Sabtu, 7 April 2007

UMAT ISLAM PERLU FAHAMI AL QURAN

MENGHANTAR anak ke kelas pengajian al-Quran sudah menjadi satu amalan turun-temurun di kalangan orang Melayu di negara ini. Sebaik saja umur anak mencecah usia tujuh tahun, maka dapat dilihat ibu bapa mula sibuk mencari guru al-Quran untuk menghantar anak-anak mereka belajar. Amalan ini bukanlah hanya berlaku di kalangan umat Islam di negara ini, tetapi ia menjadi kebiasaan pada setiap keluarga Muslim di serata dunia.

Memberi pengetahuan al-Quran kepada anak-anak adalah kewajipan utama yang dituntut dalam Islam.
Namun persoalannya, apakah pelajaran yang diberikan, hanya berkisar kepada tajwid, nahu dan gaya pembacaannya sahaja, seperti yang biasa diamalkan pada hari ini?

Bagaimana pula dengan kefahaman terhadap mesej yang hendak disampaikan al-Quran yang menjadi asbab utama mengapa kitab tersebut diturunkan? Bukankah memahami apa maksud al-Quran itu juga dituntut oleh Islam?

Dalam situasi hari ini, menghantar anak sekadar untuk tahu membaca al-Quran sahaja, barangkali satu pendekatan agak ketinggalan dan tidak lagi relevan dengan kesesuaian dan perubahan zaman.
Generasi muda hari ini sebenarnya perlu didedahkan dengan terjemahan maknanya (al-Quran) agar mereka lebih memahami apa yang dibaca dan dipelajari.

Apa gunanya mereka pandai membaca al-Quran dengan berlagu serta memenangi banyak pertandingan musabaqah, tetapi langsung tidak memahami dan menghayati apa yang dibaca atau dilagukan itu?
Adalah lebih bermanfaat dan tepat dengan kehendak Islam, sekiranya anak-anak dihantar untuk belajar membaca al-Quran bukan sekadar mempelajari sebutan, nahu dan tajwidnya sahaja, tetapi sekali gus diajar untuk memahami terjemahan (bukan tafsir) dari awal ayat sehingga khatam.

Ini memandangkan masalah ketidakfahaman mesej di dalam al-Quran amat jelas ketara di kalangan masyarakat Islam di negara ini.

Kebanyakan umat Islam hari ini hanya mengambil berat dari segi qiraat, nahu, dan tajwidnya saja, tanpa menyedari bahawa memahami isi kandungan al-Quran itu adalah terpenting dan wajib hukumnya.
Ada sesetengah golongan yang berpendapat, bahawa al-Quran tidak boleh dibaca sebarangan atau difahami secara sembarangan dan ia perlu berguru. Benarkah begitu susah untuk memahami al-Quran?
Menurut pemikir Islam dan pensyarah di Fakulti Pengajian Islam,Universiti Malaya (UM), Prof. Datuk Dr. Mahmud Zuhdi Abdul Majid, sekiranya untuk memahami dasar konsep yang dibawakan oleh al-Quran, cukup hanya dengan membaca terjemahan atau alih bahasanya sahaja dan tidaklah perlu berguru.

‘‘Cuma sekiranya seseorang itu ingin mendalami ilmu tafsir atau untuk mengkaji ayat-ayat al-Quran dan sebagainya, maka perlulah seseorang individu itu mencari guru yang bertauliah dalam ilmu pentafsiran ayat-ayat al-Quran,” katanya.

Beliau juga berpendapat, bahawa antara punca kelemahan umat Islam khususnya orang Melayu ialah tidak memahami dan menghayati al-Quran.

Jika ada yang memahami pun, ia tidak akan bermanfaat sekiranya umat Islam tidak pula menghayati mesej serta melaksanakan apa yang terkandung di dalam al-Quran itu.

Pensyarah Fakulti Pengajian Islam Universiti kebangsaan Malaysia (UKM), Sulaiman Ibrahim pula berkata, al-Quran boleh dibaca dan difahami oleh semua golongan manusia, tidak kira pangkat atau kedudukannya.
Setiap bangsa, biarpun bukan golongan Arab dan tidak mempunyai pengetahuan bahasa Arab, berupaya memahami al-Quran dengan membaca terjemahannya yang dialih bahasa.

Beliau menarik perhatian dengan membawa contoh peristiwa berlaku terhadap Yvonne Ridley, wartawan Britain yang diculik oleh kumpulan Taliban. Yvonne mendapat hidayah hanya dengan membaca terjemahan al-Quran tanpa berguru dengan mana-mana ulama atau ustaz.

Begitu juga dengan penyanyi pop Britain yang terkenal satu masa dulu, Cat Steven atau kini lebih dikenali sebagai Yusuf Islam.

Beliau juga mendapat hidayah dengan membaca dan memahami isi kandungan al-Quran melalui terjemahannya sahaja. Dan sehingga kini, terbukti beliau lebih menghayati Islam daripada mereka yang asal lahir dari keturunan Islam itu sendiri.

Inilah katanya, yang dimaksudkan dengan kelebihan atau mukjizat dari al-Quran untuk semua manusia.
Sementara itu, menurut Syeikh Muhammad al Ghazali dalam bukunya yang berjudul Warisan Pemikiran Islam Menurut Syarak dan Rasional, turut menyentuh tentang sikap umat Islam terhadap sumber wahyu iaitu al-Quran ini.

Orang-orang Islam hari ini menurut beliau, melakukan pengkhianatan yang keji terhadap al-Quran.
Umat Islam hari ini tanpa disedari telah menyisihkan al-Quran dalam hidup mereka, kata beliau dalam buku tersebut.

Sedangkan dalam waktu yang sama, mereka berjinak dengan kata-kata yang batil serta tenggelam dalam perdebatan yang jijik.

Lantaran itu, umat Islam tidak menyedari bahawa mereka sebenarnya adalah golongan yang mempunyai tanggungjawab besar, untuk menyampaikan risalah yang begitu tinggi di daratan atau lautan, bagi kehidupan manusia mahupun jin, jelas beliau.

0 comments: