Selasa, 10 April 2007

MANFAAT TEKNOLOGI UNTUK UMMAH

Selari dengan perkembangan dunia teknologi yang serba canggih pada hari ini, negeri Trengganu dianggap sebagai pelopor penggunaan teknologi dalam dakwah, apabila menjadi negeri pertama yang menggunakan layar putih ketika khutbah Jumaat
Pengunaan layar putih ketika khutbah Jumaat adalah sesuatu pendekatan yang relevan disamping dapat memberikan input serta gambaran yang lebih jelas kepada para jemaah.

Penggunaan layar putih akan lebih membuatkan para jemaah lebih tekun dan khusyuk mendengar khutbah disamping melihat slide gambar, ataupun video tanpa suara yang dipaparkan di layar putih.
Mutakhir ini, khutbah Jumaat dilihat sudah berkurangan ‘sengatnya’ terhadap para jemaah. Ini adalah akibat tajuk-tajuk khutbah, serta intonasi penyampaiannya hari ini membuatkan lebih ramai para jemaah dibuai rasa mengantuk, berbanding yang mendengar.

Jemaah yang lalai dan khutbah yang hambar, adalah masalah terbesar umat Islam ketika sembahyang Jumaat. Dalam ibadah itu, khutbah sebelum sembahyang itu adalah penting kerana itulah ketika diperuntukan oleh Allah s.w.t. secara rasmi kepada umat Islam, sebagai medan seruan dakwah terhadap kaum muslimin pada setiap minggu sepanjang hidup.
Namun, apalah gunanya jika peluang keemasan yang diberikan Allah s.w.t untuk menyampai seruan dakwah secara tetap itu, dilakukan secara ala kadar dan jemaah pula mendengarnya dalam keadaan mengantuk, serta pulang tanpa ada sedikit ilmu yang terpalit di hati dan mindanya?

Usaha yang serius perlu dilakukan oleh jabatan dan badan-badan agama kerajaan, untuk membaik pulih pretasi khutbah Jumaat pada hari ini, apatah lagi dalam situasi umat Islam yang agak genting akibat krisis dalaman serta pengaruh barat yang sedang meracuni pemikiran generasi muda Islam hari ini.
Solat Jumaat yang berfungsi sebagai tempat dimana untuk mentarbiah, mendidik dan memberikan pengetahuan kepada umat Islam dengan lebih berkesan, kini tidak lagi berfungsi sepertimana yang sepatutnya.

Apa yang jelas setakat ini, penggunaan layar putih ketika khutbah Jumaat ini, adalah pendekatan terbaik untuk menarik perhatian jemaah yang kebanyakan leka dan tidur, ketika khutbah sedang berlansung.

Sebagai contoh, sekiranya khutbah pada hari itu berkisarkan tentang konsep syukur, maka kita paparkan di layar putih, gambar atau tayangan video tanpa suara yang memaparkan bagaimana kehidupan umat Islam lain, terutama dinegara-negara yang sedang dilanda krisis kebuluran, peperangan dan sebagainya.

Ini akan dapat menarik perhatian jemaah serta secara tidak langsung dapat memberikan kesan yang lebih besar terutama input maklumat bagi kaum muslimin, dalam menghadapi situasi kehancuran moral serta kerapuhan pegangan tauhid terutama terhadap generasi muda.
Tayangan gambar-gambar, atau clip video itu pastinya dapat menimbulkan rasa keinsafan yang lebih mendalam di dalam hati para jemaah, jika dibandingkan dengan hanya mendengar khutbah.

Seperti mana dengan tayangan slot-slot rancangan televisyen yang memaparkan kesengsaraabn hidup seperti siri BersamaMu, berjaya membuatkan ramai penonton menitis air mata apabila melihat sendiri bagaimana kesengsaraan dan juga keperitan hidup yang dialami oleh segolongan insan di negara ini.

Bagaimana sekiranya kisah duka mereka itu hanya disampaikan melalui mulut ke mulut, tidak dipaparkan melalui kaca tv? Pastinya kesan terhadap mereka yang hanya mendengar, tidaklah sehebat kesan terhadap mereka yang melihat, walaupun hanya melalui televisyen sahaja.
Perkara seperti ini mungkin akan banyak menimbulkan spekulasi atau kritikan, terutama berhubung soal-soal bidaah. Soal bidaah sebenarnya sekian lama menghantui umat Islam sehingga ke hari ini, sehingga menyebabkan perpaduan ummah boleh menjadi goyah dan membeawa kepada perbuatan dosa yang lebih besar iaitu berpecah belah.

Sebenarnya, apa yang perlu dilihat ialah dari sudut matlamat pensyariatan solat Jumaat itu. Sembahyang jumaat bukanlah hanya sekadar upacara ritual keagamaan, tetapi ia juga adalah satu konsep motivasi mingguan terhadap umat Islam melalui khutbahnya.
Bukankah Islam itu relevan dengan setiap zaman.Bukankah itu sering diungkapkan oleh para fuqaha dan ulama pada hari ini dan sebelumnya? Justeru itu, pada hari ini, ulama dan para pemikir Islam perlu memikirkan bagaimana kaedah yang menjadikan Islam itu relevan dengan zaman. Penggunaan layar putih ini adalah satu manfaat ilmu Allah untuk kebaikan umat Islam itu sendiri.

Zaman ini adalah abad perkembangan teknologi. Dengan teknologi pada hari ini, manusia dapat berhubung sesama sendiri biarpun beribu batu jauhnya. Kini manusia dapat melihat,mengetahui dan bercerita bagaimana keadaan atau budaya sesebuah negara, hanya dengan menonton televisyen atau melayari internet. Kemudahan seperti ini tidak ada pada zaman-zaman sebelum ini.

Belajarlah dengan kaum Yahudi dan Nasrani, bagaimana mereka mengunakan ilmu Allah untuk menjalankan propaganda putar belitkan mereka. Dengan penguasaan ilmu teknologi dan media, golongan ini dapat menguasai pemikiran masyarakat dunia, dan secara tidak langsung, mereka berjaya menerapkan agenda agama dan politik mereka untuk dibenarkan oleh masyarakat dunia keseluruhannya.

Menyusuri dakwah yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w, baginda pernah kaedah surat menyurat untuk menyampaikan risalah dakwah baginda terhadap para penguasa di beberapa buah negara.

Ini membuktikan, bahawa baginda juga menggunakan sistem komunikasi terkini pada waktu itu untuk menyampaikan dakwah, disamping mengutus utusan-utusan baginda. Sekiranya wujud teknologi seperti yang ada pada zaman ini, apakah baginda tidak akan mengunakannya?
Namun umat Islam hari ini, lebih selesa dengan menumpukan pendekatan dakwah secara tradisional serta mengikut secara membuta tuli tanpa pemikiran dan ilmu. Dakwah adalah satu perbuatan yang memerlukan perancangan.

Golongan yang berdakwah, para cendekiawan serta ulama, perlu berfikir bagaimana untuk menjalankan usaha dakwah yang lebih berkesan terutama dari segi kaedah pendekatannya. Itulah yang dimaksudkan dengan berhemah. Bijak dalam menyesuaikan situasi dakwah asal ianya tidak melanggar batas syarak.

Bukankah Allah s.w.t telah menyuruh kita berusaha dengan upaya yang dikurniakan kepada umat manusia, untuk mencari keredhaan serta dakwah Islamiah, dan kemudiannya hendaklah kita bertawakal kepada-Nya. Sepeti firman-Nya dalam surah al Maidah ayat 35 yang bermaksud :

"Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kepada Allah dan carilah jalan yang boleh menyampaikan kepadaNya (dengan mematuhi perintahNya dan meninggalkan laranganNya); dan berjuanglah pada jalan Allah (untuk menegakkan Islam) supaya kamu beroleh kejayaan.
Namun akibat lalai serta menganggap sains dan teknologi tidak diperlukan dalam dakwah, akibatnya umat Islam hari ini menjalankan usaha dakwah dengan pendekatan yang tidak lagi relevan dengan zamanya. Akibatnya, umat Islam hari ini jauh ketinggalan dari pelbagai sudut berbanding dengan kaum yang lain."

Hari ini, pendekatan dakwah yang lebih moden serta berteknologi tinggi diperlukan kerana ia lebih tepat dan sesuai dengan keadaan semasa. Mungkin umat Islam tidak menyedari, penggunaan teknologi dalam usaha untuk menjana keutuhan ummah dari sudut kemantapan akidah dan kejayaan duniawi, juga termasuk sebagai alat yang boleh digunakan menuju kepada matlamat dakwah dan ibadah.

Sesiapapun tidak dapat menafikan bahawa ilmu moden yang wujud pada hari ini adalah kruniaan nikmat dari Allah swt semata-mata. Jadi, sekiranya ilmu Allah itu digunakan untuk menegakkan tauhid, meninggikan kalimah Allah serta menjana perpaduan dan kesedaran dikalangan umat Islam, apakah ia tidak boleh dianggap sebagai alat untuk mencapai matlamat ibadah. Firman Allah s.w.t dalam surah An Nisa ayat 79 bermaksud :

“Apa jua kebaikan (nikmat kesenangan) yang engkau dapati maka ia adalah dari Allah dan apa jua bencana yang menimpamu maka ia adalah dari (kesalahan) dirimu sendiri....”

Hari ini, kemudahan teknologi dan sains, tidak digunakan sebagai alat dakwah untuk menegakkan Islam. Kebanyakan dari umat manusia hari ini, sering kali menggunakan nikmat Allah ke jalan yang dimurkainya. Golongan yang menyalah gunakan nikmat dianggap ingkar terhadap Allah s.w.t. Di dalam surah Ibrahim ayat 34, Allah s.w.t berfirman yang bermaksud :
Sesungguhnya manusia (yang ingkar) sangat suka menempatkan sesuatu pada bukan tempatnya lagi sangat tidak menghargai nikmat Tuhannya.

Lihat saja bagaimana Amerika Syarikat menipu penduduk dunia dengan penggunaan media dan teknologi. Dengan hanya sepatah dua kata di kaca televisyen, AS dapat mengaburi mata dunia sehingga menjadikan tindakannya menyerang Iraq satu perkara yang sah, walaupun terang-terang ia adalah satu muslihat, penipuan dan konspirasi.

0 comments: