasihani sesiapa pun tanpa keterlaluan. Semuanya sudah tahu tugas masing-masing dan tidak akan diberat atau diringankan melainkan sesuatu dengan apa yang sudah ditentukan.

Sedarkanlah diri kamu wahai manusia! Jangan sampai terlambat. Waktunya akan tiba!"

Dipetik dari kitab Sirrul Asrar fi ma yahtaju ilaihil abrar (Rahsia segala Rahsia yang diperlukan oleh orang-orang yang berbakti (kepada Allah s.w.t.).

Ditahkik dan ditulis semula oleh Syed Ahmad Semait.

0 comments: