Hari ini apabila diperkatakan tentang jihad, setiap muslim dan non muslim, akan membayangkan suasana huru hara dan perperangan. Perkataan jihad, memang tidak dapat lari sebagai istilah khusus untuk peperangan. Apabila disebut berjihad, maka serta merta terlintas difikiran, ia adalah satu seruan untuk ke medan perang.
Bagaimanapun, istilah jihad sebenarnya bukanlah hanya bermaksud peperangan. Perlaksanaanya pula tidaklah terbatas hanya di medan peperangan. Jihad di medan peperangan itu hanya akan berlaku, sekiranya sesebuah negara Islam ditindas dan dicabul hak-haknya oleh golongan tertentu, atau kaum muslimin membantu saudara seagama yang negaranya sedang diceroboh.
Jika berdasarkan situasi di negara-negara Islam seperti Palestin, Afghanistan, Kashmir dan Iraq, adalah menjadi kewajipan bagi pemuda-pemuda Islam di negara itu, mempertahankan tanahair dan hak-hak mereka dari dicabul akibat nafsu serakah sebahagian pemimpin-pemimpin barat.
Ini berdasarkan firman Allah swt dalam surah al Baqarah ayat 190 yang bermaksud :
Dan perangilah kerana (menegakkan dan mempertahankan) agama Allah akan orang-orang yang memerangi kamu dan janganlah kamu menceroboh (dengan memulakan peperangan); kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang menceroboh.
Meskipun Allah s.w.t. telah memberi keizinan kepada golongan muslimin untuk melancarkan jihad qital, namun Allah s.w.t tidak membenarkan orang-orang yang beriman bersikap melampau-melampau biarpun di dalam peperangan.
Ini berdasarkan firman Allah s.w.t. dalam surah yang sama ayat 192 yang bermaksud :
“Kemudian jika mereka berhenti memerangi kamu (maka berhentilah kamu) kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”
Bagaimanapun, di dalam sesebuah negara yang aman dan tidak bergolak, adalah satu kesilapan melancarkan jihad dengan kekerasan atau bersenjata. Di dalam Islam, orang-orang yang beriman, adalah orang-orang yang memelihara kesejahteraan dan bukanlah pencetus kepada kerosakan dan keganasan di sesebuah tempat yang aman dan tenteram.
Seperti di Malaysia, berdasarkan realiti masyarakat Melayu Islam yang ada pada hari ini, tanpa syak lagi tuntutan untuk berjihad sebenarnya sudah terbeban di bahu orang-orang Melayu.,tetapi persoalannya, jihad yang bagaimana?
Sebenarnya, ada beberapa perkara utama yang memerlukan perhatian khusus cerdik pandai dan ulama Islam untuk diperbaiki terlebih dulu. Sekiranya beberapa tunjuang utama ini dapat diperbetulkan, umat Islam boleh menjadi contoh kepada kaum lain sebagai manusia yang lengkap, dari segi spiritual dan fizikal.
BUTA AL QURAN
Salah satu perkara yang amat penting, tetapi seringkali dilalaikan oleh orang Melayu Islam hari ini ialah memahami al Quran. Orang melayu secara tradisinya, sejak 30 atau 50 tahun yang lalu hingga kini, hanya menghantar anak-anak ke kelas mengaji semata-mata agar anak mereka pandai membaca atau melagukan ayat-ayat al Quran.
Kesedaran tentang betapa pentingnya untuk memahami al Quran masih lagi kurang dikalangan ibu bapa. Pengajian al Quran kini hanya lebih tertumpu kepada bab qiraat dan nahunya sahaja, tanpa mementingkan kefahaman terhadap mesej yang dibawa oleh al Quran.
Secara jujur, penulis berpendapat bahawa cara tradisi mengaji al Quran yang menjadi amalan orang Melayu Islam di negara ini adalah kurang tepat. Apa yang lebih penting hari ini ialah untuk memberikan kefahaman kepada anak-anak, apa mesej yang terkandung di dalam al Quran itu. Apalah gunanya sekiranya anak tersebut begitu pandai melagukan ayat-ayat al Quran, sedangkan pada masa yang sama dia boleh melakukan perkara-perkara mungkar yang dilarang oleh al Quran?
Al Quran diturunkan bukanlah sekadar untuk dilagu-lagukan atau dipertandingkan, dan penulis yakin, ramai yang bersetuju dengannya. Sekadar membaca tanpa memahami isi kandungannya, maka matlamat umat Islam menjadikan al Quran sebagai bahan rujukan pada setiap individu, keluarga, masyarakat dan negara, tidak akan tercapai.
Bukankah Al Quran itu adalah satu mesej dari Allah swt, seperti mana mesej yang terdapat di dalam kitab terdahulu, yang telah disampaikan melalui utusan-utusan-Nya pada bani Israel dan Nasrani sebelum turunnya al Quran? Apakah sudah cukup bagi umat Islam untuk membaca al Quran tanpa cuba untuk memahami maksud atau terjemahannya?
Pada pendapat penulis,kaedah pengajian al Quran perlu ditambah dengan pembelajaran untuk memahami ayat-ayat Allah s.w.t., biarpun bermula pada kanak-kanak. Anak-anak perlu diajar untuk membaca dan memahami mengikut kemampuan yang ada pada diri mereka.
Dan al Quran bukanlah cukup hanya sekali untuk dikhatamkan, sepertimana yang ada dipemikiran sesetengah orang Melayu hari ini, tetapi ia perlu di baca dan dibaca, selagi ada hayat.
SELESAIKAN MASALAH DALAM MASYARAKAT MELAYU ISLAM
Dalam usaha untuk menjadikan masyarakat Melayu Islam sebagai hamba Allah swt yang mendapat kebaikan di dunia dan akhirat, maka perkara utama yang perlu diperbetulkan adalah berkisar mengenai masalah dalaman orang Melayu itu sendiri.
Penulis baru-baru ini berkesempatan berbual dengan pensyarah di Fakulti Pengajian Islam Universiti Malaya, Dato Mahmud Zuhdi Abd Majid. Dan antara topik perbualan kami adalah mengenai priority para da'i dan ulama pada hari ini, ialah untuk menyelesaikan segala krisis dalaman yang berlaku dalam masyarakat Melayu.
Menurut beliau, sekiranya umat Islam masih lagi bergelut dengan masalah yang tidak sudah-sudah, seperti kejahilan dalam pemikiran dan ilmu, kemiskinan, gejala sosial dan sebagainya, bagaimana mahu membangun sebuah tamadun Islam yang gemilang?
Institusi ibu bapa menurut beliau lagi, perlu memberi penekanan yang lebih khusus terhadap pendidikan yang berdasarkan Islam. Ibu bapa perlu mempraktikan amalan keluarga dengan mengambil kira pandangan dan kehendak Islam.
Ibu bapa jangan hanya menumpukan perhatian terhadap anak-anak semata-mata tentang pencapaian akademik saja, tetapi perlu memberikan penekanan dari sudut nilai-nilai moral serta ketinggian akhlak menurut Islam.
“Daripada pengamalan pendidikan berteraskan Islam di dalam sesebuah keluarga, sebenarnya boleh menghasilkan anak-anak yang cemerlang, baik dari sudut dunia dan akhirat. Seperti kata Perdana Menteri, tidak ada gunanya anak-anak kita itu bijak pandai, tetapi hilang moralnya. Apa guna jika menjadi seorang pengarah, tetapi pecah amanah.
Tidak ada gunanya jika memperolehi degree atau master, sekiranya terlibat dalam perkara-perkara keji seperti rasuah dan sebagainya. Sebab itu, pendidikan agama itu begitu penting kerana ia bertindak sebagai dasar yang mempergaruhi keputusan tindak tanduk seorang manusia ketika hidup di muka bumi ini,” tegas beliau.
PERPADUAN
Usaha untuk menyatupadukan masyarakat Melayu Islam dalam satu matlamat perlu dilaksanakan. Hari ini, cabang politik yang sepatutnya menjadi wadah dalam membela agama, bangsa dan negara, kini bertukar menjadi medan perpecahan dan pertelingkahan tanpa kesudahan.
Berpecah belah dan segala usaha yang menyumbang ke arah tersebut, adalah sesuatu yang amat dimurkai Allah s.w.t dan dibenci oleh Rasul. Ayat-ayat Quran dan juga hadis yang begitu banyak menyeru kepada perpaduan serta menjauhi pecah belah.
Dalam surah Ali Imran ayat 105 yang bermaksud : “Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah bercerai berai dan berselisihan (di dalam agama mereka) sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang jelas nyata (yang dibawa oleh Nabi-nabi Allah). Dan mereka yang bersifat demikian, akan beroleh azab seksa yang besar”
Bukankah dari maksud ayat tersebut, jelas Allah s.w.t menjadikan Yahudi dan Nasrani sebagai contoh golongan yang berpecah belah kerana agama. Ayat tersebut juga berbentuk peringatan dan amaran, agar kaum muslimin tidak berpecah belah sepertimana golongan Yahudi dan Nasrani.
Dalam surah ar Ruum ayat 31-32 pula, sekali lagi Allah swt mengaitkan sikap pecah belah ini dengan sikap golongan musyrik dalam firman-Nya yang bermaksud :
“Dan janganlah kamu menjadi dari mana-mana golongan orang musyrik-iaitu orang-orang yang menjadikan fahaman agama mereka berselisihan mengikut kecenderungan masing-masing serta mereka pula menjadi berpuak-puak; tiap-tiap puak bergembira dengan apa yang ada padanya (dari fahaman dan amalan yang terpesong)”
Berdasarkan dari sirah Nabi, Rasulullah s.a.w. pada ketika Islam sedang meluaskan sayapnya, baginda menyeru dan mendidik golongan muslimin agar bersatu dibawah satu jemaah secara total tanpa mengira kabilah, pangkat, darjat dan keturunan.
Ketika di Madinah, antara perkara utama yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. semasa tiba di sana adalah mempersaudarakan kaum Muhajirin dan Ansar. Tujuan baginda adalah untuk membentuk satu kesatuan yang kuat dan agar tidak timbul sebarang perselisihan faham antara mereka yang boleh memecah belahkan kesatuan kaum muslimin, yang ketika itu sememangnya dalam keadaan yang lemah dan sedikit.
Begitu juga dengan peristiwa pembaitan Abu Ubaidah dari kaum Ansar ketika wafatnya Nabi. Apa yang ingin penulis tekankan ialah bagaimana sikap Saidina Abu Bakat yang sanggup meninggalkan jenazah Rasulullah s.a.w. ketika sedang memandikan baginda, kerana bimbang berlakunya perpecahan dikalangan kaum muslimin selepas wafatnya Nabi.
Bermula daripada Saidina Umar yang menghidu bahang-bahang perpecahan sekiranya pembaitan Abu Ubaidah sebagai Khalifah diteruskan, menyebabkan beliau kemudiannya menggesa Abu Bakar, yang ketika itu sedang memandikan jenazah Rasulullah s.a.w. untuk menyelesaikan masalah tersebut.
Biarpun sedang memandikan jenazah insan mulia yang paling dicintainya buat kali terakhir, namun Abu Bakar kemudiannya meninggalkan jenazah Nabi dan mengikuti Umar al Khattab untuk menghalang pembaitan tersebut. Sikap kedua pemimpin besar dalam Islam ini perlu diambil iktibar dan membuktikan bahawa usaha untuk menyatupadukan ummah adalah sesuatu yang amat penting, kerana ia adalah tonggak kekuatan. (rujuk sirah Muhammad s.a.w-Muhammad Hussein Heikal)
Al Quran menyeru manusia untuk membentuk satu kesatuan mutlak atas nama Islam. Bukan di atas nama parti, atau pertubuhan, persatuan yang menggunakan Islam. Itu hanya satu jemaah kecil dan hanya bermatlamat khusus bagi pertubuhan tersebut.
Namun perpaduan yang dikehendaki dalam Islam, adalah bercorak global dan meluas.
Perpaduan ini tidak memilih bangsa, pekerjaan, jawatan atau pertubuhan atau golongan individu. Perpaduan ini akan wujud apabila wujudnya satu matlamat bersama untuk menghadirkan jemaah Islam yang memiliki kriteria sebagai khalifah serta taat pada perintah Allah dan Rasul, berfikiran terbuka dalam ikhtilaf, berteknologi, mempunyai kekuatan ekonomi dan saling bantu-membantu.
Perpaduan adalah kekuatan dan perpecahan adalah kelemahan. Itu adalah hakikat dan sunnatullah dalam kehidupan manusia yang tidak dapat diubah.Dan Allah s.w.t memerintahkan agar kaum muslimin agar taat kepada Allah dan Rasul, usah bertengkar dan menyelesaikan sesuatu masalah dengan cara musytawarah, rasional dan sabar.
Firman Allah s.w.t. dalam surah an Anfaal ayat 46 yang bermaksud :
Dan taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya dan janganlah kamu berbantah-bantahan; kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu dan sabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati); sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang sabar. “
JEMAAH JIHAD EKONOMI
Tambah Dato Mahmud Zuhdi lagi, hari ini sudah menjadi fardhu hukumnya bagi umat Islam untuk bersama-sama berjemaah dan melancarkan jihad dalam bidang ekonomi.
“Ekonomi adalah antara faktor terpenting hari ini untuk menjana perjalanan dakwah Islamiah. Kepentingan ekonomi bukanlah hanya pada hari ini, tetapi sejak dari zaman Nabi Muhammad s.a.w. lagi.
Jika tidak ada tokoh-tokoh korporat pada zaman itu, seperti Ummul Mukminin Saidtina Khadijah dan Uthman bin Affan, yang menyumbang hampir 3 ¼ harta mereka ke jalan Allah,maka mungkin perjalanan dakwah Nabi ketika itu akan menjadi lebih sukar,” jelas beliau.
Usaha yang serius untuk membentuk jemaah jihad di dalam ekonomi juga perlu dilaksanakan, sekiranya tidak mahu melihat masyarakat Melayu Islam menjadi golongan yang melarat di negara sendiri, tegas beliau lagi.
Disamping itu, Para ulama dan da'i hari ini perlu memainkan peranan untuk membangkit semangat Islam dan semangat meniaga di kalangan Melayu, bagi membantu dan menyokong perniagaan saudara seagama. Sifat tolongan menolong secara berjemaah boleh membantu menaikkan taraf kewangan dikalangan orang-orang Muslim.
Selain daripada itu, beliau juga mengingatkan para peniaga Muslim supaya bersikap jujur dalam menjalankan perniagaan. Sedar-tak sedar, orang Melayu begitu sinonim dengan perkara-perkara negatif. Istilah seperti ‘janji Melayu’ yang menggambarkan sikap orang Melayu yang tidak menepati janji, perlu dibuang dari kamus pemikiran orang Melayu.
Begitu juga dalam perniagaan. Apabila disebut orang Melayu dalam dunia perniagaan, ramai yang mengaitkan sikap leka dan main-main dalam berniaga. Ini bukan satu tuduhan tetapi ini adalah satu realiti dalam kehidupan masyarakat Melayu hari ini.
“Sebagai contoh, misalnya dalam hal-hal membaiki kereta. Kebanyakan dari orang Melayu lebih suka menghantar kereta mereka untuk dibaiki di bengkel-bengkel orang bukan Melayu. Ini berkemungkinan kerana perasaan tidak yakin terhadap kualiti kerja orang Melayu sendiri.
Perasaan tidak yakin terhadap kualiti kerja orang Melayu, bukanlah sesuatu yang baru. Ramai dikalangan orang-orang Melayu yang menceburi bidang perniagaan, lebih mementingkan keuntungan daripada menjaga kualiti hasil kerja mereka. Adakalnya bersikap main-main dan tidak serius. Perkara ini bukanlah berlaku pada semua peniaga Melayu, tetapi kebanyakkan dari peniaga Melayu bersikap begitu,”
JIHAD ILMU
Jika dilihat daripada sudut ilmu, orang Melayu perlu lebih tekun dan mendalami bukan sahaja ilmu agama, tetapi juga ilmu yang berkaitan dengan hal-hal duniawi. Manusia hari ini hidup dalam zaman yang penuh dengan rahmat. Allah swt membuka pintu rahmat-Nya dengan memberikan manusia ilham mencipta pelbagai alatan terkini untuk kemudahan manusia.
Hari ini, manusia tidak lagi berkenderaan dengan unta, kuda dan sebagainya.
Sebaliknya manusia hari ini dengan penuh gaya memandu kereta-kereta mewah, megah menyusuri jalan-jalan raya. Begitu juga dengan sistem teknologi yang semakin lama, semakin tinggi pencapaiannya. Kemudahan seperti internet, telefon bimbit, komputer adalah satu komponen tambahan yang begitu memudahkan perjalanan kehidupan manusia.
Ilmu sains dan teknologi ini, sekiranya digunakan untuk menikmati kebenaran Islam, serta melihat keagungan Allah swt adalah sesuatu yang amat berkesan. Seperti yang pernah penulis nukilkan dalam satu rencana yang berjudul Sains dan Teknologi-Ilmu Tauhid yang Efektif, sains dan teknologi ini boleh membawa kita kepada pengembaraan mencari keagungan dan kekuasaan Allah swt.
Lantaran itu, dunia Islam hari ini memerlukan lebih ramai saintis, yang dapat mempergunakan ilmu tersebut berdasarkan iman. Contohnya menggalakkan anak muda menceburi bidang sains. Bidang sains adalah satu bidang yang dapat membuktikan akan kebenaran al Quran.
Malah bermacam-macam ilmu Allah swt yang terzahir dalam diteroka. Dan kebenaran-kebenaran serta kebesaran Allah yang dapat dilihat menerusi teknologi sains, umpamanya objek dilangit, dapat membantu kekuatan membangkitkan kekuatan iman.
Melalui sains jugalah, bermacam-macam kemudahan dapat dibina. Zaman ini, negara atau umat yang menguasai ilmu-ilmu sains dan teknologi, lebih canggih peralatannya dan lebih tepat perkiraannya. Lihat saja seperti di Amerika Syarikat atau Jepun. Teknologi yang diperolehi hasil kajian para saintis, membuatkan mereka lebih hebat, malah digunakan untuk menjajah negara lain dengan hasil pencapaian mereka dalam ilmu-ilmu sains dan teknologi.
صهيب الرومي .. البائع نفسه ابتغاء مرضاة الله
-
اكتشف قصة الصحابي الجليل صهيب الرومي وتعرف على شخصيته ونشأته وقصة هجرته
واستلهم من حياته العبر والدروس الخالدة.
صهيب الرومي .. البائع نفسه ابتغاء مرضاة ا...
15 jam yang lalu
0 comments:
Catat Ulasan