Menurut Syeikhul Islam, Dr. Yusuf al Qardhawi, pada hari ini adalah haram bagi umat Islam atau pergerakan Islam untuk bertelagah tentang perkara-perkara furuk seperti masalah janggut, jubah, hijab, tawfid dan beberapa masalah lain lagi.
Umat Islam hari ini menurut beliau, perlu lebih menumpukan perhatian terhadap masalah-masalah yang lebih besar selain daripada perkara furuk, kerana masalah yang diabaikan itu akan mendatangkan masalah yang lebih besar kepada ummah.
Menurut beliau, pada hari ini persoalan kaum Muslimin bukan terhadap masalah tentang golongan yang membawa Bismillah secara jahar atau perlahan atau yang tidak membacanya dalam solat. Tetapi apa yang lebih penting untuk difikirkan ialah persoalan orang-orang yang tidak pernah rukuk dan sujud sama sekali kepada Allah s.w.t.
Dalam bukunya yang berjudul Fiqh Ikhtilaf, beliau menegaskan bahawa beliau ingin sekali melihat setiap lelaki daripada mukmin untuk memelihara janggut, namun beliau tidak mahu menyibukkan umat dengan masalah ini apatah lagi memfasiqkan orang yang tidak memelihara janggut.
Pada hari ini jelas menurut beliau, sebahagian daripada kelompok aktivis Islam yang lebih tertumpu kepada masalah-masalah khilafiah, sehingga masalah tersebut menjadi lebih penting daripada masalah yang sebenarnya lebih utama dan lebih penting untuk diperbincangkan.
Beliau juga menyeru para da’i Islam yang memiliki kesedaran yang sama untuk menekan dakwah mereka lebih kepada perpaduan dan penyatuan sebelum pergi ke persoalan yang lain. Syiar Islam ini perlu diangkat dengan cara bekerjasama kerana kerjasama itu merupakan kewajipan dan keperluan yang dituntut oleh syarak.
Oleh itu, kata beliau, para da’i dan aktivis khususnya dan masyarakat Islam amnya, tidak boleh untuk menggalakkan orang ramai dengan menimbulkan persoalan kerana masalah juziyah khilafiah.
Ini termasuk meninggalkan perkara-perkara yang tidak ada gunanya untuk dibahaskan seperti mana satu ketika dulu golongan umat Islam bertelagah tentang isu al Quran itu makhluk atau tidak.
Perdebatan ini tidak mendatangkan apa-apa hasil dan keuntungan bagi kaum Muslimin, bahkan mengundang celaka apabila perpecahan berlaku dalam masyarakat Muslim. Persoalan tersebut turut mengheret Imam Ahmad Bin Hanbal ke penjara apabila berbeza pendapat dengan kerajaan Abassiyah yang menganggap Quran itu sebagai makhluk.
Perkara perpecahan akibat pertengkaran mengenai isu yang tidak guna dibahaskan, tidak mustahil untuk berulang kembali sekiranya umat Islam tidak menjadikan sejarah itu sebagai pedoman dan iktibar dalam kehidupan mereka.
Menurut Dr. Yusuf al Qaradhawi lagi, masa dan tenaga yang digunakan untuk pertelingkahan dan pertikaian serta perbezaan pendapat mengenai perkara khilafiah ini sepatutnya adalah lebih baik sekiranya ia dijuruskan kepada perbincangan untuk pembangunan struktur keagamaan dan kerohanian, ilmu pengetahuan dan peradaban.
Ada tujuh masalah umat Islam, menurut beliau yang utama dan perlu diberi perhatian secara serius iaitu :-
Ketinggalan dalam ilmu pengetahuan, teknologi dan peradaban
Ketempangan sistem sosial dan ekonomi
Kediktatoran dalam sistem politik
Pembaratan budaya hidup melalui serangan pemikiran
Permusuhan dan pergerakan Zionisme
Perpecahan dan persengketaan di Dunia Arab dan Islam
Kejatuhan moral
Beliau juga menyeru agar para da’i dan masyarakat Islam berdakwah dengan memberi penekanan kepada tujuh perkara yang pada pendapat beliau perlu diutamakan untuk mencari jalan penyelesaiannya.
Begitu juga dengan penekanan dakwah melalui sudut nilai-nilai iman, mencintai al Quran terutama kepada generasi muda hari ini. Umat Islam kata beliau lagi, perlu membuang jauh perdebatan mengenai falsafah serta ilmu kalam dan juga pengaruh-pengaruh ajaran yang boleh menimbulkan pertentangan dan kebingungan.
Pada hari ini setiap Muslim bertanggungjawab untuk menyampaikan keutamaan mengenai ilmu, iman dan amal kepada generasi tua dan muda. Keutamaan umat Islam hari ini adalah untuk mengusir segala bentuk fitnah dan nista yang dicipta oleh golongan tertentu yang bertentangan dengan nilai-nilai kebaikan dalam Islam.
Selain daripada itu, umat Islam hari ini membuka pintu persepakatan untuk membantu generasi muda Islam hari ini daripada dijangkiti wabak fahaman ateis yang menyerang pemikiran melalui pelbagai sumber yang boleh mengancam dan menghakis akidah umat Islam.
“Umat Islam hari ini perlu memanfaatkan ilmu sains dan teknologi yang menjadikan kita hampir-hampir membuatkan kita melihat Allah s.w.t. secara nyata melalui keindahan dan keagungan ciptaan-Nya.” ujar beliau.
Umat Islam perlu mengetahui mengenai ilmu sains dan teknologi, kerana melaluinya akan terbuka segala tanda-tanda kebesaran dan kekuasaan Allah s.w.t. yang dapat memantapkan lagi keimanan dan prinsip ihsan dalam diri setiap mukmin.
Beliau juga turut menyeru umat Islam agar bekerjasama dalam memelihara akidah dan iman, daripada dipermainkan oleh golongan yang cuba untuk mengubah perkara-perkara yang qath’i (tetap) kepada perkara zhanni (samar). Begitu juga ketika berhadapan dengan golongan yang cuba menjadikan perkara yang muhkamat kepada perkara musyabihat
BERSIKAP TOLENRASI DEMI PERPADUAN
Apa yang penting menurut beliau, umat Islam perlu mengamalkan sikap toleransi terutama dalam hal-hal yang melibatkan perbezaan dan perselisihan pendapat.
Katanya lagi, ulama Rasyid Reza telah meninggalkan cara yang paling berkesan dalam menjaga persepakatan dan perpaduan di antara masyarakat Muslim iaitu dengan bekerjasama dalam masalah yang disepakati dan bertoleransi dalam masalah-masalah yang diperselisihkan.
Sikap Imam Hassan Al Banna dalam perbezaan pendapat begitu selari dengan kaedah yang dihasilkan oleh ulama Rashid Reza. Beliau sentiasa berpegang teguh kepada nasihat tersebut baik dari segi pemikirannya dan juga amal.
Sikap toleransi dan terbuka dalam menerima perbezaan pendapat perlu diamalkan oleh umat Islam hari ini demi untuk mengukuhkan perpaduan di kalangan masyarakat Islam itu sendiri. Sikap jumud dan taksub tidak akan membawa apa-apa kebaikan bahkan kelak akan menimbulkan bencana umum yang lebih besar lagi terhadap umat Islam.
Di dalam Islam, umumnya mengetahui bahawa perpecahan itu tidak boleh dianggap sebagai satu perkara biasa. Banyak nas-nas Quran dan juga hadis yang menegah dan melarang umat Islam daripada berpecah belah dan bersikap menjurus ke arah perpecahan.
Islam jelas sangat membenci perpecahan dan ini jelas dalam satu hadis riwayat Bukhari dan Muslim daripada Jundab Abdullah yang bermaksud : “Bacalah al Quran selama bacaan itu dapat menyatukan hati kamu, tetapi jika berselisih, maka hentikanlah bacaan itu”
Jika terjadi sebarang perselisihan dan perbalahan yang akan menyebabkan perpecahan, maka hendaklah bacaan tersebut ditinggalkan dan berpegang teguh kepada muhkam yang membawa kepada perpaduan.
Hal ini ditegaskan dalam sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud : Jika kamu melihat orang-orang yang mengikuti perkara yang mutasyabih daripada al Quran, maka hendaklah kamu waspada terhadap mereka”
Perintah Rasulullah s.a.w. agar menghentikan bacaan al Quran sekiranya ia boleh menimbulkan perselisihan itu sudah cukup untuk menggambarkan betapa pentingnya perpaduan itu dijaga.
Di dalam al Quran, banyak ayat yang menekankan perpaduan dan mengingatkan umat Islam agar tidak berselisih dan bercerai berai dalam soal agama seperti mana golongan Yahudi dan Nasrani.
Seperti mana Firman Allah s.w.t. dalam surah Ali Iran ayat 105 yang bermaksud :
“Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah bercerai berai dan berselisih (dalam agama mereka) sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang jelas nyata ( yang dibawa oleh Nabi-Nabi Allah ) dan mereka yang bersifat demikian akan beroleh azab seksa yang besar,”
Begitu juga dalam surah al Anfal ayat 46 di mana Allah s.w.t. melarangkan agar umat Islam berbantah-bantahan dalam mentaati Allah dan Rasul.
Maksudnya : “Dan taatilah kamu kepada kepada Allah dan Rasul-Nya, dan janganlah kamu berbantah-bantahan; kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kami, dan sabarlah (menghadapi kesukaran dengan cekal hati);sesungguhnya Allah berserta dengan orang-orang yang sabar,”
Begitu juga sikap-sikap yang menjurus kepada masalah perpecahan seperti adu domba, dengki khianat dan sebagainya. Ini adalah sikap yang ditiup oleh syaitan dalam usaha iblis untuk menghancur dan memecah belahkan umat Islam agar menjadi lemah dan hina.
Dalam satu riwayat Muslim, sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud :
“Sesungguhnya syaitan telah berputus asa daripada menjadikan dirinya sebagai sembahan bagi orang-orang yang solatnya di jazirah Arab, tetapi tidak pernah putus asa dalam menimbulkan permusuhan sesama mereka”
Kata beliau lagi, hari ini golongan bukan Islam, sedang bersepakat dan cuba untuk menjalinkan kerjasama di antara mereka, seperti golongan Kristian, bangsa Eropah dan sebagainya.
Sedangkan umat Islam hari ini pula dalam keadaan lemah dan berpecah belah. Ilmu tidak lagi menjadi keutamaan umat Islam sehinggakan umat Islam hari ini sanggup berbunuhan demi hanya kerana perselisihan pendapat.
Oleh itu kata beliau, adalah haram bagi umat Islam pada hari ini, bertelagah dan berbeza pendapat dalam perkara furuk, sehingga akhirnya merobek dan memecah belahkan kesatuan umat Islam.
0 comments:
Catat Ulasan