Khamis, 27 September 2007

BUKAN SEMUA YAHUDI ITU ZIONIS


PADA hari selasa 9 Novermber 2004, di hadapan Percy Military Hospital, Clamart di Paris, kelihatan sekumpulan lelaki yang bertopi, berjanggut panjang dan berpakaian kot hitam sedang mundar-mandir di perkarangan hospital tersebut. Mereka kelihatannya seperti sedang menunggu seseorang.


Beberapa lelaki bertopi dan berkot hitam dari golongan itu, kelihatan memegang bendera Palestin. Orang ramai yang lalu lalang di sekitar kawasan tersebut, memandang pelik dengan tindakan sekumpulan lelaki itu.

Siapa sekumpulan lelaki itu? Apa yang mereka lakukan di hadapan hospital tersebut?
Mereka adalah orang Yahudi! Dan golongan itu sebenarnya sedang bersimpati dan menanti berita tentang keadaan Presiden Palestin, Yasser Arafat ketika pemimpin tersebut ketika dirawat di hospital tersebut akibat pendarahan otak akibat jangkitan kuman.
Mengapakah golongan Yahudi melawat Presiden Palestin? Pasti menimbulkan tanda-tanya, mengapakah golongan Yahudi yang sememang diketahui umum bermusuh dengan rakyat Palestin, kini melawat dan bersimpati dengan presiden Palestin.

Sebenarnya kumpulan Yahudi itu adalah dari kumpulan yang menggelarkan diri mereka sebagai Jews United Against Zionism. Mereka hadir ke hospital tersebut, sebagai tanda simpati mereka terhadap pejuang dan pemimpin kemerdekaan negara Palestin. Malah mereka juga tidak ragu-ragu memegang bendera Palestin, sebagai bukti sokongan terhadap perjuangan rakyat Palestin menentang kezaliman Zionis.

Seorang Pendita yahudi dalam kumpulan tersebut, Mordechi Weberman mengakui tindakan mereka bersama rakyat Palestin menentang Zionis sememangnya menimbulkan banyak tanda-tanya di kalangan orang awam.

“Mereka bertanyakan saya, kenapa anda berarak disamping rakyat Palestin? Kenapa anda mengibarkan bendera Palestin dan mengapa kamu menyokong perjuangan rakyat Palestin? Sedangkan kamu adalah seorang Yahudi!?,”

“Saya menjelaskan kepada mereka, kerana kami dari golongan Yahudilah, maka kami bersama rakyat Palestin berarak dan mengibarkan bendera negara itu. Kerana kami Yahudilah, maka kami mendesak agar hentikan segala kekejaman terhadap rakyat Palestin,” jawab Mordechi.
Katanya lagi, Taurat mengajar kaum Yahudi agar bersikap adil. Taurat memerintahkan golongan Yahudi agar menegakkan keadilan.

Jadi, kata Mordechi lagi, inilah tindakan mereka bagi menentang kezaliman dan ketidak adilan yang berlaku sejak berpuluh tahun terhadap rakyat Palestin.

“Kami juga yakin, pelarian Yahudi yang berhijrah ke Palestin bukanlah dengan niat untuk menjajah. Bukan dengan niat untuk mendirikan negara yahudi. Bukan dengan niat untuk menghalau rakyat Palestin dari tanah air mereka.

“Golongan kami berhijrah ke Palestin untuk hidup bersama kaum muslimin, dengan keadilan dan saksama seperti mana yang pernah ditunjukkan oleh pemerintahan Islam sebelum ini di Palestin,”

“Kami cuma mahu hidup dalam keadaan aman dan harmoni bersama golongan Muslimin seperti yang pernah tercatat di dalam sejarah satu ketika dulu,” Pendeta Mordechi memperjelaskan niat sebenar perpindahan beramai-ramai golongan Yahudi ke Palestin.

Tegas lelaki bertopi dan berjanggut panjang itu, apa yang mereka lakukan bukanlah mengharapkan sebahagian tanah yang dicadangkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada tahun 1974 dulu. Malah katanya, PBB juga tidak berhak untuk memberikan cadangan tersebut, kerana tanah itu adalah kepunyaan dan hak rakyat Palestin.

“Kami tidak mahu apa-apa kecuali tanah hak milik rakyat Palestin dipulangkan kembali termasuk Jerusalem. Dan adalah lebih adil sekiranya membiarkan rakyat Palestin sendiri menentukan, apakah boleh atau seramai mana perlunya golongan kami untuk dibenarkan hidup dan tinggal di bumi bertuah ini,” tegasnya lagi.

Sepatutnya, tegas Mordechi, golongan Yahudi perlu meminta maaf kepada rakyat Palestin akibat kezaliman puak Zionisme. Zionis telah berlaku zalim. Mereka menghancurkan rumah-rumah rakyat Palestin dan mencuri tanah milik mereka.

Bahkan, golongan ini tanpa segan silu memperkudakan kitab suci mereka sendiri, Taurat, dengan memutar belitkan ayat-ayat di dalam kitab tersebut. Biarpun mereka tetap mengatakan bahawa Taurat itu sebagai kitab suci mereka, tetapi mereka bersikap melawan segala perintah sebenar dalam kitab tersebut.

Golongan ini hanya mempergunakan taurat sebagai alasan dalam usaha untuk memancing simpati masyarakat Yahudi lain menyokong tindakan mereka

“Kami mengisytiharkan diri kami sebagai pengikut ajaran kitab Taurat yang sebenar. Ajaran Taurat meminta agar kami bersikap ikhlas, adil, baik hati dan lembut sesama manusia,”
“Kami tidak takut untuk menyertai perarakan sebagai protes terhadap tindakan Zionis bersama rakyat palestin. Sudah beratus perarakan telah kami sertai. Malah kehadiran kami disambut mesra oleh kaum Muslimin dan para pemimpinnya,”

“Adalah satu pembohongan besar bagi rakyat Palestin, khususnya kaum Muslimin di seluruh dunia bahawa mereka membenci Yahudi. Mereka sekali-kali tidak membenci Yahudi. Tetapi mereka membenci ketidakadilan, sama seperti kami,” tegas Pendeta Mordechi lagi.

Sebenarnya ramai di kalangan orang-orang Yahudi ortodoks di serata dunia, tidak senang dengan tindakan segelintir golongan Yahudi berfahaman Zionisme , yang kebanyakkannya berkuasa dalam pemerintahan di negara Israel.

Golongan Yahudi ortodoks ini seringkali mengadakan demostrasi dan bersuara lantang, menentang keputusan golongan Zionisme ketika penjajahan Palestin pada tahun 1948, ketika peristiwa Shabra Shatilla, Deir Yasser, Iraq dan Lebanon.

Ramai tokoh agama Yahudi yang lantang mengecam tindakan zalim kelompok Zionis. Selain daripada pendita Mordechi, seorang agamawan Yahudi, Pendita Hirsh turut membantah tindakan Zionis dan berkata, sikap mengamalkan kasta , bersikap zalim dan sombong seperti yang dianjurkan oleh Zionis ini adalah salah dan bertentangan dengan ajaran Nabi Musa
Manakala seorang lagi pendita Yahudi bernama E. Schwartz, seorang ketua sebuah organisasi Yahudi Ortodoks yang berpendirian anti Zionis, turut sependapat dengan Rabbi Hirsh. Kata Rabbi E. Schwartz, menurut ajaran Taurat, umat Yahudi tidak diizinkan untuk menumpahkan darah, mengganggu, menghina atau menjajah bangsa lain.

Seorang lagi Pendita Yahudi bernama Forsythe, mendedahkan, sejak bermula abad ke 19, iaitu pada abad yang sama munculnya fahaman Zionisme, kaum Yahudi semakin jauh meninggalkan agama dan perasaan takut kepada Tuhan mereka.

Akibat itu, kata Pendita Forsythe, kaum Yahudi dihukum disebabkan keingkaran mereka. Pembunuhan besar-besaran kaum Yahudi ketika zaman pemerintahan Hitler, menurutnya adalah balasan Tuhan terhadap golongan itu.

Beritahu Pendita Forsythe lagi, golongan yang ingkar ini digelar sebagai Amalek di dalam kitab Taurat, yang membawa erti golongan yang seringkali melakukan kekejaman dan kerusakan di bumi ini.

Golongan Yahudi anti Zionis ini tanpa ragu-ragu menyeru semua golongan Yahudi yang beriman dan taat pada perintah Taurat, agar tidak takut untuk bersatu menegakkan keadilan. Kejahatan tidak akan bertahan lama kata mereka.

Harapan mereka, agar sejarah kehidupan yang aman dan sejahtera di antara golongan Yahudi, Kristian dan Muslim, di tanah suci itu dapat diulang semula. Seperti mana yang terlukis di dalam sejarah sebelum ini, dibawah pemerintahan Islam, Yahudi, Kristian dan Muslimin, hidup dalam keadaan bersaudara di bumi yang dianggap suci oleh tiga agama samawi.

Tercapai hasrat mereka untuk melihat kedamaian dan ketenangan di bumi Palestin? Hanya masa yang menentukannya.

Sumber : Majalah Mastika

0 comments: