Isnin, 10 September 2007

UMAT ISLAM TANPA DISEDARI JADI AGEN FITNAH BARAT TERHADAP AGAMA ALLAH


Runtuhnya World Trade Center (WTC), menara yang dianggap sebagai lambang kemegahan Amerika Syarikat (AS) pada 11 September 2001 lalu, membuatkan Islam mula menjadi sebutan masyarakat dunia. Peristiwa tersebut juga menandakan bermulanya era mengaitkan Islam dengan keganasan.


Dan kronologinya selepas itu, Islam mula diserang. Bukan sekadar serangan pemikiran dan penyebaran propaganda memburukkan Islam, bahkan barat dan sekutunya bertindak lebih berani dengan mengambil tindakan ketenteraan terhadap beberapa buah negara Islam seperti di Iraq dan Afghanistan.


Semenjak itu, setiap kali berlakunya letupan-letupan bom, Islam pasti dikaitkan. Secara terbuka atau tdak, media-media barat bagaikan dengan sengaja mengaitkan komuniti Muslim dengan agenda keganasan. Umat Islam mula dikatakan sebagai penganut agama yang membawa ideologi terorrist.


Umat Islam diserata dunia mula merasa bahang akibat fitnah yang berselirat ini. Sedikit demi sedikit, negara-negara yang mengamalkan pemerintahan sekular, seperti Perancis dan German, mula mengenakan beberapa peraturan terhadap umat Islam, seumpama mengharamkan pemakaian hijab yang dikatakan sebagai lambang atau identiti Islam.


Susulan daripada itu, wujudlah istilah yang dikenali sebagai Islamphobia, sebagai satu gambaran ketakutan masyarakat non Muslim terhadap Islam. Beberapa buah buku, seperti Muhammad The Prophet Of Doom, The False Of The Prophet dan beberapa buah buku lagi, dikarang oleh penulis upahan Barat untuk memburukkan lagi ajaran Nabi Muhammad s.a.w di kaca mata masyarakat non Muslim.


Ternyata penganut agama Islam tidak selesa dengan kekalutan fitnah yang melanda pada hari ini. Fitnah yang disebarkan kepada dunia melalui kecanggihan multimedia, akhirnya memberikan impak yang besar terhadap ajaran dan komuniti Islam, terutama bagi golongan minoriti di beberapa buah negara tertentu.


Baru-baru ini, akhbar Denmark, Jillyand Post, berjaya mencuit perasaan umat Islam. Jutaan umat Islam berdemonstrasi membantah karikatur Nabi Muhammad s.a.w. yang disiarkan oleh akhbar berkenaan. Bermula dengan demostrasi, akhirnya timbul kekacauan, kemusnahan dan kehilangan jiwa, akibat peristiwa itu.


Persoalannya, mengapakah umat Islam begitu marah sekali, apabila gambar karikatur tersebut disiarkan? Itu bukanlah gambaran sebenar Nabi Muhammad s.a.w.. Itu hanya satu ilusi murahan pelukis yang separuh masak dan tidak sensitif dalam menjaga perasaan orang lain.

Mengapa umat Islam perlu mengamuk sehingga hilang pertimbangan dan rasional, semata-mata dengan lukisan yang tidak bernilai itu? Jika alasannya ialah marah kerana agama, mengapa ketika tentera AS menghumban al Quran ke lubang tandas dan memijak-mijak al Quran, umat Islam tidak membantah sehebat bantahan terhadap karikatur tersebut?
Hari ini, kebanyakan umat Islam menyalahkan golongan barat, sebagai golongan yang bertanggungjawab menyebarkan fitnah terhadap Islam.


Boleh dikatakan ramai dari umat Islam beranggapan, bahawa barat sengaja mewujudkan fitnah sebagai agenda untuk membenamkan Islam, agar tidak lagi mampu bangkit sebagai satu kuasa, biarpun mempunyai jumlah penganut yang begitu ramai.


Perlu direnung kembali, apakah fitnah tersebut muncul, hanya semata-mata berpunca dari perbuatan golongan yang memusuhi Islam sahaja? Tidakkah perbuatan sesetengah dari kalangan umat Islam, yang mengambil langkah extreme dan radikal, seperti mengebom tempat-tempat awam,sebenarnya menjadi sumber fitnah yang lebih merbahaya terhadap Islam?


Begitu juga dengan sikap dan gaya kehidupan yang diamalkan oleh masyarakat Islam. Budaya berpecah belah, berselisihan faham, serta tidak ada tolak ansur yang ditonjolkan, menjadi punca mengapa ajaran Islam dianggap serong.


Jelas, ajaran Islam amat melarang tegas perbuatan berpecah belah dan taksub terhadap pendapat atau jemaah tertentu? Bahkan Nabi Muhammad s.a.w. pernah bersabda, bukan dari golongan baginda mereka yang suka berpecah belah dan bersikap assobiyah.


Tetapi hari ini, umat Islam muncul dalam pelbagai kelompok. Masing-masing mendakwa merekalah yang membawa ajaran Islam yang sebenar dan memandang orang lain sebagai salah belaka.


Sikap inilah yang menjadi punca umat Islam berpecah belah, sehingga jumlah penganut Islam yang mencecah lebih dua bilion, tetapi tidak punya kuasa dan pengaruh, malah tidak mampu untuk membantu saudara sendiri!


Umat Islam hari ini bagaikan rela hidup mereka dibelenggu dengan sikap negatif. Tidakkah umat Islam menyedari, segala akhlak, pemikiran dan perlakuan mereka itu menjadi contoh kepada masyarakat non muslim? Tanpa disedari, umat Islam telah memperlihatkan sikap negatif kepada non muslim dan akhirnya menghasilkan satu rumusan rambang yang kurang baik oleh non Muslim terhadap ajaran Islam.


Dalam keasyikan menyalahkan golongan Barat yang dikatakan memusuhi dan memfitnah Islam, masyarakat Muslim sebenarnya terlupa untuk melihat kepada kelemahan dan kekurangan diri sendiri terlebih dulu.


Umat Islam seharusnya merenung terhadap kekurangan dan kelemahan yang kini menjadi imej umat Islam. Lihat saja hari ini, di kebanyakan negara Islam, dapat dilihat kekurangan dan kepincangan, baik dari sudut akhlak, pengamalan agama dan juga ekonomi.


Islam sebenarnya berkembang atas sifat sabar dan kasih sayang seorang Nabi. Sabar dan berkasih sayang sesama insan, menjadi akhlak utama yang ditonjolkan oleh Rasulullah s.a.w. Akhlak sebegini kemudiannya menjadi ikutan oleh para sahabat.


Dalam perjalanan dakwah Rasulullah s.a.w. apa situasi yang tidak pernah dihadapinya? Banyak sungguh peristiwa yang menguji kesabaran seorang manusia berlaku dalam kehidupan baginda.
Contohnya, peristiwa Rasulullah s.a.w di baling dengan batu oleh penduduk di Taif sehingga darah bertakung di sandal baginda. Kisah ini cukup mengharukan. Kesabaran baginda memaafkan penduduk Taif biarpun Malaikat jibril menawarkan untuk membinasakan kaum di situ, cukup menyentuh hati.


Rasulullah s.a.w. sentiasa bersikap sabar, tenang dan bijaksana dalam menangani sesuatu keadaan. Sikap baginda adalah contoh terbaik bagi umat Islam hari ini. Jika dilihat dari sudut permasalahan yang melanda umat Islam pada hari ini, bagaikan ada persamaannya dengan situasi yang pernah di hadapi oleh baginda s.a.w.


Dalam keadaan hari ini, apa yang penting ialah mengembalikan rasa persaudaraan, persefahaman dan perpaduan sesama umat Islam. Usaha untuk menjadi umat yang terbilang dan cemerlang, tidak boleh dilakukan berseorangan. Setiap dari umat Islam perlu memberi komitmen dan bertanggungjawab untuk berusaha serta berhijrah dari segi pemikiran dan akhlak.


Umat Islam tidak perlu membuang masa menyalahkan orang lain, mahupun bergantung pada orang lain. Umat Islam sebenarnya perlu berdikari, terutama bagi generasi muda hari ini agar dapat melahirkan generasi Islam yang berhemah tinggi.


Penyerahan diri mutlak di atas usaha yang dilakukan kepada Tuhan, adalah kunci kepada kesabaran dan kejayaan. Kejayaan adalah anugerah Allah kepada manusia. Kemampuan manusia hanyalah pada kudrat dan usaha yang diberikan Allah s.w.t. kepada kita.


Semangat cintakan ilmu, perpaduan dan kemakmuran hidup, baik di dunia dan akhirat serta menjadi golongan contoh kepada kaum yang lain, perlu diwar-warkan kepada umat Islam.
Itulah sebenarnya tuntutan agama.


Itulah matlamat yang perlu disatukan dalam setiap pemikiran umat Islam. Itulah contoh yang ditonjolkan oleh para Nabi, sahabat dan pemikir Islam sebelum ini. Sikap inilah sebenarnya yang membuatkan mereka menjadi insan yang cemerlang, gemilang dan terbilang.

0 comments: