Isnin, 18 Ogos 2008

TIADA BIDAAH HASANAH MELAINKAN DHOLALAH- DR. YUSUF AL QARDAWI

Di sana sebahagian ulama membahagikan bid'ah kepada: Hasanah dan Saiyi'ah. Manakala sebahagian dari mereka membahagikannya kepada lima bahagian, menurut pembahagian hukum-hakam syarak: Bid'ah wajib, sunat, makruh, haram dan harus/mubah.


Al-Imam al-Syathibi telah membahaskan masalah ini secara terperinci, dan ditengah-tengah beliau membahaskannya itu beliau berpendirian: Bahawa pembahagian ini adalah perkara yang direka-reka yang tidak ditunjukkan oleh mana-mana dalil syari'i pun, malah pembahagian itu sendiri saling bertolak-tolakan.

Kerana hakikat bid'ah itu ialah sesuatu yang tidak ditunjuki oleh mana-mana dalil syarak, tidak juga oleh mana-mana nash syarak dan tidak dari qaedah-qaedahnya. Kerana jika di sana terdapat suatu dalil syarak yang menunjukkan atas wajibnya sesuatu, sunat atau harus, mengapa pula perkara berkenaan dikatakan bid'ah (hasanah).

Ia sebenarnya (bukanlah bid'ah hasanah) tetapi perkara berkenaan telahpun masuk di bawah keumuman amal yang diperintahkan atau perkara yang dibolehkan (membuat pilihan). Akhirnya natijahnya adalah satu, kerana mereka mengatakan bahawa penulisan al-Quran, menghimpunkannya dalam satu mushaf, menyusun ilmu Nahu, Usul Feqh dan ilmu-ilmu Islam lain adalah sebagai bid'ah wajib dan sebagai fardu kifayah.

Manakala sebahagian yang lain tidak bersetuju perkara-perkara di atas (penulisan al-Quran, menghimpunkannya dalam satu mushaf, menyusun ilmu Nahu...) itu dinamakan sebagai bid'ah hasanah.

Kata mereka: "Pembahagian ini adalah pembahagian untuk bid'ah dari sudut bahasa sahaja. Yang kami kehendaki dengan bid'ah adalah bid'ah dari sudut syarak. Tentang perkara-perkara di atas, kami mengeluarkannya dari senarai bid'ah. Adalah tidak baik jika ia disebut sebagai sesuatu yang bid'ah. Yang utama adalah kita berpegang kepada Hadis yang mulia; kerana hadis datang dengan lafaz berikut dengan terang dan nyata: "Maka sesungguhnya setiap bid'ah itu dholalah (menyesatkan)."

Dengan keumuman lafaz hadis di atas, maka apabila dikatakan: "Setiap bid'ah itu dholalah" maka tidak perlulah kita katakan lagi: "bid'ah itu ada yang baik, ada yang keji, ada yang wajib, ada yang sunat dan seterusnya...." Pembahagian sebegini adalah tidak perlu.

Apa yang benar ialah, bahawa kita katakan apa yang telah disabdakan oleh s.a.w. di dalam hadisnya: "Maka sesungguhnya setiap bid'ah adalah dholalah." Yang dimaksudkan adalah bid'ah sebagaimana yang telah ditahqiq oleh al-Imam al-Syathibi: "Bid'ah ialah jalan di dalam agama yang direka-reka/diada-adakan." Iaitu yang tidak ada asal-usulnya dari syarak, tidak juga dari al-Quran, al-Sunnah, ijmak, qiyas, mashlahah mursalah dan tiada di kalangan fuqaha' yang menyatakan dalil mengenainya.
sumber Islamonline/al Ahkam

2 comments:

Irzuan berkata...

Salam,

Jangan terlalu menitip beratkan hukum furu'sehingga mengabaikan hukum asas...itulah yang berlaku sekarang.

walau apapun, 'perpecahan umat (Muhammad SAW) adalah suatu rahmat' fikir-fikirkan.

Amizz berkata...

Assalamualaikum,

PERINGATAN!!!! Itu hadis PALSU.... Jangan gunakannya. Rujuk al-Abani...

Moga Allah merahmati....