Isnin, 9 April 2007

WARTAWAN ISLAM PERLU JADI SUARA KEBANGKITAN UMMAH

Dunia kewartawanan adalah dunia perjuangan.Mahu tidak mahu, pembabitan wartawan dalam agenda negara mahupun dunia, adalah sesuatu yang tidak dapat ditolak. Seorang wartawan, yang benar-benar menjiwai kerjayanya, serta mempunyai jati diri yang kuat, pasti akan menjadikan tulisannya itu sebagai pedang bagi satu perjuangan.

Sedar atau tidak, itu adalah peribadi seorang penulis atau wartawann. Seseorang wartawan itu bisa mengubah kalamnya, daripada selembut lidah menjadi setajam pedang. Bisa melukakan sesiapa saja, berpangkat ataupun tidak, Raja atau Sultan, Pembesar mahupun pemerintah.

Lihat sahaja sejarah dalam usaha pembetukan negara Israel. Seorang wartawan Israel bernama Theodor Haerzl, adalah insan yang bertanggungjawab untuk membangkitkan semangat kaum Yahudi mencapai satu matlamat iaitu membentuk sebuah negara sendiri.
Beliau berjaya mencetuskan kebangkitan kaum Yahudi melalui penulisannya, yang menyebabkan wujudnya negara Israel seperti yang ada pada hari ini.

Keberkesanan mata pena, sememangnya sesuatu yang tidak boleh dipandang remeh. Tidak hairanlah, ramai cendekiawan, pemikir dan ulama dalam Islam yang menggunakan bidang penulisan sebagai satu cabang dakwah mereka.

Nama seperti Rasyid Rida, Muhammad Abduh, adalah antara tokoh pemikir Islam yang terlibat dalam dunia penulisan dan kewartawanan sebagai jalan untuk kesimbungan dakwah Islam yang lebih berkesan.

Ulama di Malaysia, termasuk tokoh ulama, Tok Kenali berpendapat, bahawa bidang penulisan dan media, perlu dimanfaatkan dengan sebaik mungkin oleh umat Islam. Ini adalah demi kebaikan dan penyaduran maklumat yang berguna kepada umat Islam. Tok Kenali juga terlibat dalam dunia penulisan dan kewartawanan apabila beliau sendiri menjadi ketua pengarang untuk majalah Pengasuh.

Seseorang wartawan tidak perlu menggunakan senjata seperti parang, senapang dan sebagainya untuk menyampaikan maksud perjuangan, tetapi hanya dengan goresan pena, ataupun ketukan mesin taip yang mengalunkan ritma-ritma suara kebebasan, sudah memadai.
Biarpun tidak bersenjata, namun adakalanya wartawan terpaksa menghadapi masalah-masalah yang beratnya hampir sama dengan perjuangan yang mengangkat senjata. Berdasarkan sejarah kewartawanan, hakikat ini tidak dapat dinafikan.

PERJUANGAN WARTAWAN MELAYU SEBELUM MERDEKA

Kita susur sejarah perjuangan wartawan Melayu tanahair secara ringkas. Apabila menyoroti sejarah hidup tokoh wartawan seperti Tan Sri Samad Ismail, Rahim Kajai, Burhanuddin Helmi,Said Zahari dan ramai lagi, jelas ketika itu, wartawan harus membayar harga perjuangan mereka melalui penulisan dengan nilai yang tinggi.

Contohnya, seperti Tan Sri Samad Ismail, bukan sekali, bukan dua, tetapi sebanyak tiga kali beliau disumbatkan ke dalam penjara, lantaran ketajaman mata pena yang ditarikan beliau.
Mengapa dipenjara? Beliau tidak menggunakan kekerasan. Jauh sekali senjata api atau bom, seperti mana hari ini. Hanya sebuah mesin taip buruk, serta ilham perjuangan yang datang dari Tuhan, itu sudah cukup untuk menggoncangkan hati dunia.

Namun itulah penangan seorang wartawan. Tulisannya bukan sekadar huruf, tetapi ia hadir bersama-sama dengan semangat jati diri bangsa yang tumbuh mekar dalam taman pemikiran dan hati. Datang bersama hunusan pedang yang tidak terlihat, tetapi bisa untuk merobek dan melukakan jiwa dan hati manusia.

Jika mahu dibandingkan suasana bekerja wartawan dahulu dan sekarang, boleh dikatakan jauh panggang dari api. Itulah pepatah yang dirasakan sesuai untuk mengungkapkan beza perjalanan wartawan dulu dan masa kini.

Wartawan dulu bukan sekadar bertemankan mesin taip, tetapi turut bertemankan cemuhan, ugutan dan gertakan. Penuh cabaran dan dugaan. Apatah lagi hidup dalam zaman perjuangan. Segalanya ketika itu hanya dibayar dengan hanya nilai setitis air mata.

Perjuangan wartawan hari ini, mungkin tidak lagi bermandi air mata atau darah, tetapi cabarannya lebih hebat jika dibandingkan dengan perjuangan wartawan sebelum ini. Hari ini, golongan wartawan tidak lagi berjuang untuk kemerdekaan fizikal, tetapi perjuangan kali ini ialah untuk memecahkan belenggu pemikiran yang masih terjajah.

Hakikatnya, hari ini bangsa Melayu sudah tidak terjajah fizikalnya, namun mentalitinya masih serabut dengan tinggalan saki baki pemikiran barat. Dan menjadi salah satu tanggungjawab golongan wartawan Melayu adalah untuk membina pemikiran dan menyadurkan maklumat yang boleh meleraikan belenggu pemikiran jumud yang menghantui umat Melayu hari ini.

WARTAWAN MELAYU DAN TANGGUNGJAWAB DAKWAH ISLAMIYAH

Wartawan juga boleh dianggap berkhidmat untuk masyarakat. Berita dan maklumat yang disebarkan mencerminkan fikiran masyarakat. Mahu tidak mahu, suka atau tidak, Wartawan perlu menerima hakikat bahawa mereka adalah pengantara bagi masyarakat untuk meluahkan perasaan suka dan duka, marah dan kecewa, terhadap apa jua isu atau permasalahan yang melanda.

Sebenarnya, wartawan memikul tanggungjawab sosial yang begitu berat. Ini disebabkan, sesuatu maklumat atau tulisan yang disampaikan kepada masyarakat itu mampu mencorak fikiran masyarakat sama ada ke arah pemikiran memihak, tidak memihak atau berkecuali iaitu membentuk sama ada 'fikiran positif atau negatif'.

Malah perlu diingatkan, bahawa tanggungjawab sebagai seorang Muslim terhadap perintah amar makruf nahi mungkar, adalah lebih besar kerana golongan ini mempunyai medan suara yang luas pengaruhnya, iaitu media.

Abad 21 menyaksikan perkembangan teknologi maklumat yang begitu sofistikated dan mudah. Hari ini, maklumat hanya berada di hujung jari. Baik dirumah, di tempat kerja, atau di mana saja, teknologi yang dibina memudahkan manusia mendapatkan input-input maklumat yang berguna.

Bagaimanapun, perkembangan teknologi terkini muncul seiring dengan kebaikan, sekaligus tidak mencicirkan keburukan untuk dibawa bersama. Ini adalah sesuatu yang lumrah, dan sering terjadi kepada negara-negara yang menuju modenisasi dan yang telah sedia moden.

Apa yang lebih menyedihkan, banyak berlaku peristiwa jenayah seperti rogol, berpunca daripada kemudahan teknologi yang ada pada hari ini. Teknologi yang sepatutnya membawa kebaikan kepada umat manusia, boleh bertukar menjadi penghancur kepada kehidupan sosial manusia, sekiranya langkah berhati-hati serta membendung gejala negatif akibat pengaruh teknologi tidak dilaksanakan.

Satu persoalan, tanggungjawab siapakah untuk memberi penerangan terhadap masyarakat, akan virus yang sedang menular di kalangan anak-anak Melayu hari ini? Golongan wartawan dan penulis, adalah mereka yang paling dekat dengan segala kemudahan komunikasi ini. Persoalannya, adakah para wartawan, atau penulis pada hari ini memanfaatkan sepenuhnya segala kemudahan teknologi komunikasi hari ini, demi kebaikan agama, bangsa dan negara?

Dalam hal ini, seorang tokoh wartawan Melayu, Said Zahari, berkomentar mengenai dunia kewartawanan pada hari ini. Mungkin apa yang beliau katakan itu, tidaklah menggambarkan keseluruhannya, tetapi ia adalah imej rambang terhadap dunia kewartawanan hari ini daripada skop pemerhatian 'orang lama'.

Antara kata-kata beliau dalam satu wawancara majalah Dewan Masyarakat : “ Inilah bezanya wartawan dahulu dengan wartawan sekarang. Wartawan sekarang sudah tidak lagi memikul tanggungjawab yang sebenarnya. “Tak payah susah-susahlah, janji tiap-tiap bulan gaji masuk dlm bank,”

Secara rasional, memang ada benarnya kenyataan orang lama itu. Dan hari ini, salah satu perkara yang menghantui wartawan Melayu adalah glamour. Baik dari sudut populariti diri, atau penulisan yang bernawaitu kepentingan diri, tanpa menghiraukan akibat pada komuniti pembaca.

Hakikatnya, dunia kewartawan Melayu hari ini kekurangan penulis dan wartawan yang benar-benar sayangkan agama dan bangsanya, seperti golongan wartawan Melayu yang wujud ketika zaman perjuangan dulu.

Mungkin hari ini, para wartawan Melayu menganggap bahawa perjuangan sudah tamat, tidak ada apa yang hendak diperjuangkan lagi. Cara berfikir sebegitu adalah silap, kerana zaman selepas merdeka inilah sebenarnya, bermula satu zaman perjuangan yang lebih mencabar bagi wartawan Melayu Islam.

0 comments: