Orang-orang Arab berkata: Kami telah beriman. Katakanlah (wahai Muhammad): Kamu belum beriman, (janganlah berkata demikian), tetapi sementara iman belum lagi meresap masuk ke dalam hati kamu berkatalah sahaja: Kami telah Islam dan (ingatlah), jika kamu taat kepada Allah RasulNya (zahir dan batin), Allah tidak akan mengurangkan sedikitpun dari pahala amal-amal kamu, kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.- Al Hujurat ayat 14.
Maka ayat tersebut diturunkan untuk membetulkan kenyataan Arab Badwi itu agar tidak mengaku sebagai golongan yang beriman, tetapi cukuplah sekadar mengaku sebagai seorang Islam.
Berdasarkan firman tersebut, nyatalah bahawa seseorang itu, walaupun telah memeluk Islam, ia tidak boleh disamakan sedarjat dengan golongan yang Islam dan beriman. Ini bermakna orang-orang yang sekadar mengatakan dirinya sebagai Islam, belum tentu termasuk dikalangan orang yang beriman.
Berdasarkan itu, bolehlah kita lihat pada realiti hari ini, dimana kebanyakan daripada kemuniti Muslim hari ini memiliki Islam melalui nasab keturunan. Sebagai contoh, di Malaysia, kesemua orang Melayu di sini beragama Islam kerana keturunan datuk nenek bangsa Melayu telah memeluk Islam sejak beratus tahun dulu.
Bangsa Melayu secara tidak langsung berketurunan Islam, tetapi persoalannya adakah kita yang mewarisi Islam secara keturunan ini menepati ciri-ciri golongan hamba Allah s.w.t yang beriman seperti yang disebutkan di dalam al Quran?
Di dalam al Quran, Allah s.w.t telah menggariskan beberapa kriteria-kriteria yang dimiliki oleh golongan yang beriman. Di antaranya ialah dalam surah yang sama, iaitu surah Al Hujurat pada ayat ke 15, sebagai sinambungan kepada ayat sebelumnya yang menerangkan ciri-ciri golongan yang beriman. Firman Allah s.w.t yang bermaksud :
“Sesungguhnya orang-orang yang sebenar-benarnya beriman hanyalah orang-orang yang percaya kepada Allah dan RasulNya, kemudian mereka (terus percaya dengan) tidak ragu-ragu lagi, serta mereka berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah; mereka itulah orang-orang yang benar (pengakuan imannya),”
Di dalam Al Quran, Allah sering kali mengaitkan antara sifat-sifat orang-orang yang beriman, selain daripada mempercayai Allah dan Rasul, mereka juga adalah para pejuang yang berjuang dalam bidang dan kebolehan masing-masing di jalan Allah demi membantu agama Allah.
Bagi setiap insan yang mengaku dirinya terdiri daripada orang-orang yang beriman, berjihad membela agama Allah akan sentiasa menjadi matlamat dan tujuan utama dalam kehidupannya. Golongan yang beriman akan sebaik mungkin cuba untuk menepati perintah Allah di dalam Al Quran dan sedaya upaya untuk mengikuti sunah Rasul.
Apabila di sebut sunah Rasul, ramai di antara kita yang beranggapan bahawa sunah itu hanyalah daripada cara-cara beribadat atau penampilan sahaja. Tetapi sama ada mereka terlupa atau tidak tahu, lebih penting lagi, sunah Rasul itu juga bermaksud perjuangan Nabi Muhammad s.a.w. dalam meninggikan kalimah Allah, serta menunjukkan contoh teladan yang baik terhadap umat manusia sepanjang 23 tahun di Mekah dan Madinah.
Jadi, bagi mereka yang mengaku beriman, mereka hendaklah mencontohi Nabi bukan setakat dari sudut ibadah dan penampilan sahaja, tetapi mereka turut berjuang di jalan Allah, dengan segala kelebihan yang ada pada diri mereka, dengan rasa ikhlas semata-mata kerana Allah dan demi untuk menyambung warisan perjuangan Rasululllah s.a.w. sehingga ke hari kiamat.
Berjuang di jalan Allah, bukanlah bermaksud hanya melalui peperangan sahaja, tetapi berdakwah, bantu-membantu, bersedekah, menolong anak yatim, menyebarkan ilmu dan termasuklah cara berfikir serta bermacam-macam perkara kebaikan dan kebajikan yang lain-lain.
Jadi... agak-agaknya, apakah kita ini termasuk di kalangan orang Islam yang dalam kategori orang-orang yang benar-benar beriman, atau kita hanya termasuk dalam golongan yang hanya bergelar umat Islam... tanpa iman...
1 comments:
Betul tu tuan. Kena bantu-membantu
untuk buat usaha betulkan iman.
Catat Ulasan