Sabtu, 7 April 2007

MEMBELA UMMAH DI PALESTIN JADI TANGGUNGJAWAB SELURUH UMAT ISLAM

SEJAK tercetusnya perang Israel-Palestin pada tahun 1948, rakyat di negara itu tidak pernah hidup dalam suasana tenang dan aman.

Sehingga ke hari ini, dalam jangka masa hampir 60 tahun, sudah ratusan ribu nyawa rakyat Palestin melayang di tangan rejim Zionis, dalam usaha menegakkan negara Israel.
Dalam tempoh itu, pelbagai usaha yang cuba dilakukan oleh masyarakat antarabangsa, termasuk Pertubuhan Bangsa -Bangsa Bersatu (PBB) nampaknya tidak menjadi.

Apatah lagi kuasa besar Barat seperti Amerika Syarikat (AS), sentiasa menjadi pembela dan pelindung bagi apa juga perbuatan rejim tersebut. Terbaru, rejim Zionis sekali lagi mengganas. Semacam mengambil kesempatan, lantaran seorang tenteranya diculik, lebih 5,000 orang tentera, termasuk berpuluh-puluh kereta kebal dikerah bersiap sedia.

Melihat kepada kesungguhan Israel menggempur umat Palestin dalam ketegangan terbaru ini, tindakan tersebut menimbulkan pelbagai tanda tanya. Apakah tentera rejim itu benar-benar mahu menyelamatkan tentera tersebut, atau, ia sekadar satu alasan terbaik untuk menyerang Palestin serta membunuh anggota kerajaan Hamas setelah sekian lama menunggu?

Hanya kerana seorang tentera, rejim Israel bertindak seolah-olah mahu menghancurkan bumi Palestin dengan kekuatan ketenteraannya. Tetapi apa yang dilakukan oleh mereka sebelum ini terhadap umat Palestin, terkubur dan senyap begitu sahaja. Sedangkan, kekejaman yang pernah dilakukan terhadap rakyat Palestin sepanjang tempoh tersebut, sebenarnya terlalu dahsyat dan terkeluar dari perilaku dan batasan seorang insan.

Namun, itu bukanlah persoalannya. Persoalannya sekarang, apa tindakan umat Islam serta negara-negara Islam lain membantu rakyat Palestin? Cukupkah umat Islam hanya membantu dari sudut kewangan sahaja? Apakah cukup sekadar itu dan apabila umat Palestin dibelasah rejim Zionis, dunia Islam hanya memandang sepi terhadap tindakan rejim Israel yang ternyata di luar batasan kemanusiaan.

Biarpun terdapat bantahan dari beberapa buah negara Islam, tetapi nampaknya ia tidak begitu bersungguh. Umat Islam perlu memastikan, suara mereka didengari oleh masyarakat dunia, supaya episod penyembelihan umat Islam Palestin tidak berulang kembali di abad moden ini, seperti mana kedukaan Shabra Shatilla dan Deir Yaseer.

Dalam isu ini, umat Islam di Malaysia perlu bersatu dan menunjukkan komitmen yang padu menentang keganasan rejim Zionis itu. Bagi membantu mereka dengan cara mengangkat senjata, kita tidak mampu.

Di zaman pemerintahan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, sejarah tercipta apabila UMNO dan Pas bersatu hati, duduk semeja dalam satu forum khas, bagi menyatakan pembelaan terhadap warga Palestin. Apatah lagi Malaysia, sebagai pengerusi Pertubuhan Persidangan Islam (OIC), memang selayaknya menjadi pencetus bantahan bagi keganasan rejim tersebut yang semakin menjadi-jadi. Perjuangan membela umat Islam di Palestin perlu dijadikan tradisi umat Islam di negara ini.

Biarpun mengambil masa puluhan tahun atau ratusan tahun sekalipun, pembelaan perlu diteruskan, sehingga Palestin dikembalikan kepada rakyatnya.

0 comments: