DUNIA ISLAM

Tunjuk Perasaan Berlaku Hampir Di Seluruh Negara Umat Islam Hari Ini.

KAABAH

Kota Kelahiran Baginda Nabi Muhammad SAW.

TEKNOLOGI ILMU DAN NIKMAT DARI ALLAH

Teknologi Seumpama Pisau.Memberi Manfaat Jika Digunakan Untuk Kebaikan. Mudarat Jika Digunakan Untuk Jalan Kebatilan.

IQRA

Bacalah, Dengan Nama Tuhanmu Yang Menjadikan Kamu Dari Segumpal Darah...

TAURAT-INJIL-AL QURAN

Taurat dan Injil Disempurnakan Dengan Turunnya Al Quran.

Isnin, 9 April 2007

WARTAWAN ISLAM PERLU JADI SUARA KEBANGKITAN UMMAH

Dunia kewartawanan adalah dunia perjuangan.Mahu tidak mahu, pembabitan wartawan dalam agenda negara mahupun dunia, adalah sesuatu yang tidak dapat ditolak. Seorang wartawan, yang benar-benar menjiwai kerjayanya, serta mempunyai jati diri yang kuat, pasti akan menjadikan tulisannya itu sebagai pedang bagi satu perjuangan.

Sedar atau tidak, itu adalah peribadi seorang penulis atau wartawann. Seseorang wartawan itu bisa mengubah kalamnya, daripada selembut lidah menjadi setajam pedang. Bisa melukakan sesiapa saja, berpangkat ataupun tidak, Raja atau Sultan, Pembesar mahupun pemerintah.

Lihat sahaja sejarah dalam usaha pembetukan negara Israel. Seorang wartawan Israel bernama Theodor Haerzl, adalah insan yang bertanggungjawab untuk membangkitkan semangat kaum Yahudi mencapai satu matlamat iaitu membentuk sebuah negara sendiri.
Beliau berjaya mencetuskan kebangkitan kaum Yahudi melalui penulisannya, yang menyebabkan wujudnya negara Israel seperti yang ada pada hari ini.

Keberkesanan mata pena, sememangnya sesuatu yang tidak boleh dipandang remeh. Tidak hairanlah, ramai cendekiawan, pemikir dan ulama dalam Islam yang menggunakan bidang penulisan sebagai satu cabang dakwah mereka.

Nama seperti Rasyid Rida, Muhammad Abduh, adalah antara tokoh pemikir Islam yang terlibat dalam dunia penulisan dan kewartawanan sebagai jalan untuk kesimbungan dakwah Islam yang lebih berkesan.

Ulama di Malaysia, termasuk tokoh ulama, Tok Kenali berpendapat, bahawa bidang penulisan dan media, perlu dimanfaatkan dengan sebaik mungkin oleh umat Islam. Ini adalah demi kebaikan dan penyaduran maklumat yang berguna kepada umat Islam. Tok Kenali juga terlibat dalam dunia penulisan dan kewartawanan apabila beliau sendiri menjadi ketua pengarang untuk majalah Pengasuh.

Seseorang wartawan tidak perlu menggunakan senjata seperti parang, senapang dan sebagainya untuk menyampaikan maksud perjuangan, tetapi hanya dengan goresan pena, ataupun ketukan mesin taip yang mengalunkan ritma-ritma suara kebebasan, sudah memadai.
Biarpun tidak bersenjata, namun adakalanya wartawan terpaksa menghadapi masalah-masalah yang beratnya hampir sama dengan perjuangan yang mengangkat senjata. Berdasarkan sejarah kewartawanan, hakikat ini tidak dapat dinafikan.

PERJUANGAN WARTAWAN MELAYU SEBELUM MERDEKA

Kita susur sejarah perjuangan wartawan Melayu tanahair secara ringkas. Apabila menyoroti sejarah hidup tokoh wartawan seperti Tan Sri Samad Ismail, Rahim Kajai, Burhanuddin Helmi,Said Zahari dan ramai lagi, jelas ketika itu, wartawan harus membayar harga perjuangan mereka melalui penulisan dengan nilai yang tinggi.

Contohnya, seperti Tan Sri Samad Ismail, bukan sekali, bukan dua, tetapi sebanyak tiga kali beliau disumbatkan ke dalam penjara, lantaran ketajaman mata pena yang ditarikan beliau.
Mengapa dipenjara? Beliau tidak menggunakan kekerasan. Jauh sekali senjata api atau bom, seperti mana hari ini. Hanya sebuah mesin taip buruk, serta ilham perjuangan yang datang dari Tuhan, itu sudah cukup untuk menggoncangkan hati dunia.

Namun itulah penangan seorang wartawan. Tulisannya bukan sekadar huruf, tetapi ia hadir bersama-sama dengan semangat jati diri bangsa yang tumbuh mekar dalam taman pemikiran dan hati. Datang bersama hunusan pedang yang tidak terlihat, tetapi bisa untuk merobek dan melukakan jiwa dan hati manusia.

Jika mahu dibandingkan suasana bekerja wartawan dahulu dan sekarang, boleh dikatakan jauh panggang dari api. Itulah pepatah yang dirasakan sesuai untuk mengungkapkan beza perjalanan wartawan dulu dan masa kini.

Wartawan dulu bukan sekadar bertemankan mesin taip, tetapi turut bertemankan cemuhan, ugutan dan gertakan. Penuh cabaran dan dugaan. Apatah lagi hidup dalam zaman perjuangan. Segalanya ketika itu hanya dibayar dengan hanya nilai setitis air mata.

Perjuangan wartawan hari ini, mungkin tidak lagi bermandi air mata atau darah, tetapi cabarannya lebih hebat jika dibandingkan dengan perjuangan wartawan sebelum ini. Hari ini, golongan wartawan tidak lagi berjuang untuk kemerdekaan fizikal, tetapi perjuangan kali ini ialah untuk memecahkan belenggu pemikiran yang masih terjajah.

Hakikatnya, hari ini bangsa Melayu sudah tidak terjajah fizikalnya, namun mentalitinya masih serabut dengan tinggalan saki baki pemikiran barat. Dan menjadi salah satu tanggungjawab golongan wartawan Melayu adalah untuk membina pemikiran dan menyadurkan maklumat yang boleh meleraikan belenggu pemikiran jumud yang menghantui umat Melayu hari ini.

WARTAWAN MELAYU DAN TANGGUNGJAWAB DAKWAH ISLAMIYAH

Wartawan juga boleh dianggap berkhidmat untuk masyarakat. Berita dan maklumat yang disebarkan mencerminkan fikiran masyarakat. Mahu tidak mahu, suka atau tidak, Wartawan perlu menerima hakikat bahawa mereka adalah pengantara bagi masyarakat untuk meluahkan perasaan suka dan duka, marah dan kecewa, terhadap apa jua isu atau permasalahan yang melanda.

Sebenarnya, wartawan memikul tanggungjawab sosial yang begitu berat. Ini disebabkan, sesuatu maklumat atau tulisan yang disampaikan kepada masyarakat itu mampu mencorak fikiran masyarakat sama ada ke arah pemikiran memihak, tidak memihak atau berkecuali iaitu membentuk sama ada 'fikiran positif atau negatif'.

Malah perlu diingatkan, bahawa tanggungjawab sebagai seorang Muslim terhadap perintah amar makruf nahi mungkar, adalah lebih besar kerana golongan ini mempunyai medan suara yang luas pengaruhnya, iaitu media.

Abad 21 menyaksikan perkembangan teknologi maklumat yang begitu sofistikated dan mudah. Hari ini, maklumat hanya berada di hujung jari. Baik dirumah, di tempat kerja, atau di mana saja, teknologi yang dibina memudahkan manusia mendapatkan input-input maklumat yang berguna.

Bagaimanapun, perkembangan teknologi terkini muncul seiring dengan kebaikan, sekaligus tidak mencicirkan keburukan untuk dibawa bersama. Ini adalah sesuatu yang lumrah, dan sering terjadi kepada negara-negara yang menuju modenisasi dan yang telah sedia moden.

Apa yang lebih menyedihkan, banyak berlaku peristiwa jenayah seperti rogol, berpunca daripada kemudahan teknologi yang ada pada hari ini. Teknologi yang sepatutnya membawa kebaikan kepada umat manusia, boleh bertukar menjadi penghancur kepada kehidupan sosial manusia, sekiranya langkah berhati-hati serta membendung gejala negatif akibat pengaruh teknologi tidak dilaksanakan.

Satu persoalan, tanggungjawab siapakah untuk memberi penerangan terhadap masyarakat, akan virus yang sedang menular di kalangan anak-anak Melayu hari ini? Golongan wartawan dan penulis, adalah mereka yang paling dekat dengan segala kemudahan komunikasi ini. Persoalannya, adakah para wartawan, atau penulis pada hari ini memanfaatkan sepenuhnya segala kemudahan teknologi komunikasi hari ini, demi kebaikan agama, bangsa dan negara?

Dalam hal ini, seorang tokoh wartawan Melayu, Said Zahari, berkomentar mengenai dunia kewartawanan pada hari ini. Mungkin apa yang beliau katakan itu, tidaklah menggambarkan keseluruhannya, tetapi ia adalah imej rambang terhadap dunia kewartawanan hari ini daripada skop pemerhatian 'orang lama'.

Antara kata-kata beliau dalam satu wawancara majalah Dewan Masyarakat : “ Inilah bezanya wartawan dahulu dengan wartawan sekarang. Wartawan sekarang sudah tidak lagi memikul tanggungjawab yang sebenarnya. “Tak payah susah-susahlah, janji tiap-tiap bulan gaji masuk dlm bank,”

Secara rasional, memang ada benarnya kenyataan orang lama itu. Dan hari ini, salah satu perkara yang menghantui wartawan Melayu adalah glamour. Baik dari sudut populariti diri, atau penulisan yang bernawaitu kepentingan diri, tanpa menghiraukan akibat pada komuniti pembaca.

Hakikatnya, dunia kewartawan Melayu hari ini kekurangan penulis dan wartawan yang benar-benar sayangkan agama dan bangsanya, seperti golongan wartawan Melayu yang wujud ketika zaman perjuangan dulu.

Mungkin hari ini, para wartawan Melayu menganggap bahawa perjuangan sudah tamat, tidak ada apa yang hendak diperjuangkan lagi. Cara berfikir sebegitu adalah silap, kerana zaman selepas merdeka inilah sebenarnya, bermula satu zaman perjuangan yang lebih mencabar bagi wartawan Melayu Islam.

ULAMA MELAYU PERLU TURUN PADANG

Mengimbas kembali sejarah silam, Tanah Melayu mempunyai ramai ulama berwibawa dan memainkan peranan penting dalam mendidik masyarakat dengan panduan dan nilai-nilai Islam.

Ramai ulama Tanah Melayu menjadi tersohor di serata nusantara, bahkan terkenal di luar negara. Malah ada ulama Melayu yang tinggal di Mekah dan mengajar ilmu Islam di sana hampir berpuluh tahun lamanya.

Perjalanan dakwah para ulama silam, sekiranya hendak dinilai pada hari ini adalah sama sukarnya. Mungkin ulama silam lebih menghadapi kesukaran dalam menyampaikan dakwah mereka kepada orang ramai, ekoran kurangnya kemudahan asas yang ada pada masa itu.

Biarpun menghadapi pelbagai kesukaran namun, dakwah golongan ulama ini tetap berjalan dan berjaya mempengaruhi pemikiran masyarakat Islam yang lalai serta yang bukan Islam untuk kembali kepada Islam.

Malah ada ulama Melayu silam yang turut berdakwah di kalangan komuniti ‘gengster’ yang akhirnya menjadikan penyebab hidayah terbukanya hati beberapa orang dari golongan tersebut, untuk kembali kepada jalan agama.

Kita tinggalkan sejarah silam dan kembali kepada peranan ulama pada hari ini. Hakikatnya hari ini, perlakuan maksiat yang berlaku di dalam masyarakat hari ini lebih hebat, apatah lagi dengan bantuan sains dan teknologi.

Sedar atau tidak, golongan remaja hari ini, boleh bermaksiat di mana-mana sahaja. Kini dengan kecanggihan telefon bimbit, remaja boleh membawa dan menonton bahan-bahan lucah ke mana sahaja melalui telefon bimbit mereka.

Dalam kemelut kemaksiatan dan krisis identiti remaja Melayu Islam hari ini semakin menebal, golongan ulama pula dilihat hari ini semakin luntur semangat perjuangan dakwah mereka. Apakah golongan ini sudah kecewa, malas atau lebih memikirkan kesenangan kehidupan di samping bilik pejabat berhawa dingin serta kerusi ‘pusing-pusing’ yang berbantal empuk?

Mereka yang bergelar ulama di Malaysia hari ini (bukan semua), dilihat daripada mata kasar, tidak lagi memainkan peranan sebagai seorang ulama yang sebenarnya. Jurang antara ulama dan masyarakat awam juga terlalu jauh sehingga orang awam sukar untuk mencapai ilmu yang diberikan Allah s.w.t. kepada golongan ini.

Jika dilihat daripada riwayat-riwayat para ulama terdahulu, mereka tidak pernah membatasi dakwah mereka hanya melalui cara tertentu. Sekiranya berpeluang dan mampu, ulama akan menerobos masuk ke segenap penjuru demi untuk menyampaikan dakwah Islamiah kepada masyarakat umum.

Jika kita melihat pada sejarah Kesultanan Melayu pula, ternyata golongan ulama diberikan peranan besar dalam urusan pentadbiran negeri. Sebagai contoh dalam sistem pentadbiran Sultan Terengganu ke 3, Sultan Zainal Abidin telah melantik ulama besar Tokku Paloh, sebagai wakilnya dalam perundingan dengan penjajah British, ketika British cuba menakluk Terengganu pada ketika.

Pelantikan Tokku Paloh itu cukup untuk membuktikan bahawa golongan ulama adalah insan atau individu yang paling dipercayai dan amanah, untuk diserahkan segala urusan pentadbiran kerajaan negeri. Pastinya dalam hal ini, keikhlasan dan kredibiliti seseorang ulama itu akan menjadi ukuran untuk lantikan tersebut.

Bagaimanapun hari ini, dapat dilihat kredibiliti ulama mula dipertikaikan. Malah, penglibatan ulama dan cerdik pandai Islam dalam bidang politik hari ini, ada kalanya menjadi asbab untuk menimbulkan fitnah besar di kalangan masyarakat awam.

Golongan ulama juga dilihat bersikap pasif dalam usaha untuk memulihkan kekuatan ummah Islam yang sedang lemah. Jarang sekali kedengaran suara mufti dan ulama dalam membangkitkan kembali semangat umat Islam di negara ini.

Tidakkah golongan ini sedar, bahawa komuniti Islam hari ini dilanda dengan pelbagai masalah yang kronik? Isu kefahaman agama, ekonomi, sosial, tercicir dalam pelajaran dan sebagainya, kini menjadi penghalang umat Islam untuk muncul sebagai ummah yang terbilang.

Apakah mencukupi, dengan muncul sesekali di kaca tv, atau berceramah di masjid-masjid dengan topik yang diulang-ulang, yang akhirnya berlalu tanpa sebarang kesan? Apakah sekadar itu cukup untuk menampung kegersangan ‘agama’ yang kini semakin tandus di dalam hati anak Melayu hari ini.

Para ulama perlu sedar, mereka mempunyai tanggungjawab yang besar dalam mendidik serta mengembalikan kredibiliti ummah terutama dalam situasi seperti yang berlaku seperti hari ini.
Mungkin benar, ulama hari ini menghadapi pelbagai cabaran besar dalam menyampaikan dakwah mereka. Tetapi itu tidak boleh dijadikan alasan untuk terus tidak berbuat apa-apa.

Para ulama dan cendekiawan Islam perlu berusaha setakat mana yang mampu untuk melakukan sesuatu, dan bukannya hanya memberi kenyataan apabila ditanya oleh para wartawan sahaja.

Ulama dan cerdik pandai Islam perlu turun padang. Lihat dengan mata kepala sendiri, bagaimana kehidupan di kota Kuala Lumpur membuatkan ramai dikalangan umat Islam, terutama remaja yang kini hilang pedoman dan arah tujuan dalam hidup.

Ulama, satu ketika dulu, begitu berpengaruh di kalangan masyarakat Melayu. Kewibawaan mereka, keterbukaan pemikiran serta akhlak yang mulia menyebabkan ulama dahulu di pandang mulia, bahkan diberikan kedudukan istimewa oleh pembesar lantaran karamah dan kemuliaan peribadinya. Mudah-mudahan, warisan akhlak dan semangat perjuangan ulama dulu dalam menegakkan daulah Islamiyah di hati umat Islam, khususnya bangsa Melayu, akan terus berkesinambungan.

Sabtu, 7 April 2007

PERPADUAN DI BAWAH SATU PANJI DAN KALIMAH

Sejak kejatuhan Khalifah Uthmaniah, sehingga kini, sudah hampir 82 tahun, umat Islam kehilangan arah. Bagaikan hilang tempat berpaut, begitulah ungkapan yang sesuai untuk digambarkan keadaan umat Islam selepas keruntuhan system kekhalifahan terakhir umat Islam, sejak dari zaman Rasulullah s.a.w.

Kecelaruan dan huru hara dalam dunia Islam bertambah jelas, pabila pada tahun 1948, Baitul Maqdis berjaya di tawan oleh rejim Zionis. Kejatuhan Palestin itu sebagai satu tanda besar, betapa gentingnya situasi umat Islam dari sudut kekuatan dan kesatuan matlamat pada hari ini.

Kejatuhan baitul Maqdis, sebenarnya adalah simbolik kepada kekalahan umat Islam. Jika dulu, kaum Kristian terpaksa berputih mata, apabila Sultan Salahuddin al Ayubi berjaya menawan kembali Baitul Maqdis, tapi kali ini, giliran umat Islam pula berputih mata lantaran kegagalan mempertahankan Baitul Maqdis daripada dirampas kembali oleh Yahudi dan Nasrani.

Mungkin ramai yang tidak tahu, ketika tentera rejim Zionis berjaya menawan Baitul Maqdis, mereka menari-nari di sekelilingnya. Mereka menari sambil menyanyikan lagu, “Agama Muhammad sudah mati. Tentera Muhammad sudah tiada. Umat Islam sudah tidak ada laki-laki yang berani mempertahankan masjid mereka. Agama Muhammad sudah mati,”.

Itulah yang didendangkan oleh golongan itu, sebaik Al Aqsa berada dalam genggaman mereka. Itulah yang dijerit-jeritkan oleh mereka kepada umat Islam yang di anggap bacul, kerana tidak mampu lagi mempertahankan hak mereka.

Tapi, salahkah golongan Yahudi mengambil kesempatan? Salah mereka bertindak sedemikian kerana keadaan umat Islam yang daif dan lemah pada zaman ini. Jika lemah dari segi ekonomi sahaja, itu tidak mengapa. Tetapi amat malang lagi adalah lemah iman, yang menjadi punca kepada apa jua kejayaan dan kebaikan dalam kehidupan di dunia ini!

Umat Islam perlu berhenti menyalahkan Yahudi sepanjang hidup mereka. Umat Islam hari ini, tidak boleh lagi hanya membantah melalui demostrasi, seminar, kertas kerja, berbual sambil makan-makan (meeting) dan perkara yang seumpamanya.

Umat Islam perlu berhenti daripada bergaduh tentang kereta Mercedes compressor, sembahyang imam kerajaan atau imam parti politik, atau Hizbullah itu Syiah, ataupun bermusuhan dengan perbezaan pendapat seperti wujudnya azab kubur atau tidak, dan sebagainya.

Sikap suka menyalahkan orang lain, mempertikaikan orang lain, atau berbalah mengenai hal-hal syariat, tidak akan mendatangkan apa-apa kebaikan melainkan bakal mengundang perpecahan yang lebih parah.

Umat Islam perlu melihat dari akar umbi. Mengapa umat Islam kini berpecah belah? Bermusuh, malah ada yang bersikap asyhobiah. Kita saling tuduh menuduh antara satu sama lain bersikap asyhobiah, sedang tanpa disedari, masing-masing mengamalkan sikap asyhobiah.

Hari ini, umat Islam perlu bersatu di bawah satu panji-panji dan kalimah. Seperti mana Nabi s.a.w. dizinkan Allah s.w.t. untuk menyatupadukan hati kaum Auz dan Kharaj, seterusnya kaum Muhajirin dan Ansar melalui strateginya, itulah yang perlu dilakukan oleh umat Islam hari ini.

Tetapi, siapakah yang perlu membangkitkan suara-suara perpaduan seperti ini? Tetapi yakinlah kita, bahawa satu hari nanti akan munculnya seorang pemimpin dari dunia Islam, yang bakal menyeru semua umat Islam agar bersatu di bawah satu kalimah dan panji-panji. Apa yang penting, seperti kata Dr. Yusuf al Qardhawi, inilah masanya setiap umat Islam untuk campur tangan dan memberi sumbangan kepada kebangkitan Islam, kerana inilah zamannya, permulaan untuk Islam akan kembali bangkit seperti yang dijanjikan.

NEGARA ISLAM PERLU KELUAR DARI PBB

Konflik Asia Barat yang semakin memuncak dan lebih malang lagi apabila ia melibatkan kehancuran dan kesengsaraan beberapa buah negara Islam, sudah cukup mmberikan satu pentanda, bahawa sesuatu yang lebih serius perlu difikirkan untuk ditangani oleh badan-badan Islam dunia, terutama OIC, bagi memulihkan kembali kemerosotan dalam dunia Islam dari pelbagai sudut.

Jelas, akibat kelemahan dalam pelbagai cabang dan bidang, apatah lagi ditambah dengan faktor kemiskinan, perbezaan mahzab dan pemikiran yang jumud dan tertutup, cukup untuk menjadikan umat Islam kini menjadi umat yang terlemah, dan menjadikan negara-negara Islam dengan begitu mudah terjajah, biarpun jumlahnya lebih dari satu pertiga penduduk dunia.

Bagi mengatasi segala kelemahan tersebut, perkara paling utama dan terpenting dalam menjana agenda ini ialah perpaduan. Tidak perlu diungkapkan dengan panjang lebar, namun hari ini, perpaduan di antara umat Islam, baik bagi sesebuah masyarakat tidak kira di kampung kampung kecil, atau di Bandar-bandar, Negara mahupun antarabangsa, kini boleh diumpamakan sebagai sebuah dahan yang reput.

Akibat tiada perpaduan, kini hasilnya, negara-negara Islam seperti Afghanistan, Iraq dan Palestin, senang-senang di tindas dan dijajah. Biarpun kekejaman dan penjajahan yang berlaku di negara-negara tersebut melampaui batas, tetapi amat malang, apabila dunia

Islam bertindak hanya melihat, kemudian bersidang dan seterus pulang ke negara masing-masing, namun tiada apa-apa tindakan. Lihat saja isu Palestin yang sudah sekian lama tidak dapat diselesaikan. Bukan sedikit tanggungjawab yang terbeban pada dunia Islam dengan isu ini.

Jika sesebuah negara itu, mendeklarasikan negaranya sebagai sebuah negara Islam, perjuangan berbentuk nasionalis tidak perlu wujud. DI dalam Islam, ia mengajarkan umatnya supaya membentuk satu persaudaraan yang global tanpa mengira warna kulit dan bangsa. Apabila seseorang insan itu menyatakan kalimah syahadah, secara otomatisnya, dia sudah menjadi seorang saudara seagama yang ikatanya, lebih kuat dari persaudaraan sedarah sedaging.

Kini, OIC bersidang lagi. Dan kali ini, persidangan OIC diharapkan tidak menjadi seperti persidangan OIC yang lalu. OIC perlu lebih tegas bersuara. Usaha menghentikan kekejaman Israel, tidak ada lagi gunanya hanya menggunakan helaian kertas dan tandatangan secara kolektif antara pemimpin-pemimpin Islam. Sesuatu yang lebih dari itu perlu dilakukan.

Cadangan-cadangan seperti tentera pengaman seumpamanya, nampak seperti adalah rasionalnya. Bukan mahu berperang, tetapi membantu rakan dan saudara di mana negera mereka sedang cuba dijajah. Umat Islam tidak meminta kehancuran dan kemusnahan, tetapi umat Islam diajar untuk mencintai kedamaian dan keamanan.

Mungkin juga, OIC boleh menjadi pembuka bicara untuk menyeru semua negara Islam bersatu dan bernaung di bawah OIC. Perkara ini hanya dapat dilakukan apabila masing-masing membuang segala perselisihan ideologi atau pendapat, sebaliknya bersatu atas nama Islam secara lebih terbuka.

Sekiranya ini dapat dilakukan, mungkin akan ada usaha pemikiran dikalangan bijak pandai Islam untuk memberikan buah fikiran atau idea-idea yang bernas bagi memungkinkan OIC dapat berfungsi bukan sahaja melindungi saudara masing-masing di luar Negara malah dapat Bantu membantu dari sudut pembangunan dan kemajuan.

Jika dilihat dari sudut ajaran Islam, apatah lagi dengan suasana politik dunia hari ini, amat wajar negara-negara Islam memikirkan soal untuk keluar dari PBB, lalu bersatu di bawah satu badan yang dianggotai oleh negara-negara Islam.

Dalam hal ini, OIC dilihat sebagai satu badan yang amat wajar untuk diberi kepercayaan bertindak dan berfungsi seperti mana yang dilakukan oleh PBB, untuk semua negara Islam. Sekiranya kesemua negara Islam, bersatu dibawah payung OIC, dan sebulat suara dalam membela negara-negara Islam yang tertindas seperti Iraq, Palestin dan Afghanistan hari ini, mungkin suara umat Islam yang selama ini dipandang remeh, akan kembali perkasa.

Umat Islam diseluruh dunia tidak boleh hanya memikirkan tentang diri sendiri dan apa yang hanya berlaku di negaranya saja, tanpa mengambil berat terhadap saudara-saudara seagamanya yang lain.

Bukankah Rasulullah s.a.w. dalam satu komentarnya mengatakan, bahawa bukanlah orang yang beriman, sekiranya ia tidur dalam kekenyangan, tetapi jirannya tidur dalam kelaparan. Selama ini, dalam pemikiran umat Islam, hadis tersebut hanya tertuju kepada jiran dalam kawasan perumahan dan sebagainya. Namun skop hadis tersebut juga lebih besar dan maksud jiran itu juga termasuklah jiran-jiran dikalangan negara Islam!.

Islam adalah satu agama yang menjalin hubungan kebaikan dan keakraban sebagai seorang saudara secara global, dan bukan hanya tertakluk di dalam sesebuah keluarga, kampung atau negara sahaja.

Apa yang pasti, dalam kekecohan dan kesedihan akibat fitnah dari golongan Barat yang ingin memerangi Islam, perpaduan dan kesepakatan antara negara Islam perlu dibangkitkan kembali. Jika tidak, umat Islam satu hari nanti akan melihat, satu demi satu negara-negara Islam akan gugur ditangan penjajah moden, jika generasi pemimpin Islam hari ini, tidak memikirkan perkara ini dengan lebih serius dan terbuka.

AKIBAT LEMAH DAN BERPECAH BELAH

Terang-terang, resolusi yang diputuskan di dalam mesyuarat Parti Gerakan Wilayah Persekutuan untuk memecat Mufti Perak, Datuk Harussani Zakaria, seperti yang dilaporkan oleh akhbar The Star baru-baru ini, merupakan satu tamparan yang hebat kepada umat Islam, khususnya bangsa Melayu.

Ini adalah kali kedua isu sensitif yang menyentuh tentang Islam, yang dibangkitkan oleh mereka yang bukan Islam. Dan apabila menyentuh tentang Islam, secara tidak langsung, ia turut menyentuh sensitviti kaum Melayu di bumi ini.

Marah? Pasti orang Islam dan kaum Melayu marah dengan usul tersebut. Kenapa? Jawapannya mudah dan seperti biasa. Setiap perkara yang berkaitan dengan urusan agama Islam, tidak boleh orang lain, selain Muslim yang boleh bersuara. Inilah satu tradisi dan ia tercatat di dalam perlembagaan negara perihal Islam dan hak-hak orang Melayu.

Dulu, apabila ada dikalangan menteri yang bukan beragama Islam, cuba membangkitkan isu berkenaan artikel 11, perlembagaan Syariah, umat Islam keluar dan berhimpun menunjukkan rasa tidak puas hati terhadap sikap tidak bersopan para menteri tersebut.

Kali ini, usul bagi memecat seorang mufti oleh golongan yang bukan Islam nampaknya lebih jauh ke menusuk ke dalam hati.Jika sebelum ini, hanya catitan di atas kertas sahaja yang cuba diubah, tetapi hari ini, mereka mendesak untuk memecat seorang ulama pula Dan pastinya, isu ini akan membuatkan umat Islam bertambah marah.

Tetapi, satu persoalan kepada umat Islam di negara ini, sampai bila harus marah-marah? Tidak guna jika umat Islam hanya bangkit menyuarakan kemarahan apabila ada orang mengusik tidur mereka, dan selepas itu, kita ‘tidur’ semula.

Sedarkah umat Islam, bahawa permasalahan di kalangan umat Islam, dari segi ilmu akhirat dan duniawi, ekonomi, perpaduan dan sikap ambil berat kini berada di tahap yang agak runcing? Setiap hari akhbar melaporkan berita-berita dan perbincangan mengenai masalah moral Melayu Islam, namun sehingga kini, apa perlaksanaannya dan apa penyelesaiannya?

Ramai dikalangan orang Melayu yang seringkali menyalahkan orang lain atau faktor-faktor lain yang menjadi penyebab masalah moral anak-anak Melayu makin merebak. Sebagai contoh, ramai yang menyalahkan kerajaan kerana memberi lesen untuk pusat hiburan, sebagai alasan sebab mengapa masalah moral Melayu semakin parah.

Namun, jika seseorang Muslim itu benar-benar menghayati ajaran Islam, mereka tidak akan berkunjung ke situ. Binalah seratus atau seribu pusat hiburan, tetapi jika umat Islam tidak mahu untuk ke situ, tidak ada sesiapa yang boleh memaksa!

Generasi Muslim, terutama golongan muda di negara ini usah lagi terus menerus bersikap menyalahkan orang atau faktor lain diatas masalah yang melanda umat Islam hari ini. Bersikap menyalahkan orang lain tidak akan mendatangkan apa-apa kebaikan.

Sudah sampai masanya, umat Islam, khususnya kaum Melayu bersatu dan berdikari menegakkan iman, ekonomi dan maruah Islam. Umat Islam di negara ini sebenarnya mampu untuk berdikari dan maju dari pelbagai sudut, tanpa mengharapkan bantuan dari mana-mana pihak, termasuk kerajaan atau parti politik.

Mungkin itulah maksud mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad apabila menggesa kaum Melayu agar membuang ‘tongkat’ dan berjalan di atas kaki sendiri.

Umat Islam, khususnya orang Melayu perlu sedar, Allah s.w.t. telah mengeratkan bangsa Melayu dengan dua perkara, keturunan dan agama. Jadi, apakah alasan lagi yang mahu kaum Melayu berikan menolak sebarang seruan perpaduan dan kerjasama dari segala sudut?

Ulama generasi muda yang berilmu juga perlu memainkan peranan penting bagi memulihkan kembali imej Islam yang dianggap sebagai kolot dan kuno, serta memperjelaskan tentang Islam terhadap umat Islam termasuk kepada golongan non muslim.

Para ulama dan cendekiawan Melayu juga tidak boleh terlalu gemar berbincang mengenai perkara-perkara ranting yang sudah disepakati. Juga tidak perlu kita bidaah membidaah sesama sendiri. Apa yang penting, ulama dan cendekiawan Islam perlu membangkitkan semula roh dan semangat Islamiyah terutama dikalangan anak-anak muda Melayu zaman ini.

Generasi muda Melayu Islam hari ini terutamanya, perlu berganding bahu, tidak kira mana jemaah atau pertubuhan sekali pun, dalam satu matlamat untuk mengembalikan hak dan kegemilangan Islam kepada umat manusia.

Isu-isu sensitif seperti kes-kes murtad yang dibangkitkan oleh Mufti Perak itu juga bukanlah satu alasan untuk umat Islam bertindak semberono dengan kekerasan terhadap bukan Islam. Ia juga bukanlah sebagai sebab untuk umat Islam marah-marah dan menyimpan syak wasangka terhadap non muslim.

Tetapi, ini adalah masanya, untuk umat Islam di negara ini untuk membuat post mortem, mengapa ajaran Islam itu dipandang serong oleh bukan Islam? Dan inilah masanya juga, umat Islam perlu membandingkan sikap dan amalan mereka, baik dari segi akhlak dan ibadah, serta prinsip dan pegangan iman mereka dengan berpandukan al Quran dan Sunnah.

Apakah cara hidup dan perilaku kita hari ini selari dengan perintah Allah dan Rasul? Tetapi permasalahnya, berapa ramai pula di kalangan kaum Melayu yang memahami dan membaca al Quran?

Akibat kejahilan serta leka dengan keseronokan dunia, umat Islam tidak menyedari, sebenarnya tingkah laku dan akhlak umat Islam sendiri yang menyebabkan Islam itu dipandang serong.

Di dalam sebuah laman web www.faithfreedom.org, jelas memperlihatkan bagaimana salah laku umat Islam di seluruh dunia, dijadikan senjata bagi memburuk-burukkan ajaran dan kebenaran Islam.

Ini termasuk upacara hari Asyura yang disambut oleh penganut Syiah, dengan melukakan diri mereka sendiri sebagai memperingati kematian Saidina Ali. Upacara ini dianggap sebagai ajaran Islam dan betapa kuatnya hujah mereka, untuk mengatakan Islam itu ganas,apabila laman web itu memaparkan gambar-gambar penganut syiah dengan sebilah parang di tangan, dan badan berlumurun darah!.

Sedangkan itu hanya satu budaya, dan tidak ada kena mengena dengan ajaran Islam biar sedikitpun!

Jadi, para ulama, cendekiawan Islam dan pemikir Islam, NGO, termasuk jabatan dan mahkamah syariah, perlu serius memikirkan dan berusaha untuk mengubah segala amalan birokrasi dan kelemahan institusi agama yang selama ini telahpun menjejaskan imej Islam di kaca mata bukan Islam.

Perlu diingat, Islam bukan hanya untuk kaum Arab dan orang Melayu, tetapi Islam adalah untuk semua umat manusia. Dan apakah dakwah umat Islam hari ini terhadap bukan Islam, seperti yang dilakukan Nabi s.a.w. satu ketika dulu sudah terhenti?











BANI ISRAEL ZAMAN TEKNOLOGI ANGKUH MENCABAR PERINTAH TUHAN

HARI Jumaat, 14 Mei 1948, adalah tarikh bersejarah bagi kaum Yahudi di seluruh dunia kerana wujudnya sebuah negara yang dinamakan Israel - kemuncak cita-cita kaum Yahudi sejak beribu-ribu tahun dahulu.

Setelah melalui beberapa peringkat rundingan, termasuk Perjanjian Belfour yang amat penting sebagai satu tanda mendeklarasikan kewujudan negara Israel, maka muncullah sebuah negara baru di peta dunia, iaitu Israel.

Mungkin ramai yang tidak menyedari, malah termasuk umat Islam sendiri, bahawa kini Bani Israel seperti yang disebut-sebut di dalam al-Quran kembali mempunyai negara. Dengan tertubuhnya negara tersebut, setelah beribu-ribu tahun bertaburan di muka bumi, kaum ini kembali bertaut dan bersatu di bawah panji-panji Israel.

Ketika di zaman para nabi, kaum Yahudi juga dikenali sebagai golongan dari Bani Israel. Ini berdasarkan susur galur sejarah terdahulu kaum Yahudi, mereka adalah daripada golongan yang digelar oleh al-Quran sebagai Bani Israel.

Daripada susur galur golongan ini jugalah, banyak munculnya nabi-nabi dan rasul kecuali Nabi Muhammad s.a.w., Nabi akhir zaman yang muncul di kalangan keturunan Arab.
Di dalam al-Quran sendiri, banyak ayat yang menceritakan kisah dan riwayat Bani Israel semenjak dari zaman Nabi Musa a.s. Ketika di zaman Firaun, Bani Israel adalah kategori rakyat bergelar hamba dan tidak layak untuk menikmati kehidupan yang bebas sempurna. Firaun yang berbangsa Qibti, benar-benar zalim terhadap golongan Bani Israel pada waktu itu.


Mungkin kezaliman yang dilakukan tidak jauh bezanya dengan kekejaman Adolf Hitler terhadap golongan ini semasa dunia di era Perang Dunia Kedua. Setelah datangnya pertolongan Allah s.w.t membebaskan Bani Israel daripada kekejaman Firaun, melalui kemunculan Nabi Musa a.s., Bani Israel mula lupa perjanjian taat setia untuk patuh kepada perintah Nabi Musa a.s.

Kedegilan dan keangkuhan kaum Bani Israel ketika di zaman Nabi Musa dan seterusnya, termasuk di zaman Nabi Isa a.s secara jelas dinyatakan Allah s.w.t melalui firman-Nya di kebanyakan surah.


Sebagai contoh di dalam Surah al-Baqarah Ayat 83, Allah s.w.t telah menerangkan kepada Bani Israel beberapa perintah-Nya untuk dipatuhi oleh golongan tersebut. Perintah ini dikenali sebagai The Ten Comandment seperti mana yang tersebut di dalam kitab Taurat. Malah, kisah Bani Israel ini turut difilemkan pada sekitar tahun 1956 yang berjudul The Ten Commandment arahan Cecil B. DeMille.

Jelas terbukti, pada hari ini lebih ramai di antara golongan Bani Israel ingkar terhadap apa yang diperintahkan kepada mereka. Apa yang al-Quran jelaskan 1,400 tahun lalu mengenai perlakuan Bani Israel seakan-akan sama dengan sikap yang diperlihatkan oleh negara Israel pada hari ini.

Sikap mereka yang suka bermusuhan dan kejam terhadap orang lain terutama melibatkan isu Palestin dan kini Lebanon adalah sama seperti mana yang difirmankan Allah s.w.t. dalam surah al-Baqarah, ayat 85.

Sesungguhnya, golongan Bani Israel ini adalah satu kaum yang dimuliakan Allah s.w.t satu ketika dulu. Kebanyakan daripada keturunan Bani Israel atau kaum Yahudi, mempunyai kebijaksanaan dan kelebihan yang tidak diberikan terhadap kaum lain.
Ini jelas apabila hampir semua di kalangan nabi dan rasul diturunkan melalui keturunan mereka. Malah Nabi Isa .a.s. sendiri termasuk di kalangan keturunan Bani Israel.
Dengan kemuliaan yang diberikan Allah s.w.t. kepada mereka, golongan ini menjadi sombong dan bongkak serta memandang hina ke atas pihak lain. Apa yang berlaku terhadap keganasan dan kezaliman yang tidak sudah-sudah ke atas rakyat Palestin dan Lebanon, menjadi satu bukti yang nyata.


Namun Allah s.w.t. telah memperingatkan golongan ini bahkan firman tersebut amat relevan pada hari ini berdasarkan situasi dan konflik di Asia Barat yang tercetus akibat tindakan rejim Israel. Firman Allah s.w.t. dalam surah al-Baqarah ayat 122 yang bermaksud :
“Wahai Bani Israil, kenanglah akan limpah kurnia nikmatKu yang telah Kuberikan kepada kamu dan Aku telah melebihkan (datuk nenek) kamu (yang taat dahulu) atas umat-umat yang lain (yang ada pada zamannya)’’


Namun, pastinya, ramai yang lupa daripada beringat. Itu adalah fitrah manusia yang diciptakan sedia kala lemah. Begitulah hakikatnya pada Bani Israel dan kini, rejim Israel yang kembali melakukan kerosakan di bumi Palestin dan Lebanon. Israel dan sekutunya, AS dan Britain, ternyata melaksanakan kekejaman berselindung di sebalik kata-kata retorik kedamaian dan demokrasi.

Golongan ini menggelarkan orang lain, khususnya umat Islam sebagai pengganas, namun penglibatan golongan ini dalam pembunuhan rakyat Palestin dan tragedi Shabra Satilla dan Deir Yassin tidak pula dianggap sebagai satu keganasan? Kini tragedi yang sama kembali berulang.
Di dada-dada akhbar terpampang mayat kanak-kanak comel yang tidak berdosa terkulai layu tidak mengerti, akibat sifat serakah rejim Israel.


Tidakkah jelas, seperti yang diberitahu al- Quran terhadap sikap dan pendirian sesetengah golongan ini yang suka melakukan kerosakan. Ini hanya sebahagian. Bukan semua golongan Yahudi yang menyokong dasar luar pentadbiran Israel.

Malah kaum Yahudi yang beriman, beramai-ramai keluar mengadakan demonstrasi bermula sejak tragedi Shabra Satilla. Deir Yassin, penaklukan Palestin dan berterusan hinggalah yang terbaru, apabila Lebanon pula dicerobohi.

Namun sebahagian besar daripada golongan ini adalah terdiri daripada golongan yang lalai dan lupa. Sikap Bani Israel yang diceritakan al-Quran saling tak tumpah seperti sikap rejim Israel seperti yang wujud dengan rasminya di peta dunia pada hari ini. Firman Allah s.w.t. dalam surah al- Maidah ayat 32 yang bermaksud :

“Dengan sebab (kisah pembunuhan kejam) yang demikian itu kami tetapkan atas Bani Israel, bahawasanya sesiapa yang membunuh seorang manusia dengan tiada alasan yang membolehkan membunuh orang itu atau (kerana) melakukan kerosakan di muka bumi, maka seolah-olah dia telah membunuh manusia semuanya dan sesiapa yang menjaga keselamatan hidup seorang manusia, maka seolah-olah dia telah menjaga keselamatan hidup manusia semuanya dan demi sesungguhnya, telah datang kepada mereka rasul-rasul kami dengan membawa keterangan yang cukup terang; kemudian, sesungguhnya kebanyakan daripada mereka sesudah itu, sungguh-sungguh menjadi orang-orang yang melampaui batas (melakukan kerosakan) di muka bumi.”

Sesungguhnya kini, sebahagian daripada golongan yang menderhaka dari Bani Israel, secara rasminya wujud kembali sebagai para pemimpin bagi Israel, dan terus melakukan kekejaman dan kezaliman, sama seperti yang pernah sebahagian daripada mereka lakukan satu ketika dulu.

DIBEBASKAN UNTUK DIJAJAH SEMULA?

DUNIA mengalami pelbagai kejutan sejak akhir-akhir ini. Konflik yang berlaku, terutama melibatkan peperangan dan ketidakstabilan di rantau Asia Barat sejak berpuluh-puluh tahun kelihatan cukup membimbangkan.

Persoalan demi persoalan timbul di kalangan masyarakat dunia, terutama terhadap beberapa insiden yang berlaku sejak bermulanya alaf baru yang disambut secara besar-besaran dulu.
Hanya setahun selepas masyarakat dunia bergembira menyambut kedatangan tahun 2000, pada tahun 2001, masyarakat dunia dikejutkan dengan peristiwa runtuhnya Pusat Dagangan Dunia (WTC), mercu tanda Amerika Syarikat (AS). Dan pada tahun yang sama, episod duka umat Islam di serata dunia pun bermula. Ia tidak lagi tertumpu terhadap Palestin dan Afghanistan semata-mata.


Keganasan, Islam, bangsa Arab, Osama bin Laden dan Al-Qaeda sengaja dimomokkan kepada masyarakat dunia. Insiden 9/11 membawa pula kepada episod duka penjajahan berdarah ke atas Iraq. Ia menjadi alasan buat AS dan sekutunya, Britain untuk bertindak sebagai kuasa 'pengaman' yang kononnya ingin memerangi keganasan. Ekoran itu, peristiwa penjajahan abad moden pun bermula dan rakyat Iraq menjadi mangsa pertama kempen memerangi pengganas.
Sejak itu juga, pelbagai tekanan telah dikenakan terhadap negara-negara Islam. Umat Islam yang hidup secara minoriti di beberapa buah negara terasa bahang kehangatan fitnah yang semakin menular. Di London misalnya, sehingga kini, setelah lima tahun berlalu, masih lagi ada apa yang digelar Islamaphobia.


Persoalannya, benarkah ia dilakukan oleh mereka yang mengaku sebagai umat Islam? Malangnya, pertanyaan itu tidak pernah sama sekali dilontarkan.
Ketika mana teka-teki itu masih tinggal tidak terjawab, Asia terkena kejutan munculnya kumpulan Jemaah Islamiyah (JI) di Indonesia. Lalu, nama Abu Bakar Basyir mula menjadi sebutan AS dan sekutunya. Biarpun AS cuba mengaitkan beliau dengan agenda keganasan kumpulan radikal Islam, namun sehingga kini tiada bukti yang dapat mengaitkannya dengan markas teroris seperti pergerakan JI.


Ketika tanda tanya kewujudan JI masih membelenggu masyarakat dunia, umat Islam di selatan Thai pula bergolak. Insiden letup-meletup membuatkan kerajaan Thaksin Shinawatra sendiri bagaikan hilang punca untuk mencari siapa dalang sebenarnya.

Dan kini, Lebanon sedang marak terbakar oleh api amarah rejim Zionis. Ironinya, ia bagaikan satu kronologi selepas beberapa peristiwa besar yang lain sebagai pembuka laluan terhadap satu agenda terancang. Agenda di Lebanon ada kaitan dengan Iran, Palestin, Iraq, Syria selain mempunyai hubungan atas apa yang digelarkan ‘keganasan’ oleh pihak tertentu.
Mudah kata, Lebanon menjadi mangsa atas kerakusan agenda sesetengah manusia yang tamakkan kuasa dan kepentingan diri tanpa mengambil kira penderitaan dan kesengsaraan yang terpaksa ditanggung oleh pihak lain.


Apakah benar, wujud agenda bawah tanah yang terancang dan ia kini sedang dilaksanakan?

MEMBELA UMMAH DI PALESTIN JADI TANGGUNGJAWAB SELURUH UMAT ISLAM

SEJAK tercetusnya perang Israel-Palestin pada tahun 1948, rakyat di negara itu tidak pernah hidup dalam suasana tenang dan aman.

Sehingga ke hari ini, dalam jangka masa hampir 60 tahun, sudah ratusan ribu nyawa rakyat Palestin melayang di tangan rejim Zionis, dalam usaha menegakkan negara Israel.
Dalam tempoh itu, pelbagai usaha yang cuba dilakukan oleh masyarakat antarabangsa, termasuk Pertubuhan Bangsa -Bangsa Bersatu (PBB) nampaknya tidak menjadi.

Apatah lagi kuasa besar Barat seperti Amerika Syarikat (AS), sentiasa menjadi pembela dan pelindung bagi apa juga perbuatan rejim tersebut. Terbaru, rejim Zionis sekali lagi mengganas. Semacam mengambil kesempatan, lantaran seorang tenteranya diculik, lebih 5,000 orang tentera, termasuk berpuluh-puluh kereta kebal dikerah bersiap sedia.

Melihat kepada kesungguhan Israel menggempur umat Palestin dalam ketegangan terbaru ini, tindakan tersebut menimbulkan pelbagai tanda tanya. Apakah tentera rejim itu benar-benar mahu menyelamatkan tentera tersebut, atau, ia sekadar satu alasan terbaik untuk menyerang Palestin serta membunuh anggota kerajaan Hamas setelah sekian lama menunggu?

Hanya kerana seorang tentera, rejim Israel bertindak seolah-olah mahu menghancurkan bumi Palestin dengan kekuatan ketenteraannya. Tetapi apa yang dilakukan oleh mereka sebelum ini terhadap umat Palestin, terkubur dan senyap begitu sahaja. Sedangkan, kekejaman yang pernah dilakukan terhadap rakyat Palestin sepanjang tempoh tersebut, sebenarnya terlalu dahsyat dan terkeluar dari perilaku dan batasan seorang insan.

Namun, itu bukanlah persoalannya. Persoalannya sekarang, apa tindakan umat Islam serta negara-negara Islam lain membantu rakyat Palestin? Cukupkah umat Islam hanya membantu dari sudut kewangan sahaja? Apakah cukup sekadar itu dan apabila umat Palestin dibelasah rejim Zionis, dunia Islam hanya memandang sepi terhadap tindakan rejim Israel yang ternyata di luar batasan kemanusiaan.

Biarpun terdapat bantahan dari beberapa buah negara Islam, tetapi nampaknya ia tidak begitu bersungguh. Umat Islam perlu memastikan, suara mereka didengari oleh masyarakat dunia, supaya episod penyembelihan umat Islam Palestin tidak berulang kembali di abad moden ini, seperti mana kedukaan Shabra Shatilla dan Deir Yaseer.

Dalam isu ini, umat Islam di Malaysia perlu bersatu dan menunjukkan komitmen yang padu menentang keganasan rejim Zionis itu. Bagi membantu mereka dengan cara mengangkat senjata, kita tidak mampu.

Di zaman pemerintahan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, sejarah tercipta apabila UMNO dan Pas bersatu hati, duduk semeja dalam satu forum khas, bagi menyatakan pembelaan terhadap warga Palestin. Apatah lagi Malaysia, sebagai pengerusi Pertubuhan Persidangan Islam (OIC), memang selayaknya menjadi pencetus bantahan bagi keganasan rejim tersebut yang semakin menjadi-jadi. Perjuangan membela umat Islam di Palestin perlu dijadikan tradisi umat Islam di negara ini.

Biarpun mengambil masa puluhan tahun atau ratusan tahun sekalipun, pembelaan perlu diteruskan, sehingga Palestin dikembalikan kepada rakyatnya.

UMAT ISLAM PERLU FAHAMI AL QURAN

MENGHANTAR anak ke kelas pengajian al-Quran sudah menjadi satu amalan turun-temurun di kalangan orang Melayu di negara ini. Sebaik saja umur anak mencecah usia tujuh tahun, maka dapat dilihat ibu bapa mula sibuk mencari guru al-Quran untuk menghantar anak-anak mereka belajar. Amalan ini bukanlah hanya berlaku di kalangan umat Islam di negara ini, tetapi ia menjadi kebiasaan pada setiap keluarga Muslim di serata dunia.

Memberi pengetahuan al-Quran kepada anak-anak adalah kewajipan utama yang dituntut dalam Islam.
Namun persoalannya, apakah pelajaran yang diberikan, hanya berkisar kepada tajwid, nahu dan gaya pembacaannya sahaja, seperti yang biasa diamalkan pada hari ini?

Bagaimana pula dengan kefahaman terhadap mesej yang hendak disampaikan al-Quran yang menjadi asbab utama mengapa kitab tersebut diturunkan? Bukankah memahami apa maksud al-Quran itu juga dituntut oleh Islam?

Dalam situasi hari ini, menghantar anak sekadar untuk tahu membaca al-Quran sahaja, barangkali satu pendekatan agak ketinggalan dan tidak lagi relevan dengan kesesuaian dan perubahan zaman.
Generasi muda hari ini sebenarnya perlu didedahkan dengan terjemahan maknanya (al-Quran) agar mereka lebih memahami apa yang dibaca dan dipelajari.

Apa gunanya mereka pandai membaca al-Quran dengan berlagu serta memenangi banyak pertandingan musabaqah, tetapi langsung tidak memahami dan menghayati apa yang dibaca atau dilagukan itu?
Adalah lebih bermanfaat dan tepat dengan kehendak Islam, sekiranya anak-anak dihantar untuk belajar membaca al-Quran bukan sekadar mempelajari sebutan, nahu dan tajwidnya sahaja, tetapi sekali gus diajar untuk memahami terjemahan (bukan tafsir) dari awal ayat sehingga khatam.

Ini memandangkan masalah ketidakfahaman mesej di dalam al-Quran amat jelas ketara di kalangan masyarakat Islam di negara ini.

Kebanyakan umat Islam hari ini hanya mengambil berat dari segi qiraat, nahu, dan tajwidnya saja, tanpa menyedari bahawa memahami isi kandungan al-Quran itu adalah terpenting dan wajib hukumnya.
Ada sesetengah golongan yang berpendapat, bahawa al-Quran tidak boleh dibaca sebarangan atau difahami secara sembarangan dan ia perlu berguru. Benarkah begitu susah untuk memahami al-Quran?
Menurut pemikir Islam dan pensyarah di Fakulti Pengajian Islam,Universiti Malaya (UM), Prof. Datuk Dr. Mahmud Zuhdi Abdul Majid, sekiranya untuk memahami dasar konsep yang dibawakan oleh al-Quran, cukup hanya dengan membaca terjemahan atau alih bahasanya sahaja dan tidaklah perlu berguru.

‘‘Cuma sekiranya seseorang itu ingin mendalami ilmu tafsir atau untuk mengkaji ayat-ayat al-Quran dan sebagainya, maka perlulah seseorang individu itu mencari guru yang bertauliah dalam ilmu pentafsiran ayat-ayat al-Quran,” katanya.

Beliau juga berpendapat, bahawa antara punca kelemahan umat Islam khususnya orang Melayu ialah tidak memahami dan menghayati al-Quran.

Jika ada yang memahami pun, ia tidak akan bermanfaat sekiranya umat Islam tidak pula menghayati mesej serta melaksanakan apa yang terkandung di dalam al-Quran itu.

Pensyarah Fakulti Pengajian Islam Universiti kebangsaan Malaysia (UKM), Sulaiman Ibrahim pula berkata, al-Quran boleh dibaca dan difahami oleh semua golongan manusia, tidak kira pangkat atau kedudukannya.
Setiap bangsa, biarpun bukan golongan Arab dan tidak mempunyai pengetahuan bahasa Arab, berupaya memahami al-Quran dengan membaca terjemahannya yang dialih bahasa.

Beliau menarik perhatian dengan membawa contoh peristiwa berlaku terhadap Yvonne Ridley, wartawan Britain yang diculik oleh kumpulan Taliban. Yvonne mendapat hidayah hanya dengan membaca terjemahan al-Quran tanpa berguru dengan mana-mana ulama atau ustaz.

Begitu juga dengan penyanyi pop Britain yang terkenal satu masa dulu, Cat Steven atau kini lebih dikenali sebagai Yusuf Islam.

Beliau juga mendapat hidayah dengan membaca dan memahami isi kandungan al-Quran melalui terjemahannya sahaja. Dan sehingga kini, terbukti beliau lebih menghayati Islam daripada mereka yang asal lahir dari keturunan Islam itu sendiri.

Inilah katanya, yang dimaksudkan dengan kelebihan atau mukjizat dari al-Quran untuk semua manusia.
Sementara itu, menurut Syeikh Muhammad al Ghazali dalam bukunya yang berjudul Warisan Pemikiran Islam Menurut Syarak dan Rasional, turut menyentuh tentang sikap umat Islam terhadap sumber wahyu iaitu al-Quran ini.

Orang-orang Islam hari ini menurut beliau, melakukan pengkhianatan yang keji terhadap al-Quran.
Umat Islam hari ini tanpa disedari telah menyisihkan al-Quran dalam hidup mereka, kata beliau dalam buku tersebut.

Sedangkan dalam waktu yang sama, mereka berjinak dengan kata-kata yang batil serta tenggelam dalam perdebatan yang jijik.

Lantaran itu, umat Islam tidak menyedari bahawa mereka sebenarnya adalah golongan yang mempunyai tanggungjawab besar, untuk menyampaikan risalah yang begitu tinggi di daratan atau lautan, bagi kehidupan manusia mahupun jin, jelas beliau.