Selasa, 10 April 2007

Sains dan Teknologi-PENZAHIRAN ILMU ALLAH

Dunia hari ini menyaksikan perkembangan dunia teknologi dan sains yang semakin rancak. Barangan seperti telefon bimbit, komputer, internet, perkhidmatan 3G, kini menjadi satu keperluan asasi manusia.

Dalam membangunkan ketamadunan berasaskan sains dan teknologi, tidak dapat dinafikan bahawa golongan barat adalah antara mereka yang sering mendahului. Hasil kajian mereka dalam sains dan teknologi, akhirnya memberi manfaat kepada mereka dan digunakan dalam pelbagai sektor termasuk bidang ketenteraan.

Pernahkah kita bertanya mengapakah ilmu sains dan teknologi itu diberikan kepada manusia. Hakikatnya ilmu tersebut bukanlah hasil dari ciptaan manusia, tetapi adalah anugerah kepada manusia melalui ilham untuk manusia mencari ilmu dan mencipta pelbagai kemudahan untuk manusia itu sendiri.

Firman Allah s.w.t. dalam surah al’Alaq ayat 1 hingga 5 yang bermaksud :
“Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu yang menciptakan, Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah dan Tuhanmulah Yang Paling Pemurah, Yang mengajar (manusia) dengan perantaraan kalam. Dia mengajarkan kepada manusia apa yang tidak diketahuinya,”

Apakah sekadar itu sahaja tujuan ilmu sains dan teknologi diwujudkan. Apakah ia hanya berguna untuk mencapai kemudahan hidup duniawi sahaja tanpa langsung ada manfaat untuk ukhrawi.

Pastinya tidak. Ini adalah janji Allah s.w.t bahawa setiap daripada ciptaannya dijadikan berpasang-pasangan. Bukan manusia atau binatang sahaja dicipta berpasangan, tetapi setiap sesuatu yang dicipta adalah berpasangan, termasuk sikap dan perbuatan. Ada baik dan ada buruknya.

Begitu juga dengan sains dan teknologi. Pasti ada baik dan pasti ada buruknya. Dalam hal menekuni ilmu sains dan teknologi, hubung kait al Quran dan sains perlu diperjelaskan untuk membuatkan umat Islam berlumba-lumba mengambil tahu dan secara tidak langsung mempelajarinya.

Mungkin ramai yang tidak sedar atau bersikap acuh tak acuh, tetapi ilmu sains dan teknologi ini adalah satu penzahiran kebenaran akan kewujudan Allah s.w.t. Dalam erti kata yang lain, mengambil tahu tentang sains dan teknologi dapat membuahkan rasa keimanan yang kukuh jika ia didasarkan melalui pengetahuan al Quran.

Firman Allah s.w.t dalam surah al Baqarah ayat dua yang bermaksud :
Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertakwa;
Kebanyakan daripada ahli saintis barat berfahaman ateis. Tidak percaya akan kewujudan Tuhan. Namun apabila mereka mengkaji sesuatu, pergerakan sel atau zarah misalnya, di puncak pengkajian mereka akan menemui jalan buntu. Akhirnya mereka terpaksa menerima hakikat bahawa bumi ini ada pencipta-Nya.

Beberapa saintis barat yang memeluk Islam kerana mendapati bahawa kajian mereka itu, sebenarnya telah pun disebut di dalam al Quran kira-kira 1426 tahun yang lepas
Seorang pakar dalam bidang Anatomi, Dr. Keith L Moore yang juga bekas Presiden Canadian Association of Anatomist, mengakui akan kebenaran al Quran dan sunah setelah beberapa tahun mengkaji tentang embrio manusia.

Dalam satu kenyataan di Kaherah, beliau mengisytiharkan bahawa al Quran telah mencatatkan mengenai perkembangan kejadian manusia ketika sains masih belum wujud dan diterokai oleh manusia pada waktu itu.

“Saya sememang mengetahui akan kecemerlangan pencapaian ilmu oleh saintis Islam ketika kurun yang ke 10 dan sumbangan mereka terhadap ilmu perubatan yang begitu memberi manfaat dalam bidang perubatan. Tetapi saya langsung tidak mengambil tahu tentang agama dan keyakinan mereka terhadap al Quran dan Hadis.

“Namun setelah membuat pengkajian terhadap perkembangan kejadian manusia, adalah sesuatu yang meyakinkan bahawa kenyataan ini (al Quran) pastinya datang kepada Nabi Muhammad s.a.w daripada Tuhan atau Allah s.w.t. Ini disebabkan bahawa pengetahuan ini tidak dapat dicapai pada waktu al Quran itu diturunkan (diwahyukan) dan ia hanya ditemui hanya pada beberapa kurun baru-baru ini. Ini sudah cukup untuk membuktikan kepada saya bahawa Muhammad itu pasti seorang utusan Tuhan atau Allah,”

Peristiwa yang berlaku kepada Dar. Keith L Moore ini turut dialami oleh beberapa orang saintis barat yang lain. Usaha mereka ini selaras seperti mana firman Allah s.w.t. dalam surah al Baqarah ayat 269 menceritakan anugerah hikmah dan ilmu yang Allah kurniakan kepada sesiapa yang dikehendakinya yang bermaksud :-

"Allah memberikan hikmah kepada siapa yang dikehendaki-Nya. Dan barang siapa yang diberi hikmah, sungguh telah diberi kebajikan yang banyak. Dan tak ada yang dapat mengambil pelajaran kecuali orang-orang yang berakal. "

Ternyata ilmu sains dan teknologi itu sebenarnya membawa manusia ke arah mencari kebenaran mengenai Ketuhanan. Di dalam al Quran sendiri, banyak ayat-ayat yang menceritakan tentang kejadian langit, bumi, hujan, tumbuh-tumbuhan dan banyak lagi yang bersangkut paut dengan ilmu sains untuk dikaji dan diteliti oleh manusia itu sendiri.
Firman Allah s.w.t. dalam surah Al Baqarah ayat 164 yang bermaksud :-

"Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, silih bergantinya malam dan siang, bahtera yang berlayar di laut membawa apa yang berguna bagi manusia, dan apa yang Allah turunkan dari langit berupa air, lalu dengan air itu Dia hidupkan bumi sesudah mati (kering)-nya dan Dia sebarkan di bumi itu segala jenis haiwan, dan pengisaran angin dan awan yang dikendalikan antara langit dan bumi; sungguh (terdapat) tanda-tanda (keesaan dan kebesaran Allah) bagi kaum yang memikirkan."

Perintah agar memerihatikan alam sekeliling tidak lain hanyalah semata-mata untuk manusia mencari bukti tentang kebenaran risalah yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w. kira-kira 1426 tahun yang lalu.

Melalui surah Ibrahim ayat 52, Allah s.w.t. telah menjelaskan mengapa dianjurkan bagi manusia untuk melihat dan memerhatikan keadaan sekeliling yang bermaksud :-

"Al-Quran ini adalah penjelasan yang sempurna bagi manusia, dan supaya mereka mengetahui bahawasanya Dia adalah Ilah Yang Maha Esa dan agar orang-orang yang berakal mengambil pelajaran."

Justeru itu, sains dan teknologi adalah ilmu untuk mencari keagungan dan kebesaran Allah dan begitu berkesan dalam kaedah memantapkan keimanan seseorang. Sepatutnya umat Islam hari ini adalah dari golongan yang menguasai ilmu sains dan teknologi. Selain daripada tujuan utamanya untuk mencari kebenaran, pelbagai penemuan dan ilham akan diberikan oleh Allah s.w.t melalui ilmu tersebut.

Nama-nama seperti Al Farabi, Abu Rayhan Al Biruni, Ibnu Sina, Ibnu Arabi, Muhammad Abduh dan ramai lagi, bukan sahaja harum dalam dunia ilmuwan Islam, tetapi ilmu dan teori mereka turut dikaji, dipelajari dan diamalkan oleh para ilmuwan di kalangan bukan Islam.
Pembaharuan dan penemuan golongan ini dalam bidang ilmiah meliputi sains, geografi, matematik dan beberapa bidang lain , ternyata diiktiraf oleh seluruh dunia termasuk golongan orientalis dan barat.

Nama-nama seperti Al Farabi, Abu Rayhan Al Biruni, Ibnu Sina, Ibnu Arabi, Muhammad Abduh dan ramai lagi, bukan sahaja harum dalam dunia ilmuwan Islam, tetapi ilmu dan teori mereka turut dikaji, dipelajari dan diamalkan oleh para ilmuwan di kalangan bukan Islam.

Namun pada hari ini, umat Islam tidak lagi peka dengan ilmu. Ilmu duniawi dipandang sepi. Bidang sains dan teknologi bukan dalam genggaman umat Islam. Amat malang apabila ilmu pengetahuan ini, akhirnya jatuh ke tangan golongan kufur sehingga mereka menggunakannya sebagai senjata untuk memusnahkan budaya dan sosial.

Golongan-golongan yang tidak beriman menggunakan sains dan teknologi itu, bukanlah untuk mencari kebenaran sebaliknya ilmu tersebut digunakan untuk melakukan kerosakkan, pembunuhan dan banyak lagi kezaliman dengan ilmu yang didapati melalui sains dan teknologi.
Lebih malang lagi, apabila kini mereka menggunakan sains dan teknologi sebagai satu senjata untuk ‘mencederakan’ pemikiran dan untuk perluasan kuasa melalui serangan propaganda termasuk kecederaan secara fizikal melalui siri penindasan di negara-negara Islam.

1 comments:

Tanpa Nama berkata...

syukran jazilan la ka..actually,ur topic z my presentation too,lain sj sikit,but u rly provide me wit a huge information..n btw,i agree wit u 100%..keh..an excellent remark..i enjoy it..