Selasa, 22 Januari 2008

MATLAMAT YANG HAMPIR TERCAPAI-ORANG MELAYU PERLU BANGGA

Secara realitinya, mahu tidak mahu, orang Melayu terpaksa menerima hakikat, bahawa kedudukan orang Melayu kini berada di tangga tercorot berbanding dengan kaum-kaum lain.
Perkara ini boleh dilihat daripada sudut penguasaan ilmu, perpaduan dan ekonomi. Tiga perkara penting dan menjadi tunjang bagi membentuk sahsiah dan kekuatan sesebuah bangsa, kini semakin luntur di kalangan bangsa Melayu.

Bangsa Melayu kini terutama generasi muda tanpa disedari beransur-ansur mula meninggalkan tiga faktor ini. Sikap melalaikan ilmu, meninggalkan perpaduan dan ketidaksungguhan dalam ekonomi akan menyebabkan institusi bangsa Melayu akan hancur dan lenyap ditelan zaman.
Apatah lagi, keadaan sosial bangsa Melayu yang kini tanpa mengira faktor umur, semakin meloyakan. Bahkan ada segelintir dari kita yang melakukan perbuatan yang melayakkan kita jatuh ke martabat serendah haiwan yang tidak mempunyai akal fikiran.

Mahu tidak mahu, bangsa Melayu perlu akui, realitinya hari ini, keadaan sosial dikalangan bangsa Melayu menjadi semakin kritikal. Ini boleh dilihat di sekeliling persekitaran sosial bangsa Melayu hari ini.

Si tua dengan dangdutnya, yang muda dengan pub-pub dan kelab malamnya, yang betina dengan jantanya, dan yang jantan pula, selalu sibuk dengan arak, judi dan betina. Ini bukanlah dogengan dari kayangan, tetapi inilah hakikat yang terpaksa diterima oleh bangsa Melayu. Biarpun ia sepahit menelan seratus hempedu.

Lebih membimbangkan, keadaan generasi muda bangsa Melayu yang kian parah dan mengalami penyakit mental yang menyebakan penyjakit jumud, bodoh dan sindrom kelalaian melampau, seolah-olah sebagai satu petanda, bahawa bangsa Melayu kini sedang menuju kehancuran.
Disambut pula dengan sikap para alim ulama (termasuk cendekiawan Islam) yang pasif,lemah dan berpuas hati dengan ilmu yang mana yang ada, menyebabkan keadaan huru hara bangsa Melayu semakin parah dan terluka.

Mengapakah perkara seperti ini terjadi terhadap bangsa Melayu? Bukankah satu saat dulu, bangsa Melayu gah dengan keluasan empayar kekuasaannya di nusantara? Bukankah satu fakta, orang Melayu di zaman kegemilangan empayar Melaka dahulunya menguasai pelbagai ilmu dan boleh bertutur lebih 20 bahasa?

Dan sejarah juga telah membuktikan, bahawa orang Melayu dahulunya adalah ahli ekonomi dan antara bangsa-bangsa yang terhandal sebagai pelaut, pedagang dan pendakwah yang merentasi antara lautan dan benua sehingga ke Afrika, belayar mengebarkan kemegahan kesungguhan bangsa Melayu.

Pastinya, kemegahan dan kesungguhan itu ada rahsianya. Rahsianya ialah warisan ajaran Islam yang dipusakai dari Nabi dan Rasul akhir zaman, Saydina Muhammad s.a.w. Islam adalah kunci bagi segala kunci di dunia dan akhirat.

Kunci pada kemegahan, kunci segala kesenangan, kunci bagi ketenangan, kunci kesungguhan dalam perjuangan dan kunci kepada segala kejayaan.

Tetapi hari ini, malangnya sebahagian besar bangsa Melayu moden, sudah terlupa untuk memelihara kunci bagi pintu untuk segala kejayaan. Sebaliknya, sebahagian besar bangsa Melayu telah memilih kunci untuk membuka pintu segala kehinaan. Mereka melontarkan Islam jauh dari pandangan dan membenamkan akal sehingga maut kelemasan dan memilih fantas untuk dijadikan sembahan.

Hasilnya, hari ini pencapaian generasi moden bangsa Melayu sangat cemerlang akibat meninggalkan Islam. Kini mengamalkan cara hidup Islam dianggap kuno. Lantaran meninggalkan Islam dan sunnah Rasul, hari ini kita hampir-hampir mencipta sejarah moden dalam ketamadunan bangsa Melayu dan Islam.

Hari ini, secara rasminya, bangsa Melayu adalah bangsa yang paling cemerlang dan terbanyak bilangannya ke pusat serenti dan pemulihan akhlak, berbanding bangsa-bangsa lain yang lebih suka ke universiti.

Dan tahukah kita, bahawa hari ini, generasi muda bangsa Melayu telah dinobatkan sebagai penerima anugerah dalam acara membuang bayi terbanyak dan melayakkan bangsa Melayu menerima pingat emas dalam acara ini, kerana berjaya mengatasi bangsa-bangsa lain.

Selain itu, tidakkah hari ini orang Melayu merasa bangga, apabila melihat anak-anak muda remaja Melayu, terlonjak-lonjak di atas pentas dan berpeluk-peluk lelaki tanpa segan silu, antara lelaki dan perempuan biarpun opah dan atuknya berada di barisan hadapan penonton.

Malah, kita sepatutnya merasa lebih bangga, kerana hari ini, lebih ramai bangsa Melayu yang beramai-ramai untuk bersuka ria dan sungguh-sungguh mahukan keturunannya menjadi penyanyi atau pelakon atau apa saja janji glamour, supaya dapat bermegah-megah bila keluar tv atau suratkhabar!

Kita juga patut merasa lega, apabila sebahagian daripada bangsa Melayu yang sanggup berkorban harta, tenaga, semata-mata untuk melihat anak-anak menjadi penyanyi yang menyanyikan lagu-lagu fantasia untuk orang yang mati akalnya, daripada mendidik mereka menjadi warisan bangsa yang lebih berilmu, beriman, kaya dan mantap ekonominya dan mempunyai semangat perjuangan membantu agama dan bangsa.

Bukankah kita patut merasa bangga dengan pencapaian bangsa Melayu hari ini?
Sebab itu, kita boleh lihat, tidak ada ulama yang resah gelisah di kerusi empuk di dalam bilik yang berhawa dingin, apabila memikirkan situasi sosial orang Melayu hari ini. Bagi mereka, orang Melayu telah membuktikan kecemerlangan. Apa yang nak dirisaukan!

Sekurang-kurangnya, nama bangsanya akan terpahat dalam ingatan sejarah ketamadunan manusia sebagai pemenang nombor satu acara membunuh bayi-bayi menggunakan tong sampah!

Dan sebab itu juga, pemimpin-pemimpin politik semakin ghairah mengadakan pesta-pestaan dan nyayian kerana mereka berbangga bahawa orang Melayu telah mencipta pelbagai kegemilangan dalam usaha menjahanamkan diri mereka sendiri.

Kerana kejayaan demi kejayaan yang dicipta, maka sebahagian besar orang Melayu terus begitu, sebab mereka tidak sanggup untuk mengaku kalah dan sebagai juara bertahan, mereka akan terus berjuang bagi memastikan, bangsa Melayu tetap terunggul sebagai extrimist hiburan, paling cekap membuang anak tanpa diketahui orang lain serta kebanggaan yang melampau-lampau kerana berjaya menjadi golongan yang jahil.

Berbanggakah kita dengan pencapaian ini? Apa jawapannya? Ya atau tidak? Jika hati kita merasa tenang dan tidak gundah gulana dengan kejayaan demi kejayaan yang dicipta orang anak bangsa Melayu di negara ini dalam arus kemodenanseperti yang tersebut di atas, yakinlah bahawa matlamat perjuangan bangsa Melayu hari ini sebenarnya sudah hampir tercapai, iaitu menghancurkan ketamadunan sesebuah bangsa!!

0 comments: