Mengimbas kembali sejarah silam, Tanah Melayu mempunyai ramai ulama berwibawa dan memainkan peranan penting dalam mendidik masyarakat dengan panduan dan nilai-nilai Islam.
Ramai ulama Tanah Melayu menjadi tersohor di serata nusantara, bahkan terkenal di luar negara. Malah ada ulama Melayu yang tinggal di Mekah dan mengajar ilmu Islam di sana hampir berpuluh tahun lamanya.
Perjalanan dakwah para ulama silam, sekiranya hendak dinilai pada hari ini adalah sama sukarnya. Mungkin ulama silam lebih menghadapi kesukaran dalam menyampaikan dakwah mereka kepada orang ramai, ekoran kurangnya kemudahan asas yang ada pada masa itu.
Biarpun menghadapi pelbagai kesukaran namun, dakwah golongan ulama ini tetap berjalan dan berjaya mempengaruhi pemikiran masyarakat Islam yang lalai serta yang bukan Islam untuk kembali kepada Islam.
Malah ada ulama Melayu silam yang turut berdakwah di kalangan komuniti ‘gengster’ yang akhirnya menjadikan penyebab hidayah terbukanya hati beberapa orang dari golongan tersebut, untuk kembali kepada jalan agama.
Kita tinggalkan sejarah silam dan kembali kepada peranan ulama pada hari ini. Hakikatnya hari ini, perlakuan maksiat yang berlaku di dalam masyarakat hari ini lebih hebat, apatah lagi dengan bantuan sains dan teknologi.
Sedar atau tidak, golongan remaja hari ini, boleh bermaksiat di mana-mana sahaja. Kini dengan kecanggihan telefon bimbit, remaja boleh membawa dan menonton bahan-bahan lucah ke mana sahaja melalui telefon bimbit mereka.
Dalam kemelut kemaksiatan dan krisis identiti remaja Melayu Islam hari ini semakin menebal, golongan ulama pula dilihat hari ini semakin luntur semangat perjuangan dakwah mereka. Apakah golongan ini sudah kecewa, malas atau lebih memikirkan kesenangan kehidupan di samping bilik pejabat berhawa dingin serta kerusi ‘pusing-pusing’ yang berbantal empuk?
Mereka yang bergelar ulama di Malaysia hari ini (bukan semua), dilihat daripada mata kasar, tidak lagi memainkan peranan sebagai seorang ulama yang sebenarnya. Jurang antara ulama dan masyarakat awam juga terlalu jauh sehingga orang awam sukar untuk mencapai ilmu yang diberikan Allah s.w.t. kepada golongan ini.
Jika dilihat daripada riwayat-riwayat para ulama terdahulu, mereka tidak pernah membatasi dakwah mereka hanya melalui cara tertentu. Sekiranya berpeluang dan mampu, ulama akan menerobos masuk ke segenap penjuru demi untuk menyampaikan dakwah Islamiah kepada masyarakat umum.
Jika kita melihat pada sejarah Kesultanan Melayu pula, ternyata golongan ulama diberikan peranan besar dalam urusan pentadbiran negeri. Sebagai contoh dalam sistem pentadbiran Sultan Terengganu ke 3, Sultan Zainal Abidin telah melantik ulama besar Tokku Paloh, sebagai wakilnya dalam perundingan dengan penjajah British, ketika British cuba menakluk Terengganu pada ketika.
Pelantikan Tokku Paloh itu cukup untuk membuktikan bahawa golongan ulama adalah insan atau individu yang paling dipercayai dan amanah, untuk diserahkan segala urusan pentadbiran kerajaan negeri. Pastinya dalam hal ini, keikhlasan dan kredibiliti seseorang ulama itu akan menjadi ukuran untuk lantikan tersebut.
Bagaimanapun hari ini, dapat dilihat kredibiliti ulama mula dipertikaikan. Malah, penglibatan ulama dan cerdik pandai Islam dalam bidang politik hari ini, ada kalanya menjadi asbab untuk menimbulkan fitnah besar di kalangan masyarakat awam.
Golongan ulama juga dilihat bersikap pasif dalam usaha untuk memulihkan kekuatan ummah Islam yang sedang lemah. Jarang sekali kedengaran suara mufti dan ulama dalam membangkitkan kembali semangat umat Islam di negara ini.
Tidakkah golongan ini sedar, bahawa komuniti Islam hari ini dilanda dengan pelbagai masalah yang kronik? Isu kefahaman agama, ekonomi, sosial, tercicir dalam pelajaran dan sebagainya, kini menjadi penghalang umat Islam untuk muncul sebagai ummah yang terbilang.
Apakah mencukupi, dengan muncul sesekali di kaca tv, atau berceramah di masjid-masjid dengan topik yang diulang-ulang, yang akhirnya berlalu tanpa sebarang kesan? Apakah sekadar itu cukup untuk menampung kegersangan ‘agama’ yang kini semakin tandus di dalam hati anak Melayu hari ini.
Para ulama perlu sedar, mereka mempunyai tanggungjawab yang besar dalam mendidik serta mengembalikan kredibiliti ummah terutama dalam situasi seperti yang berlaku seperti hari ini.
Mungkin benar, ulama hari ini menghadapi pelbagai cabaran besar dalam menyampaikan dakwah mereka. Tetapi itu tidak boleh dijadikan alasan untuk terus tidak berbuat apa-apa.
Para ulama dan cendekiawan Islam perlu berusaha setakat mana yang mampu untuk melakukan sesuatu, dan bukannya hanya memberi kenyataan apabila ditanya oleh para wartawan sahaja.
Ulama dan cerdik pandai Islam perlu turun padang. Lihat dengan mata kepala sendiri, bagaimana kehidupan di kota Kuala Lumpur membuatkan ramai dikalangan umat Islam, terutama remaja yang kini hilang pedoman dan arah tujuan dalam hidup.
Ulama, satu ketika dulu, begitu berpengaruh di kalangan masyarakat Melayu. Kewibawaan mereka, keterbukaan pemikiran serta akhlak yang mulia menyebabkan ulama dahulu di pandang mulia, bahkan diberikan kedudukan istimewa oleh pembesar lantaran karamah dan kemuliaan peribadinya. Mudah-mudahan, warisan akhlak dan semangat perjuangan ulama dulu dalam menegakkan daulah Islamiyah di hati umat Islam, khususnya bangsa Melayu, akan terus berkesinambungan.
صهيب الرومي .. البائع نفسه ابتغاء مرضاة الله
-
اكتشف قصة الصحابي الجليل صهيب الرومي وتعرف على شخصيته ونشأته وقصة هجرته
واستلهم من حياته العبر والدروس الخالدة.
صهيب الرومي .. البائع نفسه ابتغاء مرضاة ا...
15 jam yang lalu
0 comments:
Catat Ulasan