Rabu, 27 Ogos 2008

JANGAN BERPOLITIK SEPERTI ORANG TIDAK BERAGAMA

Oleh Abu Muhammad Zubair


Hari ini, senario politik di negara ini, terutama yang melibatkan parti yang tunggok bangsa Melayu iaitu UMNO dan PAS, kini semakin hangat dan membara. Ini adalah rentetan daripada episod jatuhnya beberapa buah negeri yang selama ini dikuasa oleh BN ke Parti Pakatan Rakyat dalam pilihanraya umum ke 12 baru-baru ini.
Jelas, senario ini adalah antara penyebab makin hangatnya suasana politik bagi bangsa Melayu. Masing-masing dari parti yang diwakili ingin berebut kuasa dan ingin jadi pemerintah.
Dalam usaha ke arah itu, nampaknya bangsa Melayu yang terlibat di dalam parti politik, atau menjadi penyokong mana-mana parti politik, akan sedaya upaya menyakinkan rakyat, atau orang sekelilingnya itu, bahawa perjuangan partinyalah yang paling relevan dan benar.
Namun, apa yang dikesalkan, cara dan pendekatan yang diambil oleh golongan penyokong, pemimpin parti politik Melayu benar-benar jauh daripada akhlak dan landasan yang digariskan oleh Islam. Sikap maki hamun sesama sendiri, menabur fitnah bertindak ganas, kata-kata lucah menjadi penyeri dalam kata-kata dan perbuatan mereka atas nama politik. Adakah di sebabkan politik, semua kelaku yang dilarang ini dibenarkan?

Saya ingin petik sedikit daripada tulisan Mufti Asri dalam Mingguan Malaysia baru-baru ini. Beliau sebagai Mufti menjalankan tanggungjawabnya menegur penyokong dan pemimpin parti politik Melayu, agar cara dan akhlak ketika berpolitik dan berkempen semestinya tidak lari daripada akhlak yang digariskan oleh Islam.

Semua ini berlaku menurut beliau, adalah disebabkan dengan bersikap takliq buta dan terlalu taksub kepada parti atau pemimpin parti tersebut. Sikap ini tidak berbeza dengan sikap sesetengah penganut mazhab yang terlalu taksub serta bersikap takliq buta yang akhirnya menyebabkan perpecahan berlaku di kalangan umat Islam.

Antara tulisan beliau dalam ruangan Pena Mufti itu berbunyi : Sikap taklid buta menjadi-jadi. Tidak ditanya lain nas dan dalil, sebaliknya mereka akan bertanya apa pemimpin politik kita kata. Ini mengingatkan saya kepada apa yang pernah disebut oleh al-Hafiz Ibn Qayyim al-Jauziyyah (meninggal 751H) dalam mengkritik golongan ekstrimis mazhab, katanya: "Yang lebih pelik dari semua itu adalah sikap kamu wahai golongan taklid! Kamu ini jika mendapati ayat al-Quran yang bersesuai dengan mazhab kamu, maka kamu akan terima apa yang jelas dari ayat itu dan berpegang kepadanya. Teras kamu dalam perkara berkenaan adalah pendapat mazhab kamu, bukan ayat tersebut.

Jika kamu dapati ayat lain yang setanding dengannya menyanggahi pendapat mazhab kamu, kamu tidak akan menerimanya. Kamu akan cuba membuat berbagai-bagai takwilan dan mengeluarkannya dari maksudnya yang jelas, kerana tidak bersesuaian dengan mazhab kamu. Inilah juga yang kamu lakukan kepada nas-nas al-Sunnah. Jika kamu dapati satu hadis yang sahih bersesuaian dengan mazhab kamu, kamu menerimanya. Kamu kata: "Kami ada sabda Nabi SAW begini dan begitu". Jika kamu dapati seratus atau lebih hadis sahih yang berbeza dengan mazhab kamu, kamu tidak pandang kepadanya, walaupun sedikit..". (Ibn Qayyim al-Jauziyyah, I'lam al-Muwaqqi'in, 2/195, Beirut: Dar al-Fikr).

Beliau turut menyentuh tentang akhlak dan kelaku penyokong-penyokong parti politik yang lebih dari 90 peratus beragama Islam ketika berkempen di Permatang Pauh baru-baru ini. Kata beliau : Sesiapa yang datang melihat akhlak dan budi sesetengah mereka yang terlibat dalam pilihan raya kecil Permatang Pauh akan dapat menilai jika berfikiran matang.

Sebahagian tindak tanduk itu kadang-kala amatlah jauh dengan syiar akhlak dan budi yang diperjuangkan Islam buat masyarakat manusia. Maki-hamun boleh kedengaran di jalan-jalan apabila bertembung antara satu sama lain. Perbezaan politik itu menjadikan mereka lupa tentang apakah yang hendak diperjuangkan? Di mana ajaran Islam tentang hubungan seorang muslim dengan muslim yang lain?

Di manakah ajaran Islam tentang memberi salam, senyum buat saudara muslim apabila bertemu dan berbagai-bagai lagi? Inikah masa depan akhlak dan budi rakyat sebuah negara yang hendak dibentuk? Maka tidak hairan jika akhlak muda-mudi kita makin teruk, jika demikian pembentukan nilai-nilai yang ada di kalangan orang politik. Mereka semua tenggelam dalam kemabukan kuasa sehingga lupa terhadap masa depan negara.

Malu membawa anak-anak yang masih mentah untuk melihat orang-orang politik yang jerit-menjerit di jalan raya dengan bahasa yang jijik dan kotor. Lebih malu jika yang turut menjerit itu memakai gelaran agama. Mereka memang benar-benar tenggelam dalam kemabukan.

Tiada peruntukan dalam ceramah-ceramah politik untuk menjadikan hati insan yang hadir mendengarnya lunak dan syahdu mengingati Allah dan kebesaran syiar Islam yang mendidik umatnya berpekerti mulia. Sanggup pula sesetengah ibu bapa membiarkan anak-anak gadis datang dari jauh dan dekat berkempen, bergaul bebas. Gadis-gadis yang terdedah kepada berbagai-bagai bahaya, merayau siang dan malam atas nama meraih undi. Kesemuanya halal atas nama kempen pilihan raya.

Ada yang mengambil cuti, kononnya berkorban untuk perjuangan. Perjuangan apa yang hendak dikorbankan? Apakah suasana sedemikian rupa mengundang pahala dan reda Allah? Kalian bertembung sesama muslim dan melampaui batas. Sedangkan Allah mengajar mereka yang berperang dengan musuh Islam: (maksudnya): "Dan perangilah di jalan Allah orang-orang yang memerangi kamu, dan janganlah kamu melampaui batas, sesungguhnya Allah tidak menyukai mereka yang melampaui batas".(Surah al-Baqarah ayat 190).

Jelas hari ini, akhlak dan ajaran Islam dalam pendekatan politik yang digunakan oleh parti Melayu sudah tersimpang jauh dari yang sepatutnya. Lupakah kita, terutama pada pemimpin yang beria-ria mempertahankan kuasanya, bahawa kuasa itu merupakan satu tanggungjawab dan amanah yang besar, yang silap-silap langkah, akan menyebabkan individu yang bergelar pemimpin itu akan ditimpa murka Allah swt.

Dan apakah kita juga lupa, bagaimana para sahabat dulunya saling tolak menolak apabila mahu diberikan kuasa, waimah untuk menjadi imam solat jemaah sekalipun, mereka tetap berfikir masak-masak untuk menerimanya.

Bukankah sebagai umat Islam, kita sedar bahawa manusia singgah di dunia ini hanya sebagai musafir lalu dan tujuan utamanya ialah untuk mencari bekalan sebanyak mungkin menuju ke kampung akhirat? Bukankah kita sering mengungkapkan bahawa dunia ini sementara dan akhirat itu kekal abadi?

Tetapi pelik, kenapa orang yang mengaku, dunia ini sementara, akhirat itu kekal abadi pula bersungguh-sungguh untuk mencari perkara yang sementara seperti kekayaan dan kuasa, sehingga sanggup melanggar batas apa yang telah ditetapkan Allah untuk kebaikan kita di kampung akhirat kelak? Kalau demikian sikap kita, itu bermakna awal-awal lagi kita sudah membayangkan jalan mana yang kita pilih untuk menuju ke kampung akhirat kelak.

0 comments: