Selasa, 4 September 2007

Laksana seruan jihad dalam pelbagai bidang-JANGAN SEMPITKAN MAKSUD JIHAD


Di dalam Islam, istilah jihad memainkan peranan yang besar dalam membangkitkan semangat umat Islam. Pada hari ini, dapat disaksikan bahawa orang-orang bukan Islam, terutama di Eropah dan Barat, begitu fobia apabila mendengar perkataan Jihad.

Kejadian bom yang meletus di sana sini, seringkali dikaitkan dengan aktiviti jihad. Pada pandangan umum, terutama masyarakat dunia yang kurang arif tentang Islam, memandang perkataan jihad itu adalah khusus hanya untuk peperangan.

Tidak hairanlah sekiranya mereka berpandangan sebegitu kerana mereka bukan Islam. Tetapi agak malang apabila ada umat Islam sendiri yang menyempitkan maksud jihad itu hanya kepada melawan nafsu dan berperang.

Rata-rata umat Islam menganggap jihad hanya perlu diserukan ketika Islam diserang secara fizikal dan melalui ketenteraan. Perkataan jihad sehingga hari ini menjadi begitu sensitif dan sering kali dikaitkan dengan keganasan.

Sememangnya berjihad di jalan Allah adalah perintah yang diturunkan-Nya melalui al Quran. Antara firman Allah yang memerintahkan manusia agar berjihad seperti di dalam surah al-Maidah ayat 53 yang bermaksud :

Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kepada Allah dan carilah yang boleh menyampaikan kepada-Nya (dengan mematuhi perintah-Nya dan meninggalkan larangan-Nya); dan berjuanglah pada jalan Allah (untuk menegakkan Islam) supaya kamu beroleh kejayaan.

Dalam surah Ali Iran ayat 200, Allah s.w.t telah mengaitkan jihad dengan ketakwaan, kebajikan serta pertahanan negara yang bermaksud :

Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan) dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan) dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertakwalah kamu kepada Allah supaya kamu berjaya (mencapai kemenangan)

Ayat bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertakwalah kamu kepada Allah supaya kamu berjaya (mencapai kemenangan) ini jelas memerintahkan agar kaum Muslimin bersedia dengan kekuatan pertahanan untuk menegakkan agama Allah dan dalam membuat kebajikan.

Apabila dikatakan agar bersedia, ia bermaksud bahawa umat Islam perlu melengkapkan diri bukan hanya dengan senjata dan alatan perang, tetapi dengan ilmu yang boleh menghasilkan satu kekuatan termasuk persenjataan yang boleh mendatangkan asbab kekuatan kepada umat Islam.

Perintah jihad itu jelas tersebut di dalam al Quran sebagai satu perintah yang qat’I dan tidak perlu diperbahaskan lagi. Jihad adalah fardu bagi setiap muslim untuk melaksanakannya.
Namun apa yang penting pada hari ini ialah pemahaman bahawa perkataan jihad itu bukan hanya khusus untuk peperangan sahaja, tetapi turut merangkumi selain daripada untuk berperang.

Berjihad untuk menegakkan agama Allah mempunyai maksud yang luas. Ini termasuk bidang ekonomi, ilmu, penciptaan, teknologi dan sebagainya.

Perlu diingatkan, bahawa pada hari ini, menegakkan agama Allah bukanlah hanya melalui jalan peperangan. Umat Islam kini perlu berjihad bagi menghapuskan kejahilan, kemiskinan serta perpaduan yang menjadi punca umat Islam lemah dan berpecah belah.

Sememangnya, kini umat Islam di seluruh dunia diancam dengan bahaya lemahnya iman, krisis sosial, pemikiran serta bermacam-macam lagi yang akhirnya membuatkan kita menjadi lemah dan diperkotak-katikkan.

Krisis dalaman berpunca daripada faktor-faktor di atas merupakan faktor utama yang menyebabkan kelemahan umat Islam hari ini. Akibatnya kini, bukan sahaja negara Islam tertinggal jauh dari sudut duniwai, malah dari sudut ukhrawi juga begitu menyebabkan negara-negara Barat dengan mudah memperbodoh-bodohkan umat Islam demi untuk melaksanakan agenda Yahudi dan perluasan cengkaman mereka (Yahudi dan Barat) terhadap negara Islam, seperti mana yang kita lihat hari ini.

0 comments: