Selasa, 8 Januari 2008

SIAPA LEBIH BERHAK?


Baru-baru ini, di media arus Perdana , panas dibahaskan oleh bijak pandai dan cendekiawan Islam, tentang penggunaan nama Allah lantaran satu statement yang dikeluarkan oleh beberapa orang-orang kuat gereja Kristian.

Bila melibatkan isu agama, apatah lagi berkaitan dengan KeTuhanan, perbincangan yang diadakan perlu lebih bertolenransi, bukan bertujuan untuk menentukan siapa menang atau siapa kalah, tetapi ia perlu lebih ditumpukan kepada soal kebenaran dan pengamalan dalam beragama.

Jika ia dilakukan dengan cara yang emosi, ia bakal mengundang pertelagahan dan konflik, yang boleh membawa bencana yang lebih besar lagi sebagai contoh, konfrontasi agama di antara kedua pihak.

Isu ini sebenarnya bagi umat Islam adalah satu kesempatan yang baik untuk diperbincangkan. Tetapi, ia tidak boleh terbatas dengan perbicangan yang dilakukan melalui media massa. Sedar atau tidak, sememangnya golongan Kristian di negara ini telah menggunakan nama Allah termasuklah di dalam Bible, dan hari ini, perbahasan mula timbul apabila golongan Kristian sudah mahu menjadikan nama Allah itu sebagai Tuhan secara rasmi melalui undang-undang negara.

Dalam laporan The Star, seorang Father, bernama Lawrance Andrew berkata, bahawa penggunaan kata nama Allah sebagai merujuk kepada perkataan God, atau Lord telah digunakan secara meluas di kalangan penganut Kristian dan di dalam Bible sejak diawal abad ke 19 di negara ini.

Katanya lagi, penggunaan nama Allah bukanlah dengan niat untuk menyinggung perasaan orang Islam tetapi sememangnya perkataan God atau Lord itu memang merujuk kepada nama Allah di dalam ajaran Kristian.

Dalam hal ini juga, sepatutnya umat Islam ataupun ulama-ulama tidak perlu melenting. Jika diperhalusi, isu nama Allah itu sebenarnya boleh membawa banyak manfaat terhadap usaha dakwah umat Islam dalam membetulkan akidah dan fahaman manusia-manusia lain yang tertipu dengan golongan tertentu.

Bukankah sejarah telah membuktikan begitu banyak berlakunya penyelewengan di dalam agama-agama lain termasuk agama Yahudi dan juga Kristian.

Secara amnya di negara ini, nama Allah, bagi orang-orang yang bukan Islam di Malaysia, di anggap sebagai nama salah satu Tuhan di kalangan manusia, iaitu Tuhan orang Islam. Bagi orang-orang yang menganut agama samawi, sebutan God, Yahweh itu juga adalah merujuk kepada Allah, sebagai Tuhan agama samawi.

Namun bagi umat Islam, Allah bukanlah hanya Tuhan orang Islam, tetapi ia adalah Tuhan yang menciptakan sekalian manusia, langit dan bumi dan apa-apa yang ada di antara keduanya. Itu definasi atau penjelasan mengenai Allah yang amat diyakini dan diimani oleh sebahagian daripada umat Islam di dunia ini.

Tetapi, keyakinan ini bukan hanya di kalangan umat Islam, tetapi ia juga adalah keyakinan di kalangan golongan penganut Kristian dan juga umah Yahudi. Bagi puak Yahudi, perkataan Yahweh itu merujuk kepada Allah yang mereka anggap sebagai Tuhan Semesta Alam yang menjadi semua makhluk termasuk manusia.

Namun malangnya, pemahaman mereka telah dipesongkan oleh beberapa ulama jahat di kalangan bani Yahudi, yang mengubah beberapa fakta kebenaran, dan menipu dengan mengatakan bahawa Yahweh berfirman di dalam Taurat bagi mengangkat taraf kaum Yahudi sebagai satu bangsa yang lebih mulia dan disayangi oleh Tuhan berbanding dengan manusia lain di muka bumi ini.

Fahaman palsu seperti inilah yang menyebabkan golongan Yahudi terutama mereka yang berfahaman Zionis menganggap manusia selain Yahudi adalah bertaraf hina seperti binatang dan mereka boleh melakukan apa sahaja terhadap mereka. Dengan fahaman yang demikian, maka tidak hairanlah puak Yahudi langsung tidak menganggap pembunuhan dan penindasan terhadap warga Palestin sebagai satu perbuatan yang zalim, kerana memang itu adalah suruhan atau perintah Tuhan mereka.

Jika golongan Kristian mahu menggunakan nama Allah, teruskanlah. Tetapi masalahnya, layakkan mereka menggunakan nama Allah, tanpa mengikut perintah Allah yang sebenar-benarnya dan tunduk kepada kebenaran al Quran dan kenabian Nabi Muhammad s.a.w. sebagai Rasul terakhir?

Bible yang ada hari ini bukanlah ajaran sebenar Nabi Isa dan ia pula bukanlah agama-agama Allah. Bagaimana pula penganut Kristian mahu menggunakan nama Allah, sedang ajaran yang mereka amalkan itu bukanlah ajaran yang diwahyukan oleh secara asli kepada Nabi Isa a.s.
Mereka mahu beriman dan menjadi hamba Allah kerana golongan ini tahu bahawa Allah itu adalah satu-satunya Tuhan yang Esa, tetapi malangnya pada masa yang sama, mereka juga menyekutukan Allah dengan menjadikan Nabi Isa a.s sebagai Tuhan, dan turut mempertuhan Ruhul Kudus yang masih tidak jelas dari mana asalnya dalil dan nasnya.

Sedangkan, perbuatan menyekutukan Tuhan ini adalah satu perbuatan dosa yang paling besar buat seseorang manusia apatah lagi jika seseorang itu dan ini bukanlah hanya ada di dalam al Quran, tetapi ia juga turut terkandung di dalam kitab Bible yang dianggap oleh penganut Kristian hari ini sebagai satu kitab suci.

Di dalam Islam, Nabi Isa hanyalah seorang insan di kalangan manusia, yang Allah muliakan dan mengangkat darjatnya menjadi seorang Rasul, seperti Rasul-Rasul yang lain termasuklah Nabi Muhammad.

Jika pengikut Kristian mempercayai Abraham, Noah, Jacob dan Issaac sebagai Rasul, mengapa pula mereka mempercayai Nabi Isa itu adalah Tuhan, dan menolak pula pengiktirafan yang Allah berikan kepada Nabi Muhammad s.a.w. sebagai Nabi dan Rasul terakhir yang diutuskan untuk membawa amanat dan perintah Allah melalui al Quran sebagai penutup kepada segala kitab?

Jadi, bagaimana pula golongan Kristian mahu menggunakan nama Allah secara rasminya sebagai Tuhan mereka, sedangkan mereka langsung tidak pernah beriktikad, atau percaya, atau mengamalkan sebarang dari ajaran Al Quran dan menolak kepercayaan bahawa Nabi Muhammad s.a.w. itu adalah Nabi dan Rasul terakhir yang berhak di ikuti dan ditaati?

Mereka terlalu mengagungkan Bible yang rata-rata di antara mereka iaitu para ulama Kristian tahu bahawa kitab itu tidak lagi asli. Tetapi akibat sifat ego dan hasad yang ada di dalam diri mereka, mereka cuba untuk menafikan kenyataan tersebut.

Hari ini, mereka mahu menggunakan nama Allah untuk merujuk kepada Tuhan mereka tetapi dari sudut pengamalan dan pemahaman agama mereka , sebenarnya mereka telah tersesat dan menyimpang jauh dan ajaran asal Nabi Isa a.s. Konsep trinity, atau banyak Tuhan, bagi seseorang manusia adalah satu pemahaman yang paling menyimpang dan tidak masuk akal.
Sepatutnya di zaman era moden hari ini, manusia boleh berfikir dengan waras dan tidak hanya menjadi orang yang hanya ada otak, tetapi tidak berakal, dan mengikut-ngikut apa yang diturunkan oleh nenek moyang mereka secara membuta tuli tanpa sebarang kajian.
Malah, ada juga mazhab-mazhab dalam Kristian yang membina patung-patung Jesus sedangkan ajaran agama yang dibawa oleh Nabi Isa a.s. melarang keras membina patung apatah lagi sekiranya patung itu digunakan dalam pengamalan agama dan ibadah.

Dalam hal ini, para ulama Islam pula sebenarnya perlu mengambil kesempatan untuk mengadakan perbincangan secara terbuka dan bertoleransi denga tujuan dakwah. Seperti yang dikatakan tadi, perbincangan itu perlulah dilakukan dengan ada yang terbuka dan tujuannya bukanlah untuk mencari kemenangan atau kekalahan mana-mana pihak, tetapi semata-mata adalah untuk mencari kebenaran.

Kerana bagi umat Islam, Allah sememang Tuhan kepada semua manusia. Allah juga bukan sebenarnya perkataan khusus bagi umat Islam sahaja tetapi ia adalah perkataan yang merujuk kepada Tuhan Pencipta makhluk baik di langit dan di bumi.

Bagaimanapun, keistimewaan untuk mengakui Allah itu Tuhan hanya diberikan kepada mereka yang beriman, mengamal dan mengikuti al Quran, mengiktiraf kenabian Nabi Muhammad s.a.w. dan kebenaran Islam sahaja yang diberikankan hak untuk mengaku bahawa dia adalah hamba Allah dan Allah itu Tuhannya.

Mungkin juga penganut Kristian ada hujahnya. Maka adalah lebih elok sekiranya para ulama Islam, dengan hati yang tenang dan ikhlas untuk mencadangkan agar diadakan perbincangan secara terbuka dalam mencari kebenaran ini, agar semua pihak dapat memberikan hujah, dan masyarakat semua termasuk penganut dua-dua agama ini dapat mengetahui mana yang hak dan mana yang batil… seperti mana yang dilakukan oleh Allahyarham Ahmad Deedat… daripada hanya berhujah hanya di media cetak sahaja.


0 comments: